Top Ad 728x90

,

Kamal – Intan serasi bersama


Mungkin sahaja usia perkenalan mereka masih hijau. Baru sahaja mencecah setahun tetapi kedua-duanya kelihatan amat serasi bersama. Empat bulan berkerjasama di lokasi penggambaran Bio-Nik pada November tahun lepas membuatkan hubungan Intan Ladyana dan Kamal Adli rapat.

Mungkin sahaja pada awal-awal perkenalan, baik Intan Ladyana mahupun Kamal Adli lebih senang menganggap perhubungan mereka sebagai teman. Namun kedua-duanya tidak pula pernah menafikan, jauh lagi mengelak diri untuk mengakui mereka berkawan.

Sementelah melalui jelingan mata, gelak tawa dan rajuk bahagia sentiasa terukir saat bersama membuktikan bibit-bibit cinta berbunga di hati masing-masing.

Sejak enam bulan lalu, kedua-duanya sedang enak berpacaran serta melalui fasa-fasa indah lagi istimewa sebagai sepasang kekasih.

“Ya, kami mempunyai keserasian,” kata Kamal tanpa berselindung. Lalu tidak hairanlah andai lirikan mata dan senyuman yang sentiasa terukir di bibir pasangan ini membayangkan kebahagiaan yang sedang dikecapi.

Apatah lagi dengan kerjaya yang sama di bidang lakonan membolehkan mereka untuk lebih memahami keperluan dan keterbatasan masa masing-masing.

Ia tentunya memberikan satu bonus kepada pasangan ini untuk memudahkan lagi keadaan dan perhubungan mereka. Walau pun begitu, biar sudah terang yang kedua-duanya sedang berbahagia, sebenarnya masing-masing lebih senang berbicara topik selain kisah cinta.

Baik Kamal mahupun Intan berterus terang mengakui kurang gemar diserang dengan persoalan mengenai kehidupan peribadi khusus yang melibatkan hati dan perasaan.

“Bukan mahu mengelak sebab memang kami berkawan dan memang kami rapat. Lagipun nanti kalau asyik mengelak orang menyampah pula.

“Saya memang lebih senang mengakui hakikat mengenai perhubungan ini. Cuma kami tidaklah asyik berkepit 24 jam atau selalu berdua misalnya seperti mesti menghadiri sebarang acara bersama-sama.

“Tidak! Hubungan kami bukan begitu. Hubungan kami hubungan yang amat sempoi (ringkas),” jelas Kamal sambil tersenyum.

Sedikit ruang

Sekalipun mengakui bahawa mereka serasi bersama, Intan dan Kamal percaya, soal hati biarlah berjalan tanpa perlu diganggu gugat dengan gosip panas.

Lebih utama, kedua-duanya tidak mahu populariti gosip perhubungan cinta mereka lebih panas mengatasi populariti kerja dan kerjaya di bidang seni.

Apalagi bagi Intan, kehidupan peribadinya bukan untuk tontonan umum sekalipun dia tahu bahawa kerjayanya memaksa dirinya untuk ‘berkongsi’ kebebasan diri bersama khalayak terutama peminat.

“Sejujurnya bukan mengelak atau berselindung (tentang kehidupan peribadi) tetapi biarlah ada sedikit ruang untuk saya simpan buat diri sendiri,” kata Intan.

Kamal pula menegaskan, tidak begitu senang bercerita soal cinta kerana tidak mahu dirinya diselar kerana popular akibat gosip cinta apatah lagi pembabitannya dalam industri ini baru setahun jagung.

“Saya ada matlamat sendiri (bila terlibat dalam seni). Saya mahu orang melihat hasil kerja saya. Dari dulu, saya simpan dalam diri, tidak mahu naik kerana gosip,” tambah Kamal pula.

Mengakui adakalanya bosan dengan pelbagai pertanyaan demi pertanyaan mengenai status hubungan dan peringkat seterusnya dalam perhubungan mereka namun mereka tidak mahu cepat melatah atau marah-marah.

Malah Kamal sendiri nampaknya hanya tertawa saat dilontar pertanyaan mengenai perancangan perkahwinan.

“Memang ramai yang mahukan pengesahan. Bila dah dijawab, kemudian merisik pula bila nak kahwin dan sebagainya. Saya berikan jawapan yang sama sahaja.

“Soal komitmen memang belum ada perancangan. Kalau ada, adalah. Saya tidak mahu terlalu mengharap tetapi mencuba sebaik mungkin untuk menjayakan hubungan ini,” jelas Intan pula.

Rezeki bersama

Tidak dinafikan, sebagai pasangan yang sedang hangat bercinta, ramai penerbit drama juga suka memilih kedua-duanya untuk digandingkan bersama.

Selain Bio-Nik, Kekasihku is Setan yang bakal ditayangkan di Astro tidak lama lagi menyaksikan gandingan Intan-Kamal.

Tidak pernah menolak untuk digandingkan bersama di layar kaca kerana menganggap itu sebagai rezeki namun kedua-duanya tidak pula mahu selalu dilihat bersama di layar.

Kedua-duanya lebih senang mencipta populariti dengan berdiri di kaki sendiri. Buat masa ini kedua-duanya sibuk di lokasi penggambaran.

Intan sibuk dengan penggambaran drama bersiri Jangan Pandang Belakang musim kedua yang dijangka berlarutan hingga awal Januari nanti.

Sementara Kamal pula baru sahaja selesai penggambaran telefilem Lagu Kita sebelum kembali ke lokasi bagi drama Mayang Mengurai bagi mengisi slot Legenda di TV3.

“Susah juga nak berjumpa sebulan dua ini. Dia menjalani penggambaran hingga malam. Saya pula di luar kota. Tapi kami tetap berhubungan menerusi telefon. Kalau ada masa barulah kami bertemu. Selalunya kami suka tengok wayang,” cerita Kamal.

Aidiladha

Bercerita mengenai sambutan Aidiladha yang akan diraikan Jumaat depan (27 November), Intan memberitahu yang dia dan keluarganya akan ke Aceh, Indonesia.

Biarpun tidak bercuti lama, sekadar tiga hari, namun pelakon itu mengakui memang menanti peluang ke daerah yang pernah dilanda tsunami itu. Lebih-lebih lagi apabila ibunya mengajak Intan dan adiknya untuk beraya di sana bersama anak-anak yatim sambil membuat kebajikan.

“Kami pergi dua keluarga, keluarga saya dan keluarga teman ibu dan kami juga akan buat korban di sana, juga memberi derma dan membantu apa yang patut,” jelas Intan.

Kamal pula akan merayakan Hari Raya Haji bersama keluarganya dan pada kesempatan itu juga akan diambil untuk berkumpul bersama keluarga dan teman-teman.

“Selalu sangat sibuk, inilah masa terluang yang akan saya guna untuk bertemu mereka,” tambah Kamal.

- MINGGUAN MALAYSIA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90