Top Ad 728x90

, ,

Perpaduan kaum rapuh walau 52 tahun merdeka

Oleh Rejal Arbee

Kita kini sudah memasuki tahun ke-52 sebagai sebuah negara bebas daripada belenggu penjajahan. Tetapi dalam tempoh itu, apakah kita sudah berjaya mewujudkan sebuah negara bersatu padu, rukun dan damai, bertoleransi serta saling faham memahami antara satu sama lain?

Atau apakah kita terus dihantui prasangka buruk yang semakin menggugat perpaduan antara kaum yang semuanya mengakui negara ini sebagai tanah tumpah darah mereka? Malangnya, jika dilihat daripada beberapa perkembangan akhir-akhir ini, perpaduan antara kita masih agak rapuh.

Malah, ada yang berpendapat era keterbukaan yang dipelopori beberapa kerat penasihat di Putrajaya tidak berapa lama dulu sebenarnya yang memburukkan lagi hubungan antara kaum di mana persefahaman sudah semakin renggang.

Keterbukaan inilah yang memberi ruang kepada sesetengah pemimpin pelbagai kelompok mempersoalkan apa yang telah dipersetujui antara kaum waktu kita berada di ambang kemerdekaan pada 1957 dulu. Inilah yang dikatakan sebagai kontrak sosial yang membawa kepada termaktubnya beberapa peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Apakah benar andaian bahawa suara sumbang demikian ini sudah wujud kembali hanya kerana kedudukan politik Melayu kini tergugat? Apa pun yang nyata soal perpaduan dan persefahaman antara kaum khususnya di Semenanjung sudah agak rapuh.

Suasana di kampung berbeza. Jelas betapa mudahnya Melayu menerima bukan Melayu dengan tangan yang terbuka. Itulah kita boleh lihat di mana-mana pedagang, peruncit Cina atau India boleh saja menjalankan perniagaan mereka di tengah-tengah perkampungan Melayu tanpa diganggu gugat.

Tetapi apakah hal yang sama boleh berlaku di tengah perkampungan Cina atau India? Tepuk dada tanya selera. Sejarah negara ini ialah sejarah bagaimana mudahnya Melayu menerima orang lain di sisi mereka.



Kali ini saya hanya hendak membincangkan sedikit mengenai penerimaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan mengikut Fasa 152 Perlembagaan. Apakah setelah merdeka selama 52 tahun semua rakyat sudah benar-benar menghayati dan menghormati kehendak Perlembagaan?

Saya tidak begitu kisah dengan mereka yang dilahirkan sebelum merdeka yang sudah menjangkau usia lebih 60 tahun. Mungkin agak sukar bagi sesetengah daripada mereka ini hendak belajar bahasa Melayu kerana tidak berinteraksi dengan orang Melayu.

Tetapi bagaimana dengan mereka yang berusia di bawah 52 tahun? Kenapakah masih ada sebilangan mereka termasuk profesional yang tidak boleh bertutur Melayu dengan baik? Kalaulah pendatang dari Bangladesh, Pakistan dan India pun sudah boleh bercakap Melayu dengan baik hanya setelah berada di sini beberapa bulan saja, kenapa masih ada rakyat yang dilahirkan selepas merdeka masih gugup bercakap Melayu?

Wujudnya keadaan demikian menunjukkan masih ada di kalangan rakyat yang tidak menghormati bahasa kebangsaan. Apa tidaknya apabila kerajaan berusaha meningkatkan pemahaman bahasa Inggeris memandangkan ia sudah diterima dunia sebagai satu bahasa global, anasir-anasir ini mengambil kesempatan mengabaikan terus penggunaan bahasa Melayu.

Ini jelas kelihatan apabila terdapat pelbagai iklan misalnya syampu rambut yang hanya dipaparkan dalam bahasa Inggeris dan Mandarin di sebuah pasar raya hyper di Shah Alam sebuah bandar raya yang hampir 80 peratus penghuninya orang Melayu. Iklan itu kini sudah pun diturunkan, setelah mendapat teguran ramai.

Selain itu beberapa 'flyer' menghebahkan pembukaan taman perumahan baru berhampiran Shah Alam diedarkan di sekitar kawasan perumahan di mana lebih daripada 90 peratus penghuninya orang Melayu, hanya dalam bahasa Inggeris dan Mandarin.

Apakah kesimpulan yang boleh kita buat daripada perlakuan begini? Ia mungkin dianggap remeh oleh sesetengah orang tetapi hakikatnya ia menunjukkan bagaimana syarikat atau orang yang mengendalikan syarikat itu tidak langsung menghormati bahasa kebangsaan. Tetapi mereka ini masih tetap pertahankan diri sebagai rakyat setia kepada negara? Bagaimanakah hal begini boleh berlaku dan terus saja dibiarkan?

