Top Ad 728x90

IJN lakar sejarah Asia


Institut Jantung Negara (IJN) melakar sejarah menjadi pusat perubatan pertama di Asia melaksanakan prosedur mengganti injap aorta (pembuluh darah utama di jantung) yang rosak menggunakan kateter (tiub) tanpa perlu melalui pembedahan.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Perubatan IJN, Datuk Seri Dr Robaayah Zambahari, berkata prosedur itu yang singkatannya TAVI menggunakan peranti CoreValve dibuat ke atas seorang pesakit warga emas yang amat berisiko tinggi untuk menjalani pembedahan jantung terbuka.

Setakat ini, IJN sudah menjalankan prosedur TAVI terhadap tiga pesakit lelaki warga emas, iaitu pesakit pertama berumur 73 tahun, pesakit kedua 77 tahun, kedua-dua pada 25 November lalu, manakala pembedahan ketiga dilakukan ke atas Sasterawan Negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Shahnon Ahmad, 76, pada keesokan hari.

Prosedur itu dilaksanakan sekumpulan tujuh pakar perunding IJN diketuai Dr Robaayah sendiri dengan dibantu Datuk Dr Rosli Mohd Ali, Dr Shaiful Azmi, Datuk Dr Mohd Azhari Yakub, Dr Jeswant Dillon, Datuk Dr Mohamed Hassan Ariff dan Dr Sharifah Suraya.

Pasukan itu turut dibantu pakar kardiologi yang juga proktor CoreValve dari Belfast, Ireland, Dr Ganesh Manoharan.

"Melalui TAVI, injap gantian itu dimasukkan ke dalam salur darah menggunakan kateter dan ditempatkan pada injap aorta yang sudah rosak," katanya kepada pemberita di IJN di sini, semalam.

Dr Robaayah berkata, kajian penggunaan prosedur TAVI dimulakan seawal 2000 dan kali pertama dilakukan di Eropah dan Amerika Syarikat pada 2002.

"Kita akan memantau prosedur ini dan sentiasa membuat susulan dengan pesakit. Sekiranya terbukti selamat, kita mungkin boleh melakukannya terhadap pesakit muda," katanya.

Dr Rosli pula berkata, setiap peranti CoreValve berharga RM112,000 dan kos keseluruhan prosedur TAVI boleh mencecah sehingga RM140,000.

Dr Mohd Azhari berkata, ketika ini ada antara 12 hingga 15 pesakit dalam senarai menunggu untuk menjalani prosedur TAVI di IJN.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90