Demo bantah kabinet isu agama anak di Masjid Negara

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN on Friday, May 1, 2009

Pemuda PAS hari ini menganjurkan perhimpunan ringkas membantah keputusan kabinet berhubung pengekalan agama asal anak walaupun ibu atau bapanya telah memeluk Islam.

Dengan plakad putih bertulisan "tarik balik", lebih kurang 100 penyokong parti itu berkumpul kira-kira 15 minit selepas solat Jumaat di perkarangan masjid Kampung Baru.

Dalam ucapan ringkasnya, ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamad menyifatkan keputusan kabinet itu tidak dibuat mengikut saluran yang betul.

"(Oleh itu) kita berikan tekanan kepada kabinet supaya tarik balik keputusan ini," katanya.

Selain dihalang polis, mereka juga memberhentikan dengan segera demonstrasi kecil itu selepas pentadbiran masjid menegur penganjur yang dianggap "tidak menghormati" satu majlis di pusat ibadat itu.

Selain Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, perhimpunan itu turut dianjurkan oleh Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam Dewan Pemuda PAS pusat.

Dalam satu kenyataan awalnya, Kamaruzaman menganggap keputusan kabinet pada 23 April sebagai "paling biadap terhadap Yang di-Pertuan Agong, mufti, Parlimen dan juga sistem kehakiman negara."

"Sesungguhnya kabinet sedar bahawa mereka hanyalah berkuasa dalam sudut eksekutif bukannya legistatif dan kehakiman.

"Maka tidak selayaknya mereka mengeluarkan keputusan dan arahan melangkaui bidang kuasa mereka terutamanya dalam isu yang membabitkan soal agama," katanya.

Keputusan jemaah menteri itu pernah dibantah oleh beberapa NGO Islam, termasuk Persatuan Peguam Syarie Malaysia dan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Selain keputusan membesarkan anak di bawah umur mengikut agama asal ibu bapanya, kabinet juga memutuskan pasangan yang memeluk Islam harus menyelesaikan segala isu berkaitan perceraian dan penjagaan anak-anak di mahkamah sivil.

Langkah itu selaras dengan pendirian jemaah menteri bahawa enakmen syariah hanya boleh digunakan terhadap perjanjian berkaitan perkahwinan yang dibuat bermula dari tarikh individu itu memeluk Islam dan bukannya sebelum itu.

Keputusan terbaru kabinet itu berdasarkan pandangan jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi menyelesaikan kes K Pathmanaban, atau nama Islamnya Mohd Ridzuan Abdullah, dengan bekas isterinya M Indira Ghandi.

Lelaki itu menukar agama tiga anak mereka sejak penghujung tahun lepas.

- MALAYSIAKINI

Hari Pekerja 1 Mei - Memperjuang hak pekerja

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN

Sambutan Hari Pekerja disambut pada 1 Mei setiap setahun. Sejauh manakah sambutan tersebut signifikan kepada mereka yang bergelar pekerja?

Hari ini adalah hari untuk mereka yang bergelar pekerja. Sama ada anda seorang guru, operator pengeluaran, pengarah, kontraktor binaan, kerani seorang tukang cuci atau apa saja pekerjaan yang anda lakukan, anda adalah pekerja.

Namun, lumrah setiap kali menjelangnya sambutan Hari Pekerja pelbagai isu-isu berkaitan golongan ini akan disuarakan. Semuanya untuk membela nasib golongan ini.

Pekerja diberhentikan kerana masalah ekonomi, gangguan seksual, gaji rendah, permohonan cuti tahunan dibekukan dan gagal menerima elaun kerja lebih masa, antara isu yang seringkali mendapat pendedahan.

Hari ini dengan kesedaran yang semakin tinggi, pendedahan media yang semakin luas, keberanian badan bukan kerajaan (NGO) dan ketegasan pihak kerajaan menyaksikan nasib pekerja di negara semakin terbela. Pelbagai dasar, akta dan undang-undang yang digubal sedikit sebanyak mendorong satu transformasi.

Pekerja mula memiliki hak keistimewaan tersendiri dan mampu menikmati kesenangan menerusi kuasa yang diterima.

Menyentuh mengenai keistimewaan yang diperoleh oleh para pekerja, masih ramai lagi yang belum mengetahui sejauh manakah pekerja-pekerja di Malaysia mendapat hak pembelaannya?

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Shamsuddin Bardan yang dihubungi Kosmo! berkata, ramai pekerja hari ini yang masih terikat dalam bentuk kerjaya konvensional dengan bekerja secara formal di sektor swasta dan kerajaan.

"Dari segi peruntukan memang terjamin, manakala dari segi keselamatan sosial pula membolehkan dua langkah diperkenalkan oleh pihak kerajaan dalam membantu para pekerja.

"Pertama, isu mengenai jaminan masa tua iaitu menerusi caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). KWSP adalah satu bentuk penyediaan jaminan kewangan selepas persaraan khususnya bagi pekerja swasta dan kerajaan yang memilih skim caruman tersebut.

"Majikan mencarumkan sebanyak 12 peratus daripada gaji pekerja, manakala pekerja pula mencarumkan sebanyak lapan peratus daripada gaji bulanan mereka.

"Setiap bulan, mereka akan mencarumkan sebanyak 20 peratus daripada gaji bulanan sehingga mereka mencapai usia 55 tahun," katanya. Caruman yang dilakukan pada setiap bulan oleh majikan dan pekerja adalah menjadi hak pekerja dan boleh dikeluarkan apabila berusia 55 tahun.

Ketegasan kerajaan dan penguatkuasaan undang-undang menyaksikan banyak majikan yang akur dengan mencarum dalam KWSP.

Kaedah kedua katanya, jaminan terhadap kemalangan para pekerja. Pertubuhan Keselamatan Sosial (Socso) ditubuhkan bagi menjaga keselamatan para pekerja.

Selain itu, sekiranya majikan memberhentikan pekerjanya tanpa sebab yang munasabah, seorang pekerja itu boleh mempertikaikan tindakan majikan berkenaan melalui Seksyen 20, Akta Perhubungan Perusahaan 1967.

"Melalui akta ini, mereka juga boleh menuntut kepada majikan agar mengambil semula mereka bekerja.

"Terdapat banyak kes yang membabitkan pemecatan dan pertikaian perusahaan yang lain telah dibawa ke Mahkamah Perusahaan," katanya. Mahkamah Perusahaan ditubuhkan di bawah Akta Perhubungan Perusahaan 1967.

Yang pasti, pelaksanaan pelbagai organisasi, dasar dan peraturan ini mengangkat nasib pekerja di negara ini jauh lebih baik daripada pekerja di kebanyakan negara jiran bahkan di kalangan negara-negara membangun.

Tidak dapat dinafikan, masalah ekonomi hari ini telah memaksa banyak pihak mewujudkan skim latihan semula kepada para pekerja yang diberhentikan.

"Skim ini bertujuan agar mereka dapat kemahiran baru dan terus diserapkan ke sektor pekerjaan baru," ujarnya.

Sebanyak RM2 bilion diperuntukkan kerajaan menerusi Bajet Mini yang dibentangkan pada 10 Mac lalu bertujuan untuk bidang kemahiran para pekerja dan bagi menangani isu pemberhentian kerja.

Bagaimanapun bagi Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahir Syed Mohamud, dari segi hak dan pembelaan ke atas para pekerja di Malaysia, hakikatnya masih banyak yang tidak berubah.

"Ini kerana, pekerja di Malaysia mudah dipecat dan ditamatkan perkhidmatan.

"Ramai pekerja tempatan hilang pekerjaan atau diberhentikan oleh majikan. Walaupun majikan mempunyai kuasa pemberhentian kerja dan pembayaran gaji, namun isu ini masih belum dapat diselesaikan.

"Malah, ada sebahagian pekerja tidak tahu hendak menyelesaikan masalah yang dihadapi atau tidak pernah terdedah dengan akta yang digubal oleh pihak berwajib," ujarnya serius.

Selain itu katanya, sebab lain kenapa pekerja tempatan kurang mendapat hak dan pembelaannya adalah disebabkan jumlah pekerja yang menganggotai kesatuan pekerja yang sedikit.

"Apa yang lebih menyedihkan, ada pekerja yang suka mengambil kesempatan dengan apa yang ada. Sikap acuh tak acuh pekerja itu sendiri, dengan alasan walaupun tidak menganggotai kesatuan, mereka tetap menikmati manfaat sama seperti ahli kesatuan menyebabkan kesatuan semakin lemah," ujarnya sambil memberitahu, kesatuan telah wujud di Malaysia lebih 100 tahun, tetapi banyak hal yang diperjuangkan masih belum dapat dicapai.

- KOSMO!

ADUN Sungkai, R. Ganesan calon Speaker DUN Perak

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN


Barisan Nasional (BN) telah menamakan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungkai, Datuk R. Ganesan daripada MIC sebagai calon Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang baru, kata Speaker V. Sivakumar.

Dalam tulisan di blognya: speakforperak.blogspot.com, Sivakumar berkata usul itu telah diserahkan ke Pejabat Setiausaha DUN Perak di sini pada pagi semalam.

Menurutnya usul bertarikh 29 April lepas itu dicadangkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan disokong seorang Exco Datuk Hamidah Osman.

"Surat persetujuan daripada Datuk R. Ganesan untuk dipilih sebagai Speaker Perak juga disertakan bersama-sama usul ini," katanya.

Sivakumar pada satu sidang akhbar di sini semalam ketika ditanya mengenai usul pelucutan jawatannya, katanya beliau mengakui memang ada usul yang diterima berkaitan perkara itu tetapi menegaskan pihaknya belum membuat apaapa keputusan lagi.

Zambry pada minggu lepas telah mengemukakan usul kepada pejabat Setiausaha DUN Perak untuk melucutkan jawatan Speaker V. Sivakumar seterusnya melantik speaker baru pada persidangan DUN dijadual pada 7 Mei ini.

Usul itu yang disokong Hamidah menerusi surat bertarikh 22 April lepas diterima Setiausaha DUN, Abdullah Antong Sabri pada 23 April dan diberi notis untuk dibawa pada Mesyuarat Pertama, Penggal Kedua, DUN Perak ke12 pada tarikh yang ditetapkan itu.

Abdullah dalam suratnya kepada semua 59 ADUN Perak bertarikh 27 April lepas berkata, sekiranya usul itu diluluskan dalam mesyuarat berkenaan, urusan mesyuarat berikutnya ialah pemilihan Speaker baru.

Berikutan itu, beliau meminta semua ADUN mengemukakan cadangan bagi memilih Speaker baru menggunakan borang pencalonan yang dikepilkan bersama dengan surat berkenaan.

Bekas Menteri Besar Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin pada sidang akhbarnya semalam ketika ditanya mengenai usul untuk melucutkan jawatan Sivakumar, berkata semua ADUN berhak mengemukakan apa saja usul dan terpulang kepada Speaker untuk tindakan seterusnya.

Bekas Exco Kanan Perak yang juga Pengerusi DAP negeri, Datuk Ngeh Koo Ham sebelum ini dilaporkan berkata ADUN pakatan PAS-DAP-PKR tidak akan memberi maklumbalas terhadap usul tersebut kerana mendakwa notis yang dihantar Abdullah itu tidak sah disebabkan Setiausaha DUN Perak telah digantung tugas oleh Speaker pada bulan lepas.

- BERNAMA

Dr Asri - Tiada kemunasabahan yang cukup untuk Kabinet menentukan agama anak

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN

Berbagai pihak meminta saya menyatakan pendirian dalam isu agama anak yang ditetapkan oleh Kabinet Malaysia yang baru. Di sini saya sebut, ada beberapa masalah dalam isu ini yang mesti difahami dan dinilai, juga pendapat saya dalam hal ini;

Islam menganggap setiap anak lahir dalam keadaan fitrah iaitu dalam keadaan yang bersih dari pencemaran pemikiran dan akidah. Tiada nilaian dosa atau pahala buat mereka. Jika mereka mati sebelum mencapai umur mukallaf, mereka mati dalam keadaan bersih sekalipun ibubapa mereka tidak menganut agama Islam.

Ibubapa merupakan faktor utama dalam mempengaruhi fitrah anak yang bersih tersebut. Anak kecil biasanya akan terikut dengan agama ibubapanya. Justeru itu Nabi s.a.w bersabda: “Setiap anak dilahirkan atas ‘fitrah’, maka kedua ibubapanya yang menyebabkan ia menjadi yahudi, atau nasrani atau majusi (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Para sarjana fekah ramai yang berpendapat bahkan ada yang mendakwa telah ijmak (sepakat), bahawa pengislaman bapa membawa kepada pengislaman anak yang masih kecil. Namun mereka berbeza pendapat tentang pengislaman ibu; apakah diikuti dengan pengislaman anak atau tidak.

Di kalangan sarjana fekah ada yang berpendapat agama anak berdasarkan agama yang paling mulia dan sudah pasti mereka akan memutuskan jika bertembung antara Islam dan selainnya; maka agamanya dianggap sebagai Islam. Apa yang penting tiada nas Islam yang jelas dalam memutuskan hal ini. Ia lebih merujuk kepada soal ijtihad. Namun asas yang penting yang mesti ditegakkan adalah keadilan, di samping memelihara kemuliaan Islam itu sendiri.

Kepentingan membincangkan tentang status agama anak ini adalah untuk pengurusan jenazah, harta pusaka dan beberapa perkara yang lain. Bukan untuk menentu kedudukannya di syurga atau neraka seperti yang difahami oleh sesetengah pihak. Ini disebabkan anak kecil bebas dari nilaian dosa dan pahala sehingga dia menjadi mukallaf.

Saya berpendapat; tiada kemunasabahan yang cukup untuk Pihak Kabinet menentukan agama anak secara keputusan yang sedemikian. Lebih baik urusan ini diserahkan kepada mahkamah –sekalipun mahkamah sivil- untuk memutuskannya.

