Top Ad 728x90

Penyenaraian semula Maxis kukuhkan pasaran

Harga tawaran awam permulaan (IPO) saham Maxis Bhd sempena penyenaraian semula syarikat telekomunikasi terkemuka tempatan itu di Bursa Malaysia, dianggarkan di antara RM4.95 hingga RM5.50 sesaham.

Penyenaraian semula Maxis yang dijangka menjelang hujung tahun ini, akan menyaksikan syarikat yang dikuasai tokoh perniagaan terkemuka, T Ananda Krishnan, itu menawarkan sejumlah 2.25 bilion saham kepada pelabur institusi dan runcit.

Penganalisis OSK Research Sdn Bhd, Jeffrey Tan, berkata walaupun harga tawaran rasmi belum dimuktamadkan, anggaran awal itu dibuat berdasarkan maklum balas daripada pelabur institusi yang dijemput untuk membeli saham syarikat itu.

“Kami telah mengumpul maklumat daripada beberapa pelabur institusi yang dijemput untuk menyatakan minat membeli blok saham Maxis. Harga awal bagi institusi adalah RM5.50 sesaham.

“Jika itu adalah harga buku, maka harga tawaran runcit adalah RM4.95, iaitu 90 peratus daripada harga buku,” kata Tan dalam laporan penyelidikan ekuiti OSK Research baru-baru ini.

Harga berkenaan juga, kata Tan, menggambarkan permodalan pasaran sebanyak RM37.1 bilion atau nisbah harga perolehan (PER) tahunan sebanyak 16.3 kali pendapatan bagi separuh pertama 2009.

Penilaian PER itu adalah setara dengan harga saham semasa pesaingnya iaitu DiGi.Com Bhd pada 16.2 kali dan Axiata Bhd pada 14.5 kali pendapatan tahun kewangan 2010.

Sehingga akhir Jun lalu, Maxis menguasai 39.9 peratus pasaran pelanggan telefon mudah alih, mendahului Celcom (M) Bhd dengan 34.4 peratus dan DiGi dengan 25.7 peratus, sementara itu bakinya dikuasai oleh pengendali perkhidmatan baru seperti U Mobile Sdn Bhd.

Minggu lalu, Maxis telah mendedahkan draf prospektus IPO menerusi laman web Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) bagi mendapat maklum balas orang awam sehingga 12 Oktober ini, sekali gus mengesahkan cadangan penyenaraian semula syarikat berkenaan.

Maxis tidak akan menerbitkan saham baru bagi tawaran IPO berkenaan, tetapi sebaliknya menawar untuk menjual 30 peratus daripada saham sedia ada syarikat itu.

“Berdasarkan draf cadangan IPO itu, Maxis menawarkan jualan sejumlah 2.25 bilion saham biasa sedia ada, membabitkan tawaran institusi sebanyak 2.075 bilion saham dan tawaran runcit sebanyak 174.8 juta saham,” kata Tan.

Susulan pelaksanaan IPO itu, pegangan saham syarikat induk, Maxis Communications Bhd akan berkurangan kepada 70 peratus.

Ketika ini, Usaha Tegas Sdn Bhd, syarikat pelaburan milik Ananda Krishnan menguasai 75 peratus pegangan dalam Maxis, sementara itu bakinya dipegang oleh Saudi Telecom.

“Kami menjangka Maxis akan disenaraikan menjelang akhir suku keempat 2009, dengan pemerolehan kelulusan menjelang akhir Oktober atau awal November. Penyenaraian semula syarikat berkenaan bakal menjadi yang terbesar bagi pasaran tempatan pada tahun ini,” katanya.

Menurut Tan, berdasarkan draf prospektus cadang IPO itu juga, Maxis akan disenaraikan semula sebagai sebuah entiti ‘bersih’, iaitu tanpa beberapa syarikat yang menjana kerugian di peringkat luar negara.

Pegangan dalam syarikat seperti PT Natrindo Telepon Selular (NTS) dan Aircel yang masing-masing dimiliki 44 peratus dan 74 peratus ekuiti oleh Maxis akan dipindahkan kepada syarikat induknya iaitu Maxis Communications yang sebelum ini disenaraikan di pasaran saham.

Pemindahan pegangan itu akan dilaksanakan menerusi penyusunan semula yang akan dibuat sebelum ia disenaraikan yang lebih menumpukan kepada perniagaan domestik sebagai aktiviti terasnya.

Tan berkata, Maxis akan menjadi perhatian kerana ia termasuk dalam kategori kaunter kukuh khususnya dari segi pemberian dividen.

“Bermula tahun kewangan 2010, kami menjangka Maxis akan membuat pembayaran dividen sebanyak 75 peratus daripada keuntungan bersih. Anggaran itu dibuat berdasarkan rekod syarikat berkenaan sebelum ia dinyah senarai pada 2007.

“Ia juga disokong aliran tunai yang mantap bagi operasi di Malaysia iaitu antara RM3 bilion hingga RM4 bilion setahun,” jelasnya.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90