Top Ad 728x90

99 penerbangan Haji ke Makkah

Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) akan mengendalikan 99 penerbangan sewa khas menggunakan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) dan Arab Saudi untuk membawa jemaah haji negara ke Makkah mulai pagi ini.

Semua penerbangan itu termasuk penerbangan secara terus dari beberapa lapangan terbang antarabangsa Senai, Johor Bahru; Bayan Lepas, Pulau Pinang; Kuching, Sarawak; Kota Kinabalu, Sabah dan Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Terengganu.

Kumpulan pertama jemaah haji negara seramai 799 orang daripada kira-kira 26,000 jemaah akan berlepas dengan dua penerbangan pada jam 7.30 pagi dan 11 pagi menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang masing-masing membawa 444 jemaah dan 355 jemaah.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dijangka berkenan berangkat untuk mengucapkan selamat menunaikan ibadat haji dan juga akan menyampaikan sumbangan peribadi baginda kepada kumpulan pertama jemaah haji itu di Kompleks Haji Kelana Jaya di sini, kira-kira jam 8.30 pagi ini.

Pengurus Besar Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan Lembaga Tabung Haji, Abdul Rashid Hussein yang juga Pengarah Operasi Media Musim Haji, berkata, daripada 99 penerbangan terus jemaah haji ke Tanah Suci Makkah di seluruh negara itu, 65 penerbangan adalah menerusi KLIA dengan penerbangan terakhir pada 20 November.

Beberapa bakal jemaah haji yang ditemui di Kompleks Haji Kelana Jaya di sini, semalam melahirkan rasa syukur kerana terpilih menunaikan haji tahun ini.

Pegawai Bahagian Penguat Kuasa Undang-undang Syariah, Jabatan Agama Islam Perak, Dzulkefli Mohd Ali, 46, berkata beliau bersyukur kerana dapat menunaikan haji bersama isterinya, Norhayati Mohamed Zin, 40.

Katanya, beliau agak terkejut apabila menerima surat pengesahan penerbangan untuk ke Tanah Suci yang dihantar Tabung Haji pada 5 Oktober lalu kerana sebelum itu namanya diletakkan dalam senarai menunggu.

"Saya rasa pilu, sebak dan terasa amat kerdil diri apabila hasrat untuk menjadi tetamu Allah menjadi kenyataan," katanya buat kali pertama akan menunaikan haji bersama isteri.

Naimah Zakaria, 56, dari Perlis berkata, beliau bersyukur apabila dapat menunaikan haji tahun ini selepas hampir 10 tahun menunggu.

Ibu tunggal itu berkata, pada awalnya dia bersama arwah suaminya merancang untuk ke Tanah Suci bersama, tetapi hajat suaminya tidak kesampaian apabila meninggal dunia pada 2005.

"Saya mengumpul wang hasil daripada tanaman padi untuk menunaikan haji sejak 10 tahun lalu dan hari ini hajat sudah dimakbulkan oleh Allah SWT," katanya.

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, Perak, Norhayati Masri, 51, mengakui beliau amat terharu apabila mendapat tempat dan menjadi kumpulan jemaah pertama akan ke Tanah Suci tahun ini.

Beliau berkata, lebih menggembirakan apabila suaminya Johari Shuib, 51, turut mendapat tempat untuk menunaikan ibadat haji bersama tahun ini buat pertama kali.

"Saya mendaftar untuk menunaikan haji sejak 2000 dengan cara membuat potongan gaji, manakala suami saya menggunakan wang simpanannya," katanya.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90