Mahkamah mesti menentukan hak jagaan kepada pihak yang paling baik untuk kemaslahatan anak. Di sini datangnya peranan badan-badan Islam atau pihak pengurusan zakat umat Islam untuk memastikan kekuatan kewangan dan sebagainya dalam membantu ‘saudara baru’ melayakkan mereka mendapat hak jagaan. Jika badan-badan ini masih tidur atau sekadar sibuk dengan lawatan dan mensyuarat di hotel-hotel sahaja, jadilah apa yang terjadi sekarang. Keputusan kabinet tersebut boleh merampas hak salah seorang ibubapa yang menukar agamanya dan bersifat tidak adil. Jika sudut kebendaan itu yang dinilai, kelayakan menjaga seseorang anak itu berbeza antara pasangan.

Tidak mungkin dibuat keputusan yang tetap kerana setiap pasangan mempunyai keadaan yang berbeza. Biar mahkamah menentukannya secara adil. Sesiapa yang berhak menjaga anak, maka tidak menjadi masalah jika berlaku perselisahan agama anak berdasarkan pihak yang menjaganya atau jika anak itu sudah pandai menilai, dia mungkin boleh membuat pengakuan agama pilihannya.

Sepatutnya, isu agama anak tidak ditimbulkan melainkan ketika perselisihan antara pasangan sahaja. Anak sepatutnya diberi peluang untuk mengenai Islam setelah ibu atau bapa menganut Islam. Peruntukan zakat muallaf secara besar perlu diberikan untuk ini. Zakat bukan lawatan hujung tahun dan penukaran kereta baru para pegawai. Malanglah keputusan kabinet ini boleh menghalang dakwah seorang bapa atau ibu kepada anak berkenaan.

Ini kerana, anak itu bersih fitrahnya. Ibubapa mempunyai peranan mempengaruhinya. Itu adalah hak mereka untuk mempengaruhi anak mereka. Jika salah seorang ibubapanya menganut Islam sementara seorang lagi tidak, anak berkenaan mungkin akan dipengaruhi oleh salah seorang daripada mereka.

Sekalipun jika mereka berpisah, peluang yang adil untuk anak bertemu dengan bapa atau ibunya hendaklah diberikan. Selepas itu terpulang kepada anak berkenaan dalam menentukan agamanya.

Saya berpendapat; keputusan kabinet lebih dipengaruhi oleh perkembangan politik kepartian dan undi tanpa melihat kepada sudut keadilan untuk semua. Ia adalah penindasan terhadap saudara baru dan boleh menakutkan mereka yang ingin menganut Islam. Dalam kegilaan mendapatkan undi, jangan digadai masa depan umat Islam dan keharmonian agama dalam negara.

Sekali lagi saya tegaskan, golongan ‘saudara baru’ dalam negara ini tidak mendapat layanan yang sepatutnya dan pihak yang bertanggungjawab terutama yang menguruskan zakat dan badan-badan agama kerajaan pusat dan negeri tidak menyibukkan diri dalam menjaga kebajikan mereka dan usaha dakwah dalam memahamkan rakyat Malaysia tentang Islam yang sebenar. Zakat tidak diuruskan dengan sepatutnya dan dana-dana untuk kemajuan Islam tidak dialirkan dengan cara yang wajar dalam menjaga kepentingan dakwah Islamiyyah.

Saya dengan ini meminta pihak Kabinet menilai balik keputusan tersebut dan juga pihak-pihak agama dalam negara kita memainkan peranan yang sepatutnya dalam memberikan keadilan kepada ‘saudara baru’.

Jika Fatwa Kebangsaan JAKIM boleh membuat sidang fatwa segera tentang ‘dakwat pilihanraya’ mengapa tidak Pengerusi Fatwa Kebangsaan tidak memberikan pandangan para mufti dengan segera dan jelas dalam hal ini. Malanglah jika isu penkid dan yoga digembar-gembur, tetapi isu keadilan hak saudara baru dilewat-lewatkan.

Saya ingin berpesan kepada diri sendiri, juga mengambil kesempatan berpesan kepada mereka yang berjawatan berkaitan agama agar jangan memikirkan tentang gaji, sambungan kontrak, gelaran menjelang harijadi sultan, elaun, rombongan dan urusan dunia yang lain melebihi kepentingan dan masa depan umat.

Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin
www.drmaza.com

Bijak urus hutang

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN


Untuk mencapai matlamat kewangan, kita sememangnya memerlukan wang. Namun, sekiranya kita mendapatkannya dengan cara senang iaitu melalui jalan mudah, selalunya pelbagai masalah akan timbul.

Hakikatnya, ia akan membawa padah apabila memiliki hutang yang banyak. Mana tidaknya, wang yang senang didapati itu diambil daripada transaksi kad kredit, pinjaman peribadi, pinjaman overderaf dari institusi kewangan dan bank atau pinjaman menerusi khidmat ah long.

Bukan itu sahaja, sudahlah hutang meningkat, diri sendiri juga perlu membayar pinjaman perumahan dan kereta, termasuk membayar kos kehidupan seharian.

Persoalan, adakah anda mengalami masalah di atas? Sekiranya ada, anda dinasihat mengambil langkah-langkah yang positif bagi menangani proses membayar hutang yang banyak itu.

Walau bagaimana besar amaun yang kita berhutang, janganlah pula kita mengambil jalan penyelesaian yang salah atau secara bersendirian. Sekiranya anda seorang penuntut yang masih belajar atau belum berkahwin, kongsi bersama ayah dan ibu atau adik beradik. Sekiranya sudah berumahtangga, ceritakan masalah itu kepada pasangan hidup anda.

Penting bagi kita melakukan sesuatu dan jadikan amalan. Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit! Pepatah ini bukan sahaja digunakan untuk wang, tetapi untuk menambah ilmu di dada.

Inilah rancangan yang harus diselenggarakan mulai sekarang.

Tulis dan tampal di dinding

Tulis jumlah keseluruhan hutang yang perlu dibayar dan tampal di mana sahaja tempat yang selalu anda gunakan. Contohnya, di cermin almari solek atau papan tanda di rumah atau pejabat. Yang pasti, ketepikan semua perkara selagi hutang yang tertulis itu tidak dilangsaikan. Lupakan impian untuk membeli baju, beg tangan, motor besar, kereta dan lain-lain. Tumpuan kita hanyalah satu iaitu mengurangkan bebanan hutang yang tertulis itu. Apabila kita melihat sekeping kertas yang tertulis amaun hutang kita setiap hari, diri kita sendiri akan memberikan sepenuh perhatian bagi menyelesaikan hutang tersebut.

Bajet

Inilah satu daripada rahsia agar proses melaksanakan perancangan kewangan dapat dijalankan dengan baik. Tanpa bajet, kita tidak akan sedar di manakah kelemahan dan kelebihan yang ada pada diri sendiri. Menulis bajet bukan satu hukuman.

Apabila kita menulis bajet, kita hendaklah menulisnya dengan tulus ikhlas kerana kita hendak tahu berapa banyak wang yang digunakan setiap bulan.

Dengan wang gaji kita dan isteri atau suami kita, setelah ditolak perbelanjaan itu, berapa banyakkah yang boleh kita simpan. Sehingga hutang dilangsaikan, kita hendaklah mengikut bajet yang telah ditetapkan ini.

Melalui proses ini juga, kita perlu berterus terang dengan suami atau isteri jika kita mempunyai masalah untuk menyimpan. Antara suami atau isteri, yang manakah lebih cermat. Pilih seseorang yang cermat untuk menyimpan wang simpanan keluarga.

Potong semua yang tidak penting

Apabila diri sendiri mempunyai masalah hutang yang disebabkan oleh pembelian menggunakan kad kredit yang berlebihan, kita seharusnya memberikan kad kredit kepada seseorang yang boleh dipercayai sama ada suami atau isteri. Seterusnya, semua transaksi yang ditulis di dalam bajet hendaklah menggunakan wang tunai.

*Wang tunai diketepikan untuk membayar bil-bil dan membeli keperluan yang penting sahaja. Perkara yang tidak penting dipotong atau ditunda buat sementara.

*Inilah masa untuk mengikat perut. Makan di rumah atau bawa bekal ke pejabat.

*Potong semua keahlian kelab sukan dan bersenam di padang permainan berdekatan.

*Sekiranya menggunakan dua buah kereta ke pejabat, simpanlah sebuah di rumah dan ini boleh mengurangkan perbelanjaan petrol.

*Apabila wang yang dibajet ini kehabisan, jangan keluarkan wang simpanan. Sabar sehingga anda mendapat gaji bulan hadapan.

Hutang boleh diselesaikan

Setelah semua perkara di atas berjaya dilakukan dan masih ada lagi hutang yang belum diselesaikan, eloklah kita menulis baki amaun hutang secara terperinci. Apa yang dimaksudkan itu adalah sekiranya kita mempunyai tiga atau lebih kad kredit, tuliskan amaun yang perlu dibayar. Dari sini, kita bayar amaun yang paling kecil dan kemudian tamatkan kad kredit tersebut. Lakukan proses itu sehingga kita hanya memiliki satu atau dua kad kredit sahaja.

Setelah selesai hutang kad kredit, kita perlu menulis semula hutang-hutang yang lain seperti hutang peribadi, hutang ah long dan lain-lain. Perhatikan hutang mana mempunyai kadar faedah yang tinggi. Selesaikan yang itu dahulu. Sekiranya kita terpaksa mengeluarkan wang simpanan, gunakanlah wang itu untuk mengurangkan bebanan hutang kita. Akan tetapi, hendaklah kita berwaspada agar akaun simpanan tidak kosong. Ini kerana kita perlukan wang di saat kecemasan.

Bagi anda yang tidak mempunyai wang simpanan, jangan pula mengambil pinjaman yang lain. Apa yang boleh dilakukan adalah melakukan kerja tambahan atau berniaga di sebelah petang atau malam untuk menambah pendapatan.

Sunnah bersiwak

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN

Oleh IDRIS MUSA

Islam memberikan sanjungan tinggi terhadap kebersihan, malah diangkat di kedudukan istimewa sehingga Nabi Muhammad s.a.w pernah menegaskan sebagai sebahagian daripada iman.

Kebersihan dilihat melalui ibadat rutin harian seorang muslim yang bertitik tolak daripada amalan menyucikan diri melalui wuduk, kebersihan pakaian dan tempat ibadat.


Nabi s.a.w menunjukkan isyarat penjagaan kebersihan merangkumi semua bidang, bermula dari tubuh badan baik rohani atau jasmani, sehingga pakaian, kediaman dan persekitaran, harus dipastikan bersih.

Anggota luaran lebih-lebih lagi perlu diberikan perhatian dan dandanan kerana ia membentuk personaliti diri seseorang selain mengelak penyakit.

Saidatina Aishah r.a berkata yang bermaksud: "Sepuluh perkara dikira sebagai fitrah (sunnah); memotong misai, memelihara janggut, bersugi, memasukkan air ke hidung, memotong kuku, membasuh sendi-sendi, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, bersuci dengan air (beristinja)." (Hadis riwayat Muslim)

Antara yang diberikan penekanan ialah kebersihan mulut dan gigi, kerana Rasulullah s.a.w ada menyatakan dalam sabda bermaksud: "Jika tidak menyusahkan ke atas umatku, aku ingin menyuruh mereka melambatkan solat Isyak dan bersugi (menggosok) gigi setiap kali mereka hendak melakukan solat." (Hadis riwayat Muslim)

Membersihkan mulut dan gigi atau bersugi, dalam bahasa Arabnya disebut siwak, sangatlah dianjurkan Islam, bahkan baginda menyatakan: "Bersiwak itu menyucikan mulut, diredai Tuhan dan dibenci syaitan."

Siwak merujuk kepada dua pengertian iaitu perbuatan menggosok gigi dan membersihkan mulut serta alat atau kayu yang digunakan untuk menggosok gigi, dipanggil kayu siwak.

Nabi s.a.w sendiri dilaporkan membersihkan gigi, paling kurang dua kali sehari. Imam Bukhari meriwayatkan daripada Abdullah bin Omar: "Nabi bersiwak (menggosok gigi) pada permulaan siang dan akhirnya."

Namun, kebiasaannya Nabi s.a.w menggosok gigi berulang kali setiap hari. Sehubungan dengan ini, Amir bin Rabiah melaporkan: "Aku melihat nabi menggosok gigi (berulang-ulang kali) sehingga aku tidak mampu menghitung jumlahnya ketika baginda berpuasa." (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmizi).

Ulama terkenal Arab Saudi, Syeikh M S Al-Munajjid, berkata Imam Nawawi dilaporkan ada menyatakan ulama bersependapat penggunaan siwak adalah satu sunnah.

Menurutnya, satu lagi daripada bukti yang menunjukkan pentingnya amalan itu apabila sesetengah ulama salaf (silam) seperti Ishaq ibn Rahawayh, berpendapat ia kewajipan.

Siwak menurut kesepakatan ulama yang paling baik dengan ranting pokok arak, kerana baunya harum, malah seratnya sangat berkesan membersihkan sisa makanan di celah gigi.

Jika ranting pokok arak tidak diperoleh, tangkai daun pokok palma atau ranting pokok zaitun boleh digunakan.

Jika bahan itu tidak diperoleh, mana-mana bentuk kayu yang baik untuk membersihkan dan tidak mencederakan gigi boleh digunakan untuk membersihkan mulut.

Ini termasuklah penggunaan berus gigi moden.

Pembersihan gigi dan mulut menggunakan kayu atau ranting dari pohon arak (salvadora persica) berlaku sejak berkurun yang lalu, kerana ia kaya dengan serat dan khasiat bagi kesihatan mulut dan gigi.

Justeru itu, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dilaporkan mempromosikannya bagi kegunaan pembersihan mulut.

Kajian mendapati kayu sugi daripada pohon arak mempunyai kelebihan secara semula jadi. Penyelidikan Dr Otaybi dari Arab Saudi membuka era baru terhadap kajian kayu terbabit, apabila menemui kesan sangat positif terhadap sistem kekebalan badan.

Malah, penyelidik lain mendapati ia mempunyai kesan baik bagi kesihatan terutama dalam proses antiketagihan perokok, sama ada untuk tujuan penyembuhan atau pencegahan, selain bahan antiseptik, astringen, pencuci dan dan fluorida (bahan penghalang kerosakan dan kereputan gigi).

