Top Ad 728x90

KALENDAR & PERISTIWA PENTING BULAN JULAI 2009

by
KALENDAR & PERISTIWA PENTING BULAN JULAI 2009
------ 1 JULAI 2009 : Semakan Keputusan KPLSPM Ambilan Julai 2009
------ 4 - 5 JULAI 2009 : Karnival Sua Rasa TV9 di Muar, Johor
------ 6 JULAI 2009 : Penamaan Calon Pilihanraya Kecil Manek Urai, Kelantan
------ 11 JULAI 2009 : Hari Keputeraan Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang
------ 14 JULAI 2009 : Hari Pengundian Pilihanraya Kecil Manek Urai, Kelantan
------ 14 - 16 JULAI 2009 : Konvokesyen Universiti Darul Iman Malaysia (UDM)
------ 15 - 16 JULAI 2009 : Konvokesyen Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
------ 18 - 19 JULAI 2009 : Karnival Kerjaya 2009 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
------ 19 JULAI 2009 : Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Negeri Sembilan
------ 20 JULAI 2009 : Hari Keputeraan Sultan Terengganu
------ 20 JULAI 2009 : Sambutan Israk Mikraj
------ 22 JULAI 2009 : Gerhana Matahari Separa
------ 23 - 25 JULAI 2009 : Persembahan Tatu ATM di Kuala Terengganu

Islam larang perpecahan

by
Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata: Selepas Allah memerintahkan orang beriman supaya berpegang dengan tali Allah dan al-Quran, begitu juga jangan berpecah belah, diterangkan kamu pula berkenaan jalan kesatuan.

Allah SWT menjelaskan pada ayat berikut dengan arahan supaya jangan ada di kalangan orang Islam berpecah belah kerana permulaan natijah perpecahan itu ialah buta daripada kebenaran seperti dalam ayat-ayat berikut.

Ayat ke-105

Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah bercerai-berai dan berselisihan (dalam agama mereka) sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan yang jelas nyata (yang dibawa oleh Nabi-nabi Allah), dan mereka yang bersifat demikian, akan beroleh azab seksa yang besar.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Sheikh Sya'rawi berkata: "Allah SWT melarang daripada mengikut hawa nafsu yang membawa kepada perpecahan sekalipun begitu mereka masih mengikut hawa nafsu yang menghumbankan mereka azab neraka".

ii. Al-Maraghi berkata: "Janganlah kamu bersikap seperti Ahli Kitab yang telah memecahbelahkan agamanya sehingga mereka berpuak-puak. Setiap puak memiliki fahaman yang bertentangan dengan golongan lain, membela ideologi dan mempropagandakannya kepada orang ramai serta menyalahkan ideologi lain sehingga mereka bersikap memusuhi dan saling berbunuhan.

"Sekiranya di kalangan mereka ini ada sekelompok orang yang menyuruh berbuat kebaikan, mencegah melakukan kemungkaran, dan berpegang dengan tali Allah serta mempunyai satu tujuan nescaya tidak akan wujud perselisihan dalam urusan agama dan tidak akan berlakunya perpecahan".

iii. Muhammad Quraish Shihab berkata: "Ayat ini menyindir mereka yang berkelompok-kelompok seperti Yahudi dan Nasrani. Allah SWT melarang orang-orang beriman menyerupai kelakuan mereka dan apa sahaja yang berkaitan dengannya.

"Ini kerana mereka lebih mementingkan kelompoknya dan terbawa oleh keinginan nafsu atau kedengkian sesama mereka. Ia juga boleh menyebabkan perselisihan yang teruk sampai membawa kepada pergaduhan dan pembunuhan. Alangkah buruknya kelakuan mereka. Justeru, diperintahkan oleh Allah kepada Nabi untuk membimbing mereka ke jalan yang benar dan sempurna".

Ayat ke-106

Firman Allah SWT yang bermaksud: (Ingatlah akan) hari (kiamat yang padanya) ada muka (orang-orang) menjadi putih berseri, dan ada muka (orang-orang) menjadi hitam legam. Adapun orang-orang yang telah hitam legam mukanya, (Mereka akan ditanya secara menempelak): "Patutkah kamu kufur ingkar sesudah kamu beriman? Oleh itu rasalah azab seksa neraka disebabkan kekufuran kamu itu".

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Al-Mawardi dalam al-Nukat berkata: "Mereka yang kafir selepas beriman ada empat pendapat:

- Mereka yang kafir selepas menzahirkan iman dengan nifak. Inilah pendapat al-Hasan.

- Mereka yang kafir dengan murtad selepas Islam. Inilah pendapat Mujahid.

- Mereka yang kafir daripada ahli Kitab dengan Nabi SAW selepas beriman dengan sifat Nabi. Inilah pendapat al-Zajjaj.

- Semua orang kafir kerana mereka berpaling daripada yang mewajibkannya ikrar dengan Tauhid. Inilah pendapat Ubai bin Ka'ab.

ii. Berkenaan dengan mereka yang hitam muka atau wajah ada lima pendapat seperti yang dinukilkan oleh Ibn al-Jauzi dalam Zad al-Masir :

- Mereka golongan Haruriyah atau Khawarij. Inilah pendapat Abu Umamah dan Abu Ishaq al-Hamazani.

- Golongan Yahudi. Inilah pendapat Ibn Abbas r.a.

- Golongan munafik. Inilah pendapat al-Hasan.

- Ahli Bidaah. Inilah pendapat Qatadah.

iii. Al-Maraghi berkata: "Perkataan putih adalah simbol kegembiraan, manakala perkataan hitam pula simbol kesedihan.

"Hal ini digunakan secara umum dalam menyatakan keadaan yang berlawanan.

Bagi orang yang berdusta dilukiskan sebagai orang bermuka hitam, sebagaimana kata seorang penyair: "Oleh kerana itu, takjublah kamu kepada si bermuka hitam, si pendusta".

iv. Al-Sonhadji berkata: "Adapun orang yang bermuka hitam dimasukkan ke dalam neraka lalu kedengaran suara

Ayat ke-107

Firman Allah SWT yang bermaksud: Adapun orang-orang yang telah putih berseri mukanya, maka mereka berada dalam limpah rahmat Allah (syurga), mereka kekal di dalamnya.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Al-Maraghi berkata: "Mereka yang mukanya menjadi putih kerana bersepakat dan tidak bercerai-berai, maka mereka akan kekal dalam kenikmatan di dunia ini selagi mereka bersatu. Mereka akan kekal mendapat rahmat Allah SWT di akhirat kelak".

ii. Al-Sonhadji berkata: "Orang-orang yang putih mukanya disebabkan bersatu padu sesama mereka, tidak bertelingkah di dalam agama dan tidak berpecah belah, mereka itu akan hidup di dunia dalam kenikmatan dan bakal dirasakannya pula di akhirat dengan berkekalan".

iii. Sheikh Mutawalli Sya'rawi memahami kata rahmat Allah di atas dalam maksud yang lebih luas dari syurga.

Syurga adalah sebahagian dari rahmat Allah SWT. Syurga adalah sesuatu yang diciptakan Allah dan kekal kerana-Nya.

Oleh yang demikian, rahmat Allah jauh lebih luas daru syurga-Nya. Dengan rahmat-Nya semua makhluk boleh mendapat keredaan-Nya dan dapat melihat wajah-Nya.

Ayat ke-108

Firman Allah SWT yang bermaksud: Itulah ayat-ayat keterangan Allah, Kami bacakan dia kepadamu (Wahai Muhammad) dengan benar. Dan (ingatlah), Allah tidak berkehendak melakukan kezaliman kepada sekelian makhluk-Nya.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Ibn Jauzi berkata: "Sebahagian ulama berpendapat Allah tidak menyeksa mereka jika tidak melakukan sebarang jenayah.

ii. Sheikh Sya'rawi berkata: "Ayat-ayat Allah adalah hujah dan dalil pembuktiannya. Siapa yang hitam mukanya pada hari kiamat pasti mendapat azab dan yang putih bersih mukanya pasti mendapat rahmat".

Semoga kita semua sentiasa mendapat rahmat Allah yang melayakkan untuk menghuni syurganya. Amin.

Walkman Sony - Melengkapkan trend muzik mobiliti

by

Mendengar muzik secara mobiliti kini semakin menjadi trend moden terutama kalangan golongan remaja.

Sambutan menggalakkan itu telah mendorong pelbagai peranti pemain muzik dijual secara meluas di pasaran.

Tidak mahu ketinggalan dalam perkembangan tersebut, syarikat pengeluar produk elektronik, Sony Malaysia baru-baru ini memperkenalkan koleksi Walkman Siri-B.

Menurut Pengurus Besar Bahagian Pemasaran Produk Sony, Taku Taguchi, pihaknya memahami kehendak penggemar muzik yang memerlukan sebuah peranti yang dapat memudahkan mereka mendengar muzik ketika melakukan apa juga aktiviti.

''Selain reka bentuk yang menarik, kehadiran produk baru ini juga menawarkan fungsi dan kualiti muzik tanpa kompromi,'' jelasnya.

Berkonsepkan muzik sebagai teman hidup, produk semua dalam satu itu menawarkan kepelbagaian aplikasi audio seperti permainan MP3, penalaan radio FM dan juga fungsi rakaman.

Menampilkan rekaan bergaya, nipis dan ringan iaitu hanya seberat 26 gram, ciri tersebut pasti memudahkannya untuk di bawa ke mana-mana.

Selain itu, model terbaru Walkman itu juga menawarkan pengalaman mendengar muzik secara berterusan sehingga 18 jam dengan hanya sekali caj.

Lebih menarik, menerusi ciri pengecas pantas, alat tersebut boleh menyokong permainan muzik sepanjang 90 minit hanya dengan mengecasnya selama tiga minit

Menerusi teknologi ZAPPINTM pula, pengguna boleh mencari lagu kegemaran yang ingin didengar berdasarkan keratan lagu pendek yang dimainkan.

Dengan cara itu, navigasi pemilihan lagu dapat dijalankan dengan lebih mudah tanpa perlu melihat paparan pada panel skrin.

Dari segi keupayaan memori, ia didatangkan dengan kapasiti penyimpanan dua gigabait dan juga empat gigabait yang boleh menyimpan sebanyak 2,550 lagu.

Ia turut dilengkapi dengan butang kawalan bass untuk memudahkan pengguna memilih mod muzik yang diinginkan.

Dengan pilihan warna merah, oren, hitam dan merah jambu, peranti berkenaan didatangkan bersama set fon kepala MDR-E804.

Walkman NWZ-B142F kini dijual pada harga RM159 dan Walkman NWZ-B143F pula RM249.

- UTUSAN

BookXcess - Lambakan buku asli baru

by

Dengan ruang kedai berkeluasan 3,000 kaki persegi, BookXcess yang terletak di pusat beli-belah Amcorp Mall, Jalan Ampang menawarkan lebih 10,000 judul buku berbeza genre.

DI negara-negara Barat, industri buku alternatif seperti buku lebihan bukan perkara baru. Kewujudan industri buku lebihan ini bertitik-tolak daripada pelbagai faktor. Misalnya, harga buku yang mahal telah mengalihkan perhatian pembaca kepada sumber alternatif.

Jika anda menganggap 'lebihan' ini sebagai produk-produk lama yang rendah kualitinya, anda silap. Ia sebenarnya merujuk kepada lambakan buku asli dan masih baru. Jika bertuah, anda mungkin menemui buku-buku pemenang anugerah.

Di Malaysia, gedung buku BookXcess telah mengambil pendekatan serupa. Dengan ruang kedai berkeluasan 3,000 kaki persegi, BookXcess yang terletak di pusat beli-belah, Amcorp Mall menawarkan lebih 10,000 judul buku berbeza genre.

Fiksyen am, bantu diri, perniagaan, sejarah, buku masakan, biografi dan buku kanak-kanak adalah antara genre yang ditawarkan.

Dengan potongan harga buku-buku baru antara 50 hingga 70 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran, inisiatif ini jelas berkesan menambat ramai pembaca baru. Buktinya, biarpun hanya dua tahun beroperasi, BookXcess telah memiliki lebih 3,000 orang ahli.

"Objektifnya ialah untuk melihat impaknya kepada masyarakat Malaysia. Tidak hanya untuk pembaca sedia ada, malah melibatkan mereka yang jarang membaca.

"Kami mahu melihat pelanggan melangkah masuk dan teruja kerana harganya yang sangat murah," jelas Jacqueline Ng yang mengusahakan BookXcess bersama suaminya, Andrew.

Biarpun tidak selalu menawarkan senarai penuh buku terkini, usah kecewa. Sebabnya, dalam 80 peratus stok yang diimport dari Britain dan selebihnya dari Amerika Syarikat (AS), ia membawa berita baik.

Buku-buku pemenang anugerah, terlaris mahupun popular, baik dari genre fiksyen atau bukan fiksyen pasti dapat memuaskan nafsu membaca pelanggan BookXcess.

"Di Asia misalnya, kita tidak mengenali ramai penulis. Majoriti pembaca hanya memilih buku-buku yang ditulis oleh penulis komersial. Jadi, apabila mereka ada peluang untuk membaca lebih banyak pada harga yang murah, secara tidak langsung, pembaca dapat berkenalan dengan karya-karya penulis berorientasikan sastera.

"Jika setiap bulan, kita menetapkan bajet untuk membeli buku, jarang sekali buku-buku dari golongan penulis ini dipilih, melainkan kalau anda tahu ia bagus.

"Begitu juga dengan penulis tempatan. Mungkin selama ini, ramai yang tidak sanggup keluarkan RM30 hingga RM40 untuk beli sebuah buku. Tapi, bila harga buku murah, penulis juga dapat publisiti," tambah Andrew memberi pendapat.

Harga normal sebuah buku genre fiksyen dan bukan fiksyen ialah sekitar RM17.90 hingga RM29.90 sahaja. Lebih menarik, BookXcess turut menyediakan beberapa perkhidmatan seperti yang ditawarkan oleh gedung buku utama.

Perkhidmatan membalut buku sebagai hadiah, khidmat pelanggan dan sistem inventori berkomputer menjadi bonus kepada sesiapa yang berkunjung ke sana.

Pemain-pemain utama dalam industri buku tempatan sudah tentunya terasa 'tergugat' dengan kehadiran BookXcess. Tekanan dan aduan bertalu-talu daripada pesaing merupakan antara cabaran yang perlu dihadapi oleh pasangan ini.

"Mereka yang menganggap kami sebagai pesaing. Kami memang berada dalam industri buku. Tetapi, BookXcess mendukung hala tuju yang berbeza.

"Lagipun, kami tidak buat salah. Mereka cuma mengadu kepada pengedar dan penerbit. Tetapi, pengedar faham situasi ini dan mengapa wujudnya industri buku lebihan," jelas Andrew dengan terperinci.

Industri buku lebihan secara tidak langsung membantu melariskan buku yang terlebih cetak atau telah berada di pasaran selama enam bulan selepas tarikh ia dilancarkan. Malah, acara jualan buku Big Bad Wolf tempoh hari juga dikelolakan oleh Andrew and Jacqueline.

Kalau diikutkan, perniagaan buku lebihan tidaklah terlalu menguntungkan. Tetapi, pasangan ini percaya inisiatif mereka tidak akan sia-sia sekiranya komuniti pembaca semakin besar.

- KOSMO!

Menjaga simpanan KWSP

by
Kajian itu mendapati sebanyak 70 peratus daripada mereka yang bersara (umur 55) hanya mampu menyara hidup seharian mereka dengan wang simpanan KWSP selama tiga tahun sahaja dari tarikh mereka bersara.

Ini merupakan satu fakta yang sungguh menakutkan. Di sinilah juga kita mendapati bahawa ramai daripada mereka yang telah bersara terpaksa bekerja semula.

Bayangkanlah jika kita diberikan kesihatan yang baik selepas bersara sedangkan wang simpanan KWSP sudah habis digunakan. Pastinya kita akan berdepan dengan masa depan yang sangat gelap selepas bersara.

Kebanyakan kita amat bergantung harap kepada simpanan KWSP sebagai salah satu daripada dana yang akan menyediakan wang perbelanjaan harian setelah kita bersara kelak.

Bekalan persaraan kita boleh juga diperoleh daripada sumber lain seperti:

*Akaun simpanan/akaun simpanan tetap

*Lembaga urusan tabung haji

*Unit-unit amanah saham nasional

*Wang kutipan daripada sewa rumah atau pejabat

*Wang ihsan daripada anak-anak

Pihak KWSP dan kerajaan acapkali menasihatkan pencarum-pencarumnya agar tidak mengeluarkan simpanan mereka sesuka hati sewaktu masih bekerja.

Namun, apa yang menyedihkan kebanyakan pesara atau pencarum menggunakan simpanan KWSP mereka untuk pelaburan berisiko tanpa mempunyai ilmu pelaburan yang mencukupi.

Jika tersilap percaturan ia menjadikan simpanan yang dikumpul selama ini hanyalah sia-sia.

Persoalan yang pasti bermain di minda kita adalah bagaimana melaburkan wang simpanan yang betul dalam skim-skim kewangan seperti Unit Amanah (Unit Trust), Unit Modal Terjamin (Capital Guarantee Funds) atau sebagainya.

Beberapa fakta yang perlu kita ketahui ialah, pencarum yang di bawah umur 55 tahun boleh mengeluarkan simpanan mereka dari Akaun 1 (jika simpanan mereka mempunyai dana minimum sebanyak RM 55,000) untuk dibuat pelaburan dalam unit amanah yang diluluskan oleh panel pelaburan KWSP.

Pelaburan minimum yang boleh dilaburkan dalam unit amanah ialah RM1,200. Tetapi jika kita ingin melaburkan wang kita melalui akaun yang diuruskan oleh badan pengurusan, pelaburan minimumnya adalah RM25,000 ke atas.

Setelah kita melakukan pelaburan, kita perlukan banyak masa untuk memerhatikan agar kaunter-kaunter unit yang dilaburkan akan mendatangkan keuntungan.

Untuk itu, kita kena pandai membeli unit-unit saham apabila harganya rendah dan menjual unit-unit itu ketika harga melonjak tinggi.

