Top Ad 728x90

Asam pedas Kolek Cafe


Apabila berbicara mengenai masakan asam pedas, ia pastinya tidak lari daripada dikaitkan dengan negeri Melaka dan Johor.

Ini kerana sajian enak tersebut sememangnya berasal dan popular dari kedua-dua buah negeri tersebut.

Bukan itu sahaja malah ia turut menjadi kebanggaan orang Melaka dan Johor sebagai sajian tradisi mereka.

Bagi penduduk Kuala Lumpur yang menggemari asam pedas mungkin ada yang tercari-cari, di mana boleh didapati asam pedas yang enaknya seperti masakan di Melaka dan Johor?

Mereka yang teringinkan lauk asam pedas gaya Melaka, bolehlah singgah ke Restoran Kolek Cafe di Dataran Dwitasik, Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur.

Sajian asam pedas aneka jenis ikan boleh dinikmati menerusi pesanan ala carte pada setiap masa.

Anda boleh menikmati keenakan asam pedas ikan merah, pari, tenggiri, kembung dan senangin bersama nasi putih panas.

Ia akan menjadi bertambah berselera apabila disertakan sekali ulam serta sambal belacan.

Menurut Pengurus dan juga Chef restoran ini, Rozie Long, selain aneka jenis asam pedas, restorannya juga menyediakan pelbagai jenis sayur dan lauk-pauk (nasi campur) untuk makanan tengah hari.

Tambahnya pula, Restoran Kolek Cafe selain terkenal dengan masakan asam pedas, ia turut terkenal dengan nasi dagang serta makanan barat.

''Semua makanan boleh dipesan melalui ala carte dan lazimnya menu untuk asam pedas, nasi dagang dan masakan barat disediakan dalam bentuk set.

''Satu set masakan asam pedas ikan merah dan pari bersama nasi putih dan ulam serta sambal belacan boleh didapati pada harga RM6.90 manakala untuk pilihan ikan kembung harga satu set hanya RM4.90.

''Untuk set masakan barat pula seperti chicken chop kami menawarkan tiga pilihan sos iaitu oriental, cendawan dan sos lada hitam,'' ujarnya ketika ditemui di kafenya, baru-baru ini.

Rozie yang berpengalaman hampir lima tahun mengusahakan restoran menambah yang menjadikan masakan asam pedas di restoran satu hidangan yang istimewa ialah ia di masak dalam periuk tanah liat (claypot) dan hanya dimasak apabila mendapat pesanan.

Di samping itu, pelanggan juga boleh memesan makanan lain misalnya nasi lemak, nasi goreng, bihun goreng, lamb chop dan banyak lagi.

Untuk sarapan pagi pula para pelanggan boleh memilih set sandwich dan set nasi lemak.

Pendek kata, pihaknya ingin memenuhi selera pelanggan yang sudah tentunya mempunyai pelbagai rasa dan citarasa.

Kata Rozie lagi, selain makanan, restorannya turut menyediakan pelbagai jenis minuman yang pastinya memenuhi cita rasa pelanggan hari ini.

Antara minuman istimewa yang boleh diperoleh di Restoran Kolek Cafe ialah Apple Citrus, Mentari Pagi, Honey Lemon, Lennor Cincau, Kolek Delight dan Watermelon Lychee.

Kesemua minuman tersebut boleh didapati dari harga serendah RM4 hingga RM5.50.

Restoran ini beroperasi mulai pukul 8 pagi dan ditutup pada pukul 11.30 malam.

Sejak dibuka awal tahun ini, ia mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan penduduk sekitar Bandar Sri Permaisuri dan kawasan sekitar.

Jika anda berada di kawasan Bandar Sri Permaisuri singgah ke restoran ini untuk mencuba asam pedas dan nasi dagangnya.

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90