Amalan membersihkan mulut dan gigi menurut ulama sangat dituntut. Waktu melakukan siwak, iaitu:

i. Ketika mahu berwuduk dan mengerjakan solat.

ii. Apabila memasuki rumah dan bersama keluarga. Aishah ketika ditanya tindakan pertama dilakukan Nabi s.a.w apabila tiba di rumah, beliau berkata: "Apabila baginda memasuki rumah, perkara pertama yang baginda lakukan ialah siwak." (Hadis riwayat Muslim)

iii. Apabila bangun dari tidur. Huzaifah ibn Al-Yaman r.a menyatakan apabila Nabi s.a.w bangun pada waktu malam, baginda membersihkan mulut dengan siwak secara sempurna. (Hadis riwayat Al-Bukhari)

iv. Apabila bau mulut seseorang berubah, sama ada disebabkan makan makanan yang berbau atau tidak makan dan minum dalam tempoh yang lama.

v. Ketika ke masjid. Penggunaan siwak sebahagian daripada dandanan yang sangat digalakkan bagi muslim pada setiap kali mendirikan solat. Ini sesuai dengan firman Allah dalam ayat 31, dari surah Al-A'raf, maksudnya: "Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (sembahyang)."

vi. Apabila membaca al-Quran dan mengikuti majlis tertentu khususnya majlis mengingati Allah.

Ulama bersependapat tiada salahnya menggunakan siwak pada siang hari apabila seseorang itu berpuasa, cuma mereka berbeza pada waktu tengah hari, dengan sesetengahnya mengatakan makruh.

Di kalangan ulama juga ada perbezaan pendapat mengenai penggunaan tangan untuk bersiwak. Satu pendapat, iaitu majoriti ulama berpendapat lebih baik melakukannya dengan tangan kanan.

Ini sesuai dengan hadis Aisyah r.a yang menyatakan: "Nabi s.a.w gemar memulakan dengan yang kanan apabila memakai kasut, turun (dari untanya), apabila membersihkan diri dan dalam semua perkara."

Mereka juga menyatakan siwak adalah satu perkara daripada ibadat yang mendekatkan seseorang terhadap Allah, jadi tidak sepatutnya dilakukan dengan tangan kiri.

Ulama lain berpendapat ia baik dilakukan dengan tangan kiri. Pendapat ini dikatakan daripada mazhab Imam Ahmad dan pandangan ini disokong Syeikh Al-Islam Ibn Taimiyah.

Sesetengah ulama berpendapat, apabila seseorang menggunakan siwak dengan niat mengikuti sunnah, dia sepatutnya melakukan dengan tangan kanan dan jika untuk menghilangkan kekotoran, sepatutnya dengan tangan kiri.

Berdasarkan isyarat daripada al-Quran dan penegasan Nabi s.a.w, ditambah dengan perbincangan ulama dan kajian pakar perubatan jelas menunjukkan persoalan ini bukan lagi sesuatu yang boleh dipandang ringan.

Aida diberi kepercayaan di TV9

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN


Menerusi program bual bicara secara santai itu Aida bertindak sebagai pengacara bersama Syamsul Ghau Ghau, Mr Os dan Din Beramboi. Sebagai individu yang baru mahu bertapak dalam bidang itu, Aida juga tidak terlepas daripada dikritik. Begitupun, bagi anak gadis kelahiran Kuantan, Pahang itu dia menganggapnya sebagai teguran positif supaya dia dapat memperbaiki kelemahan dan meningkatkan prestasi pada masa depan.

Bercerita lanjut mengenai pembabitannya dalam program itu, Aida sendiri tidak terfikir akan diberi peluang untuk mengendalikan program itu memandangkan baru saja selesai menyertai program Gadis Melayu selain belum tamat belajar.

"Memang saya sendiri tidak menyangka apabila diberitahu untuk mengendalikan program itu. Sebaik mendapat tawaran itu saya jadi takut dan berasa tidak yakin untuk mengambil tawaran itu.

"Begitupun, atas dorongan dan bantuan penerbit serta rakan-rakan saya akhirnya meyakinkan diri untuk mencuba. Alhamdulillah selepas beberapa kali mencuba akhirnya ia berjalan lancar.

"Pada mulanya saya sangkakan percubaan pertama sebagai pengacara adalah mengendalikan program majalah atau yang lebih dengan program seperti Gadis Melayu.

"Walau bagaimanapun saya tetap akur dan menganggap ia sebagai peluang terbaik yang diberikan oleh pihak pengurusan TV9 sebagai permulaan dalam karier pengacaraan.

"Biarpun ada yang menganggap penampilan saya tidak sesuai pada program itu. Segala kritikan yang dilemparkan saya terima secara positif. Malah menjadikan ia sebagai perangsang untuk terus maju pada masa depan," katanya.

Mengulas lanjut mengenai peranan Aida dalam program Apa Ke Halnya itu, menerusi program santai itu dia dengan karakter sempoi bersama gandingan pengacara pada hari itu akan membincangkan topik isu semasa dan relevan. Mengakui agak sukar bagi dirinya untuk berperwatakkan begitu walau bagaimanapun dengan bimbingan rakan pengacara yang lebih berpengalaman ia ternyata banyak membantu.

"Sudah tentu pengalaman bekerja dengan mereka yang berpengalaman seperti Abang Os, Syamsul dan Din Beramboi cukup berharga. Saya juga berasa bertuah kerana diberi peluang untuk mengendalikan program berkenaan," kata Aida yang menaruh impian mengendalikan program sendiri berbentuk majalah kewanitaan.

Ketika berkunjung ke meja hiburan RAP baru-baru ini, Aida mengakui mula berasa bahang kepenatan apabila terbabit dalam dunia penyiaran. Dia yang sebelum ini, terpaksa menangguhkan latihan amali untuk memberi tumpuan kepada penyertaan program Gadis Melayu bukan hanya bertindak sebagai pengacara sambilan malah bertugas mencari bahan berita dan terbabit dalam segala aspek di belakang tadbir.

"Hendak diikutkan saya sepatutnya menjalani latihan amali Disember lalu. Namun disebabkan terbabit dalam program Gadis Melayu saya terpaksa menangguhkannya. Jika tiada aral latihan amali ini akan berakhir pada Mei ini.

"Saya dapat rasakan bahan kepenatan. Soal populariti tidak juga. Begitupun, saya melalui pengalaman tersendiri ketika minggu pertama menjalani latihan amali di Unit Berita.

"Ketika sibuk membuat liputan ada di antara mereka yang mahu mengambil gambar bersama. Saya juga dapat merasai sendiri cabaran melakukan tugasan yang diberikan," katanya.

Pembabitan dalam bidang penyiaran disifatkan sebagai platform untuk memberi maklumat dan informasi kepada masyarakat. Justeru dia sentiasa menitik beratkan kandungan yang perlu disampaikan selain berharap mendapat maklum balas yang positif daripada penonton. Jika tiada aral Aida dijangka mengendalikan program berbentuk majalah, Kembara Gadis Melayu ke Capetown pada pertengahan tahun ini.



>Profil

NAMA PENUH: Khairul Noor Maidah Zali

TEMPAT LAHIR: Kuantan, Pahang

TARIKH LAHIR: 15 Ogos 1985

TINGGI/ BERAT: 158sm/ 47kg

ADIK-BERADIK: Anak ketiga daripada sembilan beradik

AKADEMIK: penuntut tahun akhir Ijazah Komunikasi, Universiti Utara Malaysia

PENCAPAIAN: juara program Gadis Melayu TV9

- HARIAN METRO

Pakej Bollywood

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN


Bukan sekadar urutan istimewa untuk lelaki lemah tenaga batin, malah sebuah rumah urut yang menyediakan khidmat urutan tradisional dikesan menawarkan pakej dua dalam satu, apabila turut menjual pil rangsangan seks dipanggil ‘Pil Bollywood’ yang didakwa boleh menjadi lelaki gagah di ranjang.

Uniknya pil rangsangan seks berkenaan ditawarkan kepada pelanggan di kalangan lelaki yang teruja untuk mencubanya selepas dipujuk gadis tukang urut yang mendakwa pil berkenaan mampu memberi kesan serta-merta selepas dimakan.

Hasil risikan mendapati pil rangsangan seks haram yang tidak berdaftar itu mula diseludup masuk ke negara ini dari India sejak beberapa bulan lalu selepas didakwa mempunyai ‘power’ lebih hebat daripada pil Viagra atau Cialis.

Kegiatan penyeludupan pil rangsangan seks berkenaan dikesan sepasukan tiga pegawai dari Bahagian Penguat Kuasa Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang melakukan serbuan di sebuah rumah urut di Damansara di sini, minggu lalu.

Dalam operasi jam 2 petang itu, pegawai penguat kuasa yang bertugas mendapati premis berkenaan menjadi lokasi tumpuan golongan lelaki tempatan yang ingin mendapatkan khidmat mengurut badan.

Pemeriksaan mendapati, tugas mengurut berkenaan dilakukan beberapa gadis muda dalam bilik bertutup bagi kononnya untuk memberi ‘ketenangan’ kepada pelanggan.

Sumber memberitahu Harian Metro, siasatan terhadap premis berkenaan kemudian menemui ratusan pil rangsangan seks haram yang disimpan dalam kotak.

“Maklumat diterima mendapati pil berkenaan dihasilkan daripada sejenis ekstrak alkaloid yang digunakan dalam amalan perubatan tradisional India. Ekstrak berkenaan kononnya diyakini mempunyai kehebatan melonjakkan keinginan syahwat lelaki.

“Bagaimanapun, ekstrak kimia berkenaan dikesan berbahaya kepada kesihatan berikutan mengandungi sejenis racun alkaloid dipanggil solanaceous,” katanya.

Menurutnya, selain pil rangsangan seks tidak berdaftar itu, pihak pegawai penguat kuasa turut merampas enam jenis produk lain yang turut tidak mendapat kelulusan KKM.

“Maklumat diterima mendapati produk itu mula diseludup masuk ke negara ini dari India dan disahkan tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah KKM.

“Siasatan mendapati taktik sindiket penyeludupan pil rangsangan seks ini ialah dengan bertopengkan sebuah rumah urut tradisional bagi memudahkan pil berkenaan dipasarkan,” katanya.

Malah menurutnya, siasatan turut mendapati pihak yang menguruskan rumah urut berkenaan turut menggunakan gadis tukang urut dari India untuk melakukan tugas memicit badan.

“Berdasarkan soal siasat, produk berkenaan mendapat sambutan menggalakkan di kalangan pelanggan rumah urut berkenaan.

“Setiap biji pil berkenaan dikesan dijual dengan harga sekitar RM50 kepada pelanggan yang berminat untuk mencubanya,” katanya.

Menurutnya, hasil pemeriksaan hampir dua jam itu menemui ratusan biji pil berkenaan yang dianggarkan bernilai RM2,000.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Akta Jualan Dadah 1952 dan sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000,” katanya.

Difahamkan, pil rangsangan seks terbabit turut boleh memberi kesan negatif kepada jantung sama seperti pil Viagra yang boleh mengakibatkan beberapa gejala buruk dalam tempoh singkat.

Bahan kimia dalam pil berkenaan boleh menyebabkan tekanan darah menjadi terlalu rendah terutama terhadap individu yang menghidapi darah tinggi, sakit jantung dan kandungan lemak tinggi dalam badan.

Selain itu, ia boleh mendatangkan kesan sampingan seperti sakit kepala, gangguan perut dan penglihatan, sakit otot, penyakit hati dan buta selain mati mengejut.

- HARIAN METRO

Nikmati khasiat epal

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN

Dalam kegawatan ekonomi, mungkin ramai yang mencari buah-buahan yang mampu dibeli untuk dihidangkan bersama juadah tengah hari mahupun makan malam.

Antara semua buah-buahan yang terdapat di negara ini, epal dikatakan antara buah yang paling mampu dibeli masyarakat negara ini, tambahan pula ia cukup berkhasiat dan lazat.

Untuk menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia makan epal, Suruhanjaya Epal Washington (WAC) mengambil langkah menganjurkan siri program pendidikan dan promosi yang ditujukan kepada semua lapisan masyarakat pada bulan-bulan akan datang.

Buat permulaan, program pertukaran Epal Washington akan diadakan di semua gedung Giant dan Cold Storage bermula pertengahan April lalu. Program yang sama juga akan menyusul di pasar raya besar lain tidak lama lagi. Semua ini dilakukan demi memberikan nilai tambahan kepada pengemar-pengemar epal.

Gedung-gedung utama di seluruh negara juga akan berganding bahu untuk menggalakkan orang ramai makan epal. Paparan pendidikan dan promosi di kaunter sampel yang terletak di gedung tersebut turut membolehkan orang ramai mempelajari fakta-fakta mengenai epal menerusi risalah yang disediakan.

Lebih menarik, para pembeli di gedung-gedung ini akan menerima cenderahati istimewa dengan setiap pembelian minimum Epal Washington.

Menurut wakil pasaran bagi Suruhanjaya Epal Washington, Eddie Saw, epal Washington ditanam di kawasan terbaik untuk menghasilkan buah yang paling besar, lazat berair dan rangup.

''Jadi tidak hairanlah jika ia digemari masyarakat di seluruh dunia," katanya.

Jelasnya, epal jenis ini boleh didapati dalam pelbagai jenis yang menyelerakan termasuk Red Delicious, Golden Delicious, Cameo, Granny Smith (baik untuk dibuat jus), Gala, Fuji dan juga pelbagai jenis lain seperti Braeburn, Jonagold dan Cripps Pink.

Sementara itu, Pengurus Kategori (Bahagian Buah-Buahan Import) Giant, A Retna Malar Subramaniam berkata, epal adalah sejenis buah ruji yang penting bagi rakyat Malaysia melihat kepada jumlah peningkatan jualan epal yang menggalakkan.