Dengan keadaan ekonomi yang mencabar sekarang, untuk menunggu harga unit naik ke tahap untung, akan mengambil masa yang lama.

Hanya dengan melakukan jualan-belian pada masa yang baik, menjadi rahsia dalam membuat keuntungan dalam unit amanah.

Tetapi, jangan lupa kerana bagi yang berumur 45 tahun ke atas, jika anda melakukan kesilapan ia merupakan kesilapan yang sungguh besar kerana boleh menjejaskan masa depan anda.

Selain itu, kebanyakan pelaburan dalam unit amanah meletakkan kos pendahuluan yang tinggi.

Satu lagi fakta tentang pelaburan yang dilakukan melalui unit amanah, ialah kita perlu memberikan masa selama 10 hingga 15 tahun untuk melihat keuntungan yang tinggi dan memuaskan.

Oleh itu, pada pendapat saya sebagai perancang kewangan, jika masa merupakan fakta yang paling mustahak dalam kita membuat pelaburan, kita perlu sentiasa memerhatikan harga-harga unit amanah untuk mendapatkan keuntungan segera.

Bagaimanapun jika anda tidak bijak dalam urusan pelaburan lebih baik mendalami ilmu pelaburan sedalam-dalamnya terlebih dahulu.

Jika tidak, lebih baik membiarkan saja simpanan KWSP itu agar ia menjana pulang yang konsisten. Apa yang paling penting adalah wang yang kita simpan di KWSP itu selamat.

Jika masih teringin melakukan pelaburan dalam unit-unit amanah, saya nasihatkan biarlah konsep - wang menambahkan wang (money makes money) dilaksanakan.

Bagaimana? Satu cara yang terbaik ialah, pada akhir tahun apabila kita mendapat dividen-dividen daripada Amanah Saham Nasional atau Lembaga Urusan Tabung Haji atau Simpanan Tetap yang telah matang, jangan dimasukkan semula.

- KOSMO!

Cegah osteoporosis sebelum terlewat

by
Ramai yang beranggapan bahawa mereka tidak akan menghidap osteoporosis atau penyakit kerapuhan tulang jika menjalani hidup yang sihat dan aktif.

Malangnya, osteoporosis menyerang secara senyap dan hadir tanpa petanda.

Kerap kali juga pelbagai syarikat atau badan-badan kerajaan dan swasta menyarankan orang ramai agar menjaga kesihatan tulang sebelum penyakit osteoporosis menyerang.

Ini kerana, penyakit osteoporosis merupakan penyakit tulang metabolik yang menjejaskan kesihatan tubuh badan.

Lebih kurang 200 juta orang di seluruh dunia dan lebih daripada satu juta orang di Malaysia menghidap osteoporosis.

Melemahkan tulang

Penyakit ini dikatakan berbahaya kerana ia boleh melemahkan kekuatan tulang dan menjadikannya lebih mudah retak selepas trauma yang minimum atau kecil.

"Osteoporosis ialah satu penyakit yang boleh mengancam nyawa manusia. Keretakan yang paling ketara adalah di bahagian tulang pinggul yang boleh menjejaskan kualiti hidup serta hilang kebergantungan akibat keupayaan dan pergerakan yang terhad," kata pakar runding kanan endokrinologi, Prof. Chan Siew Pheng.

Pada tahun 1997, kejadian pinggul retak di Malaysia dalam kalangan individu yang berusia lebih 50 tahun adalah bernisbah 90 bagi setiap 100,000 orang.

Keretakan pinggul berkait rapat dengan morbiditi dan kadar kematian tinggi dalam lingkungan 20 hingga 25 peratus pada tahun pertama selepas pesakit mengalami keretakan.

Kebanyakan pesakit yang terus hidup kehilangan upaya dan hanya 25 peratus yang dapat meneruskan aktiviti normal.

Kos langsung kemasukan hospital bagi keretakan pinggul pada tahun 1997 dianggarkan pada kadar sebanyak RM22 juta.

Kajian menunjukkan, pesakit yang mencapai keperluan rawatan sebanyak 50 peratus mempunyai risiko keretakan yang sama dengan mereka yang tidak mendapatkan sebarang rawatan.

Infusi intravena

Kajian terbaru oleh Yayasan Osteoporosis Antarabangsa pula menunjukkan bahawa 60 hingga 80 peratus pesakit yang mengamalkan pengambilan ubat makan berhenti daripada mengambil ubat rawatan dalam tempoh setahun.

"Justeru, dengan rawatan infusi intravena (IV) yang dilakukan sekali setahun selama 15 minit ini, ia membolehkan pesakit mendapat perlindungan sepanjang tahun.

"IV yang terdiri daripada asid zoledronik membantu wanita yang mengalami osteoporosis dan putus haid.

"Ia dapat mengurangkan keretakan pada tempat yang kerap berlaku keretakan termasuk pinggul, tulang belakang dan tulang-tulang lain seperti pergelangan tangan dan tulang rusuk," katanya.

Siew Pheng memberitahu, osteoporosis mengurangkan kemampuan badan untuk menggantikan tulang lama dengan yang baru.

Osteoporosis menjejaskan kekuatan tulang dan menjadikannya semakin lemah dalam jangka masa yang panjang. Seterusnya, membawa kecenderungan kepada kepatahan atau keretakan.

"Kesusutan tulang akibat osteoporosis berlaku dalam tempoh masa yang panjang menjadikan kehidupan kian sukar.

"Ia bakal memberikan tekanan lazim pada tulang pesakit untuk melakukan pergerakan seperti duduk, berdiri, batuk atau mendakap orang tersayang," katanya.

Jelasnya, pengumuman infusi setahun sekali bagi osteoporosis adalah satu berita baik kerana ia memberikan pengamal kesihatan dan pesakit lain satu kaedah inovatif untuk mengawal penyakit osteoporosis.

- KOSMO!

Bersedia beri komitmen

by
Walaupun bertahun lamanya menjalinkan hubungan cinta, namun si dia masih tidak menunjukkan sebarang perubahan dalam perhubungan.

Bukan hendak mendesak supaya memutuskan hubungan tetapi menyuruhnya membuat persediaan awal sebelum melangkah ke gerbang perkahwinan.

Sekiranya anda berdepan dengan masalah sebegini, apakah cara terbaik untuk si dia memberikan komitmen?

Cintai diri sendiri

Sekiranya anda belum berasa selesa dengan keadaan diri sendiri, jangan mengharapkan orang lain mencintai anda seperti anda menyintai dirinya.

Manfaatkan waktu terluang dengan melakukan hobi yang digemari atau meneroka setiap aspek spiritual, supaya diri anda sentiasa diisi dengan perkara-perkara yang positif.

Ekspresi cinta tanpa syarat

Sesekali apa salahnya anda memberikan kejutan kecil seperti menyediakan sajian kegemarannya atau menghadiahkan sesuatu yang lebih istimewa. Yang penting, dia mengetahui bahawa anda tidak keberatan atau susah-payah melakukan semuanya itu semata-mata untuk dirinya.

Tidak perlu bersandiwara

Menurut penulis buku Mars and Venus on a Date, John Gray, ciri-ciri yang perlu ada dalam hubungan cinta ialah kedua-dua belah pihak seharusnya mengetahui peranan masing-masing.

Ini bermakna, singkirkan sikap dan prasangka buruk yang boleh merosakkan perhubungan selama ini. Misalnya, suka membesar-besarkan masalah, merajuk tanpa sebab yang munasabah serta bersikap cemburu sekiranya ada wanita cuba berdampingan dengannya.

Berikan masa

Berbanding wanita, kaum Adam akan berfikir lebih jauh sebelum memutuskan untuk memberi komitmen kepada pasangannya.

Tidak dinafikan, memang ada lelaki yang memutuskan lebih awal untuk mendirikan rumah tangga. Tetapi itu sekadar impian dan bukannya realiti.

Bicara dengannya

Jika anda perlu berbicara dengannya, pertimbangkan dengan matang setiap pendekatan yang akan anda lakukan itu. Hindari sikap ungkit-mengungkit masalah berkaitan masa depan dengan ucapan yang serius atau bernada tinggi.

Sebaliknya, lebih menguntungkan apabila anda mampu menunjukkan sikap positif dan santai.

Tarik diri

Anda telah melakukan pelbagai pendekatan, namun si dia masih enggan memberi komitmen. Mungkin sudah tiba masanya anda memberikan ruang untuknya berfikir. Rencanakan perjalanan anda seorang diri selama beberapa hari. Sepanjang berjauhan dengannya, dia akan menyedari rasa kehilangan dan merasakan hidupnya tidak lengkap tanpa kehadiran anda.

Lebih jimat dengan pas RapidKL

by

Para penumpang bas Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn. Bhd. (RapidKL) bakal menikmati penjimatan sehingga 50 peratus apabila mereka membeli pas perjalanan bulanan mulai 1 September ini.

Terdapat dua pas baru yang dilancarkan oleh RapidKL iaitu Tempatan dan Konsesi sebagai tambahan kepada pas-pas bulanan untuk bas (semua zon), transit aliran ringan (LRT) dan integrasi, sekali gus menjadikan sebanyak lima pas bulanan secara keseluruhannya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Suffian Baharuddin berkata, pas-pas bulanan tersebut akan mula dijual bermula pada 20 Ogos ini dan menawarkan penjimatan sehingga 50 peratus berbanding jika membayar tambang mengikut zon.

"Penumpang yang kerap menggunakan perkhidmatan bas RapidKL digalakkan untuk membeli pas bulanan yang sememangnya menjimatkan berbanding membeli tiket setiap kali mahu menaiki bas.

"Pas bulanan perkhidmatan bas Tempatan dijual pada harga RM40, pas bulanan bas untuk semua laluan bas Tempatan, Bandar dan Utama RM100, Pas Bulanan Integrasi untuk semua laluan bas Tempatan, Bandar dan Utama serta perkhidmatan LRT aliran Kelana Jaya dan Ampang pula berharga RM150," katanya ketika ditemui pada sidang akhbar di sini semalam.

- KOSMO!

Lelaki buat seks dengan kuda

by

COLUMBIA - Seorang lelaki dituduh melakukan hubungan seks dengan seekor kuda buat kali kedua di kandang yang sama, kata pihak berkuasa kelmarin.

Aktiviti lelaki itu, Rodell Vereen, 50, (gambar) terbongkar selepas pemilik haiwan tersebut, Barbara Kenley memasang kamera litar tertutup (CCTV) setelah mendapati kudanya itu berkelakuan aneh beberapa minggu lalu.

Kenley yang merupakan seorang wanita itu terkejut apabila melihat Vereen melakukan hubungan seks dengan kudanya menerusi CCTV.

Dia bertindak menahan suspek dengan menggunakan senapang patah ketika Verren sedang berasmara bersama kudanya yang berusia 21 tahun.

Pada tahun lalu, Vereen ditangkap kerana melakukan hubungan seks dengan kuda yang sama dan dihukum berada dalam pemerhatian polis.

Vereen kini ditahan di dalam penjara dan akan menunggu nasibnya pada minggu depan.

- AP

ADUN PAS Permatang Pasir meninggal dunia

by

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir dari PAS, Hamdan Abd. Rahman meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) dekat sini subuh tadi.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mengesahkan yang Hamdan meninggal dunia, dipercayai kira-kira 6.10 pagi.

"Anak Allahyarham memberitahu yang beliau meninggal dunia di IJN subuh tadi... anaknya kata bila dia bangun dari tidur, ayahnya sudah tiada (meninggal dunia)," katanya ketika dihubungi.

Hamdan dimasukkan ke IJN Isnin lalu.Permatang Pasir adalah salah satu kerusi DUN di bahagian Parlimen Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Hamdan, 63, menjadi ADUN sejak 1999.

Jenazahnya sedang dibawa ke pejabatnya di Kg. Permatang Pasir, kata Mahfuz.

"Allahyarham akan dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Kg. Permatang Pasir selepas sembahyang Asar (petang ini)," kata beliau lagi.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, Kedah berkata, PAS sudah kehilangan seorang pemimpin yang sangat memahami perjuangan parti dan kehendak rakyat.

"Ia satu kehilangan besar buat PAS kerana beliau seorang pemimpin yang gigih dan komited kepada perjuangan parti.

"Malah beliau juga dekat dengan rakyat, sebab itu beliau boleh memenangi kerusi yang ditandingi (Permatang Pasir sejak 1999)," katanya.

Pada pilihan raya umum ke-12, Mohd Hamdan berjaya menewaskan calon Umno daripada Barisan Nasional Ahmad Sahar Shuib dengan majoriti 5,433 undi.

- MSTAR

Jangan sertai demo isu ISA - Hishamuddin

by
Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menyertai demonstrasi bagi membantah atau menyokong Akta ISA di ibu negara Sabtu ini.

Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata tindakan itu sejajar dengan matlamat KDN sendiri yang tidak mahu isu itu memberi kesan negatif terhadap keselamatan negara.

"Jika mereka melanggar undang-undang sedia ada, tidak kira sama ada mereka pro-ISA atau anti-ISA, tindakan tegas akan tetap diambil.

"Saya tidak akan berkompromi mengenai perkara ini bagi memastikan keselamatan dan kepentingan negara sentiasa terjamin," katanya selepas menyampaikan saguhati khas kepada bekas polis yang berkhidmat semasa darurat (1948-1962) di Kuala Terengganu hari ini.

Hishammuddin diminta mengulas tindakan Majlis Gabungan NGO Pembelaan Negara (Magaran) yang memberi tempoh sehingga jam 5 petang ini kepada Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) membatalkan hasrat mengadakan demonstrasi untuk mendesak kerajaan memansuhkan ISA, 1 Ogos ini.

Sekiranya GMI gagal berbuat demikian, maka Magaran yang dianggotai 56 NGO membabitkan lebih 100,000 penyokong akta berkenaan tidak teragak-agak untuk turut sama berarak ke Istana Negara, bagi menyatakan sokongan kepada pelaksanaan ISA.

Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata beliau sudah memaklumkan kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan supaya mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang terlibat dalam demonstrasi.

"Saya juga sudah mengarahkan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman supaya memantau secara dekat perhimpunan itu," katanya.

Hishammuddin menasihatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan demonstrasi itu kerana kerajaan sebelum ini sudah mengumumkan untuk meneliti dan mengkaji ISA.

"Apa sebenarnya niat dan matlamat mereka untuk adakan perhimpunan itu... hanya untuk hura-hara dan menjejaskan keadaan?

"Saya rasa tidak sesuai dalam konteks apa yang kita umumkan selama ini (teliti dan kaji ISA)," katanya.

- MALAYSIAKINI

Semua peperiksaan diteruskan

by
Semua peperiksaan kebangsaan iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) tidak akan ditangguhkan walaupun jangkitan influenza A (H1N1) semakin membimbangkan.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, peperiksaan itu terutamanya UPSR pada September ini akan tetap diteruskan dan mungkin dilakukan di hospital jika perlu.

"Peperiksaan-peperiksaan ini berpusat, maka kita tidak boleh tukar tarikh sewenang-wenangnya. Antara pilihan yang kita ada ialah melakukan peperiksaan di hospital untuk calon yang sedang dirawat atau melakukannya di sekolah masing- masing tanpa kehadiran pelajar lain yang bukan calon peperiksaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Alimuddin berkata, pihaknya akan mengadakan satu perbincangan dengan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara mengenai kaedah terbaik menjalankan kesemua peperiksaan itu dalam masa terdekat.

Sebanyak 10 buah sekolah rendah dan menengah di seluruh negara telah ditutup kurang daripada seminggu akibat penularan penyakit itu. Setakat ini, terdapat empat kematian akibat penyakit itu.

Alimuddin juga berkata, alat seperti topeng mulut dan hidung serta cecair nyahkuman akan diedar ke semua sekolah tidak lama lagi bagi mencegah penularan virus itu.

UPSR akan diadakan dari 8 hingga 10 September, PMR dari 7 hingga 9 Oktober dan SPM dari 19 November hingga 16 Disember.

- BERNAMA

Google dan tempat lepak selebriti

by
Lebih daripada pencarian tempat, Google Maps membawa pengguna untuk menjelajah tempat menarik yang digemari dan sering dilawati selebriti terkenal sekitar Kuala Lumpur.

Pengguna hanya perlu ke Google Maps Malaysia (maps.google.com.my) di komputer atau telefon bimbit untuk mengetahui lebih 150 lebih kegemaran 17 selebriti tempatan pada peta atas talian.

Semua ini ditandakan dengan pin foto dan ringkasan peribadi yang ditulis oleh selebriti berkenaan.

Ketua Pemasaran Google Asia Tenggara, Derek Callow berkata, kini Google Maps meletakkan pin gergasi tempat menarik dan biasa dikunjungi di laman web.

"Jadi setiap kali pengguna melayari laman web, mereka boleh berkongsi pengalaman yang sama.

"Semua ini boleh dikongsi bersama-sama dengan 15 juta pengguna Google seluruh negara," katanya semasa majlis kempen tempat lepak kegemaran selebriti di ibu negara, baru-baru ini.

Ini menjadikan Google Maps lebih daripada hanya laman untuk mencari tempat dan alamat tetapi buku panduan yang lengkap dengan maklumat terperinci mengenai tempat dan perniagaan, gambar dan video oleh penduduk tempatan.

Pada majlis tersebut, Google menjemput enam daripada 17 orang selebriti tempatan yang terlibat - supermodel Amber Chia, model dan bekas Miss Malaysia Deborah Henry, jurugambar selebriti Kid Chan, pelakon, DJ radio dan pengacara Datuk Yasmin Yusuff dan dua ahli kumpulan One Buck Short iaitu Mooks atau Munzir Abdul Latif dan Rahul Kukreja.

Yasmin berharap dapat berkongsi tempat lepaknya dengan orang ramai yang tidak mengetahui mengenainya.

"Tema saya adalah tempat lepak kegemaran di mana saya boleh menghabiskan masa tanpa jemu dan bosan," katanya.

Setiap Selasa dan Khamis, Yasmin gemar menghabiskan masa di Nirwana Banana Leaf Restaurant di Bangsar bersama-sama ayahnya selepas bermain golf.

