Top Ad 728x90

CIMB Group Holdings untung RM2.004b

perbankan tempatan kedua terbesar, CIMB Group Holdings Bhd meraih keuntungan bersih RM2.004 bilion dalam tempoh sembilan bulan berakhir 21 September lalu, meningkat 22.7 peratus daripada RM1.63 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.

Ini susulan peningkatan kukuh keuntungan bersihnya dalam tempoh suku ketiga yang melonjak 62.3 peratus kepada RM727 juta berbanding RM447.96 juta dalam tempoh sama tahun lalu disumbangkan oleh prestasi kukuh hampir semua bahagian perniagaan dan operasinya di Indonesia.

Keuntungan dalam tempoh sembilan bulan itu diraihnya daripada pendapatan terkumpul RM7.89 bilion, naik 34.7 peratus daripada RM5.86 bilion, manakala dalam tempoh suku ketiga pendapatannya adalah berjumlah RM2.78 bilion, naik 65.5 peratus daripada RM1.68 bilion.

Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Datuk Sri Nazir Razak dalam kenyataan mengumumkan keputusan kewangan itu berkata, ia adalah prestasi terbaik yang dicatatkan kumpulan perbankan itu setakat ini.

“Ini adalah keputusan operasi sembilan bulan dan sukuan terbaik pernah kami catatkan hasil daripada prestasi menggalakkan semua bahagian perniagaan kami dan juga operasi di Indonesia.

“Apa yang tidak menggalakkan bagi kami tahun ini hanya portfolio perbankan antarabangsa (tidak termasuk Asean) yang menyaksikan kerugian hutang tinggi kesan daripada krisis ekonomi global,” katanya.

Beliau juga positif dengan prospek suku keempat ini sejajar dengan aktiviti pasaran ekuiti serta hutang Malaysia yang semakin meningkat, serta kedudukan ekonomi dan persekitaran operasi di rantau ini yang semakin pulih.

“Justeru, kami yakin dapat mencapai sasaran semakan semula pulangan ke atas ekuiti (ROE) antara 14-15 peratus bagi seluruh tahun ini,” katanya.

Nazir menjelaskan, dalam tempoh sembilan yang dikaji, sumbangan keuntungan sebelum cukai daripada bahagian Perbendaharaan dan Pelaburan kepada kumpulan meningkat 43.7 peratus kepada RM1.176 bilion.

Bagaimanapun, katanya pasaran modal yang perlahan dan peruntukan portfolio antarabangsa yang tinggi mengurangkan sumbangan bahagian perbankan korporat dan pelaburan sebanyak 29 peratus kepada RM443 juta.

Katanya, pinjaman kasar kumpulan dalam tempoh yang dikaji juga berkembang sebanyak 28 peratus, termasuk prestasi yang disumbangkan oleh Bank Lippo di Indonesia dan CIMB Thai.

Bahagian gadai janji, kad kredit dan pinjaman kredit mikro dalam tempoh yang dikaji pula, katanya masing-masing berkembang sebanyak 19.7 peratus, 7.3 peratus dan 107.4 peratus.

Beliau menjelaskan, perniagaan pinjaman sewa beli kumpulan pula berkembang 1.6 peratus, tetapi pinjaman perbankan perniagaan turun sebanyak 5.3 peratus.

Pembiayaan perbankan Islam juga katanya, terus meningkat ketara sebanyak 177 peratus dalam tempoh dikaji dan menyumbang sembilan peratus kepada jumlah pinjaman kumpulan.

Nisbah hutang tidak berbayar (NPL) kumpulan sehingga 30 September lalu turun kepada 2.4 peratus berbanding 3.0 peratus pada tempoh sama pada 2008.

Nazir berkata, dalam tempoh sembilan itu, sumbangan keuntungan sebelum cukai anak syarikat kumpulan di Indonesia, CIMB Niaga meningkat 88.5 peratus kepada RM558 juta daripada RM296 juta dalam tempoh sama tahun lalu berikutan kemasukan rangkaian Bank Lippo dan persekitaran operasi yang menggalakkan di Indonesia.

Pinjaman kasar CIMB Niaga juga berkembang 3.1 peratus dalam tempoh sembilan bulan, terutama didorong segmen korporat dan runcit, tetapi pinjaman perbankan perniagaan turun disebabkan persekitaran ekonomi yang perlahan.

NPL Bank Niaga pula naik sedikit sebanyak 2.8 peratus dalam tempoh sembilan bulan tahun ini, berbanding 2.3 peratus dalam tempoh sama tahun lalu.

CIMB Thai pula menyumbang keuntungan sebelum cukai sebanyak RM21 juta dalam suku ketiga, yang juga sumbangan suku pertama kepada kumpulan.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90