Top Ad 728x90

,

Selangor Juara Liga Super 2009


Selepas menunggu selama lima tahun, Selangor akhirnya berjaya merangkul kejuaraan bola sepak Liga Super, satu-satunya piala yang masih belum pernah diraih mereka sejak format liga ini diperkenalkan pada 2004.

Kejayaan itu disambut lebih awal walaupun mereka masih mempunyai baki satu perlawanan, Sabtu ini dengan mencatat kemenangan kali ke-19 apabila membelasah Polis Diraja Malaysia (PDRM) 6-1 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang semalam.

KL PLUS pula menambah kecewa pesaing Selangor di tangga kedua, Perlis dengan menewaskan pasukan pelawat 2-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur menerusi jaringan Irwan Fadzli Idrus dan Fadzli Saari.

Jaringan balas Ahmad Fakri Saarani pada minit ke-76 tidak memadai untuk mengembalikan saki-baki perjuangan Singa Utara yang kini ketinggalan tujuh mata di tangga kedua sekali gus tidak mampu mengejar Gergasi Merah lagi.

Jurulatih Selangor, K. Devan berkata, pemain telah memenuhi permintaan pihak pengurusan untuk merangkul dua kejuaraan musim ini iaitu menjulang Piala FA dan mahkota Liga Super.

"Saya rasa pihak pengurusan tentu berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan pemain dengan beraksi konsisten sepanjang musim ini," katanya selepas membantu Selangor muncul juara Piala FA April lalu.

Dalam perlawanan semalam Selangor memperoleh gol pertama seawal minit ketiga melalui Rudie Ramli, sementara gol kedua disumbangkan Nasriq Baharom pada minit ke-29.

Wira perlawanan Pilihan Malaysia dengan Manchester United, Amri Yahyah menambah gol pada minit ke-46 sebelum Razman Roslan dan Amirulhadi Zainal masing-masing melebarkan kedudukan pada minit ke-54 dan 71.

PDRM yang kian parah dengan gol keenam Selangor melalui D. Surendran pada minit ke-75, sempat beroleh gol sagu hati menerusi Khairul Izuan Abdullah, enam minit sebelum tamat tetapi kehilangan pula Nazrul Effendy M. Nor kerana menerima kad merah (64).

Kelantan pula mensia-siakan peluang terbuka untuk terus merebut tempat ketiga Liga Super apabila dihampakan Kedah 1-0 di Stadium Sultan Mohammed IV, Kota Bharu gara-gara jaringan Wan Zaim Wan Azizan pada minit ke-49.

Sang Kenari kian pasti menghuni tempat ketiga tetapi perlu berwaspada dengan Johor FC yang garang membelasah UPB-MyTeam 5-0 di Stadium Petaling Jaya sambil memintas Kelantan dan Terengganu yang tidak bermain semalam.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90