Top Ad 728x90

Guru jadi usahawan kopi


Beliau asalnya berkhidmat sebagai guru tetapi kini menjadi usahawan kopi tempatan yang berjaya. Keperitan yang dilalui sebagai seorang usahawan menjadikan Kamal Mohd. Nor, 37 lebih matang dalam perniagaan.

Pengalaman yang dilalui membolehkan beliau kini menjawat jawatan Pengarah Urusan Superbest Power (M) Sdn. Bhd. (Superbest Power), syarikat perniagaan berasaskan kopi yang ditubuhnya sendiri pada April 2008.

Syarikat miliknya mungkin dianggap setahun jagung tetapi operasinya semakin berkembang ke seluruh negara dan luar negara. Kalau dahulu sekadar mampu bertatih, sekarang, Superbest sudah mampu berlari.

Menurut Kamal, beliau mula berjinak-jinak dalam dunia perniagaan sewaktu melanjutkan pelajaran peringkat ijazah pertama secara luar kampus di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Semarak, Kuala Lumpur.

Beliau yang mengajar di sebuah sekolah menengah di Jengka, terpaksa berulang-alik ke ibu kota setiap minggu.

Minat untuk berniaga timbul apabila beliau kagum dengan kejayaan sebuah gerai ayam goreng di pasar malam berhampiran kampus UTM yang mendapat sambutan 'luar biasa'.

Daripada situ, Kamal membuka perniagaan ayam segar dengan bermodalkan permulaan sebanyak RM300.

''Pada mulanya, saya berniaga kecil-kecilan iaitu meniaga 20 hingga 30 ekor ayam segar sehari.

Pada waktu itu, pendapatan bersih saya kira-kira RM100 sehari dan ia berbaloi untuk menampung keperluan harian sebagai guru dan juga pelajar luar kampus,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Kamal berkata, perniagaan itu dijalankan secara kecilan-kecilan kerana masih belajar dan menjadi guru, apatah lagi hasrat awal adalah meningkatkan taraf hidupnya keluarga yang ditanggungnya.

Pada tahun 2000, peniagaan Kamal sebagai peniaga ayam segar bertambah besar dan pada masa yang sama beliau berjaya meluaskan perniagaannya sebagai pembekal makanan sejuk beku di beberapa bandar di Pahang, terutamanya di Jengka dan Maran.

Tetapi lima tahun kemudian, perniagaan yang diusahakannya menjadi malap berikutan kemunculan beberapa pasar raya di sekitar Pusat Bandar Jengka, Pahang yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan.

"Kewujudan pasar raya di Jengka telah membunuh perniagaan saya. Setelah tidak dapat bertahan lagi, perniagaan makanan sejuk beku yang diusahakan saya terpaksa ditutup pada tahun 2005 berikutan kurang mendapat sambutan para pelanggan,'' ujarnya.

Kamal, bagaimanapun bernasib baik kerana pada masa yang sama, beliau mempunyai perniagaan kafe di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Kuala Lumpur yang menjadi kesinambungan kehidupannya sekeluarga.

Malangnya, pada tahun yang sama, perniagaan Kamal gulung tikar, lalu beliau mengambil keputusan meletak jawatan sebagai seorang guru untuk menceburi perniagaan sepenuh masa.

Beliau kemudiannya menyertai sebuah syarikat pemasaran bertingkat (MLM) yang menawarkan perniagaan berasaskan barangan runcit dan beliau berjaya menjadi salah seorang ketuanya.

Di syarikat itu, Kamal mendapati kopi yang dijual itu gagal menepati cita rasa masyarakat sehingga memberi idea kepada beliau untuk mencipta kopi yang menepati kehendak pelanggan.

Pada waktu itu, Kamal menggunakan syarikat salah seorang rakannya untuk mengeluarkan kopi berkenaan dan berjaya menjualnya dengan pasaran yang meluas.

Tetapi, langit tidak selalunya cerah, Kamal terpaksa melalui satu lagi episod kepayahan dalam hidupnya apabila rakannya itu lupa diri dan beliau ditipu, sekali gus menarik diri daripada menjadi rakan kongsi.

Dalam keadaan sehelai sepinggang dan berbekalkan wang tunai RM1,500, Kamal membawa diri ke ibu kota Kuala Lumpur dan memulakan perniagaan baru.

"Kerajaan termasuk Majlis Amanah Rakyat (Mara) banyak membantu saya untuk membina perniagaan baru pada waktu saya amat memerlukan bantuan.

''Pada 4 April 2008, saya mula menubuhkan syarikat Superbest Power yang memberi peluang kepada ramai golongan muda peluang pekerjaan.

"Pengalaman lalu memberi saya kekuatan untuk menjalankan perniagaan berasaskan kopi,'' katanya.

Kini, jenama Superbest Power sudah berkembang dengan meluasnya ke seluruh negara terutamanya di gerai-gerai dan kedai kopi yang terletak di bandar dan di kawasan pedalaman.

Kini syarikat itu telah pun memasuki pasaran pertamanya ke luar negara iaitu Myanmar pada tahun ini selain membuka kilang baru untuk memenuhi keperluan permintaan meningkat.

Kini Superbest Power mempunyai lebih 50 stokis di seluruh negara dengan tiga produk ditawarkan iaitu kopi pra-campuran Superbest Power, Icecool Ice Lemon Tea serta yang terbaru, HERO.

- UTUSAN

1 Comment:

  1. huh! sy suke artikel ni.. siyes!!
    haish~ dare to fail! (^_~)..

    maceh ye post artikel nih.. ^^

    BalasPadam

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90