Sabtu, Disember 12, 2009

Bekas atlit ke tali gantung


MUAR: Bekas pelumba basikal kebangsaan yang pernah mewakili negara pada Sukan Sea 1989 dan 1991, dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi, di sini semalam, selepas didapati bersalah mengedar kira-kira 4.5 kilogram ganja, tiga tahun lalu.

Ramli Kasron, 43, yang juga seorang kontraktor dan berasal dari Kluang selain terbabit dalam pelbagai kejohanan lumba basikal peringkat kebangsaan serta menjadi mekanik basikal untuk pasukan kebangsaan disabitkan kesalahan oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmadi Asnawi.

Tertuduh yang memakai kemeja-T putih dan seluar jeans biru kelihatan tenang ketika Ahmadi menjatuhkan hukuman itu dan dibawa keluar mahkamah oleh anggota polis.

Ahmadi menjatuhkan hukuman itu selepas mendapati tertuduh gagal membuktikan keraguan munasabah dan hujah pembelaan juga hanya bersifat penafian semata-mata.

"Pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes itu melampau daripada keraguan munasabah dan hanya terdapat satu hukuman saja yang diperuntukkan iaitu gantung dengan tali di leher sampai mati," katanya.

Ramli dituduh mengedar 4,477 gram ganja di tempat letak kereta Plaza Tol Ayer Hitam, Batu Pahat, kira-kira jam 6.45 petang 19 April 2006.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, boleh dihukum mandatori gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul, manakala tertuduh diwakili peguam Allen Yu Chin Aun.

Seramai sembilan saksi pendakwa memberikan keterangan sepanjang kes itu dibicarakan, manakala hanya tertuduh saja sebagai saksi pembelaan.

- BERITA HARIAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts