Top Ad 728x90

,

Transaksi Tabung Haji di kaunter Bank Islam

Umat Islam di Malaysia boleh menjalankan transaksi kewangan Tabung Haji di kaunter cawangan Bank Islam Malaysia Bhd. (Bank Islam) di seluruh negara menerusi pengenalan perkhidmatan Uniteller, mulai 1 Oktober ini.

Pengarah Urusannya, Datuk Zukri Samat berkata, perkhidmatan baru yang merupakan kerjasama antara Bank Islam dengan Lembaga Tabung Haji itu merangkumi pembukaan akaun baru, deposit, pengeluaran dan pemindahan wang, pendaftaran haji serta mengemas kini buku simpanan.

"Bank Islam bakal melakar sejarah sebagai bank pertama di Malaysia yang menawarkan kemudahan seumpama ini.

"Melalui usaha ini, umat Islam di negara ini boleh menjalankan transaksi kewangan dan bukan kewangan Tabung Haji di 96 cawangan Bank Islam di seluruh negara," katanya selepas melancarkan perkhidmatan itu di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Datuk Ismee Ismail.

Zukri berkata, perkhidmatan tersebut ditawarkan secara percuma kepada para pelanggan dan Tabung Haji akan menanggung kos penyelenggaraan.

"Perkhidmatan baru ini dijangka menarik pelanggan Bank Islam membuka akaun pelaburan Tabung Haji.

"Kami juga menaruh harapan agar kemudahan ini turut menarik pelanggan Tabung Haji untuk membuka akaun simpanan di Bank Islam kerana tanpa akaun simpanan di bank ini, mereka tidak boleh menjalankan transaksi Tabung Haji," katanya.

Tambahnya, kad ATM milik pemegang akaun simpanan Bank Islam boleh dihubungkan dengan akaun penyimpan Tabung Haji.

Beliau berkata, sehingga kini Bank Islam dan Lembaga Tabung Haji telah melancarkan usaha sama fasa pertama dan kedua.

Fasa pertama menyaksikan Bank Islam mengendalikan projek perintis yang mana satu kaunter khas Tabung Haji telah mula beroperasi di Bank Islam cawangan Georgetown, Pulau Pinang sejak Julai 2007.

Fasa kedua yang dilancarkan pada April tahun lalu pula menyediakan khidmat pengeluaran wang daripada akaun Tabung Haji, pemindahan wang antara akaun kedua-dua pihak dan kemasukan wang ke akaun Tabung Haji melalui saluran elektronik ATM dan mesin deposit tunai (CDM) Bank Islam di seluruh negara.

Selain itu, pengguna juga boleh menggunakan perkhidmatan perbankan Internet Bank Islam untuk mendeposit wang tunai ke akaun Tabung Haji.

Menurut Zukri, sehingga kini, sebanyak 71,400 transaksi yang meliputi pengeluaran dan deposit tunai serta pendaftaran haji telah dilaksanakan di kaunter cawangan Georgetown.

"Sejak pelancaran fasa kedua, sebanyak 134,622 akaun Tabung Haji telah disepadukan dengan kad ATM Bank Islam," ujarnya.

Katanya, Bank Islam menjangka jumlah transaksi berhubung Tabung Haji melalui saluran elektronik ATM di bank itu akan mencecah 1.16 juta sepanjang tahun ini.

Sementara itu, pada majlis yang sama Ismee berkata, pihaknya merancang untuk membuka sebuah hotel merangkap kompleks haji 250 bilik di Kuala Terengganu.

"Kami yakin dengan potensi besar di Kuala Terengganu, khususnya kewujudan perkhidmatan terus penerbangan antara negeri Terengganu dan Arab Saudi.

"Namun, kewujudan hotel ini masih lagi dalam perancangan dan kami akan mengumumkannya pada tahun depan," kata beliau.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90