143 kakitangan kerajaan dibuang kerja

 on Jumaat, 14 Ogos 2009  

Sejumlah 143 kakitangan perkhidmatan awam dibuang kerja dari April sehingga Jun tahun ini setelah didapati bersalah melanggar tatatertib dan peraturan perkhidmatan.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Latif berkata, antara kesalahan yang dilakukan ialah tidak hadir bertugas, pelanggaran tata kelakuan, terlibat dalam kes mahkamah, tanggungan hutang serius, kesalahan penggunaan dadah dan melakukan pekerjaan luar.

Katanya, kakitangan terbabit adalah daripada kategori Perkhidmatan Awam Persekutuan (90 orang) diikuti badan berkanun Persekutuan (25), pihak berkuasa tempatan (22), perkhidmatan awam negeri (5) dan badan berkanun negeri (1).

"Kesemua kakitangan awam yang dibuang kerja itu merupakan sebahagian daripada 484 penjawat awam yang dikenakan tindakan tatatertib sepanjang suku kedua tahun ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, kategori penjawat awam dalam Kumpulan Sokongan merupakan golongan paling ramai dikenakan tindakan tatatertib iaitu seramai 427 orang atau 88 peratus daripada jumlah keseluruhan yang dikenakan tindakan.

Jelasnya, antara hukuman lain yang dikenakan kepada penjawat awam terbabit adalah denda, dilucutkan hak emolumen (tidak diberi kenaikan pangkat selama 24 bulan), tangguh pergerakan gaji, turun gaji dan pangkat.

"Tujuan utama peraturan ini diguna pakai untuk menilai prestasi kerja kakitangan terbabit selain menjaga imej dan kredibiliti perkhidmatan awam," jelasnya.

Beliau menambah, hukuman tatatertib termasuk membuang kerja itu mengikut langkah dan prosedur yang betul.

Tambahnya, ia dilaksanakan agar setiap kesalahan yang dilakukan tidak menjejaskan imej perkhidmatan awam.

- UTUSAN
143 kakitangan kerajaan dibuang kerja 4.5 5 MOHD. ADHA MOHD. ZAIN Jumaat, 14 Ogos 2009 Sejumlah 143 kakitangan perkhidmatan awam dibuang kerja dari April sehingga Jun tahun ini setelah didapati bersalah melanggar tatatertib dan...