Top Ad 728x90

Anak kapal selam gembira jadi perintis


Setelah berlayar 54 hari melibatkan perjalanan sejauh 6,000 batu nautika, 32 anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) tersenyum puas selain berasa bangga kerana menjadi anak kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman.

Mereka yang tiba di Pusat Hidrografi Nasional TLDM, Pulau Indah di sini pada pukul 8 pagi tadi menyifatkan perkhidmatan di atas KD Tunku Abdul Rahman merupakan pengalaman baru yang sukar dilupakan.

Bagi Leftenan Komander Chan Ling Ket, 31, beliau dapat merasakan kelainan ketika berkhidmat di atas kapal selam berbanding kapal biasa.

Ketua Pegawai Mekanikal di KD Tunku Abdul Rahman itu menambah, aktiviti di dalam kapal selam dirasakan agak 'lambat' kerana tidak boleh menjangka keadaan di luar kapal selam.

''Kapal selam berbeza kerana kita sepenuh masa berada di dalam air. Ketika berlayar, kita naik ke permukaan hanya dalam keadaan tertentu.

''Kita tidak tahu sama ada malam atau siang jika berada dalam kapal selam, yang menjadi petunjuk kita ialah waktu sahaja," katanya.

Beliau ditemui selepas majlis menyambut ketibaan KD Tunku Abdul Rahman termasuk 32 anak kapal kira-kira pukul 8 pagi ini di Pusat Hidrografi Nasional TLDM, Pulau Indah di sini hari ini.

Seorang lagi anak kapal, Pegawai Waran II Fazuri Ishak, 37, yang bertugas sebagai Penyelia Torpedo memberitahu, sepanjang pelayaran pulang, dia dan anak kapal lain tidak mempunyai sebarang masalah daripada segi teknikal mahu pun fizikal.

Katanya, beliau telah didedahkan dengan pelbagai situasi ketika menjalani latihan bagi membolehkannya sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku.

Menurutnya, kapal selam tersebut mempunyai enam tiub torpedo yang boleh dilancarkan sekiranya diancam musuh.

''Bagaimanapun sepanjang pelayaran balik ke Malaysia, tiada keadaan yang tidak diingini berlaku,'' ujarnya.

Dalam pada itu salah seorang anak kapal selam berkenaan, Mohd. Nazri Kasmi, 36, memberitahu, situasi dalam kapal selam tersebut amat berbeza kerana mereka berada dalam ruang sempit bukan seperti kapal biasa.

''Jadi kita terpaksa menyesuaikan diri dengan keadaan dan ruang kerja di dalam kapal selam ini.

''Namun saya tetap bangga menjadi anak kapal pertama kapal selam negara. Saya percaya kemampuan saya ini adalah hasil doa serta sokongan daripada keluarga," katanya yang bertugas sebagai jurumudi.

Pegawai Keselamatan Dalam Kapal Selam, Leftenan Komander Mohd. Rasul Md. Sharif, 31, turut melahirkan rasa syukur kerana sepanjang pelayaran pulang ke Malaysia, tiada kejadian tidak diingini berlaku.

''Keadaan di dalam laut dan ketika kapal timbul juga baik, laut yang tidak bergelora turut menyumbang kepada pelayaran yang baik mengikut jadual," ujarnya.

Mohd. Rasul yang berasal dari Petaling Jaya dekat sini turut bersyukur dengan kepulangan tersebut kerana dapat bersama isterinya, Mejar Dr. Aida Zuriati dan anak mereka, Khatijah Umairah, 4, dan Umar Harith berusia satu tengah tahun.

Perlu ramai modal insan terlatih - Rosland

Laksamana Pertama Mohamad Rosland Omar dari Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) merupakan antara individu yang paling lega apabila melihat kapal selam pertama negara, Kapal Diraja (KD) Tunku Abdul Rahman merapat ke Pelabuhan Klang pagi ini.

Manakan tidak, selepas beberapa tahun beliau memikul tanggungjawab sebagai Ketua Pasukan Projek Kapal Selam TLDM, perolehan dan kehadiran aset strategik negara itu akhirnya menjadi kenyataan.

''Sudah tentu saya merupakan antara individu yang paling gembira kini. Saya juga ingin berkongsi kegembiraan ini bersama seluruh warga TLDM dan rakyat Malaysia.

''Namun, tanggungjawab saya masih banyak. Di sebalik kegembiraan ini, tugas lebih berat menanti saya serta semua warga TLDM secara amnya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohamad Rosland mengulas ketibaan KD Tunku Abdul Rahman di Pusat Hidrografi Nasional TLDM, Pulau Indah, Klang pada pukul 8 pagi ini.

Di sebalik kegembiraan menyaksikan negara menerima kapal selam pertama kata beliau, TLDM kini memerlukan lebih ramai modal insan yang terlatih dan berdisiplin.

Menurutnya, ini kerana perkembangan serta pembangunan projek kapal selam negara perlu didokong oleh keupayaan anak-anak kapal yang mantap dan berilmu secara berterusan.

Selain itu tegasnya, beliau serta para pegawai dan anggota projek berkenaan perlu memastikan ketumbukan TLDM berupaya menyenggara aset itu dengan baik.

''Dari sudut pertahanan strategik pula, kehadiran KD Tunku Abdul Rahman di Laut China Selatan berupaya menguatkan tuntutan kita ke atas beberapa kawasan," tegasnya.

Menurut beliau, perairan itu juga merupakan 'kawasan panas' yang turut menjadi kawasan operasi kapal-kapal selam milik beberapa negara di rantau Asia Pasifik.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90