Top Ad 728x90

,

1,191 kes tipu perbankan internet

Sebanyak 1,191 kes penipuan membabitkan wang berjumlah RM1 juta, dipindahkan melalui perbankan Internet dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chor Chee Heung berkata jumlah kes penipuan itu masih kecil berbanding jumlah keseluruhan transaksi perbankan Internet dalam tempoh yang sama.

"Keseluruhan transaksi Internet bagi tempoh Jan hingga Jun tahun ini berjumlah 50.3 juta, melibatkan RM348.5 bilion, dengan kerugian hanya dalam lingkungan RM1 juta iaitu 0.0003 peratus sahaja," katanya menjawab soalan Fong Kui Lun (DAP-Bukit Bintang) pada persidangan Dewan Rakyat.

Fong ingin mengetahui bilangan kes jenayah perbankan Internet yang dikesan serta nilai kerugian yang dialami pemegang akaun bank.

Chor berkata antara langkah yang diambil oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dalam memastikan keselamatan penggunaan perbankan elektronik ialah dengan mengeluarkan garis panduan kawalan keselamatan yang perlu dipatuhi oleh semua institusi yang menyediakan perbankan Internet dan ATM.

"BNM juga telah mengarahkan pelaksanaan penentusahan dua faktor bagi transaksi perbankan Internet yang berisiko tinggi.

"Penentusahan faktor pertama iaitu nama pengguna dan nombor PIN akan dilengkapi dengan penentusahan faktor kedua melalui penggunaan alat penentusahan tambahan seperti kod kebenaran transaksi yang diperoleh melalui sistem pesanan ringkas (SMS), sijil digital, kad pintar atau token Universal Serial Bus (USB)," katanya.

Beliau berkata institusi perbankan juga perlu memastikan infrastruktur sistemnya dilengkapi kawalan keselamatan bagi mengesan dan melaporkan sebarang transaksi perbankan yang mencurigakan.

"Institusi perbankan juga dikehendaki melaporkan sebarang kejadian penipuan dengan segera kepada BNM selain menjalankan program pendidikan dan kesedaran pelanggan secara berterusan mengenai keselamatan dan langkah berjaga-jaga terhadap penipuan perbankan elektronik ini," katanya.

- BERNAMA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90