Amber Chia pula ingin berkongsi tempat kegemaran bagi mempromosikan gaya hidup sihat dan ceria selain mendedahkan lokasi menarik di negara ini.

"Saya akan terus berkempen bagi mempromosikan negara ini ke seluruh dunia," katanya.

Kini pengguna boleh mendapatkan maklumat mengenainya di www.google.com.my/favoriteplaces

- UTUSAN

Membongkar khasiat solat secara saintifik

by
Kewajipan bersolat lima kali sehari semalam ke atas semua umat Islam bermula sejak Rasulullah diangkat ke langit semasa peristiwa Israk dan Mikraj.

Begitu istimewa sekali ibadah solat sehingga Rasulullah SAW naik ke langit bagi menerima Rukun Islam yang kedua ini, tidak seperti ibadah-ibadah lain.

Keistimewaan solat menarik minat sekumpulan penyelidik Universiti Malaya (UM) selepas menerima cabaran Tun Abdullah Ahmad Badawi semasa beliau menjadi perdana menteri.

Cetusan berkenaan timbul memandangkan masih belum terdapat kajian yang komprehensif mengenai solat dari segi saintifik.

Kajian solat yang dijalankan oleh Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya (UM) diketuai oleh Prof. Madya Dr. Fatimah Ibrahim serta Prof. Dr. Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok menerusi pembiayaan daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Dr. Fatimah berkata, kajian yang dijalankan buat masa ini masih di peringkat asas dan bertujuan mengkaji kesan ke atas perkara seperti komposisi tubuh badan dan kolestrol.

Sistem jantung dan kardiovaskular, gelombang otak ketika bersolat, kekuatan otot-otot tubuh badan manusia, sakit pinggang bagi orang dewasa serta kesihatan lelaki dan tenaga batin.

"Komposisi tubuh badan manusia meliputi parameter bioimpedance, kuantiti air intra selular dan ekstra selular, jisim sel badan, kadar lemak dan kolestrol dalam darah.

"Pengukuran parameter ini amat penting dalam menentukan tahap metabolisme, kecergasan dan kesihatan seseorang individu," katanya yang menjalankan kajian mengenai komposisi badan.

Kajian komposisi badan terbahagi kepada dua iaitu kebaikan solat zohor dan solat tarawikh terhadap komposisi badan.

Dr. Fatimah berkata, pergerakan solat yang melibatkan keadaan berdiri tegak, rukuk, duduk dan sujud secara tertib dan berulang boleh diumpamakan sebagai senaman ringan.

"Kami menjalankan kajian komposisi badan semasa seseorang bersolat Zohor secara jemaah dengan 47 orang peserta berusia 18 hingga 28 tahun," katanya.

Pengukuran analisis bioimpedans (BIA) (kaedah yang digunakan untuk mengukur komposisi badan) diambil sebelum dan selepas solat Zohor secara berjemaah.

Bagaimanapun lima tabiat lazim peserta perlu diambil kira meliputi amalan solat yang sempurna, tahap pemahaman bacaan, menunaikan solat secara berjemaah atau sendirian, kedudukan tulang belakang semasa rukuk dan keadaan jari kaki semasa sujud, duduk antara dua sujud dan tahiyat akhir.

Dr. Fatimah berkata, keputusan menunjukkan mereka yang mengamalkan solat yang sempurna mempunyai tahap kesihatan yang lebih baik berbanding mereka yang tidak melakukannya dengan sempurna.

Kajian berkenaan kata Dr. Fatimah menunjukkan solat lima kali sehari semalam selain ibadah dapat mengurangkan lemak dalam badan.

"Apabila gumpalan lemak dalam badan berkurangan, tisu otot baru meningkat, memenuhi ruang, melambatkan proses penuaan dan kekenduran tisu," katanya.

Tabiat mengamalkan kedudukan tulang belakang lurus melintang ketika rukuk melambatkan proses penuaan, tisu bertambah aktif, proses imbangan air dalam badan lebih baik dan melancarkan fungsi buah pinggang.

Manakala sistem jantung dan kardiovaskular amat penting bagi kesihatan manusia dan dipengaruhi oleh kekenyalan arteri.

Jika kekenyalan arteri terutama di bahagian jantung berkurangan, ia boleh menyebabkan berlaku penyakit arterioskerosis koronari.

Pengekalan kekenyalan arteri amat penting dalam memelihara sistem kardiovaskular yang sihat.

Ibadat solat, kata Dr. Fatimah, bukan saja melibatkan bacaan surah al-Quran tetapi juga pergerakan anggota badan seperti berdiri, rukuk, sujud dan duduk tahiyat.

"Kajian menunjukkan kedudukan seperti rukuk, sujud dan duduk membantu memberikan keadaan rehat kepada jantung.

Sujud

"Malah kita digalakkan memanjangkan tempoh posisi sujud kerana kedudukan ini menghasilkan kadar denyutan jantung paling rendah," katanya.

Ng Siew Chok yang menjalankan kajian otak dalam solat berkata, setiap pergerakan manusia menghasilkan corak gelombang otak yang tertentu dan unik.

Gelombang otak yang dihasilkan ketika pergerakan meliputi gelombang alfa, beta dan gamma.

Kajian akan dilakukan ke atas gelombang otak yang dihasilkan ketika bersolat pada setiap posisi seperti rukuk, sujud, iktidal dan duduk semasa tahiyat.

"Solat jelas secara umumnya melibatkan pembacaan serta penghayatan ayat suci al-Quran, doa-doa serta pergerakan yang didapati menyamai meditasi.

"Semasa solat, berhenti seketika sebelum bertukar posisi atau tamakninah boleh dikatakan seseorang berada dalam ketenangan," katanya.

Dalam kajian ini isyarat otak subjek Muslim yang bersolat direkod dan dianalisis, di mana dua kajian saintifik dilakukan iaitu perubahan isyarat otak semasa tamakninah dan kesan solat kepada isyarat otak.

Hasilnya, kata Siew Cheok, didapati ibadat solat menghasilkan keadaan tenang kepada otak manusia dan menunaikan solat amat baik dalam mengekalkan tahap kestabilan mental dan emosi seseorang.

Kajian juga menunjukkan ibadat solat dapat meningkatkan penumpuan dan daya ingatan.

Maka solat dapat menyediakan otak untuk lebih bersedia dalam menghadapi tugas-tugas yang lebih mencabar.

"Dan biasanya selepas melakukan solat, seseorang akan menjadi lebih berwaspada untuk bertindak balas terhadap sebarang rangsangan," katanya.

Pergerakan solat meliputi berdiri tegak, rukuk, sujud dan duduk melibatkan pergerakan seluruh otot tubuh badan.

Pergerakan otot-otot secara isotonik dan isometrik meningkatkan fungsi dan kekuatan otot dan kajian yang dilakukan merangkumi otot utama yang penting kepada kesihatan manusia.

Pergerakan relatif

Ibadah solat kata Prof. Wan Abu Bakar melibatkan banyak pergerakan relatif antara sendi selain postur tertentu semasa solat juga meletakkan otot pada kedudukan mengecut, santai atau mengembang.

"Selain ibadah, solat boleh dianggap sebagai senaman fizikal yang sederhana yang melibatkan pergerakan badan seperti berdiri, tunduk, duduk dan sujud.

"Sakit pinggang merupakan masalah yang biasa berlaku bagi golongan dewasa dan mereka yang bekerja," katanya yang menjalankan kajian otot dalam solat.

Terapi senaman melalui pergerakan solat yang betul dapat mengembalikan keupayaan kelenturan badan, mengekalkan postur badan yang ideal dan membantu mengurangkan sakit pinggang.

Dr. Fatimah berkata, pergerakan solat terutama rukuk dan sujud didapati menyamai beberapa pergerakan senaman stabilisasi dan regangan belakang.

"Pergerakan rukuk hampir sama dengan senaman 'selamat pagi' yang bukan saja dapat membantu regangan otot pada bahagian paha tetapi juga melatih koordinasi otot belakang kaki," katanya yang juga menjalankan kajian mengenai solat dan sakit pinggang.

Kajian yang dijalankan merumuskan pergerakan dalam solat dapat memberikan kebaikan dalam memulihkan dan membantu mengembalikan kenormalan fungsi aktiviti otot erektor spina terutama bagi mereka yang mengalami sakit pinggang.

Justeru, jelas beliau pergerakan rukuk semasa solat boleh digunakan sebagai terapi untuk merawat sakit pinggang.

Selain itu, pergerakan fizikal atau senaman sederhana secara berterusan dapat mencergaskan sistem andrologi dan meningkatkan kekuatan tenaga batin lelaki.

Solat fardu yang dilakukan lima kali sehari di samping solat sunat serta sunat tahajud sebagai pelengkap ibadah merupakan satu terapi yang memberikan kesan positif ke atas sistem andrologi dan kekuatan tenaga batin lelaki.

Kajian yang dijalankan menunjukkan senaman pengaktifan otot lantai pelvik oleh penyelidik Van Kampen membuktikan senaman dapat melancarkan pengaliran darah dan mengurangkan masalah disfungsi ereksi atau mati pucuk.

"Bagaimanapun banyak lagi kajian lanjut yang sedang dijalankan bagi mengkaji lebih lanjut mengenai solat," katanya.

- UTUSAN

Judi 'ibu' segala perbuatan jijik, binasakan hidup

by
Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh
Pensyarah kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang,
Universiti Sains Islam Malaysia

Realitinya, tiada siapa yang inginkan kehidupan yang sukar, apatah lagi kesempitan wang ringgit untuk menanggung kehidupan. Justeru, kita berusaha mencari rezeki sedaya yang boleh untuk kesenangan tanggungan yang kita lahirkan, bukan meninggalkan mereka kesusahan dan kepayahan.

Kerja keras dan tidak berkira dengan keringat yang luruh sudah tentu mendapat ganjaran setimpal, berbanding menunggu durian runtuh, tetapi putik pula yang jatuh. Punca rezeki halal yang terbentang di depan mata sering kali menjadikan si pencari serba salah untuk memilih.

Tetapi ada pula yang tertarik dengan cara yang dilarang agama. Hari ini, kisah kecurian, rompakan, ragut, pukau, skim cepat kaya, penipuan dan rasuah sudah menjadi sebahagian punca rezeki. Ia berpunca daripada kejahilan manusia mengenai dosa dan pahala, serta syurga dan neraka.

Berjudi, antara 'kerjaya' yang dipilih, salah satunya bertujuan untuk menjadi cepat kaya turut mendapat tempat di hati sebilangan umat Islam hari ini. Ia dapat dibuktikan dengan kemeriahan kedai judi, loteri dan pusat perjudian yang dikunjungi penganut agama Islam, waima pada hari Jumaat sewaktu saudara seagama lain sedang khusyuk bersolat di masjid.

Islam melarang segala bentuk perjudian atau perbuatan mempertaruhkan wang atau apa saja sebagai taruhan yang akhirnya seseorang yang menang atau berjaya dalam taruhan akan mendapat kesemua harta taruhan itu.

Perbuatan bertaruh menyebabkan seseorang malas berusaha, suka menimbulkan permusuhan sesama sendiri bahkan tidak mengingati Allah SWT, sebaliknya mengharapkan 'kuasa' lain yang boleh memberi kemenangan kepada mereka dalam perjudian.

Judi atau 'al-maysir' diharamkan dalam Islam kerana ia satu perbuatan yang sangat keji dan punca kepada kegagalan hidup seseorang. Allah berfirman dalam Surah Al-Maaidah, ayat 90 yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundai nasib dengan batang-batang anak panah, adalah kotor dari perbuatan syaitan, oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya".

Kerana perbuatan syaitan, judi menjadi racun dalam diri seseorang manusia. Daripada judi, seseorang itu boleh bertikam lidah, menjadi tamak bahkan boleh berbunuhan kerana sengketa. Orang yang berjudi juga akan melupakan tanggungjawab diri sendiri, apatah lagi tanggungjawab kepada keluarga, masyarakat, negara dan agama.

Ketagihan yang ditanggung kerana gila judi menyebabkan kaki judi juga tidak serik untuk terus mencuba sehingga berjaya, tetapi kekurangan wang dan harta untuk dijadikan taruhan membuatkan mereka tidak keberatan pula untuk mencuri atau merompak bagi mendapatkan modal.

Ada yang agak 'baik' tidaklah pula sampai melakukan kegiatan jenayah tetapi meminjam wang daripada along yang akhirnya berakhir dengan jenayah juga.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 168 bermaksud: "Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi, yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah syaitan kerana sesungguhnya syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu".

Allah juga berfirman dalam Surah Al-Maaidah yang mafhumnya: "Sesungguhnya syaitan itu hanyalah bermaksud mahu menimbulkan permusuhan dan kebencian di antara kamu dengan sebab arak dan judi dan mahu memalingkan kamu daripada mengingati Allah dan daripada mengerjakan sembahyang. Oleh itu mahukah kamu berhenti daripada melakukan perkara-perkara yang keji dan kotor itu atau kamu masih berdegil?"

Peluang yang ada untuk sesiapa saja yang berusaha mendapat rezeki halal untuk memenuhi keperluan buat diri sendiri dan ahli keluarga yang ditanggung perlu dilihat secara positif. Kita juga harus percaya bahawa rezeki yang diberikan oleh Allah SWT kepada orang yang berusaha keras untuk mendapatkannya dengan jalan halal adalah rezeki yang berkat dan ia tidak sama dengan apa juga yang diperoleh daripada sumber dilarang.

Ia bukan saja untuk menjamin kehidupan lebih baik di dunia ini, malah juga di akhirat nanti. Sebaliknya, apabila seseorang menjadikan judi sebagai punca rezeki, pastinya ia sentiasa mengharapkan kekayaan datang sendiri, tiada usaha dan ikhtiar untuk menabur bakti, apatah lagi berkhidmat kepada pertiwi, tetapi hanya menunggu dan menanti, kalau-kalau khayalan bakal menjadi realiti.

Padahnya lagi, ia bukan saja membinasakan diri sendiri, bahkan juga orang yang disayangi kerana penjudi akan dikeji dan dibenci.

Blog untuk orang utan

by
BLOG hari ini dikenali sebagai satu daripada medium popular untuk meluahkan ekspresi dalam kalangan generasi muda dan cara ini dilihat lebih baik dalam usaha melibatkan mereka dalam sesuatu kempen.

BOH Plantations Sdn Bhd, WWF-Malaysia (Tabung Hidupan Liar) dan TV9 yang berusaha melibatkan anak-anak remaja dalam menyebarkan mesej pemuliharaan orang utan, telah menggalakkan pengwujudan blog untuk mendokumenkan kempen ini.

Mereka bekerjasama dalam usaha meningkatkan kesedaran mengenai pahit getir yang dihadapi penghuni hutan ini melalui peraduan New Hope For Orang-utan School Programme (harapan baru bagi orang utan), kerana percaya golongan remaja ini memainkan peranan besar dalam usaha pemuliharaannya pada masa depan.

"Kami mahu memperkasa mereka untuk memainkan peranan dalam menyebarkan mesej pemuliharaan primat ini," kata Caroline Russell, Ketua Pegawai Eksekutif BOH Plantations pada perasmian program berkenaan baru-baru ini.

Beliau berkata, BOH Plantations telah lama menjadi penyokong usaha pemuliharaan hidupan liar dan alam sekitar, dengan tumpuan khusus sejak kebelakangan ini terhadap pemuliharaan orang utan.

Bagi BOH, primat ini merupakan pilihan semula jadi kerana mereka merupakan sebahagian penting warisan semula jadi Malaysia.

Spesies ini, menurut Russell, ialah ikon Malaysia dan benar-benar memerlukan usaha bagi memastikan bukan hanya kewujudan mereka tetapi juga ekosistem hutan di mana mereka tinggal, turut dipulihara.

"Kami amat percaya bahawa anak remaja Malaysia boleh memainkan peranan penting dalam mencetuskan perubahan dan memberikan dorongan ke arah masa depan yang lebih lestari.

"Kami berharap program sekolah ini akan memperkasa anak remaja kita dengan pengetahuan mengenai isu-isu yang mengancam kewujudan orang utan dan menggalakkan mereka membawa perubahan dengan menjadi suara bagi usaha pemuliharaan orang utan kini dan pada masa depan," kata Russell.

Program sekolah "Harapan Baru bagi Orang Utan" ini menggunakan blog sebagai medium urusan dan membolehkan peserta untuk mengutarakan kreativiti mereka secara online.

BOH, WWF-Malaysia dan TV9 percaya medium ini akan menarik penyertaan dari kalangan remaja memandangkan generasi muda lebih mahir dalam IT dan begitu berkeyakinan dengan pendapat mereka, dan kerana itu akan memilih menggunakan media dan rangkaian sosial seperti blog, untuk menyuarakan pendapat mereka.

Program ini pada asasnya merupakan tempat bagi mereka menyuarakan perasaan mereka untuk membawa perubahan bagi orang utan dalam cara mereka tersendiri dan untuk menggalakkan orang ramai mengambil perhatian terhadap usaha mereka, kata Russell.

Beliau berkata program sekolah New Hope for Orang-utan dinamakan sedemikian kerana ia merupakan sambungan kepada program utama tanggungjawab korporat BOH - "Harapan Baru bagi Orang Utan" yang dimulakan pada 2002 untuk menonjolkan isu-isu ancaman terhadap primat ini dan kepupusan habitat mereka.

Sempena sambutan ulang tahun ke-80 BOH Plantations tahun ini, mereka mahu memastikan yang mereka melibatkan sama golongan muda negara dan usaha utama tanggungjawab korporat mereka, dalam sambutan perayaan ini.

Russell berkata dengan menggabungkan kedua-dua mereka ke dalam program ini merupakan usaha penyelesaian yang sangat baik.

Bersama-sama dengan WWF-Malaysia dan TV9, BOH merancang untuk membangkitkan kesedaran dalam kalangan remaja dan masyarakat dengan melibatkan mereka dalam pelbagai platform untuk memberikan harapan kepada masa depan orang utan Malaysia.