''Peningkatan berlaku kerana pembeli mendapati buah ini cukup lazat dan mampu dibeli. Ini pastinya menarik perhatian pembeli bijak pada waktu kegawatan ekonomi ini. Antara epal yang paling digemari adalah epal Washington," kata Retna.

Pengurus Kecergasan Serantau True Fitness, Sam Lee, yang diberi peluang merasai kelazatan epal Washington memberitahu, pihaknya cukup gembira dengan usaha Suruhanjaya Epal Washington mempromosikan manfaat epal kepada masyarakat tempatan.

Sebabnya, epal adalah pilihan makanan yang baik terutamanya bagi mereka yang sentiasa bergerak.

''Saya mesti makan sebiji epal sehari kerana nutriennya membantu menyokong program senaman dan kecergasan saya. Ia juga membantu memastikan saya sentiasa bertenaga sepanjang hari," ujar Sam.

Kebaikan epal turut mendapat pandangan positif daripada pakar pemakanan di institusi kesihatan utama.

Menurut Pakar Diet Pusat Perubatan Prince Court, Tan Yen Sing, keunikan epal ialah, ia tidak mempunyai lemak, mengandungi kandungan nutrien dan serat termasuk anti-oksidan yang meningkatkan prestasi badan.

Kata Yen Sing, kajian juga menunjukkan bahawa epal juga baik untuk mengurangkan risiko sakit jantung dan kanser, lantas mengurangkan kolesterol darah.

Seorang lagi pakar pemakanan yang mengkhusus dalam penyelidikan buah, Prof. Madya Dr. Rokiah Mohd Yusof yang merupakan Pakar Pemakanan di Universiti Putra Malaysia juga berpendapat epal baik untuk kesihatan adn merupakan salah satu pilihan buah yang sesuai di pasaran.

''Saya menggalakkan orang ramai mengambil sekurang-kurangnya tiga hidangan buah sehari," kata Dr. Rokiah.

- UTUSAN

Teka-teki finalis OIAM3

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN


Minggu lepas, program realiti One In A Million 3 (OIAM3) membuat kejutan apabila mengumumkan kemungkinan dua atau tiga orang finalis yang akan berentap di pentas akhir malam ini.

Semua keputusan ini diletakkan kepada rakyat Malaysia, apabila mereka diberikan mandat untuk memilih sama ada ingin melihat dua ataupun tiga orang peserta yang akan beraksi di pentas akhir.

Pengumuman dibuat oleh pengacara OIAM3, Awal Ashaari dan Marion Caunter sebaik sahaja semua peserta top 3 selesai membuat persembahan yang nyata menarik perhatian semua yang menonton rancangan tersebut.

Minggu lepas menyaksikan Tomok, Aweera dan Esther berjaya melayakkan diri untuk merebut hadiah bernilai RM1 juta jika berjaya menjuarai OIAM3 nanti.

Bagi juri tetap, Syafinaz menganggap keputusan daripada pihak produksi ini ada baik dan buruknya.

"Kebaikan, kita dapat melihat ketiga-tiga peserta menunjukkan keistimewaan mereka pada pentas akhir, jika orang ramai mahukan semua mereka beraksi di final.

"Jika sebaliknya, maka salah seorang terpaksa dikeluarkan dan peluang untuk merebut hadiah utama terbuka kepada dua orang sahaja,'' ujarnya ketika ditanya pendapatnya.

Menurut Paul Moss pula, apa pun yang bakal berlaku minggu hadapan, semua peserta top 3 mempunyai kekuatan tersendiri.

"Baik Tomok, Esther dan Aweera, mereka sebenarnya layak untuk bergelar juara dalam OIAM3 ini.

"Bagi saya pemilihan mereka bertiga bertepatan dengan tagline OIAM3, Find Your Own Voice iaitu mereka mempunyai kelainan dan gaya tersendiri,'' kata Paul Moss.

Nine tersingkir

Penyingkiran Nine atau nama sebenarnya Zulqarnain Jaafar, sudah dijangkakan. Apatah lagi vokalis Coco ini sering berada di antara peserta yang mendapat undi terendah.

"Saban minggu saya bersedia secara fizikal dan mental untuk tersingkir daripada pertandingan ini.

"Dan Alhamdulillah saya mampu bertahan di peringkat ini hasil kerja kuat penyokong-penyokong saya," kata Nine.

Dalam pada itu, Nine juga tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa dan sedihnya apabila dia tersingkir.

Ini terbukti apabila dia menyanyikan lagu Aku dan Kamu, jelas kedengaran sebak pada suaranya.

"Saya akui, saya memang kecewa dan sedih. Tetapi itulah yang harus saya terima. Inikan pertandingan. Pasti akan ada yang tersingkir.

"Apa yang penting ilmu dan pengalaman yang saya perolehi sepanjang OIAM ini,'' tambahnya lagi.

'Kelahiran semula' Tomok

Diragui kebolehannya seawal menyertai program OIAM ini, namun semuanya dapat ditepis oleh Shah Indrawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Tomok.

Anak muda ini berjaya keluar daripada identiti New Boyz, apabila berjaya membuat persembahan yang cukup bertenaga, segar dan mampu memukau sesiapa sahaja yang melihatnya.

Malah pada persembahan minggu lepas, Tomok menyanyikan lagu Crazy In Love (pilihan juri) dan Coba (pilihan orang ramai) memang cukup bertenaga.

Namun, kedengaran vokal Tomok agak kurang menyerlah pada minggu tersebut dek masalah kesihatan yang dialaminya.

"Saya tidak sihat minggu lepas. Ini merupakan perkara yang paling saya bimbangkan. Mudah-mudahan final nanti semuanya berjalan lancar,'' katanya ketika ditemui Hits baru-baru ini.

Menurut Tomok, setiap peserta mempunyai kekuatan masing-masing dan genre muzik yang tersendiri.

"Esther lebih kepada lagu yang berentak blues, Aweera pula terkenal dengan lagu rock dan saya serasi dengan pop rock. Jadi peluang untuk menang memang cukup terbuka," katanya lagi.

Namun begitu Tomok sempat menyatakan harapannya untuk membawa pulang hadiah RM1 juta.

"Apa yang boleh saya katakan, saya akan buat yang terbaik pada malam final nanti bagi membolehkan saya menjadi peserta lelaki dan artis pertama yang bergelar juara,'' katanya lagi.

Vokal menawan Esther

Mengalunkan lagu Better In Time (pilihan juri) dan Won't Go Home Without You (pilihan orang ramai) minggu lepas, memang vokal gadis berumur 21 tahun ini mampu menawan hati orang ramai.

Namun, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Esther atau nama sebenarnya Elizabeth Applunius Chin pernah mencuba nasib sebanyak empat kali untuk uji bakat Akademi Fantasia, tetapi tidak berjaya.

"Mungkin rezeki saya di sini (OIAM). Malah saya telah membuat persiapan selama tiga tahun sebelum menyertai OIAM ini.

"Memang satu jangka masa yang lama tetapi saya sedar akan kekurangan pengalaman ketika itu menyebabkan saya mengambil keputusan untuk menyanyi di hotel-hotel sekitar Kota Kinabalu, Sabah.

"Dengan pengalaman itu, saya banyak mempelajari teknik-teknik persembahan dan susunan muzik dan itulah yang saya bawa ketika melakukan persembahan sepanjang berada di OIAM,'' ujarnya dalam loghat Sabah.

Berbekalkan semangat dan pengalaman tersebut, persembahan Esther sering mendapat pujian pengkritik dan orang ramai. Berbaloi rasanya jangka masa tiga tahun untuk mencari pengalaman buat Esther apabila berjaya menjadi calon finalis OIAM3.

Bukan setakat vokal yang mantap, Esther juga mempunyai kelebihan dalam susunan muzik menjadikan setiap persembahannya antara yang terbaik setiap kali OIAM bersiaran.

Aweera pelapis rock

Berumur 18 tahun, anak muda dari Perlis ini dilihat sebagai generasi pelapis penyanyi rock di negara kita.

Seperti juga Tomok dan Esther, Aweera tidak pernah menjangkakan akan sampai ke peringkat ini .

"Terima kasih kepada semua yang memberi peluang dan menaruh kepercayaan kepada bakat saya.

"Walaupun tekanan semakin terasa, saya cuba sedaya-upaya untuk melupakannya dengan bertenang serta memfokuskan kepada latihan saya.

"Selain itu, saya menitikberatkan aspek kesihatan, agar ia tidak mengganggu persembahan saya kelak,'' katanya lagi.

Sementara itu, Aweera tampil menghiburkan dengan lagu Gemilang (pilihan juri) manakala hasil undian orang ramai, Aku Dah Bosan menjadi taruhannya pada minggu lepas.

Nyata aura rock cukup terasa apabila menyaksikan persembahan Aweera. Malah kemampuannya menyanyikan lagu bernada tinggi cukup untuk membuatkan bulu roma mereka yang mendengarnya berdiri tegak.

Berbekalkan rupa dan umur yang muda serta vokal yang tinggi, tidak mustahil, Aweera juga mampu merebut gelaran jutawan untuk kali ini.

- UTUSAN

Buku - Bagaimana bergaul dengan bukan Islam?

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN

ALLAH SWT menjadikan manusia di atas muka bumi ini terdiri daripada pelbagai kaum dan keturunan. Pertembungan di antara masyarakat Muslim dan bukan Muslim ini telah mewujudkan interaksi pelbagai hala dalam keseluruhan aspek kehidupan manusia.

Namun begitu, kegagalan manusia pada hari ini untuk menghargai kepelbagaian yang dianugerahi Allah SWT ini secara berterusan telah menyebabkan tercetusnya konflik yang menggugat keharmonian sejagat.

Peperangan di antara Muslim dan bukan Muslim seperti yang berlaku Iraq, Afghanistan dan Thailand, pembunuhan etnik di Palestin dan Bosnia Herzegovina, penindasan kerajaan bukan Muslim ke atas rakyat Muslim seperti di Thailand dan Filipina serta puluhan contoh lain adalah bukti yang terhasil daripada konflik tersebut.

Sebenarnya, antara faktor yang mendorong kepada terhasilnya konflik yang sebegini ialah kegagalan kedua-dua golongan untuk menerang dan memahami etika serta undang-undang atau hukum hakam yang wujud di antara mereka.

Malangnya, kesan kekeliruan ini kemudiannya menghasilkan kenyataan atau tindak-tanduk yang akhirnya melukakan hati golongan yang satu lagi.

Sebagai contoh, masih ramai masyarakat umum pada hari ini yang tidak jelas mengapa Islam mengharamkan penganutnya memakan atau menyentuh anjing dan khinzir sedangkan kedua-dua binatang tersebut secara kasarnya tidaklah terlalu memudaratkan. Ada yang bertanya, sekiranya binatang yang lebih ganas dan berbahaya seperti harimau dan beruang boleh disentuh, mengapa tidak bagi khinzir dan anjing?

Sebenarnya, adalah menjadi kewajipan ke atas orang Islam menjelaskan kepada orang bukan Islam akan hal-hal yang sebegini. Dalam isu khinzir dan anjing misalnya, orang Islam tidak dibenarkan menyentuh atau memakan kulit, daging dan segala yang bersangkutan dengan khinzir mahupun anjing kerana ia adalah arahan dari Allah SWT. Namun begitu, pada masa yang sama, Islam tidak pernah menyuruh umatnya untuk membenci apatah lagi menyeksa haiwan-haiwan tersebut.

Malah, pengharaman ke atas anjing dan babi juga tidak bermaksud bahawa orang Islam mesti bermusuh dengan orang bukan Islam yang dibenarkan untuk memakan dan menyentuh haiwan-haiwan tersebut oleh agama mereka.

Dengan penjelasan yang sebegini, orang bukan Islam bukan sahaja akan memahami sebab pengharaman dengan lebih jelas, mereka juga akan lebih menghormati Islam dan akan lebih berhati-hati serta bertoleransi seterusnya mengaplikasikan rasa hormat tersebut dalam kehidupan sehari-hari.

Menyedari kepentingan integrasi agama dan kaum sebagai medium terpenting dalam pembangunan sesebuah negara, Mohammad Nidzam Abd. Kadir mengambil inisiatif untuk menulis sebuah buku bertajuk Fiqah Berinteraksi Dengan Non-Muslim: Kaedah bergaul dengan rakan, jiran dan keluarga bukan Islam tanpa mengabaikan syariat.

Buku yang dihasilkan melalui diterbitkan oleh Telaga Biru Sdn. Bhd. sememangnya sangat sesuai untuk semua golongan masyarakat tanpa mengira agama dan kaum.

Di dalamnya terkandung segala yang berkaitan dengan urusan fikah dengan rakan bukan Islam kita seperti hukum memberi salam, kaedah berjual beli, perubatan, pengharaman arak, anjing dan khinzir, perkahwinan dengan bukan Islam, berkhatan ke atas mualaf dan sebagainya.

Isi kandungannya digarap dengan begitu teratur dan ia turut menyertakan ilustrasi yang sangat menarik di samping ayat-ayat al-Quran dan hadis yang amat berguna untuk hafalan, rujukan dan amalan.

Untuk maklumat lanjut mengenai buku ini, sila hubungi 03-62754070 ataupun sila layari www.telagabiru.net.my

Kembalikan perpaduan umat

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN

Oleh MOHD. SHAUKI ABD. MAJID
Pengurus Penyelidikan Yayasan Dakwah Islamiyah Islam Malaysia (Yadim)

Adakah 'kerajaan perpaduan' akan menjadi satu realiti apabila Mursyidul Am Pas Datuk Nik Aziz Nik Mat mencadangkan agar semua pihak mengetepikan perbezaan dan meredakan perbalahan, duduk bersama dan melahirkan sebuah kerajaan perpaduan yang dicita-citakan oleh semua pihak itu?

Ajakan untuk bersatu itu sebenarnya sangat dituntut oleh al-Quran dan Sunnah. Daripada satu segi, Mursyidul Am Pas memahami bahawa perpecahan itu tidak digalakkan dan umat Islam sentiasa dituntut mengekalkan perpaduan.

