Top Ad 728x90

,

3 mati ditetak kerana menegur Mat Motor

Hanya kerana menegur bunyi ekzos bising, dua sahabat mati manakala seorang lagi cedera parah akibat ditetak sekumpulan Mat Motor yang bengang dengan teguran itu di kawasan flet Desa Puteri, Seri Petaling di sini, awal pagi semalam.

Kejadian berlaku jam 1 pagi ketika kedua-dua lelaki berkenaan bersama tiga lagi rakan mereka sedang minum di bawah pokok berhadapan flet berkenaan.

Mangsa, S Chaudry, 32, ditemui mati di persimpangan jalan kira-kira 500 meter dari tempat kejadian, manakala rakannya, B Gunalan, 23, mati di sebuah bilik milik saudaranya di flet berkenaan dan seorang lagi mangsa yang cedera parah kini dirawat di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Lebih mengerikan apabila Chaudry yang mempunyai kemahiran taekwondo dengan memiliki tali pinggang coklat, ditetak bertalu-talu, ketika cuba menyelamatkan rakannya yang diserang sebelum itu.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ahmad Amir Mohd Hashim, berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku selepas rakan mangsa yang mabuk, menegur seorang daripada suspek yang menaiki motosikal dan membuat bising di kawasan berkenaan.

Kumpulan tiga suspek terbabit yang menaiki tiga motosikal sengaja membuat bising dengan memulas alat pengawal minyak motosikal masing-masing sehingga mengganggu Chaudry bersama rakannya yang ketika itu sedang duduk di bawah pokok berhampiran sambil menikmati hidangan.

Katanya, selepas ditegur dan berlaku pertengkaran sesama mereka, suspek meninggalkan kawasan berkenaan, tetapi muncul kembali tidak lama selepas itu bersama dua rakannya.

“Kumpulan suspek terus meluru dan menyerang ketiga-tiga mangsa dengan menggunakan parang menyebabkan dua daripada mangsa terbunuh dan seorang lagi cedera parah.

“Ada kemungkinan Chaudry dan rakannya cuba melarikan diri selepas ditetak untuk mendapat bantuan, namun kecederaan parah yang dialami menyebabkan kedua-dua mereka gagal diselamatkan,” katanya.

Amir berkata, seorang lagi rakan mangsa yang cedera parah kini dilaporkan kritikal di PPUKM.

“Berikutan kejadian itu, polis yang menjalankan siasatan menemui sebuah motosikal dipercayai milik suspek di kawasan berdekatan dan susulan itu, polis menahan seorang daripada mereka yang berusia 20 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Menurutnya, polis yang melakukan siasatan di lokasi kejadian turut menemui bukti kesan pergaduhan seperti botol minuman keras yang pecah dan tompokan darah mangsa di sekelilingnya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian berkenaan supaya menghubungi balai polis berhampiran bagi membantu siasatan polis.

Sementara itu, adik mendiang Choudry, Visa Letchumy, 31, yang ditemui di Bilik Mayat PPUKM berkata, abangnya ke flet itu bukan saja untuk menghadiri rumah terbuka Deepavali diadakan seorang rakan, malah mahu menjemput rakannya itu ke rumah terbuka keluarga mereka di Jalan Cochrane di sini, yang sepatutnya diadakan semalam.

Menurutnya, dia terkilan dengan kejadian itu berikutan abangnya tidak mungkin sempat menatap wajah anak ketiganya yang bakal lahir beberapa hari lagi.

“Isteri abang saya sedang sarat mengandung dan kami sekeluarga baru saja menyambut Deepavali. Kejadian ini tidak seharusnya berlaku hanya kerana perselisihan faham kecil,” katanya.

Menurutnya, mereka sekeluarga sangat terkejut apabila menerima berita sedih kematian abangnya itu kira-kira jam 3 pagi.

“Abang saya sudah berkahwin dan mempunyai dua anak. Malah, isterinya dijangka melahirkan anak ketiga mereka minggu ini. Setahu saya abang tidak suka bergaduh dan gemar membantu orang dalam kesusahan” katanya.

Visa Letchumy berkata, seorang bapa saudara memberitahu abangnya yang tinggal serumah dengan mereka ditetak ketika cuba menghalang suspek menetak rakannya.

- HARIAN METRO

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90