Noor Amy Ismail, Ketua Pengurusan Jenama, Pembangunan Perniagaan dan Komunikasi Korporat Kumpulan, TV9, berkata golongan remaja hari ini akan dirangsang untuk menambah pengetahuan mereka mengenai spesies ini, apabila menyedari maklumat mengenainya sudah tersedia di hujung jari mereka, iaitu melalui platform online.

Ini juga merupakan landasan baik bagi pelaksanaan tanggungjawab korporat TV9 dalam memulihara alam sekitar dan spesies terancam.

Sementara itu Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif WWF-Malaysia Datuk Dr Dionysius S.K. Sharma berkata, program ini memberi kuasa kepada golongan remaja untuk menggunakan kemahiran dan minat mereka dalam teknologi terkini untuk membantu melindungi bahan penting sejarah tanah air mereka ini dan warisan semula jadi negara.

Sebelum ini, orang utan boleh ditemui jauh dari selatan China ke kaki gunung Himalaya dan ke selatan pulau Jawa, Indonesia, katanya.

Dan kini, hanya Borneo dan Sumatera merupakan dua tempat di muka bumi ini yang masih boleh ditemui orang utan tinggal.

"Kita tidak dapat mengelak daripada merasakan ada pertalian yang harus dilindungi terhadap beruk besar ini yang dari segi genetiknya, 96 peratus serupa dengan manusia.

"Tidak boleh dibayangkan betapa ruginya jika ikon kita ini, penghuni hutan di sini, hilang begitu saja daripada pokok-pokok dan akan hanya hidup dalam legenda kita," katanya.

Program ini terbuka kepada semua pelajar daripada usia 14 hingga 17 tahun.

Untuk menyertai pertandingan ini, pelajar perlu menyiapkan tiga tugasan utama bertujuan mewujudkan kempen kesedaran dengan menonjolkan isu berkaitan survival atau kewujudan orang utan, mengadakan aktiviti menggalakkan kesedaran pemuliharaan orang utan dan mendapatkan sokongan di peringkat bawahan serta mewujudkan blog untuk mendokumenkan kempen ini.

Pasukan Kawan 9 dari TV9 akan memulakan kempen jelajah sekolah dengan mengunjungi 30 sekolah di Lembah Klang untuk mewujudkan kesedaran terhadap orang utan dan program sekolah ini.

Liputan program jelajah ini akan disiarkan menerusi TV9. Peraduan ini bermula pada 13 Julai hingga 31 Ogos.

Pelajar yang berminat boleh melayari www.orangutan.com.my /www.tv9.com.my atau e-mel adikdi9@tv9.com.my untuk maklumat lanjut

- BERNAMA

Peluang pasaran kerja kompetitif global

by
Oleh WAN NORAZAH WAN CHIK

Kemelesetan ekonomi sering kali menyaksikan fenomena peluang pekerjaan yang turut merudum. Ramai yang berdepan dengan situasi diberhentikan kerja, ditawarkan untuk berhenti kerja atau terpaksa berhenti kerja kerana syarikat gulung tikar.

Namun dalam situasi Malaysia, peluang pekerjaan masih terbuka dan bukan berada pada tahap kritikal.

Bagaimanapun persaingan sengit untuk mendapatkan kerja semakin ketara kerana setiap kerja meletakkan kriteria yang tinggi untuk dipenuhi. Bagi golongan pencari kerja, ramai yang masih tercari-cari peluang terbaik tetapi tidak tahu saluran yang betul untuk berbuat demikian.

Menyedari hakikat itu, Bahagian Alumni dan Perkhidmatan Kerjaya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengorak langkah dengan menganjurkan Karnival Kerjaya Antarabangsa 2009 selama tiga hari bermula esok, 31 Julai.

Karnival bertemakan "Peluang Global untuk Tenaga Kerja yang Kompetitif" itu merupakan platform kepada syarikat dan organisasi antarabangsa untuk mendapatkan tenaga kerja daripada golongan graduan dan berpengalaman yang datang dari pelbagai bidang dan kemahiran.

Pengarah Bahagian Alumni dan Perkhidmatan Kerjaya UIAM, Prof. Madya Dr. Nor Faridah Abdul Manaf berkata, pelbagai program seperti pameran kerjaya, bengkel kerjaya, temuduga syarikat dan ceramah kerjaya diatur sepanjang karnival tersebut.

"Saya rasa mungkin menjadi kemestian untuk mengunjungi karnival ini terutama kepada mereka yang berminat untuk mengembangkan bakat secara global dan bekerja di dalam suasana antarabangsa,'' katanya kepada Utusan Malaysia yang menjadi "Rakan Media" untuk karnival berkenaan.

Menurut Nor Faridah, pihaknya yakin karnival itu sangat bermanfaat untuk memberi peluang meneroka peluang pekerjaan di dalam dan luar negara selain membantu mengembangkan prospek kerjaya.

Selain itu katanya, karnival itu juga diharap memberi peluang untuk syarikat antarabangsa untuk mengakses bakat-bakat mahir dari Malaysia dan mendedahkan UIAM, alumni universiti dan kolej serta graduan Malaysia kepada pasaran kerjaya antarabangsa yang lebih kompetitif.

"Penganjur berharap karnival ini akan memberi informasi terkini kepada para graduan berkaitan dengan peluang kerja, kehendak pasaran dan juga penerangan realistik berkaitan dunia pekerjaan.

"Ia juga bermatlamat menyokong kehendak global dalam memartabat dan memantapkan pembangunan modal insan selain membina hubungan kukuh antara industri, organisasi swasta, badan kerajaan dan ahli akademik,'' jelas Nor Faridah.

Kata beliau, pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 10,000 pengunjung daripada kalangan pekerja yang mempunyai antara dua hingga lapan tahun pengalaman, selain graduan IPTA dan IPTS selain organisasi kerajaan dan swasta.

"Selain pameran dan temuduga, karnival itu turut menyediakan bengkel kerjaya termasuk klinik resume, klinik temuduga, grooming dan lain-lain.

"Kami juga menyediakan ujian kerjaya untuk menentukan minat dan pekerjaan yang bersesuaian dengan para pemohon. Khidmat nasihat juga akan diberikan oleh kaunselor yang bertauliah,'' katanya lagi.

Berbeza dengan karnival kerjaya lain, karnival berkenaan turut menyediakan sesi ceramah bersama ibu bapa. Sesi itu akan menyaksikan ibu bapa diberi panduan berkaitan Career Talk Parenting oleh para profesional. Selain itu, sesi ceramah untuk para lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berkaitan peluang biasiswa dan peluang untuk melanjutkan pelajaran juga disediakan pada karnival berkenaan.

"Paling penting dan ditunggu-tunggu ialah ucaptama oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada pukul 10 pagi, Jumaat ini,'' tegasnya.

Orang ramai boleh hadir ke Pusat Pameran Mid Valley pada Jumaat hingga Ahad ini bermula pukul 10 pagi untuk menyertai program-program berkenaan secara percuma.

Keterangan lanjut mengenai karnival itu boleh didapati dengan melayari laman web http://www.iiu.edu.my/icc09

- UTUSAN

‘Datuk ekspres’

by
Syarat ditetapkan cukup mudah dan ringkas. Apabila ada individu berhajat mendapat gelaran Datuk daripada kerabat diraja, mereka hanya perlu mengisi borang dan menjelaskan bayaran pendahuluan RM5,000 dengan memasukkannya ke akaun bank sebelum borang berkenaan diproses.

Pihak yang menguruskan pemberian anugerah gelaran berkenaan kemudian memaklumkan, mereka akan menyediakan surat sokongan bagi membolehkan individu yang membuat pembayaran itu menerima darjah kebesaran membawa gelaran Datuk sempena Hari Keputeraan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, pada Julai tahun depan.

Selain diumpan dengan gelaran ‘Datuk ekspres’, individu yang membuat pembayaran itu juga akan diberikan kad keahlian bagi membolehkan mereka mendapat layanan istimewa selain kebal daripada sebarang tindakan undang-undang.

Kegiatan penipuan terancang itu bagaimanapun terbongkar selepas didedahkan seorang pemilik restoran, Jaspal Singh Ajaidz Singh, 36, yang mengaku ditawarkan gelaran Datuk dengan hanya perlu membayar sejumlah wang ditetapkan pihak tertentu.

Menurutnya, dia sebelum ini tertarik untuk mendapat gelaran berkenaan daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai ‘Tengku J’ yang juga seorang anggota kerabat diraja Negeri Sembilan.

“Saya yang diperkenalkan seorang rakan menghubungi Tengku J dua minggu lalu sebelum mengatur temujanji dengan lelaki terbabit yang berusia lewat 60-an.

“Selepas berbual menerusi telefon, lelaki berkenaan meminta saya ke pejabatnya di Cheras di sini, yang didakwa baru beroperasi empat bulan lalu,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian menuruti arahan berkenaan dan menemui lelaki yang mempunyai iras wajah bekas Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Almarhum Tunku Jaafar Ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman, namun dipercayai menggunakan gigi dan rambut palsu.

“Sewaktu berada di pejabatnya selama hampir empat jam, saya dapati bilik pejabatnya dipenuhi gambar kerabat diraja yang kononnya membuktikan dia seorang anggota kerabat istana.

“Jika tengok pada gaya percakapannya, memang kita akan percaya dengan mudah ‘Tengku’ itu boleh tolong dapatkan gelaran Datuk, malah dia juga mendakwa boleh tolong luluskan apa saja atau sebarang permohonan dengan cop rasmi dimiliki,” katanya.

Menurutnya, sepanjang perbualan itu, lelaki berkenaan memberitahu boleh menolongnya mendapatkan gelaran Datuk jika dia sanggup membayar RM20,000.

“Bagaimanapun, saya terlebih dulu dikehendaki membayar wang pendahuluan RM5,000 dengan memasukkannya ke akaun bank lelaki berkenaan. Lelaki terbabit mendakwa, sebaik wang berkenaan dibayar, dia (Tengku J) akan memberikannya kad keahlian dan lencana kerabat diraja Negeri Sembilan.

“Dia mendakwa kad keahlian itu membolehkannya mendapat pelbagai keistimewaan sama seperti kerabat diraja selain membolehkannya kebal daripada tindakan undang-undang jika melakukan kesalahan,” katanya.

Jaspal berkata, Tengku J turut mendakwa wang terbabit akan digunakan untuk menempah meja pada majlis santapan diraja yang akan berlangsung di Hotel Palace of The Golden Horses di sini pada 25 Oktober depan.

“Bagi menarik perhatian saya, lelaki berkenaan juga mendakwa akan memberi surat sokongan untuk dapatkan gelaran Datuk yang diidamkan selain jaminan cita-cita itu akan tercapai.

“Berikutan itu, saya segera mengisi borang khas disediakan selain memberikan salinan fotostat MyKad kepada lelaki berkenaan. Lelaki itu kemudian memberi nombor akaun dan meminta wang pendahuluan RM5,000 dimasukkan segera ke akaunnya,” katanya.

Pemilik restoran itu berkata, dia yang mula berasa tidak sedap hati kemudian meminta nasihat rakan baiknya yang juga, Penganalisis Jenayah, Kamal Effendi Hashim, berhubung kesahihan tawaran mendapatkan gelaran Datuk dengan hanya perlu membayar RM20,000.

“Bagaimanapun, saya terkejut apabila Kamal memberitahu tawaran itu satu bentuk penipuan sama seperti beberapa kes seumpamanya sebelum ini dan menasihatkan saya tidak membayar wang diminta.

“Justeru, saya tidak memasukkan wang seperti disuruh menyebabkan Tengku J menghubungi saya dan bertanya mengenai wang terbabit tapi saya beritahu akan membayar terus RM20,000 pada September depan,” katanya.

Menurutnya, dia bersyukur kerana tidak terpedaya dengan penipuan licik berkenaan, apatah lagi sepupu Tengku berkenaan turut mempelawanya menyertai skim pelaburan dinar Arab.

- HARIAN METRO

Cegah wabak H1N1 guna kaedah Islam

by
Oleh MOHD. AL-HAFIZ ADNAN
Yang Dipertua Persatuan Mahasiswa Kedah (Permadah), Universiti Malaya

Penularan virus Influenza A H1N1 atau selesema babi semakin membimbangkan dan sehingga kini belum ada tanda-tanda reda atau menguncup. Selepas wabak Sindrom Serangan Akut Teruk (SARS), kini dunia dikejutkan oleh virus yang mudah berjangkit hanya melalui udara.

Virus yang mulanya dikesan di Mexico pada Mac lalu kini menular hampir ke seluruh dunia di mana sebanyak 159 negara terlibat.

Malaysia tidak berkecuali daripada kes ini, walaupun langkah pencegahan telah diambil namun, virus ini tetap merebak.

Sehingga kelmarin, sebanyak 1,219 kes dilaporkan di mana sebanyak 574 merupakan kes import manakala selebihnya jangkitan tempatan dan sebanyak tiga kes kematian dilaporkan akibat virus ini.

Institusi pengajian tinggi, kem PLKN dan banyak sekolah serta beberapa universiti juga telah diarahkan tutup untuk langkah pencegahan.

Jika kita lihat peratusan kes semakin meningkat setiap hari dan virus tersebut seolah-olah bergerak seiring dengan kepantasan kehidupan manusia.

Adalah dicadangkan, selain mengamalkan langkah-langkah pencegahan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Kementerian Kesihatan Malaysia seperti mengamalkan etika ketika batuk, menjaga kebersihan diri, amalkan membasuh tangan, penggunaan topeng muka dan sebagainya, elok sekiranya kita mengamalkan langkah pencegahan mengikut kaedah Islam.

Umum mengetahui bahawa berdoa merupakan senjata bagi Muslim. Oleh itu umat Islam digalakkan berdoa meminta pertolongan dan perlindungan daripada Allah SWT.

Imam-imam masjid di seluruh negara digalakkan agar membaca doa Qunut Nazilah sewaktu solat berjemaah lima waktu terutamanya ketika solat Jumaat dan berdoa ketika berkhutbah bagi mencegah penularan wabak ini.

Selain itu, umat Islam juga disaran mengguna dan meminum air bacaan Surah Yasin dan doa sebagai satu langkah pencegahan. Sementara bukan Islam pula, langkah pencegahan boleh dilakukan mengikut kepercayaan masing masing.

Bagi umat Islam, setiap apa yang berlaku merupakan ketentuan dan kehendak Ilahi dan hanya kepada-Nya tempat kita bergantung dan berserah. Jangan sesekali berpaling daripada memohon perlindungan-Nya.

H1N1: 11 kem PLKN ditutup tujuh hari

by
Sebelas kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di semenjung diarah tutup setakat ini berikutan pelatihnya menunjukkan tandatanda jangkitan influenza A (H1N1).

Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata penutupan kem itu melibatkan 4,500 pelatih dan kirakira 200 petugas dan mereka diminta berada di rumah selama seminggu.

Beliau berkata semua aktiviti PLKN akan diadakan semua mengikut modul yang ditetapkan selepas semua pelatih dibenar kembali ke kem.

"Kami akan ambil tindakan sama ke atas kem PLKN yang lain jika keadaan yang sama berlaku di kem-kem itu. Terdapat 87 kem di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan petugas kem tentera Tun Razak di Bayan Lepas, di sini.

Ditanya jumlah pelatih yang disahkan positif virus itu, Ahmad Zahid berkata: "Kami tidak pasti berapa ramai yang dijangkiti tapi daripada maklumat yang saya dapat, tiada yang pulang dari dari luar negara, termasuk petugas kami".

Beliau meminta ibu bapa pelatih terlibat supaya tidak panik kerana kementerian akan mengambil tindakan drastik bagi mengatasi masalah itu.

Ahmad Zahid juga berkata pertandingan akhir kem PLKN terbaik seluruh negara yang dijadual 19 Ogos telah ditunda.

-BERNAMA

JAWATAN KOSONG DI MAJLIS PERBANDARAN KEMAMAN (MPK) TERENGGANU

by
Terbuka kepada semua Warganegara Malaysia.
Keutamaan kepada rakyat Negeri Terengganu Darul Iman.

JAWATAN:
1. Penolong Pegawai Veterinar - Gred G27
2. Pembantu Veterinar - Gred G17
3. Pembantu Penguatkuasa - Gred N17
4. Pegawai Khidmat Pelanggan - Gred N17
5. Juruteknik Perancang Bandar & Desa - Gred J17

DOWNLOAD IKLAN:
http://www.ziddu.com/download/5831760/IklanJawatanMPKemaman2009.pdf.html

Borang permohonan (berharga RM1.00) boleh didapati di Bahagian Pentadbiran dan Sumber Manusia, Tingkat 2, Majlis Perbandaran Kemaman yang beralamat seperti di bawah dengan mengirimkan sampul surat berukuran 22 cm x 35 cm bersetem 50 sen dan beralamat sendiri atau datang sendiri.

YANG DIPERTUA
MAJLIS PERBANDARAN KEMAMAN
JALAN AIR PUTIH
24000 KEMAMAN
TERENGGANU

Tarikh Tutup : 6 Ogos 2009


JAWATAN KOSONG DI MAJLIS DAERAH MERSING (MDM) JOHOR

by
Terbuka kepada semua Warganegara Malaysia.

JAWATAN:
1. Penolong Jurutera J29
2. Penolong Pegawai Tadbir N27
3. Penolong Pegawai Ehwal Ekonomi E27
4. Pembantu Tadbir (Perkeranian/Operasi) N17
5. Pembantu Am Pejabat N1

DOWNLOAD IKLAN:
http://www.ziddu.com/download/5831759/IklanJawatanMDMersing2009.pdf.html

Semua permohonan hendaklah menggunakan borang yang boleh didapati di Pejabat Majlis Daerah Mersing pada waktu pejabat dengan dikenakan bayaran RM1.00 sekeping atau mengemukakan sampul surat berukuran 10cmx23cm beralamat sendiri bersetem RM0.50 dan bayaran borang permohonan hendaklah dibuat menggunakan kiriman wang/wang pos.

YANG DIPERTUA
MAJLIS DAERAH MERSING
NO.243, JALAN IBRAHIM
86800 MERSING, JOHOR

Tarikh Tutup : 7 Ogos 2009


JAWATAN KOSONG DI FAKULTI PERUBATAN & SAINS KESIHATAN, UPM

by
Terbuka kepada semua Warganegara Malaysia.

JAWATAN:
1) Pegawai Dietetik - Gred U41
2) Pemandu Kenderaan - Gred R3

DOWNLOAD BORANG:

Borang Permohonan Jawatan Kumpulan Pengurusan Dan Profesional (U41)
http://www.ziddu.com/download/5607840/BorangJawatanUPMPegawai.pdf.html

Borang Permohonan Jawatan Kumpulan Sokongan (R3)
http://www.ziddu.com/download/5436385/BorangJawatanUPM.pdf.html

Sila hantar permohonan kepada:

Pejabat Am Dekan, Aras 3,
Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor
(U.P.: Cik Nor Adlina Sulaiman)

Tarikh Tutup : 12 Ogos 2009

JAWATAN KOSONG DI INSTITUT PENYELIDIKAN MATEMATIK, UPM

by
Terbuka kepada semua Warganegara Malaysia.

JAWATAN:
1.PEGAWAI PENERBITAN GRED N41
2.PEMBANTU TADBIR (KESETIAUSAHAAN) GRED N17

DOWNLOAD BORANG:

Borang Permohonan Jawatan Kumpulan Pengurusan Dan Profesional (N41)
http://www.ziddu.com/download/5607840/BorangJawatanUPMPegawai.pdf.html

Borang Permohonan Jawatan Kumpulan Sokongan (N17)
http://www.ziddu.com/download/5436385/BorangJawatanUPM.pdf.html

Permohonan hendaklah di hantar ke alamat berikut :

Pengarah
Institut Penyelidikan Matematik
Aras 1, Bangunan Matematik
Fakulti Sains
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM SERDANG
(u.p: En. Mustapha Kamal Hj. Tahir)

Tarikh Tutup : 7 Ogos 2009


JAWATAN KOSONG DI PEMBANGUNAN SUMBER MANUSIA BERHAD (PSMB)

by
Terbuka kepada semua Warganegara Malaysia.

JAWATAN:
-KERANI

CARA MEMOHON :
Calon yang berminat boleh mengemukakan permohonan secara on-line di:
http://www.jobsmalaysia.gov.my

Tarikh Tutup : 4 Ogos 2009

JAWATAN KOSONG DI JABATAN PERTANIAN TERENGGANU

by
Terbuka kepada semua Warganegara Malaysia.

JAWATAN:
-PEKERJA RENDAH AWAM

Status Kekosongan Jawatan : Kontrak
Bilangan Kekosongan Jawatan : 1

CARA MEMOHON :
Calon yang berminat boleh mengemukakan permohonan secara on-line di:
http://www.jobsmalaysia.gov.my

Tarikh Tutup : 11 September 2009

JAWATAN KOSONG DI LEMBAGA PEMASARAN PERTANIAN PERSEKUTUAN (FAMA)

by
Terbuka kepada semua Warganegara Malaysia.

JAWATAN:
-Pemandu Kenderaan (R3)

Tempat Pekerjaan :
1.Kuching
2.Samarahan
3.Betong
4.Sibu
5.Miri
6.Limbang
7.Sarikei
8.Bintulu

Status Kekosongan Jawatan : Kontrak
Bilangan Kekosongan Jawatan : 8

CARA MEMOHON :
Calon yang berminat boleh mengemukakan permohonan secara on-line di:
http://www.jobsmalaysia.gov.my

Tarikh Tutup : 03 Ogos 2009


Bapa sangka anak demam biasa

by
''Saya ingatkan cuma demam biasa dan tak sangka anak saya dijangkiti wabak selesema babi hingga menemui ajal.

''Kalau saya tahu dia dijangkiti demam sangat serius, saya akan bawa dia ke hospital segera, mungkin masih ada peluang untuk dia hidup,'' kata Ramli Abdul Aziz, 45, dengan nada sedih.

Ramli adalah bapa kepada remaja perempuan, Nur Syazwana, 20, yang meninggal dunia akibat influenza A (H1N1) di Hospital Melaka pagi semalam.

Nur Syazwana yang membantu bapanya berniaga di kedai makan tidak jauh dari rumahnya di Taman Cempaka di sini meninggal dunia kira-kira 8.30 pagi dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Peringgit.

Biarpun diselubungi kesedihan akibat kematian anak sulung daripada empat beradik itu, Ramli tetap tabah dan reda.

Menceritakan detik-detik sedih itu Ramli berkata, anaknya itu mula demam selepas adiknya, Mohd. Shafiq, 19, pulih daripada demam.

''Apabila Mohd. Shafiq pulih, anak sulung saya pula mengadu demam seminggu sebelum dia meninggal dunia.

''Saya tak kisah sangat waktu itu kerana dia masih boleh membantu saya di kedai," katanya.

Pengusaha kedai makan itu menambah, keadaan demam anaknya itu bagaimanapun tidak pulih selepas seminggu.

''Saya ada suruh dia mendapatkan rawatan di klinik swasta dan doktor memberitahu dia hanya menghidap demam biasa," katanya.

Selepas memakan ubat yang diberikan oleh doktor, kata Ramli, demam anaknya masih tidak kebah selain turut mengadu sesak nafas.

''Saya mula rasa gelisah melihat perubahan keadaan anak saya yang tidak bermaya dan lebih mengejutkan apabila seluruh tangannya pula lebam," ujarnya.

Katanya, Nur Syazwana pergi ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut kira-kira pukul 3 petang Ahad lalu.

Ramli berkata, dia terkejut apabila pihak hospital terpaksa menahan Nur Syazwana kerana keadaan anaknya yang semakin serius.

''Saya diberitahu paru-paru anak saya hitam dijangkiti kuman dan menyerah kepada Allah SWT agar dia pulih.

''Ketika itu doktor tidak menyatakan anak saya dijangkiti virus H1N1 tetapi memberitahu keadaan dia semakin kritikal," katanya.

Menurutnya, punca kematian Nur Syazwana akibat H1N1 hanya dimaklumkan hari ini selepas disahkan oleh pihak hospital.

Katanya, beliau dan semua ahli keluarga kini dikuarantin di rumah selama seminggu.

- UTUSAN

Najib janji terus gigih bekerja

by
Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan ucapan selamat hari lahir yang dihantar oleh pengunjung blog 1Malaysia sebagai satu dorongan untuk beliau bekerja lebih gigih.

Perdana Menteri bagaimanapun berkata, keseronokan melayari komen dan ucap selamat hari lahir itu tidak menyebabkan beliau alpa kerana masih banyak kerja perlu diselesaikan.

Menerusi entri terbaru dalam blog www.1Malaysia.com.my, beliau berkata, terdapat isu lebih besar membabitkan rakyat yang perlu diselesaikan secara menyeluruh.

"Saya sangat menghargai ucapan selamat anda semua dengan caranya yang tersendiri. Semua ucapan tersebut mendorong saya bekerja lebih keras untuk memberi perkhidmatan kepada nusa dan bangsa.

"Minggu lepas, sebaik pulang dari Timur Tengah, saya agak terkejut tetapi gembira, juga tersentuh apabila mendapati ramai daripada anda semua telah menghantar ucap selamat hari lahir di ruangan komen entri blog saya,'' katanya.

Najib berkata, beliau perlu bekerja gigih bagi memastikan enam Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) yang menjadi sebahagian daripada inisiatif Rakyat Didahulukan Prestasi Diutamakan, mencapai kejayaan.

"Oleh itu, saya akan bekerja rapat dengan menteri-menteri peneraju yang akan mengendalikan setiap bidang dalam NKRA bagi memastikan pelaksanaan yang sempurna dan mencapai hasil yang diharapkan," katanya.

Najib turut merakamkan penghargaan beliau kepada semua pengunjung blog yang telah menyampaikan ucap selamat secara peribadi kepadanya.

Beliau berkata, walaupun tidak mampu menyampaikan penghargaan kepada setiap individu, tetapi beliau berasa lega kerana boleh melakukannya dalam blog tersebut.

Mengenai 1Malaysia.com.my, Najib berharap ia akan dapat menyiarkan respons beliau terhadap komen pengunjung laman blog berkenaan sedikit masa lagi.

"Saya juga akan meneruskan dengan video soal dan jawab yang saya mulakan pada awal bulan ini. Penyertaan anda sangat penting kepada kedua-dua laman web ini dan saya berharap dapat berinteraksi lagi dengan anda," katanya.

- UTUSAN

4,000 pusat hiburan, judi, spa haram beroperasi di Selangor

by
Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo hari ini mendakwa terdapat lebih 4,000 tempat judi, hiburan dan spa beroperasi secara haram sejak pakatan pembangkang memerintah negeri itu.

Menurutnya, sebelum ini lesen pusat hiburan, judi dan spa dihadkan kepada 700 sahaja tetapi mengikut Majlis Keselamatan Negara (MKN) terdapat lebih 4,000 pusat itu di Selangor sekarang.

‘‘Saya yakin kewujudan banyak pusat seperti ini di Selangor kerana ada ahli politik bertindak sebagai pelindung kepada kumpulan-kumpulan kongsi gelap memandangkan semasa kerajaan Barisan Nasional (BN), lesen untuk pusat hiburan, judi dan spa dihadkan kepada 700.

‘‘Secara rasmi memang lesen pusat-pusat tersebut tidak dikeluarkan lagi tetapi kalau kita lihat pusat judi, hiburan dan spa tumbuh macam cendawan di Selangor, saya percaya kesemuanya dibuka secara haram,” dakwanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Kad E-Amal U-Pay Yayasan Bakti Khidmat Masyarakat Malaysia (Yayasan Bakti) di Ampang dekat sini.

Kad E-Amal U-Pay dikeluarkan dengan kerjasama Yayasan Bakti, Koperasi Usahawan dan Pengguna Perniagaan Elektronik Kuala Lumpur dan MAA Insurans Takaful Berhad.

Kad itu menawarkan faedah seperti khairat kematian, perlindungan kemalangan peribadi, kemudahan mengeluarkan wang, membeli barangan dan juga membayar bil.

Mengulas lanjut, Mohamad Khir memberitahu, di kawasan Sungai Besar sahaja terdapat tiga pusat urut yang besar baru beroperasi.

Beliau menambah, kumpulan kongsi gelap bukan sahaja menguasai pusat-pusat hiburan, judi dan spa malahan perniagaan melombong pasir.

‘‘Mengikut kerajaan pakatan pembangkang, hasil daripada melombong pasir adalah sebanyak RM200 juta setahun tetapi setelah lebih setahun memerintah, pendapatan perlombongan pasir hanya RM4 juta.

‘‘Kalau kita lihat banyak laporan kecurian pasir seperti di Semenyih, tetapi saya yakin ia bukan dicuri sebaliknya terdapat dalang yang melindungi kegiatan kumpulan-kumpulan kongsi gelap ini,” dakwanya.

Beliau menambah, Selangor tidak lama lagi akan menjadi negeri bankrap kerana pendapatan kerajaan negeri merosot sebanyak RM200 juta setahun.

Dakwanya lagi, kewangan negeri tidak diuruskan dengan baik terutama berkaitan peruntukan RM500,000 kepada wakil-wakil rakyat.

Ia dipindahkan terus daripada akaun pejabat daerah ke tabung-tabung pusat khidmat masyarakat yang diuruskan parti-parti politik.

‘‘Kemudian baru diagihkan kepada orang ramai, sesuatu yang boleh dipertikaikan dari segi ketelusan kerana tidak boleh diaudit.

‘‘Semasa BN memerintah, peruntukan ini dikendalikan oleh pejabat daerah sepenuhnya,” katanya.

Mohamad Khir memberitahu, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat perkara itu kerana kemungkinan berlaku salah guna kuasa dan rasuah dalam pengendalian tabung-tabung pusat khidmat tersebut.

Beliau juga membidas kerajaan pakatan pembangkang kerana gagal menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke Selangor.

Katanya, pada tahun lepas Selangor hanya menarik FDI kurang daripada RM4 bilion sedangkan kerajaan pimpinan BN pada 2007 berjaya menarik pelaburan sebanyak RM11.8 bilion.

‘‘Selangor kini berada di tempat ketiga dalam FDI iaitu di belakang Johor dan Sarawak yang berjaya menarik lebih banyak pelaburan.

‘‘Kegagalan kerajaan pakatan pembangkang menarik FDI menyebabkan hanya 10,000 peluang pekerjaan diwujudkan tahun lepas dan ini menyebabkan banyak pengangguran di Selangor,” katanya.

Mohamad Khir berkata, semasa BN memerintah peluang pekerjaan yang dapat diwujudkan adalah antara 25,000 dan 30,000 jawatan.

- UTUSAN

Membeli belah secara maya

by
Kecanggihan teknologi hari ini menyebabkan lebih ramai pengguna memilih untuk membeli-belah secara dalam talian. Mengapakah trend ini semakin berkembang dan apakah risikonya?

Hasil kajian syarikat informasi dan kaji selidik pemasaran terkemuka dunia, Nielsen Global Online menunjukkan lebih 627 juta penduduk dunia sudah mula menerokai pembelian secara dalam talian (online), sejak tahun 2005.

Lebih menarik, data tersebut turut memaparkan bahawa sejak tahun 2003 hingga 2005, pembelian secara maya telah melonjak sehingga 40 peratus.

"Jika sebelum ini, Internet menjadi lubuk informasi dan bahan kajian, tetapi kini ia bertindak sebagai 'alat' penting dalam kehidupan moden.

"Penggunaannya semakin berkembang sehingga menawarkan bermacam-macam kemudahan termasuklah proses jual-beli secara maya yang mendapat sambutan ramai," jelas Presiden Antarabangsa Nielsen Global Online, Jonathan Carson yang dipetik dari laman web Nielsen.com.

Mengikut perbandingan, penduduk Korea Selatan paling ramai membeli secara dalam talian dengan kiraan 99 peratus daripada pengguna Internet membeli-belah secara maya. Ia diikuti 97 peratus pengguna Internet dari United Kingdom, Jerman dan Jepun serta lapan peratus pembeli dari Amerika Syarikat (AS).

Mengapa masyarakat dunia mula terjebak membeli-belah secara dalam talian?

"Faktor utama mendorong saya membeli secara maya kerana mudah mendapatkan barang yang sukar didapati di pasaran tempatan. Hanya klik pada butang tetikus dan melayari laman web, saya boleh mendapatkan barangan yang dikehendaki," ujar Mohd. Shahhidzir Asna Mohamed Azizan.

Anak kelahiran Sungai Petani, Kedah itu kerap membeli gajet efek gitar sejak dua tahun lalu secara dalam talian.

"Hanya menerusi pembelian secara dalam talian, saya mampu membeli gajet efek gitar, khususnya buatan Jepun yang tidak dijual lagi di Malaysia.

"Lagipun produk yang dibeli secara dalam talian lebih murah berbanding harga pasaran. Saya pernah membeli gajet efek gitar dari Singapura pada harga RM1,100 termasuk kos penghantaran. Sedangkan item yang sama di kedai alat muzik dijual pada harga RM1,600," ujar Shahhidzir sambil menunjukkan sebilangan gajet efek gitar yang dibelinya secara dalam talian.

Dalam pada itu, Shahhidzir yang berkhidmat di syarikat My EG Services Bhd. memberitahu, selain harga yang lebih murah, pembelian secara dalam talian juga dapat menjimatkan masa dan lebih selesa.

Menurutnya, dia tidak perlu bersesak-sesak di gedung beli-belah kerana mampu menjalankan aktiviti pembelian dari rumah mahupun di mana sahaja.

Pemuda berusia 26 tahun itu mengakui menerusi pembelian secara maya, dia tidak perlu risau untuk mengejar masa waktu operasi kedai kerana pada pukul 4 pagi, dia masih berpeluang melakukan pembelian.

Namun, Shahhidzir yang sudah membelanjakan lebih RM5,000 untuk membeli-belah secara maya tidak menafikan risiko ditipu oleh penjual secara dalam talian.

"Menerima barangan yang tidak sama seperti yang dilihat dalam web atau blog merupakan antara masalah utama yang berlaku dalam aktiviti pembelian sebegini. Namun, sepanjang dua tahun saya aktif membeli secara dalam talian, saya belum lagi berhadapan dengan masalah berkenaan.

Risiko ditipu

"Caranya mudah iaitu sebelum membeli sesuatu produk, saya akan melayari lebih daripada lima laman web yang menawarkan barangan yang sama terlebih dahulu. Selain meneliti spesifikasi item dan membuat perbandingan harga, saya akan meminta penjual memaparkan foto produk dalam pelbagai sudut.

"Sekiranya, penjual enggan berbuat demikian tetapi beria-ria menegaskan produk tersebut baik, saya akan membatalkan urusan jual beli. Bagi mengelakkan diri ditipu juga, secara rutin saya mendapatkan data peribadi dan nombor telefon penjual untuk berkomunikasi lebih lanjut mengenai kualiti dan spesifikasi barang yang ditawarkan," jelas Shahhidzir.

Menurutnya, sekiranya gajet yang ditempah tidak memenuhi kriteria yang diingini, Shahhidzir akan menjual semula gajet tersebut secara dalam talian di laman web Ebay.com atau Mudah.com.

"Tidak sukar membeli barang secara maya. Apa yang penting, layari beberapa laman web, ketahui harga barang yang sama di pasaran dan kerap berhubung dengan penjual," kata Shahhidzir ketika ditemui Kosmo! di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sementara itu, Pegawai Tadbir dan Diplomatik, Jabatan Perkhidmatan Awam, Nur Aina Najha Ahmad Mukhtar, 25, pula bagaimanapun tidak obses membeli-belah secara dalam talian seperti segelintir pembeli wanita lain.

"Saya lebih gemar melayari laman web untuk melihat busana atau aksesori daripada membeli. Saya tidak yakin pembelian secara dalam talian kerana bimbang barang jenama mewah yang dijual pada harga yang tinggi itu sebenarnya tiruan. Daripada menanggung risiko ditipu, lebih baik saya beli di butik," ulas Aina yang turut bimbang tidak memperoleh barang walaupun sudah membuat transaksi pembayaran.

