Top Ad 728x90

,

Transaksi e-Debit naik 20 peratus

CIMB Bank Bhd. menjangka transaksi e-Debit menerusi kempen 'Guna dan Menang CIMB' meningkat antara 15 hingga 20 peratus pada akhir tahun ini.

Ketua Bahagian Perbankan Runcit CIMB Bank, Peter England berkata, pada masa ini, 11 peratus transaksi pembayaran menggunakan kad ATM datangnya daripada perkhidmatan e-Debit CIMB.

''Sehubungan itu, melalui kempen ini, kami menyasarkan 60,000 transaksi e-Debit sebulan iaitu dua kali ganda daripada jumlah transaksi sedia ada buat masa ini.

''Keseluruhan transaksi e-Debit di Malaysia masih lagi jauh ketinggalan berbanding negara lain dengan hanya lima juta transaksi setahun walaupun telah mula diperkenalkan pada 2003,'' katanya kepada media selepas melancarkan kempen 'Guna dan Menang CIMB Bank' di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut, Pengurus Kanan, Perniagaan Kad, Malaysian Electronics Payment System (MEPS), Michael Kumar dan Pengarah, Pemasaran dan Komunikas Carrefour, Low Ngai Yuen.

England berkata, jumlah transaksi di negara ini jauh ketinggalan berbanding negara jiran Singapura yang mencatatkan 250 juta transaksi setahun.

Menurutnya, CIMB mempunyai 5.5 juta pemilik kad ATM dan daripada jumlah itu hanya 1.2 juta orang merupakan pengguna aktif.

''Penggunaan kad ATM dijadikan sebagai pengganti wang tunai adalah satu langkah bijak lebih-lebih lagi dengan lebih 40,000 premis perniagaan menawarkan kemudahan tersebut,'' katanya.

Tambahnya, kempen yang berlangsung selama empat bulan itu bertujuan mendidik orang ramai menggunakan perkhidmatan e-Debit yang lebih menjimatkan dan selamat.

Menurutnya, melalui kempen itu, rebat tunai sebanyak RM1 akan diberikan untuk setiap transaksi berjumlah RM100 dan ke atas dalam satu resit yang menggunakan kad ATM CIMB.

Katanya, pelanggan yang mencatatkan jumlah nilai transaksi tertinggi berpeluang memenangi hadiah mingguan dan bulanan serta hadiah utama yang berupa sebuah kereta Perodua Viva Elite.

''Pada kempen yang sama tahun lalu, kami mencatatkan peningkatan yang membanggakan daripada 10,000 kepada 30,000 transaksi e-Debit sebulan,'' katanya.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90