Sesiapa sahaja yang menciptakan perpecahan dan kebencian di antara sesama Muslim demi kepentingan peribadi dan duniawi, dia sebenarnya telah mengkhianati perintah Nabi SAW.

Kita adalah umat yang 'satu' tanpa mengira batas, negeri, bangsa atau warna kulit. Apabila seseorang itu telah membuat pengakuan dan bersyahadah serta meyakini dan menerima ajaran agama yang dibawa oleh Rasulullah SAW maka dia dianggap sebagai orang Islam yang beriman.

Dia juga dikenali sebagai ahli al-Qiblah iaitu mereka yang bersyahadah, bersembahyang menghadap kiblat yang satu dan membaca al-Quran yang satu.

Kalau para Rasul terdahulu mengumpul ummah agar menjadi satu bangsa, kehadiran Muhammad SAW pula adalah mengumpulkan bangsa-bangsa tersebut menjadi satu ikatan yang kuat dan kukuh tanpa adanya perbezaan suku dan warna kulit.

Kita semua adalah sama iaitu satu persaudaraan seagama. Kerana Islam mengajar bahawa salah satu perilaku akhlak mulia ialah kesediaan seseorang itu untuk menyambung persaudaraan yang telah putus sesama kita.

Perpaduan adalah satu-satunya benteng kekuatan yang masih ada untuk mempertahankan maruah dan nasib umat Islam di dunia ini kerana kekuatan-kekuatan yang lain seperti kekuatan ilmu pengetahuan, kekuatan ketenteraan, ekonomi, politik dan lain-lain sudah roboh dan runtuh.

Kekuatan ukhwah Islamiah dan perpaduan inilah yang masih tinggal yang perlu dipertahankan oleh seluruh umat Islam. Sekiranya ikatan ukhwah Islamiah dan kekuatan perpaduan ini turut roboh maka tunggulah kehancuran dan malapetaka yang akan menimpa umat Islam.

Sejarah Islam mencatat di kalangan sahabat terdapat usaha-usaha yang dilakukan untuk mengembalikan perpaduan dan kekuatan umat Islam pada waktu itu, umpamanya di zaman Khalifah Ali pernah menghantar Ibnu Abbas untuk membetulkan fahaman ekstrem di kalangan kaum Khawarij kepada kesederhanaan dan kewarasan ajaran Islam. Golongan Khawarij ini terkenal dengan sikapnya yang keras hati tidak mahu kembali bersatu dalam barisan jemaah majoriti umat Islam.

Kita harus sedar bahawa manusia pada hakikatnya bukan hanya makhluk pemburu material, tetapi juga mempunyai kepentingan-kepentingan lain dalam hidupnya yang perlu berhubung dengan orang lain tanpa ada kepentingan material dan sifat ego.

Manusia memerlukan hubungan antara sesama yang dilandasi rasa cinta dan kasih sayang. Sehingga ia akan sangat peka terhadap masalah-masalah yang dihadapi oleh masyarakat dan bangsanya. Ia sedar bahawa manusia tidak mungkin bersendirian.

Kesedaran ini kalau dipupuk terus tentu akan memudahkan wujudnya ukhwah Islamiah, bahkan dapat melahirkan perpaduan yang sangat tinggi, bukan sahaja terhadap saudara-saudara seagama tetapi juga terhadap penganut agama lain.

Rasulullah SAW menyedari bahawa keabadian umatnya bergantung kepada keeratan hati masyarakat yang saling kasih mengasihi kerana Allah. Sedangkan kehancuran dan kejatuhan umat ini berhubung erat dengan keretakan ikatan tali batin mereka.

Perpaduan dan persatuan sesama muslim merupakan kewajipan syariah. Dengan wujudnya persatuan itu merupakan nikmat Ilahi yang sangat besar. Hayati firman Allah SWT yang bermaksud: "Berpegang teguhlah kamu kepada agama Allah secara kuat dan janganlah kamu bercerai berai. Dan ingatlah nikmat Allah kepada kamu, ketika dahulu kamu bermusuhan, lalu Allah persatukan hati kamu, sehingga kamu menjadi bersaudara kerana nikmat-Nya dan kamu waktu itu berada dipinggir jurang neraka lalu Dia selamatkan kamu dari jurang itu. Demikianlah Allah jelaskan kepada kamu ayat-ayat-Nya,mudah-mudahan kamu terpimpin kejalan yang benar.' - (Surah Ali-Imran ayat 103)

Suatu perintah yang tegas dari Allah SWT agar kaum Muslimin bersatu padu dalam tali atau wadah yang satu iaitu Islam.

Ibnu Jarir di dalam kitab tafsirnya meriwayatkan keterangan dari Qatalah tentang maksud firman Allah tersebut. Ia berkata: "Sesungguh Allah membenci kamu berpecah belah dan melarang kamu mendekatinya, memperingatkan dan mencegah kamu daripada perbuatan demikian, tetapi Allah menyenangi kamu taat, mendengar perintahnya dan bersatu padu. Kerana hendaknya kamu menyenangi apa yang disenangi oleh Allah untuk kamu."

Demikianlah menjadi kewajipan kita hulurkan tangan perdamaian sesama Muslim. Demikian juga terhadap bukan Muslim jika mereka menghulurkan tangan perdamaian, kita dituntut menerimanya.

Apabila musuh-musuh kamu itu cenderung untuk berdamai, dan ingin mengakhiri perang, maka sambutlah kemahuan mereka itu wahai Rasul. Kerana perang bukan semata-mata sebagai tujuan bagimu, tapi engkau berperang sebagai alasan membela diri dari serangan musuh dan mereka yang merintangi dakwah.

Maka terimalah usul perdamaian dari mereka dan bertawakallah kepada Allah dan jangan engkau khuatirkan rencana jahat, tipu daya mereka. Allah Maha Mendengar apa yang mereka rundingkan, Maha Tahu apa yang mereka rencanakan dan tidak ada sesuatu pun samar dalam pandangan Allah. -(Surah Al-Anfal ayat 61)

Demikian pula bahawa semua hukum kemasyarakatan Islam dan tradisi Nabi SAW seperti memberi salam, menjabat tangan, tersenyum, melaksanakan sholat Jumaat, semuanya bermaksud untuk memelihara persaudaraan, kehangatan, kedekatan dan empati di antara sesama Muslim.

Dengan kata lain, segala perilaku buruk seperti kecurigaan, pengkhianatan, fitnah, bohong dan sebagainya dilarang. Hal ini dilakukan untuk menjaga diri daripada perpecahan dan pertentangan di antara saudara seiman.

Sesungguhnya persatuan, persamaan dan persaudaraan merupakan nilai-nilai fundamental yang menjadi asas dan tonggak kekuatan bagi perkembangan, kemajuan dan kemakmuran suatu negara.

Belasungkawa - Laila Taib

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN

Oleh FAUZI JAAFAR

James Ritchie menggambarkan Allahyarham Puan Sri Laila Taib pada awal pertemuan seperti 'terasing' atau kelihatan sombong, sinonim dengan label 'orang mat saleh' yang berada di negara Dunia Ketiga pada tahun 1960-an.

Katanya, orang yang pertama kali melihat atau bertemu dengan isteri Ketua Menteri Sarawak itu pastinya beranggapan beliau adalah seorang yang serius dan sukar tersenyum.

''Siapa yang boleh menyalahkannya (Laila). Beliau tinggi, menawan dan anggun dan saya sangka beliau akan menjadi 'mem' orang putih yang sombong.

''Namun akhirnya saya silap, beliau ternyata seorang wanita yang budiman," kata bekas wartawan dan juga seorang penulis buku mengenai Sarawak.

Allahyarham Laila Taib, 68, merupakan isteri kepada Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Taib Mahmud. Beliau meninggal dunia akibat barah pada pukul 3.40 petang Rabu lalu.

Laila yang nama remajanya Lejla Chaleck, lahir pada 1 Mac 1941 dalam sebuah keluarga Islam di Poland. Beliau bertemu Abdul Taib di Australia ketika mereka sedang menuntut, dan berkahwin di Masjid Adelaide pada 13 Januari 1959.

Abdul Taib ketika itu sedang mengikuti pengajian ijazah undang-undang. Pada 1962, Laila mengikut Abdul Taib ke Sarawak dan bergiat aktif dalam kerja-kerja kemasyarakatan. Sukar untuk menafikan bahawa Allahyarham sememangnya hidup untuk berbakti dan membuat kebajikan untuk rakyat Sarawak.

Dalam hal ini Ritchie melabelkan Laila sebagai wanita penyayang, pemurah yang mudah melemparkan senyuman.

''Saya ingat waktu Laila memulakan projek 'Heart to Heart' pada tahun 1980-an, mukanya begitu gembira sekali apabila mendukung seorang kanak-kanak perempuan kecil dan kurus yang menghidapi jantung berlubang.

''Saya mengambil gambar Laila yang memakai pakaian Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri Sarawak (Sabati) sambil beliau memeluk kanak-kanak itu," katanya.

Laila banyak menumpukan kepada kerja-kerja amal semasa hidupnya yang seolah-olah 'lampu' kepada kehidupan orang lain. Kerja-kerja amal Laila sebenarnya telah bermula sejak remaja lagi. Ia bermula pada tahun 1953 ketika Allahyarham belajar di Sekolah Tinggi Perempuan Adelaide, Australia dan berterusan ketika bergelar siswi perubatan di Universiti Adelaide pada tahun 1959.

Setelah mengikut suaminya ke Sarawak, kerja-kerja kebajikan itu diteruskan dan antara jawatan yang dipegang Allahyarham ketika hayatnya ialah Presiden Sabati sejak tahun 1982.

Beliau juga Pengerusi Pergerakan Wanita, Majlis Dakwah Islam Wilayah Asia Tenggara dan Pasifik (Reseap) sejak tahun 1983, Penaung Persatuan Bulan Sabit Merah Cabang Kuching sejak tahun 1983, Naib Presiden Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim).

Allahyarham juga Penaung Tabung Amal Kanser Laila Taib sejak Mei 2007. Ia antara aktiviti kebajikan yang paling menonjol di negeri ini kerana membantu golongan berpendapatan rendah mendapat rawatan bagi penyakit itu.

Simpati Laila kepada yang menderita tidak pernah berakhir semasa hayatnya.

Kakak ipar Allahyarham, Datin Azerina Mohd. Arip berkata, semasa perang di Sarajevo meletus, Laila mencetuskan idea untuk menyediakan tempat perlindungan kepada rakyat Bosnia. Malah beliau sendiri mengadakan majlis makan malam bagi mengutip derma untuk mangsa perang itu.

''Saya masih ingat lagi, pada suatu ketika, apabila seorang wanita Bosnia yang dikenali meninggal dunia, beliau (Laila) datang ke masjid menziarahi jenazah dan menunggu sehingga pengkebumian.

''Saya bertanya kenapa datang, Laila berkata, beliau pernah menjadi pelarian sebelum ini dan dapat merasakan perasaannya (wanita tersebut)," kata beliau.

Azerina memberitahu, ini adalah salah satu peristiwa paling menyentuh hati yang pernah beliau ketahui tentang Laila, yang pernah melarikan diri dari negara kelahirannya, Poland semasa penjajahan Jerman di Eropah pada tahun 1941.

Tidak ramai yang tahu, isteri yang berkongsi hidup selama 50 tahun dengan Abdul Taib itu tidak langsung menyentuh urusan politik suaminya. Ritchie berkata, Laila tidak mencampuri langsung urusan suaminya, tetapi menyokong penuh segala tindakan suaminya.

Ketika suaminya digasak dengan sepak terajang dunia politik Sarawak, Laila tetap berdiri teguh dan memberi sokongan sepenuh hati kepada suaminya.

Ibu kepada empat anak, iaitu Jamilah Hamidah, Mahmud Abdul Bekir, Timbalan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman dan Hanifah serta 15 orang cucu adalah seorang yang berdisiplin dalam membesar anak-anaknya.

Sikap lemah lembut Allahyarham menjadikan beliau seperti anak tempatan dan bukannya 'mem mat salleh' yang sukar didekati. Abdul Taib kini kehilangan inspirasinya manakala Sarawak kehilangan ibu serta wanita yang mengambil berat kebajikan rakyat.

RHB Islamic tawar pinjaman tanpa penjamin

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN

RHB Islamic Bank, cabang perbankan Islam RHB Banking Group, memudahkan keperluan pelanggannya yang mahukan bantuan kewangan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang.

Produk terbarunya, Personal Financing-i, memastikan bantuan kewangan itu segera diperoleh tanpa perlu menyediakan penjamin.

"Dalam tempoh yang mencabar seperti sekarang, wang lebih dalam tangan pastinya membantu melegakan fikiran mereka yang ingin memenuhi keperluan peribadi. Bagi Personal Financing-i pemohon tidak perlu bersusah payah mencari penjamin," kata Pengarah Urusan RHB Islamic Bank, Jamelah Jamaluddin, dalam kenyataannya di sini hari ini.

Produk berlandaskan konsep syariah Murabahah Tawarruq itu menawarkan tempoh pembayaran fleksibel dari minimum 24 bulan hingga maksimum 84 bulan.

Ciri khusus Personal Financing-i ialah perlindungan Takafulnya, yang menyediakan perlindungan bagi membayar baki pinjaman kepada RHB Islamic Bank, jika berlaku kematian atau kehilangan keupayaan kekal peminjam.

Memandangkan ia memenuhi keperluan pasaran semasa, RHB Islamic yakin Personal Financing-i akan mendapat sambutan hangat.

"Dengan kadar yang kompetitif, tempoh bayaran yang fleksibel dan kelulusan dalam tempoh 48 jam, kami yakin kami akan mencapai sasaran pembiayaan bernilai RM45 juta dalam setahun ia beroperasi," kata Jamelah.

Produk ini adalah bagi semua rakyat Malaysia berusia di antara 21 dengan 65 tahun ketika permohonan dibuat.

Pemohon yang mempunyai pendapatan tahunan sebanyak RM30,000 layak mendapat pembiayaan 5.5 kali gaji bulanan mereka manakala mereka yang berpendapatan RM18,000 setahun layak bagi pembiayaan sebanyak 3.5 kali.Pembiayaan bermula dari minimum RM5,000 hingga maksimum RM150,000.