Dia juga kurang selesa apabila pembelian secara dalam talian memerlukan data peribadi seperti nombor kad pengenalan, nombor akaun atau nombor kad kredit.

Penghantaran segera

Bukan mudah menyemai kepercayaan masyarakat pada perniagaan yang berasaskan talian kerana risiko kesahihan proses jual beli, isu ditipu penjual, wang lesap dan barang yang tidak elok sentiasa ada.

"Enggan membiarkan pengguna terus bimbang, kami menampilkan rekaan laman web yang profesional dan prosedur transaksi pembayaran yang betul. Kami juga memaparkan nombor telefon tetap dan bimbit serta alamat pejabat supaya pelanggan yakin bahawa kami adalah syarikat jualan secara dalam talian yang sah.

"Bagi pelanggan yang was-was, biasanya mereka akan berkunjung ke pejabat kami di Puchong," jelasnya sambil memberitahu laman web Getgorgeous.com menjual koleksi busana dan aksesori untuk wanita bertudung.

Jelas Siti Azlia lagi, bagi menambah keyakinan pelanggan, pihaknya tidak pernah melengah-lengahkan proses penghantaran tempahan.

Sebaik sahaja menerima tempahan dan pembayaran di dalam akaun atau transaksi kad kredit sebelum pukul 3.30 petang, pelanggan berpeluang memperoleh produk yang dibeli pada keesokan hari.

"Selepas menerima tempahan, kami segera membungkus barang kerana tepat pukul 4 petang, van Pos Laju akan datang mengambil stok untuk diposkan kepada pelanggan.

"Bagi pelanggan tempatan, tempoh penghantaran hanya mengambil masa di antara satu hingga dua hari, manakala pelanggan antarabangsa seperti di Jepun, Australia, New Zealand atau Brunei, mereka perlu menunggu kurang daripada seminggu," ujar Siti Azlia yang menguruskan bisnes itu bersama adiknya, Siti Allia Aidha, 24, dan seorang teman, Nooraizan Mamat yang bertindak sebagai penasihat syarikat.

Masih berbicara mengenai pembelian secara maya, Pensyarah Perniagaan Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Jengka, Pahang, Mohd. Nazri Mohd. Noor, menjelaskan masyarakat kini tidak melepaskan peluang membeli barangan peribadi, rumah atau aksesori kenderaan secara dalam talian.

Katanya, faktor menjimatkan masa, wang, tenaga dan mudah mendapatkan item dari luar negara mendorong pembelian secara dalam talian.

Menurutnya, kebanyakan item yang dijual lebih murah kerana aliran perniagaan secara maya hanya melibatkan pihak pengeluar dan terus kepada pengguna.

"Ini berbeza dengan urus niaga pasaran yang melibatkan banyak pihak seperti pengilang, pemborong, peruncit dan pengguna," katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Namun, katanya, biarpun secara tersurat, jual beli secara dalam talian dapat meningkatkan taraf ekonomi individu dan memudahkan pelanggan, tetapi yang tersiratnya, ia tetap mempunyai kekangan.

Nazri menjelaskan sebahagian pengguna tidak gemar memilih pembelian secara dalam talian kerana perlu mendedahkan data peribadi seperti nombor kad pengenalan dan nombor kad kredit pengguna yang dianggap sulit.

Justeru itu, Nazri menyarankan sebelum melakukan sebarang pembayaran, pastikan laman web yang dikunjungi itu diiktiraf dan memiliki sistem sekuriti yang baik.

Pastikan alamat laman web berkenaan tertera https:// berbanding http://. Ini kerana https merupakan pangkalan data dan sistem sekuriti yang menjaga segala maklumat peribadi pengguna.

- KOSMO!

Merancang kewangan persaraan

by
Apabila berbincang mengenai hari persaraan, ramai di antara kita yang mengambil mudah fasa hidup itu. Walaupun ia satu peringkat di mana kebanyakan kita menjalani kehidupan yang lebih rileks, namun itu tidak bermakna kewangan kita juga akan begitu.

Saya suka menggambarkan hari-hari persaraan itu seperti hari-hari huruf merah! Apakah dia hari-hari huruf merah?

Setiap kali kita perhatikan kalendar di atas meja, di dinding mahupun dalam diari, satu perkara yang nyata, hari Ahad dan hari cuti umum adalah hari-hari yang ditanda dengan huruf merah.

Ia adalah hari kita meluangkan masa yang banyak dengan suami dan anak-anak selain waktu untuk pergi membeli-belah.

Tanpa kita sedari, apabila kita lihat semula catatan atau skor simpanan kita, hari Ahad atau cuti umum merupakan hari yang menuntut perbelanjaan yang tinggi.

Manusia semakin panjang umur

Hari ini manusia mampu hidup lebih lama. Ia adalah satu berita baik, tetapi pada yang sama, ramai yang tidak menyedari ia juga boleh menjadi berita buruk. Kebaikannya kita boleh menikmati hidup yang lebih panjang dengan orang tersayang.

Tetapi, berita buruknya adalah biasanya ia turut melonjakkan keperluan kewangan kita selepas pencen.

Perbelanjaan seharian

Selalunya apabila sudah bersara, kita akan mengurangkan pengambilan makanan yang kurang berkhasiat seperti makanan berminyak, gula, garam berlebihan dan makanan karbohidrat.

Tetapi, apabila kita memilih makanan yang berkhasiat, harganya pula selalunya tinggi.

Apa tidaknya, kalau kita membeli makanan organik, ikan berisi putih, sayur-sayuran yang diimport dan sebagainya, perbelanjaan setiap hari dan kos pembiayaannya amat tinggi.

Satu perkara yang perlu diambil kira adalah pengambilan ubat-ubatan yang terbaik dan pelbagai vitamin akan menentukan kesihatan kita menjelang hari tua nanti.

Kos pembiayaan perubatan

Memang menjadi satu kebiasaan apabila umur semakin meningkat, banyak pula penyakit yang tidak diingini datang menjenguk.

Penyakit-penyakit seperti darah tinggi, sakit lutut dan sendi-sendi masih boleh lagi dirawat dengan membeli ubat-ubatan dari farmasi.

Tetapi, apabila penyakit-penyakit kronik seperti serangan jantung, angin ahmar, kanser dan sakit buah pinggang datang menyerang, kos pembiayaan kesihatan akan meningkat sehingga dua atau tiga kali ganda.

Di sinilah, wang simpanan yang cukup, memainkan peranan penting apabila sudah bersara.

Bersara dengan gaya hidup terbaik

Kita boleh memilih gaya hidup yang kita idamkan setelah kita bersara. Persaraan tidak bermakna kita akan meringkuk dalam kegelapan dan kesusahan.

Marilah kita sama-sama merancang kos gaya hidup hari-hari persaraan dengan baik seperti mana yang kita impikan.

Jadi apabila tibanya masa bersara, ia merupakan satu permulaan hidup baru yang menyeronokkan.

Ia menjadi fasa yang lebih tenang untuk kita beribadat atau melakukan hobi-hobi diminati yang tidak sempat dilakukan dahulu kerana sibuk dengan kerja.

Masa inilah juga kita melancong ke mana saja yang kita inginkan dengan suami atau isteri yang tercinta.

Siapa bilang ISA tahanan tanpa bicara

by
MOHD KHAIRUL AZAM ABDUL AZIZ
Presiden Gabungan Graduan Melayu Muda (GGMM)
E-Mail: azamaziznco@gmail.com

Amat mengejutkan apabila kajian rambang yang dilakukan oleh Biro Undang-undang Tindakan Siswa Bersatu Universiti Kebangsaan Malaysia (TSB) pada 2001 ke atas 100 orang mahasiswa UKM yang menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), menunjukkan kesemua mereka tidak pernah melihat, memegang dan menyelak sehelai demi sehelai Akta 82 tersebut yang keseluruhannya mengandungi 85 Seksyen, 4 Bahagian, 12 Bab dan 3 Jadual.

Saya tidak menyalahkan mereka dan ratusan ribu lagi rakyat Malaysia yang menentang ISA ini kerana jelas mereka menentang akta tersebut semata-mata kerana emosi dan sentimen. Membaca helaian demi helaian akta Parlimen juga bukanlah hobi yang menyeronokkan. Sebab itulah wujud jawatan peguam yang di bayar oleh anak guamnya supaya membaca dan memahami akta Parlimen mengikut selera pembayar upah professional peguam tersebut.

Daripada satu sudut, jelas juga kepada kita bahawa kempen pakatan pembangkang dan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) telah berjaya meresap masuk ke dalam pemikiran kesemua ribuan penentang dengan momokan “ISA Zalim” dan “ISA Tahanan Tanpa Bicara”.

Pemikiran songsang ini melewati empat generasi kerana selalunya, bayi-bayi yang masih menyusu badan juga diusung menyertai demonstrasi anti ISA.

Tahniah juga kepada GMI kerana tanpa perlu berkempen menggunakan modal yang besar dan tanpa perlu ayat panjang berjela, beribu-ribu orang rakyat marhaen bersedia turun ke jalan raya menentang suatu akta yang mereka sendiri tak tahu hujung pangkalnya.

Jika tiada aral melintang, akan berlaku pertembungan unik dua kelompok penunjuk perasaan “pro dan anti” ISA pada 1 Ogos ini. Genap 37 tahun selepas kali terakhir semakan semula ISA dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional.

Demonstrasi 1 Ogos ini tidak sewajarnya berlaku. Penentangan terhadap ISA jika hanya bersandarkan alasan “Zalim dan Tanpa Bicara” sahaja tidak berbaloi dengan kerosakan harta benda yang bakal berlaku.

Ramai orang yang emosi menentang ISA. Hujah emosi juga boleh digunakan untuk menerangkan bahawa ISA perlu dipertahankan. Namun kali ini, dengan setitis ilmu dari lautan perundangan yang saya pelajari, saya akan berhujah dengan fakta.

Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (Akta 82) diluluskan oleh Parlimen pada 1960 dan disemak semula pada 1 Ogos 1972. ISA telah dipinda beberapa kali bermula dari 1962 dan kali terakhir dipinda pada 24 Ogos 1989.

Sebagai pengenalan kepada kononnya “Akta Zalim” ini, di muka surat 9 akta tersebut di nyatakan:

“Suatu akta untuk mengadakan peruntukan bagi keselamatan dalam negeri Malaysia, tahanan pencegahan, pencegahan subversif, penghapusan keganasan terancang terhadap orang dan harta di dalam kawasan tertentu di Malaysia, dan mengenai perkara yang bersampingan dengannya.”

[Semenanjung Malaysia-1 Ogos 1960, Akta 18 tahun 1960; Sabah, Sarawak - 16 September 1963, L.N. 232/1963]

BAHAWASANYA tindakan telah diambil dan tindakan selanjutnya diancam oleh sekumpulan besar orang di dalam dan di luar Malaysia:

(1) Untuk menyebabkan, dan untuk menyebabkan sebilangan besar warganegara takut akan, keganasan terancang terhadap orang dan harta; dan

(2) Untuk mendapatkan perubahan, selain dengan cara yang sah, kerajaan Malaysia yang sah yang ditubuhkan menurut undang-undang;

DAN BAHAWASANYA tindakan yang diambil dan ancaman yang dibuat itu memudaratkan keselamatan Malaysia;

DAN BAHAWASANYA Parlimen berpendapat perlu dihentikan atau dicegah tindakan itu;

Oleh hal yang demikian MENURUT Perkara 149 Perlembagaan MAKA INILAH DIPERBUAT UNDANG-UNDANG oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat dan persetujuan Dewan Negara dan Dewan Rakyat yang bersidang dalam Parlimen, dan dengan kuasa daripadanya

Perkara 149 Perlembagaan menyatakan bahawa:

PART XI - KUASA KHAS MENENTANG PERBUATAN SUBVERSIF, KEGANASAN TERANCANG, DAN PERBUATAN DAN JENAYAH YANG MEMUDARATKAN ORANG AWAM DAN KUASA DARURAT

Perkara 149. Perundangan menentang perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam, dsb.

(1) Jika sesuatu Akta Parlimen menyebut bahawa tindakan telah diambil atau diancam oleh mana-mana kumpulan besar orang, sama ada di dalam atau di luar Persekutuan:

(a) Untuk menyebabkan keganasan terancang terhadap orang atau harta, atau untuk menyebabkan sebilangan besar warganegara takut akan keganasan itu; atau

(b) Untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana kerajaan di dalam Persekutuan; atau

(c) Untuk menggalakkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum yang berlainan atau golongan penduduk yang berlainan yang mungkin menyebabkan keganasan; atau

(d) Untuk mendapatkan perubahan, selain dengan cara yang sah, apa-apa jua yang ditetapkan melalui undangundang; atau

(e) Yang memudaratkan penyenggaraan atau perjalanan apa-apa bekalan atau perkhidmatan kepada orang awam atau mana-mana golongan orang awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya; atau

(f) Yang memudaratkan ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, atau yang memudaratkan keselamatannya,

Maka apa-apa peruntukan undang-undang itu yang bermaksud untuk memberhentikan atau mencegah tindakan itu adalah sah walaupun peruntukan itu tidak selaras dengan mana-mana peruntukan Perkara 5, 9, 10 atau 13, atau walaupun, jika tidak kerana Perkara ini, peruntukan itu akan terkeluar daripada kuasa perundangan Parlimen; dan Perkara 79 tidaklah terpakai bagi Rang Undang-Undang untuk sesuatu akta yang sedemikian atau bagi apa-apa pindaan kepada sesuatu Rang Undang-Undang yang sedemikian.

(2) Sesuatu undang-undang yang mengandungi sebutan seperti yang disebut dalam Fasal (1), 163 jika tidak terlebih dahulu dimansuhkan, hendaklah terhenti berkuat kuasa jika ketetapan diluluskan oleh kedua-dua Majlis Parlimen yang mengungkaikan undang-undang itu, tetapi tanpa menjejaskan apa-apa jua yang dilakukan sebelum itu menurut kuasa undang-undang itu atau tanpa menjejaskan kuasa Parlimen untuk membuat suatu undang-undang baru di bawah Perkara ini.

Jelas kepada kita bahawa Perlembagaan Persekutuan selaku Undang-undang tertinggi Negara menghalalkan Parlimen meluluskan Akta Keselamatan Dalam Negeri, melebihi hak-hak asasi individu seperti yang terkandung dalam Fasal 5 hingga 13 Perlembagaan Persekutuan.

Adakah benar tuduhan yang menyatakan bahawa Perdana Menteri boleh sesuka hati menahan sesiapa sahaja musuh politik beliau menggunakan akta ini?

Sebenarnya, bukanlah Perdana Menteri yang mula-mula mencadangkan “sipolan atau sipolan” ditahan di bawah ISA. Kenyataan ini ada benarnya kerana Perdana Menteri mempunyai jadual harian yang ketat dengan acara rasmi kerajaan. Kita sering membaca biografi bekas-bekas Perdana Menteri Malaysia yang tidak mempunyai masa yang cukup waima bersama keluarga sendiri. Di mana lagi masa 24 jam sehari mahu diperuntukkan oleh Perdana Menteri untuk menyiasat dan membuat risikan keselamatan sendiri.

Sebenarnya, ada pihak lain yang memang tugas bergajinya untuk menyiasat dan merisik berkaitan dengan hal ehwal keselamatan dalam negeri iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sememangnya, salah satu tugas utama anggota polis adalah menangkap penjenayah. Jelas bahawa kuasa polis menangkap penjenayah boleh berlaku dengan menggunakan Kanun Prosedur Jenayah (CPC), Kanun Keseksaan (PC) dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

CPC dan PC prosedur tangkapan adalah sama. Secara gambaran asasnya, di bawah CPC dan PC, anggota polis meronda dan melihat seseorang di hadapan bank dalam keadaan “mencurigakan”. Percaya dengan naluri kepolisannya, maka polis itu akan mendekati suspek. Suspek kemudian memecut laju. Polis tersebut mengejar dan berlaku adegan tembak-menembak. Kereta suspek terbabas lalu polis menahan suspek.

Dalam masa 24 jam yang pertama, suspek boleh ditahan di dalam lokap polis untuk membantu siasatan. Selepas 24 jam, polis tidak lagi berhak menahan suspek tanpa izin tahanan reman daripada majistret.

Kebenaran tahanan reman ke atas suspek boleh diberikan oleh majistret kepada polis untuk tempoh maksimum 14 hari bagi menyambung soal siasat jika 24 jam yang pertama, polis gagal melengkapkan siasatan. Selepas tempoh maksimum 14 hari, suspek akan dituduh di mahkamah selepas polis mendapat izin untuk mendakwa daripada Peguam Negara atau suspek akan dibebaskan jika tiada izin mendakwa daripada Peguam Negara.

Di atas adalah gambaran situasi tahanan reman di bawah CPC dan PC. Terdapat banyak persamaan dan sedikit perbezaan apabila polis menahan seseorang di bawah ISA. Perbezaan hanyalah dari sudut tempoh masa tahanan, proses soal siasat dan watak-watak yang terlibat dengan proses siasatan sahaja. Kuasa polis untuk menahan seseorang di bawah ISA di nyatakan dalam seksyen 73 iaitu:

Kuasa untuk menahan orang yang disyaki

73.

(1) Mana-mana pegawai polis boleh tanpa waran menangkap, dan menahan sementara menunggu penyiasatan, mana-mana orang yang berkenaan dengannya dia mempunyai sebab untuk mempercayai

(a) Bahawa ada alasan yang akan mewajarkan penahanannya di bawah seksyen 8; dan

(b) Bahawa dia telah bertindak atau hampir bertindak atau mungkin bertindak mengikut apa-apa cara yang memudaratkan keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagiannya atau penyenggaraan perkhidmatan perlu di dalamnya atau kedudukan ekonominya.

(2) Mana-mana pegawai polis boleh tanpa waran menangkap dan menahan sementara menunggu penyiasatan, mana-mana orang yang selepas disoal oleh pegawai itu gagal untuk memuaskan hati pegawai itu tentang identitinya atau tentang maksud yang baginya dia berada di tempat dia ditemui dan yang disyaki oleh pegawai itu telah bertindak atau hampir bertindak mengikut apa-apa cara yang memudaratkan keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagian di dalamnya atau penyenggaraan perkhidmatan perlu di dalamnya atau kedudukan ekonominya.