Agak menghairankan juga bagaimana rakyat yang dibesarkan dalam sistem persekolahan yang ada masih tidak boleh bercakap Melayu dengan baik. Ini mungkin kerana wujudnya sekolah pelbagai aliran, iaitu sekolah kebangsaan (menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar) dan sekolah jenis kebangsaan � yang menggunakan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar.

Sepatutnya, sekolah jenis kebangsaan ini walaupun menggunakan Mandarin atau Tamil sebagai bahasa pengantar harus juga memberi tumpuan sewajarnya kepada bahasa Melayu supaya semua lulusannya boleh faham dan bertutur bahasa kebangsaan dengan baik.

Malangnya pengajaran bahasa Melayu di sekolah itu hanya sekadar untuk muridnya boleh lulus mata pelajaran itu dalam peperiksaan saja bukannya untuk penggunaan dan berinteraksi.

Dalam pada itu sokongan pelbagai pertubuhan dan guild Cina terhadap SJKC amat jitu sekali hinggakan sekolah berkenaan mempunyai peralatan dan kemudahan lebih baik dari SK kerana hampir keseluruhan pekedai dan perniagaan Cina di sesebuah bandar itu akan menghulurkan segala bantuan untuk sekolah SJKC di tempat mereka.

Selagi SK tidak menjadi sekolah pilihan oleh semua ibu bapa, selagi itulah usaha untuk memupuk perpaduan kaum akan menghadapi rintangan. Maka itulah sejak awal tahun ini seorang blogger 'Kijang Mas' melalui blognya 'Demi Negara' memulakan 'Kempen Satu Sekolah untuk Semua' dengan menyatakan bahawa sekolah vernacular adalah punca utama ketidakserasian dan ketegangan kaum dalam negara.

Kempennya itu disertakan dengan suatu pungutan tandatangan orang ramai. Beliau juga mendapat sokongan seramai 99 blogger sehingga hari ini terhadap kempen itu. Sebuah laman citra SSS juga diwujudkan Isnin lalu sempena Hari Kemerdekaan untuk mengetengahkan inisiatif itu.

Agak membuka mata juga apabila seorang lagi blogger Shamsul Yunos melalui blognya 'Marahku' mendapat sokongan 430 orang (83 peratus) daripada 513 pembacanya yang mengambil bahagian dalam undiannya sehingga hari ini terhadap inisiatif mewujudkan satu sekolah untuk semua rakyat itu.

- BERITA HARIAN

1 Comment:

  1. Assalam wbt.

    Negara kita pernah satu ketika dulu mempunyai perhubungan kaum yang cukup kuat sehingga menjadi kedengkian rakan-rakan dan musuh-musuh negara. Di ketika itu, walaupun parti-parti politik samada BN, PAS dan DAP masih bertikam lidah dan bertegang urat tetapi isu-isu sensitif perkauman dan keagamaan masih dipelihara dan sentiasa dihormati. Jika tertimbul isu-isu sensitif ini, dengan pantas kerajaan pemerintah pada ketika itu diterajui oleh Dr.M akan melakukan perjumpaan dengan semua parti politik tadi, jika masih gagal maka tindakan keselamatan negara pula dilakukan sehingga akhirnya ada yang disumbatkan ke Kamunting.

    Tetapi sejak 1998, apabila perpaduan kaum majoriti negara sudah tergoyah maka kekuatan kesatuan antara kaum-kaum lain juga turut terkena tempiasnya, semuanya gara-gara perancangan dan hasutan musuh-musuh negara yang mahukan negara Malaysia ini hancur atau sekurang-kurangnya lemah sehingga terpaksa menagih simpati dan bantuan mereka.

    Tidak dapat dinafikan bahawa keutuhan perpaduan kaum di Malaysia ini adalah berkadar terus dengan indeks perpaduan kaum majoritinya iaitu kaum Melayu. Bangsa lain janganlah pula menjadikan isu ini sebagai isu besar dan menjadi tidak puas hati kerana ia memang telah disahkan oleh kajian-kajian kemasyarakat sedunia. Jika sesuatu yang majoriti itu dihancurkan kekuatannya maka kehancuran secara total akan melanda kesemuanya.

    Janganlah kita jadikan kepentingan peribadi dan ketaksuban membabi-buta sebagai pembunuh masa depan anak-anak dan generasi masa depan.

    Wassalam.

    BalasPadam

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90