Top Ad 728x90

,

Jurang akademik lelaki dan perempuan

Datuk DR ZALIZAN MOHD
Profesor Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Perbezaan pencapaian antara jantina mula diberi perhatian pada 1970-an apabila pencapaian rendah pelajar perempuan diketengahkan manakala sejak pertengahan 1990-an pencapaian rendah pelajar lelaki mula diperkatakan.

Trend perbezaan pencapaian antara pelajar lelaki dan perempuan itu berterusan hingga kini dan menjadi fenomena menyeluruh serta masih relevan untuk dikaji.

Keputusan peperiksaan awam peringkat kebangsaan 1996 hingga 2007 menunjukkan secara keseluruhannya pelajar perempuan mempunyai pencapaian lebih baik berbanding pelajar lelaki dalam hampir semua mata pelajaran bagi peringkat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah dan Penilaian Menengah Rendah.

Manakala bagi Sijil Pelajaran Malaysia, pelajar perempuan mengatasi lelaki dalam kebanyakan mata pelajaran misalnya Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Jurang perbezaan pencapaian akademik pelajar lelaki dan perempuan di peringkat persekolahan memberi impak kepada enrolmen pelajar di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan ia terbukti apabila jumlah kemasukan pelajar perempuan di IPTA seluruh negara secara umumnya melebihi 70 peratus kebelakangan ini.

Prestasi akademik yang kurang memberangsangkan di peringkat persekolahan menafikan peluang pelajar lelaki melanjutkan pengajian ke IPTA, dan fenomena ini bakal memberi kesan negatif terhadap perkembangan sosioekonomi negara.

Mereka juga terdedah kepada masalah sosial dan potensi mereka keluar daripada sistem persekolahan lebih awal daripada yang sepatutnya juga menjadi lebih tinggi.

Senario ini memberikan cabaran kepada pendidik dan sekolah dalam usaha meningkatkan pencapaian pelajar lelaki di peringkat persekolahan. Faktor yang boleh mengurangkan jurang perbezaan pencapaian pelajar perlu diberi tumpuan dan kajian mendalam.

Hasil kajian saya bersama Nor Aniza Ahmad serta Manisah Mohd Ali mengenai Trend Pencapaian Pelajar Lelaki menunjukkan jenis persekolahan dan gaya pembelajaran antara faktor utama memberi kesan terhadap perbezaan pencapaian di antara jantina.

Kami dapati pelajar perempuan mencapai keputusan lebih baik berbanding dengan lelaki di sekolah satu jantina manakala prestasi akademik pelajar lelaki di sekolah bercampur pula lebih baik daripada sekolah satu jantina.

Dapatan kajian kami turut membuktikan perbezaan ketara gaya pembelajaran antara pelajar lelaki dan perempuan yang turut menjadi penyumbang kepada perbezaan pencapaian pelajar.

Pelajar lelaki lebih cenderung kepada gaya pembelajaran tidak berstruktur iaitu lebih cenderung kepada visual, taktual dan kinestatik serta memerlukan pergerakan dalam suasana tidak formal berbanding pelajar perempuan.

Sebagai contoh, pelajar lelaki lebih suka sesi pembelajaran yang tidak terlalu formal dan membolehkan mereka bergerak.

Mereka sukar memberi tumpuan dalam satu jangkamasa yang lama untuk mendengar pengajaran guru berbanding pelajar perempuan.

Pelajar lelaki juga lebih suka kepada visual seperti program komputer yang mempunyai gambar, berwarna dan gambarajah. Di samping itu, mereka lebih cepat mengingat melalui apa yang dilihat di televisyen, tayangan gambar atau video.

Justeru, guru perlu mempelbagaikan strategi, kaedah dan pendekatan pengajaran yang lebih kreatif, berinovasi serta disesuaikan dengan gaya pembelajaran pelajar lelaki dan perempuan.

Maklumat persepsi pelajar lelaki dan perempuan terhadap gaya pembelajaran yang mereka lebih gemari diharap menjana perspektif baru dalam kalangan pendidik.

Mereka perlu membangunkan kaedah pengajaran dan pembelajaran, sumber dan aktiviti pembelajaran yang sesuai dengan pelajar serta menghapuskan halangan pembelajaran.

Guru boleh mengubahsuai suasana di dalam bilik darjah seperti mobiliti, bunyi dan persekitaran bilik darjah tersebut memenuhi profil gaya pembelajaran yang lebih digemari pelajar lelaki dan juga pelajar perempuan.

Justeru, guru perlu mengambilkira keadaan serta ruang belajar di dalam bilik darjah yang lebih kondusif serta selesa dengan keperluan pembelajaran pelbagai pelajar mereka.

Kursus pendidikan guru dan latihan dalam perkhidmatan yang dijalankan sekolah, pejabat pendidikan daerah dan jabatan pelajaran negeri perlu memberi fokus terhadap perbezaan jenis sekolah dan gaya pembelajaran mengikut jantina bagi meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah.

Pendidikan guru juga dicadang memberi penekanan kepada kurikulum pendidikan yang lebih sensitif kepada jantina dan kepelbagaian pelajar.

Keprihatinan mengenai kepelbagaian gaya pembelajaran anak lelaki dan perempuan ini juga membolehkan ibu bapa menyediakan persekitaran lebih sesuai serta memberi motivasi dan galakan pembelajaran bersesuaian.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90