(3) Mana-mana orang yang ditangkap di bawah seksyen ini boleh ditahan selama tempoh tidak melebihi enam puluh hari tanpa suatu perintah tahanan dibuat berkenaan dengannya di bawah seksyen 8:

Dengan syarat bahawa:

(a) Dia tidak boleh ditahan lebih daripada dua puluh empat jam kecuali dengan kebenaran seorang pegawai polis yang berpangkat atau yang berpangkat lebih tinggi daripada Inspektor;

(b) dia tidak boleh ditahan lebih daripada empat puluh lapan jam kecuali dengan kebenaran seorang pegawai polis yang berpangkat atau berpangkat lebih tinggi daripada Penolong Penguasa; dan

(c) dia tidak boleh ditahan lebih daripada tiga puluh hari melainkan jika seorang pegawai polis yang berpangkat atau yang berpangkat lebih tinggi daripada Timbalan Penguasa telah melaporkan hal keadaan penangkapan dan penahanan itu kepada Ketua Polis atau kepada seorang pegawai polis yang ditetapkan oleh Ketua Polis bagi maksud itu, yang dengan serta-merta hendaklah melaporkan perkara yang sama kepada Menteri.

(4)-(5) (Dipotong oleh Akta A61).

(6) Kuasa yang diberikan kepada seorang pegawai polis oleh subseksyen (1) dan (2) boleh dijalankan oleh mana-mana anggota angkatan keselamatan, mana-mana orang yang melaksanakan tugas sebagai pengawal atau jaga di dalam suatu tempat terkawal dan oleh mana-mana orang lain yang pada amnya diberi kuasa bagi maksud itu oleh seorang Ketua Pegawai Polis.

(7) Mana-mana orang yang ditahan di bawah kuasa yang diberikan oleh seksyen ini hendaklah disifatkan sebagai berada dalam jagaan yang sah, dan boleh ditahan di mana-mana penjara, atau di mana-mana balai polis, atau di mana-mana tempat lain yang serupa yang dibenarkan secara am atau khas oleh Menteri.

Hanya selepas 48 jam seseorang itu di tahan polis kerana "disyaki oleh polis" sebagai seorang yang boleh "mengancam keselamatan negara", barulah maklumat berkenaan penahanan tersebut di laporkan kepada menteri bertanggungjawab oleh Ketua Polis yang bertanggungjawab.

Jelas kepada kita bahawa Perdana Menteri tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan polis menangkap sesiapa di bawah ISA. Sekiranya di buktikan wujud arahan Perdana Menteri kepada polis untuk menangkap musuh politiknya di bawah ISA, ternyata Perdana Menteri berkenaan telah melakukan kesalahan penyalahgunaan kuasa yang amat serius.

Kes duluan yang boleh dijadikan panduan yang keputusannya di kekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada 2003 adalah kes Dato Seri Anwar Ibrahim selaku Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu yang didapati bersalah di bawah Ordinan Darurat kerana memberi arahan kepada polis supaya mengugut saksi kes liwatnya adalah satu contoh arahan yang tidak boleh diberi oleh mana-mana menteri atau Perdana Menteri Malaysia kepada polis.

Seseorang yang ditahan untuk proses soal siasat oleh polis mengikut ISA di atas boleh ditahan untuk membantu siasatan untuk tempoh maksimum 60 hari. Hanya selepas tempoh maksimum berkenaan, hasil siasatan polis akan dipersembahkan kepada menteri dan terpulanglah pula kepada menteri berkenaan sama ada untuk terus menahan suspek pengancam keselamatan negara itu atau tidak.

Beza watak dalam CPC dan ISA adalah majistret atau pegawai polis, Peguam Negara atau menteri dan perbezaan masa maksimum tahanan sama ada 14 hari atau 60 hari. Proses yang lain adalah sama.

Kita lihat peruntukan Seksyen 8 ISA yang memberikan kuasa kepada menteri untuk mengizinkan polis menahan seseorang di bawah ISA selama tempoh maksimum 2 tahun yang menyatakan bahawa:

Kuasa untuk memerintahkan penahanan atau sekatan orang

8 (1) Jika Menteri berpuas hati bahawa penahanan mana-mana orang perlu dengan tujuan untuk mencegahnya daripada bertindak dengan apa-apa cara yang memudaratkan keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagiannya atau penyenggaraan perkhidmatan perlu di dalamnya atau kedudukan ekonominya, menteri boleh membuat suatu perintah (kemudian daripada ini disebut perintah tahanan) yang mengarahkan supaya orang itu ditahan bagi apa-apa tempoh yang tidak melebihi dua tahun.

CATATAN: Lihat Nota Pesuruhjaya di muka surat 83.

Nota Pesuruhjaya di muka surat 83 menyatakan bahawa:

Nota Pesuruhjaya

PENGESAHAN PERINTAH TAHANAN DAN PENAHANAN DAN INDEMNITI

“5. (1) Jika sesuatu perintah tahanan telah dibuat di bawah sub seksyen 8(1) Akta ibu terhadap mana-mana orang semasa tempoh antara tarikh mula berkuat kuasanya akta ibu dan tarikh mula berkuat kuasanya akta ini (kemudian daripada ini disebut "tempoh peralihan"), maka perintah tahanan itu dan penahanan yang dibuat menurutnya semasa tempoh peralihan itu, dan penerusannya selepas itu, jika ada, adalah dengan ini diisytiharkan sebagai sah dan menurut undang-undang, dan hendaklah disifatkan sebagai, dan sentiasa dan pada setiap masa menjadi sah dan menurut undang-undang, walaupun pada bila-bila masa semasa jangka masa perintah tahanan itu dia telah ditahan di mana-mana tempat selain tempat tahanan yang disebut dalam sub seksyen 8(3) Akta ibu, atau terus ditahan di tempat yang dia telah ditahan di bawah seksyen 73 Akta ibu selepas tempoh maksimum yang diperuntukkan baginya di bawah subseksyen 73(3) Akta ibu tamat, atau telah berada dalam perjalanan dalam jagaan polis atau dalam apa-apa jagaan lain ke tempat tahanan seperti yang disebut terdahulu, atau terdapat apa-apa kelengahan dalam menyampaikan perintah tahanan itu kepadanya, atau perintah tahanan itu telah disampaikan kepadanya di mana-mana tempat selain tempat tahanan itu, atau terdapat apa-apa kecacatan yang berhubungan dengan penyampaian perintah tahanan itu kepadanya.

Menteri Dalam Negeri menurut Seksyen 8 secara perundangannya memiliki dua jenis kuasa iaitu kuasa mengeluarkan Perintah Tahanan dan Perintah Sekatan. Seiring dengan istilahnya, satu perintah menghalalkan penahanan manakala satu perintah lagi mengharamkan penahanan, semata-mata menyekat sahaja. Di atas adalah peruntukan berkenaan Perintah Tahanan manakala Seksyen 8(5) menjelaskan pula tentang Perintah Sekatan iaitu :-

(5) Jika menteri berpuas hati bahawa bagi mana-mana maksud yang disebut dalam sub sekyen (1) perlu supaya pengawalan dan pengawasan diadakan ke atas mana-mana orang atau supaya sekatan dan syarat dikenakan ke atas orang itu berkenaan dengan aktiviti, kebebasan bergerak atau tempat kediaman atau pekerjaannya, tetapi bahawa bagi maksud itu tidak perlu untuk menahannya, menteri boleh membuat suatu perintah (kemudian daripada ini disebut "perintah sekatan") yang mengenakan ke atas orang itu semua atau mana-mana sekatan dan syarat yang berikut:

(a) Bagi mengenakan ke atas orang itu apa-apa sekatan yang dinyatakan dalam perintah itu berkenaan dengan aktivitinya dan tempat kediaman dan pekerjaannya;

(b) Bagi melarangkan daripada berada di luar rumah antara apa-apa waktu yang dinyatakan dalam perintah itu kecuali di bawah kuasa suatu permit bertulis yang diberikan oleh mana-mana pihak berkuasa atau orang yang dinyatakan sedemikian;

(c) Bagi menghendakinya memberitahu pergerakannya mengikut apa-apa cara pada bila-bila masa dan kepada mana-mana pihak berkuasa atau orang yang dinyatakan dalam perintah itu;

(d) Bagi melarangnya daripada berucap di perjumpaan awam atau daripada memegang jawatan dalam, atau mengambil bahagian dalam aktiviti atau bertindak sebagai penasihat kepada, mana-mana organisasi atau persatuan atau daripada mengambil bahagian dalam apa-apa aktiviti politik; dan

(e) Bagi melarangnya daripada membuat perjalanan di luar sempadan Malaysia atau mana-mana bahagiannya yang dinyatakan dalam perintah itu kecuali mengikut kebenaran yang diberikan kepadanya oleh mana-mana pihak berkuasa atau orang yang dinyatakan dalam perintah itu.

Hasil daripada gabungan frasa perundangan yang memeningkan kepala pembaca seperti ayat-ayat di atas bermaksud Perdana Menteri tidaklah berkuasa menahan musuh politik beliau secara semberono kerana yang sebenarnya berkuasa membuat perintah penahanan adalah Menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Keselamatan Dalam Negeri.

Hanya jika Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, maka barulah benar sebahagian tuduhan rambang berkenaan. Itupun selepas beliau menandatangani Perintah Tahanan tersebut atas kapasiti beliau sebagai Menteri Dalam Negeri dan bukannya sebagai Perdana Menteri. Jika berlaku salah disignasi jawatan ketika menandatangani Perintah Tahanan berkenaan maka akan menjadi satu sebab teknikal mengapa Perintah Tahanan tersebut menjadi tidak sah.

Adakah benar tuduhan yang menyatakan bahawa Menteri boleh menahan seseorang di bawah ISA selama mana yang Menteri itu suka?

Juga satu kenyataan yang tidak tepat. Menurut Seksyen 13 ISA yang menyatakan bahawa:

Kajian semula

13. *(1) Tiap-tiap perintah atau arahan yang dibuat atau diberikan oleh Menteri di bawah subseksyen 8(1), (5) atau (7) atau di bawah seksyen 10 hendaklah, selagi ia masih berkuat kuasa, dikaji semula tidak kurang daripada sekali dalam tiap-tiap enam bulan oleh suatu Lembaga Penasihat:

Dengan syarat bahawa dalam hal sesuatu perintah tahanan yang terhadapnya representasi telah dibuat, kajian semula yang pertama, sama ada mengenai sesuatu perintah tahanan yang dibuat di bawah sub seksyen 8(1) atau mengenai sesuatu perintah tahanan yang dilanjutkan di bawah sub seksyen 8(7) yang baginya proviso kepada sub seksyen yang akhir disebut itu terpakai, hendaklah diadakan tidak lewat daripada enam bulan selepas selesainya pendengaran representasi itu oleh Lembaga Penasihat yang kepadanya representasi itu telah dibuat.

(2) Lembaga Penasihat hendaklah, apabila selesai tiap-tiap kajian semula di bawah sub seksyen (1), dengan serta-merta menyerahkan kepada Menteri suatu laporan bertulis mengenai tiap-tiap kajian semula itu, dan boleh membuat dalamnya apa-apa syor yang difikirkannya patut.

*CATATAN: Sub seksyen ini telah dimasukkan oleh Akta A61 dan mula berkuat kuasa pada 01-09-1972 dan sebelum tarikh itu peruntukan berikut yang dimasukkan oleh Ordinan No. 4 tahun 1969 (P.U. (A) 186/1969) terpakai:

"(1) Tiap-tiap perintah yang dibuat oleh Menteri di bawah perenggan 8(1)(a) boleh, selagi ia berkuat kuasa, dikaji semula dari semasa ke semasa oleh suatu Lembaga Penasihat mengikut budi bicara Pengerusinya".

Seksyen 13 ISA ini menjelaskan kepada kita bahawa Menteri hanya berkuasa membenarkan tahanan untuk tempoh maksimum 2 tahun yang pertama. Tempoh yang asalnya di "arahkan" oleh Menteri itu pun bukan bersifat "mutlak" kerana Pengerusi Lembaga Penasihat yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agung boleh mengenepikan tempoh maksimum tersebut mengikut budi bicara beliau. Kelihatan Pengerusi Lembaga Penasihat mempunyai kuasa yang lebih besar daripada menteri.

Bagaimanakah prosedur siasatan Lembaga Penasihat ISA ini?

Seksyen 14,15 dan 16 ISA menceritakan bahawa:

Kuasa untuk memanggil saksi

14. Tiap-tiap Lembaga Penasihat hendaklah, bagi maksud akta ini tertakluk kepada Seksyen 16, mempunyai segala kuasa mahkamah bagi memanggil dan memeriksa saksi, mengendalikan sumpah atau ikrar, dan bagi memaksa dokumen dikemukakan.

Anggota Lembaga Penasihat disifatkan sebagai pekhidmat awam 15. Tiap-tiap anggota sesuatu Lembaga Penasihat hendaklah disifatkan sebagai pekhidmat awam dalam pengertian Kanun Keseksaan [Akta 574], dan hendaklah mempunyai, jika apa-apa tindakan atau guaman dibawa terhadapnya bagi apa-apa tindakan yang dilakukan atau yang ditinggalkan daripada dilakukan dalam pelaksanaan tugasnya di bawah Bab ini, perlindungan dan keistimewaan yang sama sebagaimana yang diberikan oleh undangundang kepada seorang Hakim dalam pelaksanaan jawatannya.

Pendedahan maklumat

16. Tiada apa-apa jua dalam Bab ini atau dalam mana-mana kaedah yang dibuat di bawahnya boleh menghendaki Menteri atau mana-mana anggota Lembaga Penasihat atau mana-mana pekhidmat awam untuk mendedahkan fakta atau mengemukakan dokumen yang difikirkannya sebagai bertentangan dengan kepentingan negara jika didedahkan atau dikemukakan.

Adakah benar tuduhan yang menyatakan "ISA tahanan tanpa bicara?"

Tuduhan ini amatlah tidak bertanggungjawab. Mungkin pemfitnah membuat tuduhan tersebut bersandarkan kepada satu-satunya peruntukan berikut :-

Nota Pesuruhjaya

PENGESAHAN PERINTAH TAHANAN DAN PENAHANAN DAN INDEMNITI

Akta Keselamatan Dalam Negeri (Pindaan) 1988, [Akta A705] melalui seksyen 5 telah meminda Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (kemudian daripada ini disebut "Akta ibu") yang hendaklah dibaca bersama peruntukan baru yang berikut mulai dari 15 Julai 1988:

(2) Tiada tindakan, guaman, pendakwaan, atau apa-apa jua pun prosiding undang-undang lain daripada apa-apa perihalan atau dalam apa-apa bentuk, boleh dibawa, dimulakan atau dikekalkan di mana-mana mahkamah atas apa-apa alasan selepas mula berkuat kuasanya akta ini, atau, jika dibawa atau dimulakan sebelum mula berkuat kuasanya Akta ini, terus dikekalkan, bagi atau disebabkan oleh, atau berkenaan dengan, apa-apa jua yang dilakukan dengan sahnya berhubung dengan perintah tahanan atau penahanan yang diisytiharkan sebagai sah dan menurut undang-undang di bawah sub seksyen (1), kecuali bahawa peruntukan sub seksyen ini tidaklah terpakai bagi apa-apa prosiding undang-undang sedemikian yang telah selesai dan keputusan muktamad mahkamah telah diberikan berkenaan dengannya sebelum mula berkuat kuasanya Akta ini atau bagi apa-apa rayuan berkenaan dengan keputusan muktamad itu."

Sedangkan pemfitnah berkenaan membutakan mata mentulikan telinga terhadap

6 lagi seksyen dalam ISA yang membuka ruang seluas-luasnya untuk seseorang itu mencabar keputusan Menteri .

6 seksyen tersebut adalah Seksyen 79 dan 80 ISA yang menyatakan bahawa :-

Bidang kuasa mahkamah

79. Tanpa menjejaskan bidang kuasa Mahkamah Tinggi, Mahkamah Sesyen hendaklah mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan apa-apa kesalahan terhadap Akta ini, selain suatu kesalahan yang boleh dihukum mati, dan untuk menjatuhkan apa-apa hukuman yang ditetapkan baginya tidak melebihi denda sebanyak lima ribu ringgit atau lima tahun penjara atau kedua-duanya.

Sekatan ke atas pendakwaan

80. Sesuatu pendakwaan bagi apa-apa kesalahan terhadap Akta ini yang boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tujuh tahun atau tidak boleh dimulakan kecuali dengan keizinan Pendakwa Raya:

Dengan syarat bahawa, tertakluk kepada undang-undang yang sedang berkuat kuasa yang berhubungan dengan tatacara jenayah

(a) seseorang yang dipertuduhkan dengan suatu kesalahan sedemikian boleh ditangkap, atau suatu waran penangkapannya boleh dikeluarkan dan dilaksanakan, dan mana-mana orang sedemikian boleh direman dalam jagaan atau atas jaminan, walaupun keizinan Pendakwa Raya mengenai permulaan pendakwaan bagi kesalahan itu belum lagi diperoleh, tetapi kes itu tidak boleh didakwa selanjutnya sehingga keizinan itu diperoleh; dan

(b) jika seseorang dibawa ke hadapan suatu mahkamah di bawah seksyen ini sebelum Pendakwa Raya memberikan keizinannya kepada pendakwaan itu, pertuduhan itu hendaklah dijelaskan kepadanya tetapi dia tidak boleh dipanggil untuk membuat pli dan peruntukan undang-undang itu hendaklah diubahsuaikan dengan sewajarnya.

Sekyen 8B ISA pula menyatakan bahawa:

Kajian semula kehakiman tindakan atau keputusan Yang di-Pertuan Agong dan Menteri

8B. (1) Tidaklah boleh diadakan apa-apa kajian semula kehakiman di dalam mana-mana mahkamah, dan tiada mahkamah boleh mempunyai atau menjalankan apa-apa bidang kuasa berkenaan dengan, apa-apa tindakan yang dilakukan atau keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atau Menteri pada menjalankan kuasa budi bicara mereka mengikut Akta ini, kecuali mengenai apa-apa persoalan tentang pematuhan apa-apa kehendak tatacara dalam Akta ini yang mentadbir tindakan atau keputusan itu.

