Top Ad 728x90

,

Akta BNM 2009 penjaga kestabilan kewangan

Oleh ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan,
Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia

Sejak merdeka, negara kita telah berjaya mengharungi beberapa krisis ekonomi dan kewangan dunia. Dua krisis kewangan terpenting yang dilalui oleh negara ialah krisis kewangan Asia 1997/98 dan krisis kewangan dunia yang melanda pada masa kini.

Kedua-dua krisis ini telah menguji sejauh manakah teguhnya sistem perbankan dan kewangan negara. Jika pada tahun 1997/98, negara berhadapan dengan serangan penyangak mata wang asing, kini setelah 10 tahun berlalu, sekali lagi negara telah terkena tempias krisis kewangan dunia yang disebabkan oleh kerapuhan sistem perbankan dan kewangan dunia.

Atas dasar inilah, negara memerlukan satu sistem perbankan dan kewangan yang benar-benar mampan. Sudah tentu ia harus bermula daripada Bank Negara Malaysia (BNM) yang merupakan "ibu" bagi sistem perbankan dan kewangan Malaysia.

Tanpa mempunyai bank pusat yang benar-benar ampuh, negara akan berhadapan dengan risiko kestabilan kewangan dan ekonomi negara. Ini kerana bank pusat seperti BNM mempunyai peranan yang amat besar dalam sesebuah negara sebagai penggalak kepada kestabilan kewangan agar pembangunan ekonomi negara lebih kondusif, progresif, kukuh dan mampan.

Oleh itu, berkuat kuasa pada 25 November 2009, Akta Bank Negara Malaysia 2009 telah mengambil alih peranan Akta Bank Negara Malaysia 1958 yang telah menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara selama 51 tahun.

Pengenalan akta baru ini amatlah wajar sama sekali dan tepat pada masanya dalam memenuhi persaingan ekonomi yang lebih kompetitif di era liberalisasi dan globalisasi.

Tanpa mempunyai akta yang terkini bersesuaian dengan senario ekonomi, kewangan dan perbankan semasa, Malaysia akan ketinggalan jauh ke belakang berbanding dengan negara-negara lain di dunia. Kerangka utama Akta baru ini menekan pada kepentingan tadbir urus BNM. Sejajar dengan ini, tiga Jawatankuasa Lembaga hendaklah ditubuhkan.

Pertama, Jawatankuasa Tadbir Urus Lembaga yang berperanan untuk mengesyorkan senarai anggota bagi Jawatankuasa Dasar Monetari, Jawatankuasa Penafsir dan jawatankuasa yang ditubuhkan oleh BNM.

Jawatankuasa-jawatankuasa ini juga bertindak untuk memeriksa dan mengesyorkan belanjawan dan rancangan operasi BNM kepada Lembaga Pengarah BNM untuk tujuan kelulusan.

Rancangan operasi yang bakal dilaksanakan mestilah benar-benar ampuh, maka peranan Jawatankuasa Tadbir Urus Lembaga amatlah besar sama sekali untuk memastikan kecekapan dan keberkesanan operasi BNM.

Kedua, Jawatankuasa Audit Lembaga bertindak untuk memastikan integriti akaun dan kewangan BNM agar tiada sebarang permasalahan kewangan sebelum diaudit oleh Ketua Audit Negara.

Bukan itu sahaja, jawatankuasa ini berperanan untuk memastikan keberkesanan sistem kawalan dalaman BNM dengan melaksanakan fungsi audit dalaman.

Sistem kawalan dalaman yang mantap merupakan "kunci" kepada pengukuhan operasi BNM dan ini seharusnya seiring dengan pelaksanaan fungsi audit dalaman yang bertindak sebagai "pemantau" dan "pengawas" kepada sebarang ketidakcekapan dan keberkesanan operasi BNM.

Jika ini dapat dilaksanakan pada tahap paling memuaskan, sudah tentu segala undang-undang dan pengawalseliaan dapat dipatuhi sepenuhnya.

Ketiga, bertepatan dengan kepentingan pengurusan risiko dewasa ini, maka, sudah tentu perkara ini mewajarkan BNM menubuhkan Jawatankuasa Risiko Lembaga untuk membantu Lembaga Pengarah secara kolektif dalam pengawasannya mengenai pengurusan risiko perusahaan BNM.

Selain daripada tadbir urus, satu lagi komponen yang amat menarik tentang Akta baru ini ialah dalam memperkukuhkan sistem kewangan Islam di Malaysia.

Melaluinya, BNM boleh menubuhkan Majlis Penasihat Syariah yang berperanan untuk menentukan dan mengeluarkan keputusan mengenai hukum Syarak berkaitan dengan sebarang perkara kewangan.

Keanggotaan Majlis Penasihat Syariah mestilah terdiri daripada kalangan pakar-pakar Syariah, kewangan, perbankan dan undang-undang. Merekalah akan dilantik sendiri oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Menteri setelah berunding dengan BNM.

Semua institusi kewangan Islam dan BNM hendaklah merujuk kepada Majlis ini mengenai sebarang perkara berkaitan dengan kewangan Islam agar sistem perbankan dan kewangan Islam benar-benar dilaksanakan berlandaskan Syariah.

Secara langsung, Akta baru ini sebenarnya telah mengiktiraf peranan BNM dalam mempromosikan Malaysia sebagai Pusat Kewangan Islam Antarabangsa.

Bagi memastikan daya tahan sistem perbankan dan kewangan negara, BNM mempunyai kuasa untuk mengambil sebarang langkah yang perlu untuk mengelak dan mengurangkan risiko kepada kestabilan kewangan negara terutamanya berkaitan dengan risiko modal dan kecairan sebarang institusi kewangan.

Institusi kewangan yang mempunyai masalah berkaitan dengan aspek ini akan dibantu oleh BNM. Ini mencerminkan BNM bukan sahaja badan pengawas perbankan dan kewangan negara tetapi juga sebagai pelindung kepada institusi-institusi kewangan negara.

Sememangnya, akta baru ini digubal untuk menjadi penampan kepada sebarang risiko kestabilan kewangan dan krisis kewangan yang mungkin melanda negara pada suatu masa nanti.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90