- UTUSAN

Lagi siaran berita RTM diubah

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN

Waktu siaran berita dalam bahasa Inggeris, Tamil dan Mandarin yang disiarkan di TV2 Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan diubah kepada waktu perdana mulai esok.

Ini bermakna berita bahasa Inggeris akan disiarkan pada pukul 7 malam hingga 7.30 malam, berita Tamil pada pukul 7.30 hingga 8 malam manakala berita Mandarin akan bermula pukul 8 malam hingga 8.30 malam.

Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan, Senator Heng Seai Kie berkata, perubahan waktu siaran itu dibuat berasaskan maklum balas terhadap jadual siaran yang diperkenalkan oleh RTM pada 20 April lalu.

"Langkah penambahbaikan dengan mengubah waktu siaran berita dilakukan demi kepentingan masyarakat berbilang kaum di negara ini,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah RTM, Datuk Norhyati Ismail dan Pengarah Berita Ehwal Semasa, Mohamad Mat Hussin.

Seai Kie berkata, berita bahasa Inggeris (Daybreak) juga ditambah siarannya pukul 7 pagi hingga 7.30 setiap hari.

Bagaimanapun menurutnya, Galeri Perdana Mandarin pula terus kekal siarannya pada pukul 12.20 tengah hari hingga 12.30 tengah hari setiap Isnin hingga Jumaat.

Pada 20 April lalu, semua rancangan berita itu diubah dan dikembalikan semula siarannya di TV2, bagaimanapun ia mendapat rungutan daripada penonton-penontonnya.

Ramai penonton kaum Cina dan India tidak berpuas hati kerana mereka sering terlepas untuk mengikuti siaran berita dalam bahasa ibunda masing-masing disebabkan ketika itu berada di tempat kerja.

- BERNAMA

Dua jawatan tertinggi Pas mesti ulama

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN

Oleh AZRAN FITRI RAHIM

Dua jawatan tertinggi Pas iaitu Presiden dan Timbalan Presiden perlu disandang oleh golongan ulama yang mempunyai pendidikan formal dan berpengetahuan tinggi dalam bidang agama.

Ketetapan yang dibuat oleh Dewan Ulama Pas itu bagi memastikan dasar parti untuk menubuhkan sebuah negara Islam diteruskan pada masa akan datang.

Ketuanya, Datuk Mohamed Daud Iraqi sehubungan itu meminta ahli-ahli parti mengutamakan kepimpinan ulama kerana dua pemimpin tertinggi itu berperanan memberikan nasihat dan memastikan hala tuju parti bertepatan dengan ajaran Islam.

“Bagi saya, kedua-dua jawatan tertinggi itu mesti alim ulama, siapa yang tawarkan diri tidak kira sebab masing-masing hendak naik, cuma kita orang parti ada pertimbangan sendiri. Mesti utamakan kepimpinan ulama. Nombor satu dan dua mesti ulama.

“Untuk jawatan lain tidak apa. Intelek atau profesional,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas pemilihan parti Jun ini yang dijangka menyaksikan saingan sengit untuk jawatan Timbalan Presiden yang dikaitkan dengan hala tuju sebenar parti.

Penyandang jawatan, Nasharuddin Mat Isa telah mengesahkan untuk mempertahankan jawatan itu. Antara nama yang disebut-sebut akan mencabarnya ialah dua Naib Presiden, Datuk Husam Musa dan Mohammad Sabu selain Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali.

Bagaimanapun Husam hanya membayangkan untuk menawarkan diri bagi jawatan tersebut berdasarkan perkembangan semasa terutama apabila timbulnya keraguan tentang ‘hubungan sulit’ Pas-UMNO.

Ketika ditanya adakah Nasharuddin masih layak untuk mengekalkan jawatannya, Mohamed berkata, Nasharuddin dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang merupakan pemimpin aliran agama.

“Kalau tidak ada aliran agama tidak boleh. Kalau ada yang lebih baik daripada Nasharuddin, perwakilan boleh membuat pilihan.

“Tidak boleh (bukan ulama memimpin). Kita kena ikut dasar agama, tengok sejarah zaman dulu Saidina Abu Bakar, Umar, Osman, Ali dan Muawiyah semuanya golongan ulama.

“Selepas itu, pemimpin jahil seperti Yazid Muawiyah mengambil alih kepimpinan, dia buat benda bertentangan dengan Islam sehingga menyebabkan negara menjadi kucar- kacir,” jelasnya.

Beliau menambah, tanggapan sesetengah pihak bahawa golongan profesional amat sesuai memegang jawatan Timbalan Presiden adalah tidak tepat.

Menurutnya, ia jelas apabila kepimpinan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat disukai oleh kaum lain seperti Cina dan India.

Dalam pada itu, Mohamed mengumumkan untuk melepaskan jawatannya sebagai Ketua Dewan Ulama disebabkan faktor usia dan kesihatan pada muktamar kali ini.

"Saya sudah buat keputusan untuk menarik diri daripada jawatan ini. Kita buat keputusan untuk mencadangkan beberapa nama bagi menggantikan saya antaranya Datuk Haron Taib dan Datuk Ahmad Yakob," katanya.

Wabak selsema babi semakin serius

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) semalam meningkatkan langkah berjaga-jaga terhadap wabak selesema kepada fasa lima atau kurang setingkat di bawah tahap maksimum.

Peningkatan itu menandakan dunia di ambang wabak besar-besaran atau pandemik berikutan wabak selesema babi yang telah meletus di Mexico dan merebak ke seluruh dunia.

“Saya mengambil keputusan untuk meningkatkan langkah berjaga-jaga terhadap pandemik influenza daripada fasa empat kepada fasa lima,’’ umum Ketua Pengarah WHO, Margaret Chan semalam.

“Langkah ini menjadi isyarat kepada kerajaan, kementerian kesihatan dan industri farmasi di seluruh dunia bahawa tindakan tertentu kini perlu diambil dengan kadar lebih segera,” katanya.

Beliau membuat pengumuman tersebut selepas mesyuarat tergempar pakar pandemik agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu.

Chan berkata, semua negara kini perlu segera mengaktifkan pelan persiapan menghadapi pandemik.

Beliau menegaskan ancaman yang timbul berikutan wabak selesema babi yang tertumpu di Mexico dan Amerika Syarikat (AS) ‘mesti dipandang serius’ kerana seluruh umat manusia terancam jika berlaku pandemik.

Fasa lima, iaitu kurang selangkah sebelum fasa enam yang menandakan pandemik, digambarkan sebagai ‘isyarat tegas bahawa pandemik boleh berlaku tidak lama lagi dan tempoh untuk menyiapkan langkah-langkah pengawalan yang dirancangkan adalah singkat’, menurut WHO.

Chan menjelaskan, pakar memutuskan untuk meningkatkan langkah berjaga-jaga itu kerana kes jangkitan ‘berterusan’ daripada manusia kepada manusia bukan sahaja berlaku di Mexico tetapi juga di AS.

“Apabila kita mendapati dua negara yang terletak di satu kawasan WHO menunjukkan penyebaran sedemikian, kita melangkah kepada fasa lima,” kata beliau.

Sungguhpun boleh difahami bahawa penduduk kini berasa bimbang, isu kesihatan itu perlu ditangani dengan tenang.

“Adalah penting kita tidak bertindak secara keterlaluan, sebaliknya kita perlu mengambil sikap bertenang supaya kita boleh terus mengurus wabak ini secara rasional,” katanya.

Beliau juga menegaskan, WHO tidak mengesyorkan penutupan sempadan atau mengehadkan pergerakan manusia atau barangan.

Disebabkan persiapan yang dilakukan berikutan wabak selesema burung, negara-negara juga dalam keadaan lebih bersiap sedia untuk menangani pandemik.

“Langkah-langkah persiapan yang diambil disebabkan influenza H5N1 merupakan pelaburan dan kita sekarang memanfaatkan pelaburan ini,” kata Chan.

Di bawah peraturan WHO, fasa enam atau pandemik akan dicapai jika atau bila virus selesema babi didapati merebak secara berterusan antara manusia di pekan-pekan atau dalam komuniti lebih luas di sekurang-kurangnya sebuah benua lain selain benua Amerika.

- AFP

Dating Advice: 5 Traits That Bag a Boyfriend

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN

Here are the qualities that make you more desirable to guys. Think of it as your pre-dating to-do list.

1. You're just that into yourself. A woman may have smarts, sensual appeal, and a sense of humor, but if she doesn't have self-confidence, most guys will take a pass. Single women with low self-esteem come across as extremely needy, explains Jim Houran, PhD, relationship psychologist. They have to be the center of attention and are constantly looking for reassurance and compliments. And even if you find a guy who at first is willing to be your personal cheerleader, before long he's probably going to start to agree with all the demeaning stuff you say about yourself and take a hike.

Surprisingly, the way to show you aren't that girl isn't necessarily to promote yourself, but rather to simply display interest and curiosity in the guy, says Houran. He'll take that willingness to share the spotlight and put someone besides yourself first as a sign of confidence.

2. You've got a burning passion... and not just for him. Whether it's a hobby, a job, classes, or a buzzing social life, single men are undeniably attracted to women with clear interests and lots of enthusiasm, according to Houran. It's as easy as dropping a few subtle hints about, say, the adventure you and your friends went on last weekend or how psyched you are to be on a new project at work. The benefits are twofold: The guy won't feel totally responsible for your happiness -- a huge weight to put on a new love interest -- and he'll be more inclined to want to be a part of your multifaceted life.

3. You know how to compromise. This is one of the most important skills to have if you're looking to get into a long-term relationship, emphasizes Houran.
Being flexible is a huge turn-on to guys, since it means less conflict and a smoother partnership in general, he adds. If a guy senses that the girl he's dating isn't willing to try to meet both their needs, he envisions a future of trivial disagreements, fighting, and ultimatums -- not exactly the makings of a happy twosome. Prove you know how to compromise early on by letting him weigh in on the restaurant choice or not acting annoyed if he needs to reschedule plans.

4. You dress for guys, not girls. If you're not turning heads, it could be because you dress to appeal to a woman's taste and not a man's taste. Skinny jeans, babydoll dresses, peasant tops -- all super cute, but you might as well be wearing a Snuggie. Men want to see curves, so stick with boot-cut jeans and a top that shows off your shoulders and waist. Just don't reveal too much, since that can come off as desperate.

5. You're over your ex. Nothing kills a budding romance quicker than being hung up on an old boyfriend. So before you get serious with a new guy, make sure you're not hoping -- or worse, trying -- to get back together with the ex or looking for someone just like him. It's relationship-repelling for two reasons: No eligible bachelor wants to feel like he's in an unwinnable competition, and if you're living in the past, you won't truly be motivated to meet and make a connection with new guys. So ladies, move on and get an upgrade.

Reprinted with permission of Hearst Communications, Inc.

1Malaysia songwriting contest

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN

The Information, Commu­nications and Culture Ministry is organising a 1Malaysia song writing competition based on the “People First, Performance Concept” mooted by Prime Minister Datuk Seri Najib Tun Razak.

The Information Department, in a statement yesterday, said the competition was open to all professional and amateur Malaysian song composers.

“The objective is to popularise patriotic songs among Malaysians, showcase talents in this genre besides instilling the spirit of patriotism among the people,” the statement said.

The songs, presented in CD format with accompaniment of at least one musical instrument or piano score, must be an original composition and should not exceed two minutes.

A hard copy of the lyrics must also be submitted. The forms for submission can be downloaded from the following websites www.moi.gov.my or www.orkestrartm.my

Queries can be directed to RTM’s Music Division at 6032288 7853. Closing date is June 15.

- BERNAMA

Pilihanraya kecil di Selangor?

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN


ADUN Kota Alam Shah, M Manoharan yang sedang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dipercayai sedang menimbang untuk mengosongkan kerusi tersebut, demikian Malaysiakini difahamkan.

Satu sumber yang rapat dengan peguam tersebut berkata, beliau semakin kecewa kerana tidak dapat memberi khidmat kepada para pengundinya di DUN tersebut.

"Beliau juga menyedari bebanan yang ditanggung oleh isterinya yang terpaksa menjadi wakilnya semasa ketiadaannya sekarang," tambah sumber itu.

"Isterinya, S Pushpaneela (kanan), terpaksa membahagikan masanya antara menjaga empat anak-anak mereka, menjaga firma guamannya dan kawasan pilihanrayanya," kata sumber itu lagi.

Manoharan ditahan di bawah ISA pada 13 Disember 2007 bersama empat lagi pemimpin Hindraf.

Beliau merupakan penasihat undang-undang Hindraf, yang telah diharamkan oleh kerajaan.

Manoharan bertanding atas tiket DAP di DUN tersebut dalam pilihanraya umum tahun lalu, dan berjaya menewaskan calon BN dari Gerakan, Ching Su Chen dengan majoriti 7,184 undi.

- MALAYSIAKINI

Lagi kelibat Ayah Pin - Tinggal di Narathiwat, bebas keluar masuk Rantau Panjang

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN


Lagi dakwaan ternampak ketua ajaran sesat Kerajaan Langit, Ayah Pin. Ini ekoran dakwaan orang ramai yang terlihat kelibat Ayah Pin yang hilang sejak 2005 itu di Rantau Panjang, Kelantan baru-baru ini.

Seorang peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Abey mendakwa, dia pernah melihat kelibat seorang lelaki mirip Ayah Pin atau nama sebenarnya, Ariffin Mohamad, 69, sebanyak dua kali di Pekan Rantau Panjang yang terletak berdekatan sempadan Thailand.

"Kali pertama saya nampak dia (Ayah Pin) membonceng motosikal menuju masuk ke pekan ini dari arah Siam (Thailand) awal tahun ini.

"Terbaru, kira-kira tiga minggu lepas saya nampak lagi dia (Ayah Pin) semasa dia berhenti di hadapan sebuah gerai," katanya kepada Kosmo! di Jerteh di sini, kelmarin.

