Top Ad 728x90

Bank Rakyat sasar buka lima cawangan Ar-Rahnu

Bank Rakyat merancang membuka lima cawangan Ar-Rahnu X'Change baharu menerusi rangkaian francaisnya tahun depan, kata Pengarah Urusannya, Datuk Kamaruzaman Che Mat.

Kamaruzaman berkata, cawangan-cawangan ini dijangka dibuka di Taman Sri Muda di Shah Alam, Kota Kinabalu di Sabah, Kota Bharu Kelantan, Cheras di Kuala Lumpur dan Subang Jaya, Selangor.

"Pelaburan bagi kelima-lima cawangan ini bergantung kepada kawasan, dengan sebuah cawangan dijangka menelan belanja RM300,000," katanya selepas majlis pelancaran perniagaan francais Ar-Rahnu X'Change yang dimiliki dan diurus oleh Koperasi Kakitangan Bank Rakyat Bhd (Sekatarakyat) selaku francaisi, hari ini.

Francais Ar-Rahnu X'Change yang mula beroperasi sejak 18 Mei lepas, dirasmikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Katanya, kini terdapat 15 cawangan Ar-Rahnu X'Change di seluruh negara, dengan tujuh buah dimiliki sepenuhnya oleh Bank Rakyat dan diurus oleh anak syarikatnya, Rakyat Management Services Sdn. Bhd. (RMS).

Menurut beliau, skim Ar-Rahnu juga boleh didapati di kesemua 121 cawangan Bank Rakyat di seluruh negara.

Kamaruzaman berkata, perniagaan Ar-Rahnu atau perniagaan pajak gadai Islam, di Bank Rakyat bermula sejak 1993 dan telah mengembangkannya secara berperingkat di cawangan-cawangan bank tersebut.

Katanya, purata pengeluaran pinjaman setiap rangkaian Ar-Rahnu X'Change milik Bank Rakyat berjumlah RM2 juta sebulan.

Pengeluaran pinjaman dari Januari hingga Oktober 2009 telah mencecah sehingga RM1.04 bilion, dengan jumlah baki pinjaman Ar-Rahnu Bank Rakyat sehingga Oktober 2009 melebihi RM905 juta.

Sementara itu, Ismail Sabri pula mencadangkan Bank Rakyat memperbanyak cawangan-cawangan Ar-Rahnu, terutama di kawasan luar bandar.

Beliau berkata, masyarakat hari ini telah mula menukar persepsi negatif mengenai pajak gadai dan menerimanya sama seperti lain-lain produk mikro kredit di pasaran.

Katanya, kelebihan tersebut juga merupakan faktor penyumbang terhadap penerimaan produk berkenaan di kalangan masyarakat bukan bumiputera yang semakin hari semakin ramai melanggan kemudahan itu.

Ismail Sabri berkata, senario industri pajak gadai Islam juga turut memasuki dimensi baru apabila terbukti menjadi penyelesaian segera kepada keperluan kewangan peribadi, malah turut dilanggan untuk mendapatkan modal bagi sesuatu peluang perniagaan.

"Peningkatan tahap kesedaran Ar-Rahnu di kalangan masyarakat juga telah menjadikannya sebagai alternatif kepada kebergantungan terhadap ceti haram", katanya.

- BERNAMA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90