Top Ad 728x90

Tempah tiket MAS guna telefon bimbit

Penerbangan Malaysia (MAS) semalam melancarkan kemudahan tempahan tiket menerusi telefon bimbit paling komprehensif dikenali flymas.mobi, yang menawarkan pilihan dan kemudahan kepada penumpang untuk menempah, membayar serta mendaftar masuk menerusi telefon bimbit.

Kemudahan itu dibangunkan oleh Sita Lab, syarikat di bawah Persatuan Telekomunikasi dan Aeronautika (Sita), iaitu pakar dalam komunikasi dan teknologi maklumat bagi pengangkutan udara global.

Flymas.mobi adalah sebahagian daripada inisiatif sistem perkhidmatan penumpang (PSS) baru membabitkan pelaburan RM480 juta bagi memastikan MAS mempunyai keupayaan 100 peratus melaksanakan sistem tiket secara elektronik (e-ticket) dan menaik taraf penggunaan Sistem Kawalan Keberangkatan (DCS) penumpangnya.

Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutif MAS, Tengku Datuk Azmil Zahruddin, berkata pihaknya yakin perkhidmatan berkenaan akan diterima secara meluas oleh penumpang syarikat, sama seperti kemudahan tempahan tiket secara dalam talian yang diperkenalkannya tiga tahun lalu.

Katanya, kadar penggunaan perkhidmatan tempahan tiket secara dalam talian meningkat daripada sekitar lima peratus ketika mula diperkenalkan kepada 30 peratus ketika ini.

“Perkhidmatan tempahan tiket menerusi telefon bimbit adalah sesuatu yang baru dan kita mungkin boleh melihat kesannya kepada jumlah tempahan tiket syarikat dalam tempoh enam bulan akan datang,” katanya yang melahirkan keyakinan perkhidmatan baru itu dapat membantu meningkatkan bilangan tempahan MAS pada masa depan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan perkhidmatan flymas.mobi di Petaling Jaya, semalam.

Hadir sama, Pengurus Besar Kanan Pengurusan Hasil dan Rangkaian MAS, Dr Amin Khan dan Ketua Pegawai Teknologi Sita yang juga Ketua Sita Lab, Jim Peters.

Tengku Azmil berkata, buat masa ini, kemudahan berkenaan disasarkan kepada penumpang yang mempunyai jadual kerja padat dan sesuai kepada mereka yang ingin membuat tempahan tiket dengan segera.

“Setakat ini, ia hanya boleh digunakan bagi tempahan awal 30 hari daripada tarikh penerbangan dan pada masa depan depan, kami merancang untuk memanjangkan tempoh tempahan awal berkenaan,” katanya.

Beliau menjelaskan, MAS juga tidak mempunyai sebarang rancangan untuk mengenakan sebarang caj kepada pengguna untuk menggunakan perkhidmatan terbabit.

“Penumpang yang mahu menggunakan perkhidmatan ini hanya perlu membayar caj telefon mudah alih normal yang dikenakan oleh pengendali telekomunikasi,” katanya.

Menuju ke depan, Tengku Azmil, perkhidmatan flymas.mobi dapat membantu MAS mencapai sasaran meraih penjimatan berjumlah sehingga RM2 bilion untuk tempoh 10 tahun akan datang, hasil langkahnya beralih kepada sistem PSS yang lebih cekap berbanding sebelumnya.

Sistem flymas.mobi boleh digunakan oleh 85 peratus telefon bimbit yang berada di pasaran atau kebanyakan model yang dijual sejak 2007.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90