Menurut Abey, setelah terserempak dengan lelaki mirip Ayah Pin itu sekali gus membuatkan dirinya percaya dakwaan yang mengatakan Ayah Pin kini tinggal di sebuah kampung di Narathiwat, Thailand selepas melarikan diri dari markasnya di Hulu Besut, Terengganu empat tahun lalu.

Abey memberitahu, semasa terserempak dengan Ayah Pin, dia sempat merakam gambar lelaki tersebut menggunakan kamera telefon bimbitnya.

Katanya, dia menghampiri Ayah Pin dan menyapanya, namun lelaki itu bertindak meninggalkan tempat tersebut secara tergesa-gesa dengan membonceng sebuah motosikal dengan nombor pendaftaran negara jiran berkenaan.

- KOSMO!

Apa yang lelaki mahu?

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN

Persoalan yang sering bermain di fikiran wanita moden - apakah yang lelaki mahu?

Dalam perhubungan, adakah hanya wanita yang merana kerana lelaki tidak pernah menghargai kehadirannya?

Ketika menempuh fasa sukar dalam perhubungan yang semakin goyah, hanya wanita bertaruh nyawa demi mempertahankan hubungan.

Lelaki semakin ‘berubah rupa’, tidak lagi mempertaruhkan kesetiaan sedangkan sebelumnya tugu cinta sentiasa ampuh.

Keadaan ini menghantui sebahagian wanita yang belum mampu memahami sikap teman lelaki atau suami.

Lebih membingungkan, wanita tidak faham apa yang lelaki cari dalam sesebuah perhubungan.

Renung perkara berikut, mungkin ia merungkai kebingungan wanita mengenai lelaki:

Apa yang mereka cari dalam perhubungan?

Ia satu soalan yang kompleks dan tiada jawapan mudah, namun asas permulaan bagi membina sesebuah hubungan adalah minat, cinta dan tarikan kasih sayang.

Apa yang lelaki mahu dalam aspek berkenaan? Jauh di sudut hati, lelaki mahu isteri atau teman wanita yang boleh dipercayai, setia serta boleh berkongsi hal peribadi.

Lelaki juga mencari wanita yang mempunyai keseimbangan antara sifat semula jadi wanita yang feminin serta pada masa sama, teguh dan kuat.

Mereka suka wanita lemah lembut, penyayang, matang, belas ihsan namun berpendirian teguh, tegas, berdikari serta bijaksana.

Teman yang tegas jadi penyokong

Lelaki mencari wanita yang boleh jadi ibu kepada bakal anak-anaknya, teman berbual dan berkongsi jenaka.

Pandai bergurau dan mampu berkomunikasi dengan baik antara ciri yang sangat penting. Lelaki suka memiliki wanita yang menyokong mereka dan bukannya membebel, tegas tetapi bukan pendera atau pemarah.

Rakan yang mengujakan

Lelaki suka wanita yang dapat merangsang dan mencabar minda, bukan sekadar berserah kepada takdir.

Komitmen, keakraban dan hubungan jangka panjang juga penting kepada mereka. Lelaki juga suka hubungan yang mengutamakan elemen hormat menghormati dan persefahaman.

Pandangan daripada perspektif fizikal dan psikologi

Anda mungkin mengatakan yang lelaki menginginkan wanita yang cantik, seksi dan bergaya.

Tidak dinafikan lelaki mudah tertarik dengan penampilan fizikal, tetapi tarikan nafsu atau seks hanya di peringkat permulaan. Peringkat seterusnya, lelaki lebih berminat kepada hubungan yang lebih stabil.

Lelaki pada usia 20, 30 dan 40 tahun

Usia 20-an bagi lelaki adalah masa untuk berseronok dan mempersiapkan diri ke alam rumah tangga. Lelaki akan cuba mencari wanita cantik dan menayangkannya pada dunia.

Pada usia 30-an, lelaki mula mengharapkan sedikit kestabilan dan kewarasan dalam hidupnya. Oleh itu, dia mencari wanita yang boleh dijadikan isteri untuk berkongsi hidup.

Ketika menginjak usia 40-an, dia akan menjadi lebih sensitif dalam proses mencari makna sebenar kehidupan. Pada usia ini, mungkin timbul kesedaran untuk mengukuhkan lagi hubungan (perkahwinan) sedia ada.

Begitupun, peringkat kematangan lelaki ini tidak boleh diaplikasikan pada semua lelaki kerana sesetengah bergerak lebih pantas dari satu peringkat ke satu peringkat.

SEMAKAN STATUS KEMASUKAN KE IPTA (LEPASAN SPM) SESI 2009/2010

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN

Status permohonan kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau yang setaraf dengannya boleh dibuat mulai 12 tengah hari 1 Mei 2009.

Kementerian Pengajian Tinggi dalam satu kenyataan berkata status boleh disemak melalui talian Helpline 03-88835848, Hotline 03-88835858, laman web http://upu.mohe.gov.my; www.ipt.utm.my dan http://ipt.uum.edu.my ataupun menerusi sistem pesanan ringkas dengan menaip UPU RESULT (nombor kad pengenalan) dan hantar ke 15888.

"Calon boleh mencetak surat tawaran melalui laman web IPTA mulai 4 Mei ini dan pihak IPTA akan mengeluarkan surat tawaran rasmi kepada calon yang berjaya pada tarikh yang sama," kata kenyataan itu.

Mulai sesi akademik 2009/2010, semua calon yang berjaya wajib membuat pengesahan setuju untuk menerima tawaran dari IPTA dalam tempoh tujuh hari pada atau sebelum 10 Mei dan pengesahan penerimaan tawaran boleh dibuat melalui laman web IPTA.

Tarikh pendaftaran baru ke IPTA adalah 28 Jun ini, bagaimanapun pendaftaran pelajar ke Program Asasi akan dimaklumkan oleh IPTA berkenaan melalui surat tawaran.

Kementerian juga bersetuju melaksanakan dasar tawaran terbuka dengan pelbagai institusi dan agensi penaja yang menawarkan program pengajian tersebut, justeru ramai calon cemerlang SPM 2008 akan menerima lebih daripada satu tawaran.

"Pemohon yang berjaya perlu membuat keputusan yang bijak dan tepat serta mendaftar ke program yang dipilih mengikut jadual yang ditetapkan. Bagi pemohon yang tidak berjaya ke IPTA tetapi menerima tawaran ke institusi lain dinasihatkan mendaftar ke program berkaitan kerana tawaran tempat ke IPTA adalah terhad," kata kenyataan itu.

Hanya calon gagal menerima sebarang tawaran ke IPTA dibenarkan mengemukakan rayuan melalui aplikasi e-Rayuan ke Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi dalam tempoh 10 hari bekerja selepas keputusan rasmi permohonan kemasukan ke IPTA diumumkan melalui http://upu.mohe.gov.my.

Tarikh tutup permohonan e-Rayuan adalah pada 15 Mei dan keputusan rayuan akan dimaklumkan pada minggu ketiga Julai.

Jika tiada sebarang tawaran diterima dari IPTA sehingga 31 Julai maka rayuan mereka dianggap gagal.

SEMAKAN KEPUTUSAN KEMASUKAN
https://upu.mohe.gov.my/semakspm/index.php

- BERNAMA

Babi punya kes, khinzir dapat nama

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN

Masih ingatkah satu pepatah lama: Lembu punya susu, sapi dapat nama. Di Kuala Lumpur sehari dua ini lain pula ceritanya: Babi punya kes, khinzir dapat nama. Semuanya gara-gara perisytiharan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai satu wabak baru, ‘swine flu’, yang sehingga semalam telah meragut 152 nyawa.

Maka ada percanggahan istilah di kalangan ahli-ahli bahasa Melayu. Ada yang menyebut wabak maut yang baru dikesan itu sebagai ‘selesema khinzir’. Beberapa akhbar dan stesen radio/TV menggunakan istilah ini. Ada pula media yang memilih untuk menggunakan ‘selesema babi.’

Secara peribadi saya lebih suka sebut ‘selesema babi’. Ulang sekali lagi, babi, bukan khinzir. Tidaklah diketahui mengapa kita perlu menggunakan khinzir, pada hal haiwan gemuk pendek berkaki empat dan bermuncung dempak itu memang istilah bahasa Melayunya ialah babi. Sekiranya istilah khinzir itu adalah dari bahasa Arab (saya tidak pasti), apa perlunya si babi itu mesti diarabkan?

Kalau si kaki pendek itu disebut dalam istilah Arab, apa kata jika nanti ada yang menuntut supaya haiwan-haiwan lain kita juga disebut dalam bahasa Arab? Contoh: ‘Al-baqarah’ itu ertinya lembu (maaf, saya juga tidak pasti ini sebab saya tidak tahu bahasa Arab), bolehkah lembu diganti dengan al-baqarah.

Tentu sekali kedengaran janggal sekiranya orang bercakap begini: “Rendang al-baqarah kenduri kahwin di rumah Puan Sri tu sedap betul.” Atau, tentu mamak penjual sup terkenal di Bangsar akan terkejut apabila seorang pelanggan tetapnya berkata: “Mamak, tolong bungkus sup al-baqarah special!”

Lagi pun sekiranya babi ditukar kepada khinzir, banyak juga istilah asal kita akan berubah. Kita tidak boleh lagi kata ‘babi tonyok’ tetapi ‘khinzir tonyok’. ‘Babi hutan’ jadi ‘khinzir hutan’. Penyakit Melayu lama ‘gila babi’ pun kena tukar menjadi ‘gila khinzir’, ‘sawan babi’ jadi ‘sawan khinzir’. Kesian, nama ‘siput babi’ yang sudah sekian lama popular dalam perbendaharaan kata kita, tiba-tiba jadi ‘siput khinzir’.

Kesimpulannya, kita jangan guna khinzir, sebaliknya kekalkan babi. Saya tidak fikir istilah babi berbau perkauman walaupun daging haiwan tersebut memang disukai oleh kaum-kaum tertentu di negara ini.

Ketepikan dulu masalah istilah, di tempat kita babi sebenarnya tidak putus-putus dengan kontroversi. Isu babi selalu sama hangat dengan isu politik. Malah, ada ketika-ketika tertentu babi sengaja dipolitikkan untuk menghangatkan suasana. Contoh: cadangan projek ternakan babi di Sepang, Selangor.

Projek bernilai RM100 juta itu tercetus beberapa hari setelah Pakatan Rakyat (PR) berkuasa di Selangor, berikutan tsunami politik Mac 2008 yang menyaksikan Barisan Nasional kehilangan majoriti dua pertiga di peringkat pusat, dan terlepas lima negeri (kini tinggal empat) ke tangan pembangkang.

BN, khasnya UMNO, menghentam PR, terutama Menteri Besar, Khalid Ibrahim, habis-habisan kerana hendak melaksanakan projek babi. Khalid dianggap tidak peka terhadap orang Melayu. PR dituduh terlalu tunduk kepada Cina hingga tergamak membuat ladang babi di kawasan Melayu. Babi punya fasal politik Selangor menjadi hangat.

Kemudian terpecahlah tembelang sebenar bahawa projek RM100 juta di Sepang itu sebenarnya adalah projek asal kerajaan negeri sebelumnya. Bahawa Kerajaan BN sebelumnya yang telah meluluskan projek berkenaan. Malah, PR mengedarkan gambar rombongan beberapa orang YB dan Exco BN ke sebuah negara penternak babi terbesar di Eropah.

Sepuluh tahun sebelum kontroversi di Sepang, babi menjadi berita hangat di Negeri Sembilan. Oktober 1998, virus nipah meragut lebih 100 nyawa apabila wabak JE (Japanese Encephalitis) menyerang ladang babi di Bukit Pelanduk. Pecahlah tembelang bahawa di negeri beradat itu wujud sekian banyak kawasan ternakan babi secara haram.

Wabak JE bukan sahaja meragut banyak nyawa, tetapi telah menonjolkan Malaysia di peta dunia sebagai negara pengeluar babi terbesar di Asia Tenggara. Dianggarkan berjuta ekor babi diternak di Bukit Pelanduk.

September 2007, babi sekali lagi membuat onar, kali ini di bumi Hang Tuah, Melaka Negeri Bersejarah. Kawasan ternakan babi di Paya Mengkuang dan Bukit Beruang telah terlebih babi. Dua kawasan tersebut sepatutnya hanya boleh menampung 48,000 babi, tetapi bilangannya telah meningkat hingga lebih 100,000 sehingga mengganggu ketenteraman persekitaran. Kalau Hang Tuah masih hidup pasti madah popularnya ‘tak kan Melayu hilang di dunia’ akan ditukar menjadi ‘tak kan babi hilang di Melaka.’

Sehari dua ini babi sekali lagi membuat orang panik, apabila WHO menghebahkan berita menakutkan mengenai ‘selesema babi’. Mulanya dikesan di Mexico, tetapi kini sudah merebak di Amerika dan beberapa negara Eropah. Asia, termasuk Malaysia, tidak terkecuali dari bahaya maut itu. Betullah, kalau sudah babi, babi juga. Memang babi. Maka, awasilah si kaki pendek bermuncung dempak itu.

Phuket kembali segar

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN


Jika tidak terpandang papan tanda 'evacuation route', pasti ada yang terlupa Phuket turut menerima kesan buruk bencana tsunami akhir 2004.

Apa tidaknya, pantai Patong yang terjejas teruk akibat tragedi itu, kini sesak dengan kebanjiran pelancong asing untuk pelbagai aktiviti rekreasi air.

Wajah Eropah di setiap pelosok pulau menguatkan lagi andaian. Phuket tidak lagi suram, tetapi kembali bangkit menjadi pilihan pelancong antarabangsa di rantau ini.

Patong seperti dulu masih menjadi tumpuan utama pelancong. Mulai tengah hari, ia mula dibanjiri pelancong untuk aktiviti rekreasi air seperti luncur angin, jet ski dan paragliding.

Bangla Road menempatkan gerai dikuasai penjaga kedai warga Bangladesh pula lokasi utama beli-belah di Phuket.

Harganya, walau tidak semurah di Bangkok, tetapi masih berpatutan jika anda pandai menawar.

Wajah sebenar Patong hanya tersingkap selepas senja. Dari kafe, pub dan restoran, semua berlumba-lumba menyajikan pelbagai hiburan dan persembahan eksotik.

Kunjungan ke Phuket kurang lengkap jika tidak mengunjungi Koh Phang Nga atau Pulau James Bond dan Koh Phi Phi.

Wakil media dari ibu kota yang diterbangkan Firefly ke pulau peranginan itu, baru-baru ini turut berpeluang menikmati pemandangan indah Phang Nga Bay.

Untuk ke sana, kami dibawa meninggalkan pulau ke tanah besar menerusi jambatan baru untuk ke jeti Surakhorn.

Perjalanan dengan bot selama 45 minit kemudian akan menyusuri hutan paya laut dan pulau batu kapur setinggi 300 meter (m) yang seakan-akan bertaburan di Laut Andaman.

Menariknya, perjalanan ini memberi peluang pengunjung menyaksikan keunikan pelbagai bentuk

stalaktit dan stalagmit apabila memasuki gua batu kapur.

Destinasi dituju adalah Koh Phang Nga, pulau yang menjadi latar filem James Bond: The Man With The Golden Gun (1974).

Watak Roger Moore sebagai Bond dalam filem ini menentang pembunuh upahan termahal dunia, Francisco Scaramanga, sekali gus meletakkan nama pulau ini di peta pelancongan dunia.

Setiap hari, ratusan bot membawa pelancong yang ingin merakamkan gambar bersama Ko Tapu, batu kecil berbentuk jarum yang dirakamkan dalam babak penting filem ini.

Pantainya agak landai, namun perairannya kurang sesuai untuk aktiviti mandi manda.

Pelancong juga gemar merakamkan gambar pada kesan rekahan batu yang tergelincir akibat gempa bumi dasar laut ribuan tahun lalu.

Dalam perjalanan pulang, kami singgah di Koh Panyi, untuk menikmati makanan laut segar di restoran terapung milik penduduk Islam.

Menurut pemandu pelancong kami, May, pulau itu mendapat namanya daripada perkataan panji atau bendera dan dihuni oleh penduduk Islam dan mempunyai masjid dengan kubah keemasan.

Katanya, ketika tsunami, kampung atas laut seluas padang bola sepak tidak terjejas kerana dilindungi pulau batu kapur di sekelilingnya.

Lawatan setengah hari ke Koh Phang Nga meliputi pengangkutan pergi balik dari hotel ke jeti, kembara paya bakau dan makan tengah hari di Koh Panyi ditawarkan pada harga sekitar RM100.

Pulang ke Phuket, ada banyak hiburan menunggu pelancong. Simon Cabaret umpamanya dibarisi 'jelitawan' Siam, aksi genit 'Tina Turner' dan lontaran vokal 'Surpreme' ternyata menghiburkan.

Bayaran hanya RM80, jauh lebih murah berbanding lebih RM100 yang perlu dibayar untuk menyaksikan 'Fantasy of a Kingdom', produksi ala Las Vegas di Phuket Fantasea.

Persembahan ini menampilkan kebudayaan Siam merentasi kerajaan lama, lagak ngeri, akrobatik, ilusi dan diserikan dengan aksi 30 gajah secara langsung selama kira-kira dua jam.

Selain pertunjukan itu, taman tema budaya dan legenda masyarakat Thai di pantai Kamala, 9 kilometer (km) dari Patong ini juga menyediakan banyak permainan untuk seisi keluarga.

Jangan terkejut sekiranya perlu melalui pemeriksaan ketat sebelum memasuki panggung khas di Palace of Elephants.

Pengunjung juga berpeluang bergambar dengan anak harimau dan memberi makan gajah sebelum persembahan bermula.

Tiket pertunjukan laris saban malam, jadi anda perlu membuat tempahan awal untuk mendapat tempat duduk yang lebih dekat dengan pentas.

Lebih istimewa, tenaga persembahan yang memakai kostum tradisional akan berbaris mengiringi anda pulang sehingga ke pintu keluar taman.

# TARIKAN LAIN

Selain Koh Phang Nga, panorama Koh Phi Phi dikelilingi batu kapur setinggi 100m begitu mempesonakan.

Hanya Phi Phi Don mempunyai penempatan penduduk manakala Phi Phi Leh tidak boleh didiami.

Keindahannya juga mengundang pembikin filem Hollywood yang menjadikannya latar filem The Beach lakonan Leonardo DiCaprio pada 1999.

Kini, Maya Bay yang menjadi pemandangan utama dalam filem dibanjiri pelancong untuk sama ada untuk berjemur dan snorkling.

Selain itu, anda boleh singgah di beberapa kem gajah, Zoo Phuket untuk bergambar dengan harimau, pusat pemuliharaan ungka atau berkelah di Air Terjun Tong Sai dan Bang Pae.

Selain itu, ada muzium dan taman orkid atau mencuba terjun lelabah di Kathu.

# PANDUAN HALAL

Nama Phuket diambil daripada perkataan Melayu, 'bukit' kerana ada banyak kawasan tanah tinggi di sekeliling pulau ini. Penduduk asalnya adalah orang laut dari Indonesia.

Mengikut peta Eropah, ia pernah digelar Junk Ceylon, juga daripada perkataan Melayu Tanjung Salang. Hampir 30 peratus penduduknya Melayu Islam sekali gus memudahkan mencari makanan halal.

Ada banyak kedai makan dan restoran makanan halal terutama di bandar Phuket. Tipnya mudah, cari kedai berhampiran masjid.

Jika datang secara berkumpulan, anda boleh mencuba Bansangduan. Pemiliknya, Kun Ali, yang fasih berbahasa Melayu berkata, restoran ini turut menyediakan sambal belacan selain tomyam.

Lima minit perjalanan dari lapangan terbang, Rojarin di pantai Naiyang amat popular dalam kalangan masyarakat tempatan. Selain itu, majoriti kedai serbaneka turut menjual hotdog halal.

# CARA KE SANA

Firefly mengadakan penerbangan dari Pulau Pinang ke Phuket pada Isnin, Rabu, Jumaat, Sabtu. Manakala, penerbangan harian terus dari Terminal 3, Subang ke Phuket akan bermula pada 1 Mei.

Tiket penerbangan laluan ini ditawarkan pada harga serendah RM88 sehala termasuk cukai dan surcaj.

Harga meliputi hidangan ringan dan had bagasi 20 kilogram untuk setiap penumpang. Maklumat lanjut, layari www.fireflyz.com.my atau hubungi hubungi 03-78454543.

Pakej percutian Firefly Holidays turut menawarkan tempahan berkumpulan yang boleh disesuaikan dengan jenis, keperluan dan bajet percutian anda.

Pertanyaan, e-mel ke groups@ fireflyz.com.my

Menonjolkan kembali ikatan persaudaraan sesama Islam

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN

Oleh NIK SALIDA SUHAILA NIK SALEH
Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang,
Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Ruang yang masih lapang, masa masih bersisa, peluang sudah terbentang dan doa sekalian umat manusia supaya sesama Muslim kembali hidup bersaudara bukan sekadar demi perpaduan dan kesejahteraan, tetapi lebih daripada itu.

Benar, Islam adalah agama mementingkan keamanan, redup hati dan sempurna sahsiah, tetapi ia bukan tuntutan ke atas seorang individu saja, tetapi buat semua.

Hari ini pertelingkahan serta perbalahan menjadi adat dan norma kehidupan lantaran manusia mula mengetepikan rasa kasih sayang sesama insan. Mengejar impian yang fana, menggadai untung nyata, mempertaruhkan janji luar biasa kerana tamak dan haloba lalu semangat persaudaraan digadai begitu saja adalah sikap tidak terjaga sedangkan Islam tidak hanya menganjurkan hubungan baik dengan Allah semata-mata, tetapi sesama manusia dan makhluk lainnya.

Allah berfirman bermaksud: "Mereka diliputi kehinaan di mana saja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang kepada tali (agama) Allah dan tali (perjanjian) dengan manusia dan mereka kembali mendapat kemurkaan daripada Allah dan mereka diliputi kerendahan. Yang demikian itu kerana mereka kufur dengan ayat Allah dan mereka membunuh nabi tanpa alasan yang benar. Yang demikian itu disebabkan mereka derhaka dan melampaui batas." (Surah Ali-Imran, ayat 112)

Islam menjamin asas persaudaraan dengan menyediakan hikmah pembinaan silaturahim bukan saja melalui hubungan kekeluargaan yang bermula dengan ikatan perkahwinan dan keturunan, tetapi kasih sayang sesama saudara seagama kerana ia memudahkan urusan dunia menuju ke akhirnya.

Asas persaudaraan dalam Islam adalah ikatan akidah teguh kepada keEsaan-Nya. Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, oleh itu damaikanlah antara kedua-dua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat." (Surah al-Hujurat, ayat 10)

Justeru, adanya hak yang perlu dipelihara seseorang Muslim terhadap saudara seagama menunjukkan betapa Islam adalah agama yang lengkap dan sempurna. Bahkan hak sama dikanunkan manusia untuk dijadikan peraturan dan perundangan supaya tiada sesiapa teraniaya.

Malah, Barat turut mendakwa hak asasi manusia adalah sesuatu yang dibina daripada norma kehidupan sejak azali yang bermula melalui hubungan sosial secara tidak terancang.

Kita dapat membayangkan betapa kalutnya dunia jika hak sebagai manusia tidak terbela, apatah lagi dunia hari ini tidak bersempadan, menjadikan fitnah dan buruk sangka mudah tersebar oleh sesiapa mengejar untung dunia. Sedangkan Islam menitipkan hikmah persaudaraan supaya tiada siapa dizalimi kerana kita semua adalah makhluk dan hamba tiada keistimewaan di sisi Dia melainkan yang bertakwa saja.

Ancaman demi ancaman ke atas umat Islam yang semakin melampaui batas kesabaran sebenarnya patut ditepis dengan menonjolkan kekuatan persaudaraan sesama kita supaya kuantiti dan kualiti menjadi nilai tambah terhadap keperkasaan agama Islam itu sendiri, bukannya dilemahkan dengan perbezaan tidak membawa kebaikan atau lencongan yang sengaja dicari kerana ego sendiri.

Sifat mazmumah yang membelenggu diri seperti hasad dengki, buruk sangka, balas dendam, takbur, riak, bongkak serta tidak reda dengan qada dan qadar Allah adalah punca putusnya silaturahim sesama Muslim hingga menghalang musyawarah ke arah penyelesaian sedangkan itulah dianjurkan al-Quran dan sunnah.

Umat Islam jauh terkebelakang berbanding bangsa lain yang mengejar peluang, bukan menjatuhkan sesama sendiri hingga akhirnya tiada siapa menang, malah diperolokkan dan dihina secara terang-terangan.

Baginda Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Jauhilah kamu akan sifat dengki kerana sifat dengki akan memakan kebaikan kamu seperti api memakan kayu atau memakan rumput." (Hadis riwayat Abu Daud)

Strategi demi strategi untuk menggagalkan persaudaraan sesama Muslim mengakibatkan umat Islam terpedaya, keamanan dicita lebur begitu saja, bahkan kehidupan aman sentosa menjadi kacau-bilau kerana propaganda begitu halus dicipta.

Lalu Islam yang sempurna dilihat orang lain sebagai agama menyebabkan umatnya bertelagah dan mencari identiti yang tidak tahu di mana letaknya. Penganut agama lain pula menggeleng kepala melihat kemunduran negara Islam di dunia yang hingga hari ini masih dibelenggu kesusahan.

Mereka pula menggembleng fikiran dan tenaga tanpa berkira waktunya untuk memastikan dunia mereka aman dan damai serta dipelihara. Seharusnya ayat Allah dijadikan panduan dalam kehidupan umat Islam.

Firman Allah bermaksud: "Dan orang yang beriman lelaki dan perempuan setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana." (Surah at-Taubah, ayat 71)

Jika diselami aspek pembinaan masyarakat Islam, Baginda Rasulullah SAW berusaha bersungguh-sungguh menjalin hubungan sesama Islam tanpa mengira latar belakang keturunan, warna kulit dan kedudukan.

Sejarah juga membuktikan bahawa belum pernah berlaku penyatuan umat sehebat kejayaan dilakukan Rasulullah SAW sehingga berjaya membina ketamadunan ummah dalam tempoh singkat.

Bukan itu saja, golongan bangsawan turut dipersaudarakan dengan golongan hamba dan mereka sanggup berkorban harta, jiwa raga, hasil perasaan kasih sayang yang dipupuk, hingga benar-benar menusuk dalam sanubari sahabat.

Malah, setiap sahabat dapat merasai mengenai nikmat persaudaraan serta perpaduan dibina berteraskan agama Allah. Hal ini dapat dilihat daripada sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Seorang mukmin terhadap seorang mukmin yang lain adalah seperti sebuah bangunan di mana sebahagiannya menguatkan sebahagian yang lain." (Hadis riwayat Muslim)

Justeru, perlu diingat kebatilan terancang pasti dapat meruntuhkan hak yang tidak diperteguhkan dengan kukuh di atas paksinya. Jika asasnya umat Islam yang menjulang panji kebenaran dan mereka berpecah-belah, tiadalah lagi upaya melainkan menunggu masanya saja.




 

KATEGORI

Artis (282) Astronomi (79) Berita (1881) Bolasepak (113) DPLI (39) Dunia (850) Ekonomi (782) Gempar (203) Hiburan (483) Islam (2210) Isu Semasa (114) Jawatan Kosong (1473) Keluarga (263) Kerjaya (1781) Kesihatan (960) Kewangan (349) Komentar (154) KPLI (91) KPLSPM (27) Mistik (49) Motivasi (616) Pendidikan (1094) Pentadbiran (218) Personaliti (210) Politik (1691) Sastera (77) Sejarah (205) Soal Jawab (85) Teknologi (757) Temuramah (19) Umum (941) Undang-Undang (220)

BLOG TERKINI