(2) Kecualian mengenai apa-apa persoalan tentang pematuhan apa-apa kehendak tatacara dalam sub seksyen (1) tidaklah terpakai jika alasan seperti yang diperihalkan dalam seksyen 8A.

Apakah pula maksud "kajian semula kehakiman”?

Seksyen 8C selanjutnya menyatakan bahawa:

Tafsiran "kajian semula kehakiman"

8C. Dalam Akta ini, "kajian semula kehakiman" termasuklah prosiding yang dimulakan dengan cara:

(a) Permohonan untuk mendapatkan mana-mana perintah prerogatif mandamus, larangan dan certiorari;

(b) Permohonan untuk mendapatkan deklarasi atau injunksi;

(c) Writ habeas corpus; dan

(d) Apa-apa guaman lain, tindakan atau prosiding undang-undang lain yang berhubungan dengan atau berbangkit daripada apa-apa tindakan yang dilakukan atau keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atau Menteri mengikut Akta ini.

Mengapakah tiba-tiba tertulis kuasa Yang di-Pertuan Agong selain kuasa Menteri dalam kedua-dua seksyen di atas? Bukankah di canangkan se-Malaya bahawa semata-mata Perdana Menteri yang berkuasa penuh? Ternyata fitnah telah tersebar luas.

Seorang yang di tahan di bawah Sekyen 8 ISA boleh mempertikaikan perintah tahanan oleh Menteri tersebut kepada sebuah Lembaga Penasihat yang di lantik oleh Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 151(2) Perlembagaan Persekutuan.

Anda mula terkejut? Seksyen 11 dan 12 ISA selanjutnya menyatakan bahawa:

Representasi terhadap perintah tahanan

11. (1) Suatu salinan tiap-tiap perintah yang dibuat oleh Menteri di bawah sub seksyen 8(1) hendaklah dengan seberapa segera yang boleh selepas dibuat disampaikan kepada orang yang dimaksudkan olehnya, dan tiap-tiap orang itu berhak untuk membuat representasi terhadap perintah itu kepada Lembaga Penasihat.

(2) Bagi maksud membolehkan seseorang untuk membuat representasi di bawah sub seksyen (1) dia hendaklah, pada masa perintah itu disampaikan kepadanya:

(a) Diberitahu mengenai haknya untuk membuat representasi kepada Lembaga Penasihat di bawah subseksyen (1); dan

(b) Diberikan oleh Menteri suatu pernyataan bertulis-

(i) Mengenai alasan yang atasnya perintah itu dibuat;

(ii) Mengenai pernyataan fakta yang atasnya perintah itu diasaskan; dan

(iii) Mengenai apa-apa butir lain, jika ada, yang pada pendapat Menteri mungkin semunasabahnya dikehendaki olehnya supaya dapat dia membuat representasi terhadap perintah itu kepada Lembaga Penasihat.

(3) Yang di-Pertuan Agong boleh membuat kaedah tentang cara bagaimana representasi boleh dibuat di bawah seksyen ini dan bagi mengawal selia tatacara Lembaga Penasihat.

Laporan Lembaga Penasihat

12. (1) Bilamana mana-mana orang telah membuat apa-apa representasi di bawah subseksyen 11(1) kepada suatu Lembaga Penasihat, Lembaga Penasihat itu hendaklah, dalam tempoh tiga bulan dari tarikh rayuan itu diterima olehnya, atau dalam apa-apa tempoh selanjutnya yang dibenarkan oleh Yang di-Pertuan Agong, menimbangkan representasi itu dan membuat syor mengenainya kepada Yang di-Pertuan Agong.

(2) Apabila menimbangkan syor Lembaga Penasihat di bawah seksyen ini, Yang di-Pertuan Agong boleh memberi Menteri apa-apa arahan, jika ada, yang difikirkannya patut mengenai perintah yang dibuat oleh Menteri itu; dan tiap-tiap keputusan Yang di- Pertuan Agong mengenainya, tertakluk kepada seksyen 13, muktamad dan tidak boleh dipersoalkan dalam mana-mana mahkamah.

Keenam-enam seksyen di atas seharusnya mengubah terus persepsi kita terhadap momokan pihak-pihak tertentu yang mereka sendiri keliru dengan tuntutan perjuangan mereka. Jelas kepada kita bahawa kuasa Lembaga Penasihat dan Baginda Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong melalui kedua-dua seksyen di atas rupanya "Puasnya hati Baginda" adalah jauh lebih penting daripada "Puasnya hati" seorang Menteri Dalam Negeri.

Seperkara yang menarik untuk anda tahu iaitu tahukah anda bahawa anda boleh menjadi "jutawan segera" jika anda menang kes di mahkamah kerana di tahan di bawah ISA? Pada 18 Oktober 2007, seorang bekas tahanan ISA daripada parti PAS bernama Malik Hussin telah di perintahkan oleh YA Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur agar kerajaan Malaysia membayar gantirugi sebanyak RM 2.5 juta kepada beliau atas alasan penahanan beliau di bawah Seksyen 8 ISA oleh Menteri telah di buat secara salah di sisi undang-undang dan berniat jahat "mala fide". Aktivis PAS telah menjadi jutawan kerana menang bicara terhadap "Akta Tanpa Bicara". Pelik kan?

Selain daripada mencabar keputusan Menteri yang "telah puas hatinya" itu, seseorang tahanan ISA juga boleh menjadikan aspek prosedur penahanan polis untuk tempoh tahanan 48 jam yang pertama sahaja, sama ada manual (Standard Operation Prosedur) penahanan telah di patuhi sebaiknya atau tidak. Alasan teknikal seperti ini amat popular dihujahkan oleh peguam yang tiada modal sangat untuk mencabar dari aspek "Perintah Tahanan oleh Menteri". Selain daripada seksyen 73 ISA yang telah dihuraikan pada bahagian awal penulisan ini terdapat 3 lagi seksyen yang menerangkan tentang prosedur penahanan :-

Penggunaan senjata maut dalam melaksanakan penangkapan

74. (1) Walau apa pun apa-apa jua yang berlawanan yang terkandung dalam mana-mana undang-undang bertulis yang lain maka sahlah bagi mana-mana pegawai polis untuk:

(a) Melaksanakan penangkapan mana-mana orang yang boleh ditahan di bawah mana-mana perintah yang dibuat di bawah seksyen 8;

(b) Melaksanakan penangkapan mana-mana orang yang boleh ditangkap dan ditahan di bawah subseksyen 73(1) atau (2);

(c) Melaksanakan penangkapan mana-mana orang yang dia mempunyai, dalam segala hal keadaan hal itu, alasan yang munasabah bagi mengesyaki telah melakukan suatu kesalahan terhadap akta ini atau terhadap mana-mana peruntukan mana-mana undang-undang bertulis yang pada masa ini dinyatakan dalam Jadual Pertama;

(d) Mengatasi tentangan yang menggunakan kekerasan yang diberikan oleh mana-mana orang yang hendak ditangkap itu; atau

(e) Mengelakkan pelarian daripada tangkapan atau penyelamatan mana-mana orang yang ditangkap sebagaimana yang disebut terdahulu, menggunakan apa-apa kekerasan yang semunasabahnya perlu, dalam hal keadaan hal itu, dan kekerasan itu boleh meliputi penggunaan senjata maut.

(2) Tiap-tiap orang yang ditangkap kerana apa-apa kesalahan yang disebut dalam subseksyen (1) hendaklah dengan seberapa segera yang mungkin selepas penangkapannya diberikan amaran dengan jelasnya mengenai kemungkinan dia ditembak jika dia berusaha untuk melarikan diri daripada jagaan.

(3) Kuasa yang diberikan kepada seorang pegawai polis oleh subseksyen (1) boleh dijalankan oleh mana-mana anggota angkatan keselamatan, dan oleh mana-mana orang yang melaksanakan tugas pengawal atau jaga di dalam sesuatu tempat terkawal, dan oleh mana-mana orang lain yang diberi kuasa secara am bagi maksud itu oleh Ketua Pegawai Polis.

(4) Tiada apa-apa jua yang terkandung dalam seksyen ini boleh mengurangkan hak pertahanan persendirian yang terkandung dalam seksyen 96 hingga 106 Kanun Keseksaan.

Penerimaan pernyataan sebagai keterangan

75. (1) Jika mana-mana orang dipertuduh dengan apa-apa kesalahan terhadap Akta ini atau terhadap mana-mana undang-undang bertulis yang dinyatakan dalam Jadual Kedua, apa-apa pernyataan, sama ada pernyataan itu terjumlah kepada suatu pengakuan atau tidak atau secara lisan atau bertulis, yang dibuat pada bila-bila masa, sama ada sebelum atau selepas orang itu dipertuduh dan sama ada dalam perjalanan suatu penyiasatan polis atau tidak dan sama ada atau tidak keseluruhan atau sebahagiannya adalah jawapan kepada soalan, oleh orang itu kepada atau dalam pendengaran mana-mana pegawai polis yang berpangkat atau berpangkat lebih tinggi daripada Inspektor dan sama ada atau tidak diterjemahkan kepadanya oleh mana-mana pegawai polis lain atau mana-mana orang lain yang berkenaan atau tidak, dalam penangkapan itu, walau apa pun apa-apa yang berlawanan yang terkandung dalam mana-mana undang-undang bertulis, boleh diterima sebagai keterangan di perbicaraannya dan, jika orang itu menawarkan dirinya sebagai seorang saksi, apa-apa pernyataan sedemikian boleh digunakan dalam pemeriksaan balas dan bagi maksud mencabar kebolehpercayaannya:

Dengan syarat bahawa:

(a) Tiada pernyataan sedemikian boleh diterima atau digunakan sebagaimana yang disebut terdahulu:

(i) Jika ternyata pada mahkamah bahawa pernyataan itu dibuat oleh sebab apa-apa dorongan, ugutan atau janji yang berkenaan dengan pertuduhan terhadap orang itu, yang datangnya daripada seseorang yang berkuasa dan, pada pendapat mahkamah mencukupi, untuk memberi orang itu alasan yang didapati munasabah oleh orang itu untuk menganggap bahawa dengan membuat pernyataan itu dia akan mendapat apa-apa faedah atau dia boleh mengelakkan apa-apa durjana keduniaan berkaitan dengan prosiding terhadapnya; atau

(ii) Dalam hal sesuatu pernyataan yang dibuat oleh orang itu selepas dia ditangkap, melainkan jika mahkamah berpuas hati bahawa dia telah diberikan amaran dengan perkataan yang berikut yang bermaksud sedemikian:

“Adalah menjadi kewajipan saya untuk memberi amaran kepada kamu bahawa kamu tidak diwajibkan untuk menyatakan apa-apa atau menjawab apa-apa soalan, tetapi apa-apa yang kamu nyatakan sama ada sebagai menjawab sesuatu soalan atau tidak, boleh diberikan sebagai keterangan"; dan

(b) Suatu pernyataan yang dibuat oleh mana-mana orang sebelum ada masa untuk memberi amaran kepadanya tidaklah boleh menjadi tidak boleh diterima sebagai keterangan semata-mata kerana dia tidak diberikan amaran jika dia diberikan amaran dengan seberapa segera yang mungkin.

(2) Walau apa pun apa-apa jua yang berlawanan yang terkandung dalam mana-mana undang-undang bertulis, seseorang yang dituduh melakukan suatu kesalahan yang baginya subseksyen (1) terpakai tidaklah terikat untuk menjawab apa-apa soalan yang berhubungan dengan hal itu selepas apa-apa amaran sebagaimana yang disebut terdahulu telah diberikan kepadanya.

(3) Seksyen ini hendaklah terpakai berhubung dengan manamana orang yang dibicarakan selepas permulaan kuat kuasa Akta ini, sama ada atau tidak prosiding terhadap orang itu telah dimulakan dan sama ada atau tidak pernyataan yang berkaitan telah dibuat sebelum permulaan kuat kuasa itu.

Publisiti perintah

81. (1) Apabila apa-apa perintah atau peraturan dibuat atau arahan atau suruhan diberikan di bawah Akta ini, Menteri atau pihak berkuasa yang lain yang membuat perintah atau peraturan itu atau memberikan arahan atau suruhan itu hendaklah menyebabkan notis mengenai kuat kuasanya diberikan dengan seberapa segera yang mungkin dengan apa-apa cara yang difikirkannya perlu bagi membawanya kepada pengetahuan semua orang yang pada pendapatnya patut tahu mengenainya, dan perintah, peraturan, arahan atau suruhan itu hendaklah mempunyai kuat kuasa sebaik sahaja notis yang disebut terdahulu telah diberikan, tanpa disiarkan dalam Warta.

(2) Tanpa menjejaskan apa-apa peruntukan khas yang terkandung dalam Akta ini atau mana-mana kaedah-kaedah atau peraturan-peraturan yang dibuat di bawahnya, suatu notis yang hendaklah disampaikan kepada mana-mana orang bagi maksud mana-mana seksyen boleh disampaikan dengan meninggalkannya, atau dengan menghantarnya melalui pos dalam suatu surat yang dialamat kepada orang itu, di tempat kediaman atau tempat perniagaannya yang akhir atau biasa.

(3) Mana-mana perintah atau peraturan yang dibuat atau apa-apa arahan atau suruhan yang diberikan di bawah Akta ini boleh pada bila-bila masa semasa penerusannya dikensel oleh orang yang diberikan kuasa untuk membuat perintah atau peraturan itu atau untuk memberikan arahan atau suruhan itu, tetapi tanpa menyentuh kesahannya sebelum itu atau apa-apa jua yang dilakukan di bawahnya atau kepada kuasa orang itu untuk membuat suatu perintah atau peraturan baru atau untuk memberikan suatu arahan atau suruhan baru di bawah peruntukan itu.

Kepada anda yang biasa mengikuti perbicaraan di mahkamah, anda mungkin biasa melihat, hanya kerana sedikit ketidakpatuhan elemen kepada perkataan "dan", "atau", "hendaklah", "bolehlah" dan sebagainya yang di ulang beberapa kali dalam susunan ayat-ayat dalam mana-mana Akta Parlimen pun, hal sekecil itu pun boleh menyebabkan seorang peguam berhujah tanpa henti selama 2 minggu dan kes ditangguhkan selama 6 bulan semata-mata untuk menunjukkan bahawa anak guamnya teraniaya.

Siapa pula Ahli Lembaga Penasihat?

Lembaga Penasihat di tubuhkan di bawah Fasal 151(2) Perlembagaan Persekutuan iaitu :-

(2) Sesuatu lembaga penasihat yang ditubuhkan bagi maksud Perkara ini hendaklah terdiri daripada seorang pengerusi, yang hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan yang menjadi atau pernah menjadi atau yang layak menjadi, hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Tinggi, atau yang pernah menjadi seorang hakim Mahkamah Besar sebelum Hari Malaysia, dan dua orang anggota lain yang hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong.

Jadi jelas kepada kita bahawa bukan calang-calang individu yang layak menganggotai Lembaga Penasihat ini dan kuasa mereka jika tidak pun sama adalah melebihi kuasa Menteri Dalam Negeri. Ahli Lembaga ini juga bukanlah "orang politik" . Oleh itu tindakan mereka haruslah di buat tanpa rasa takut dan pilih kasih demi memikul amanah Allah di muka bumi ini.

Cadangan pindaan ISA

Hanya undang-undang tuhan yang sempurna. Undang-undang ciptaan manusia tetap memiliki kelemahan. Namun sesuai dengan kepimpinan YAB Dato Seri Najib yang kelihatan mahu meminda ISA, saya mengemukakan beberapa cadangan berikut :-

1. Mungkin kita dapat mengesan satu frasa yang di gunakan dalam seksyen 8 ISA yang mungkin kelihatan agak "diktator" dan "gila kuasa" iaitu frasa "Jika Menteri berpuas hati…". Dicadangkan sedikit pindaan terhadap frasa ayat tersebut kepada "Jika Menteri, selepas meneliti laporan siasatan polis...”. Mungkin struktur baru ayat ini boleh mengelakkan seseorang berdosa kerana memfitnah.

2. Kuasa polis untuk menahan suspek pengganas selama tempoh maksimum 60 hari wajar di pinda kepada 30 hari sahaja.

3. Penahanan suspek pengganas melebihi 48 jam menurut seksyen 73(3)(b) ISA dengan kebenaran Pegawai Polis berpangkat lebih tinggi dari Penolong Penguasa wajar di pinda kepada "dengan kebenaran Majistret" demi untuk mengelakkan salahguna kuasa di pihak polis.

4. Seksyen 5(2) Nota Pesuruhjaya yang di baca bersama seksyen 8 (1) ISA yang di jadikan satu-satunya hujah "tanpa bicara" wajar dimansuhkan atas alasan "kerana mengelirukan" .

5. Seksyen 16 ISA yang tidak mewajibkan Menteri atau Lembaga Penasihat daripada mendedahkan fakta yang difikirkan bertentangan dengan kepentingan Negara memerlukan sedikit pindaan. Pendedahan tersebut perlu dijadikan mandatori dan maklumat berkenaan perlu juga di kawal oleh Akta Rahsia Rasmi.

Kesimpulan

Saya berharap agar tulisan ini dapat membuka pintu hati manusia agar berfikiran rasional dalam tindakan. Fikirkan semula, sama ada berbaloi atau tidak anda turun ke jalan raya pada 1 Ogos 2009 nanti?. Adakah betul persepsi negatif anda terhadap ISA? Adakah anda dihukumkan wajib untuk hanya mempercayai kata-kata retorik segolongan ahli politik yang sedang rakus berkehendakkan kuasa? Adakah anda percaya bulat-bulat pidato berapi seorang yang kempunan menjadi Perdana Menteri? Adakah anda percaya kepada hujah-hujah ratusan barisan peguam yang menentang ISA kerana mereka ini tidak lebih umpama askar upahan professional yang dibayar secara "cash or kind"?

Sedarkah anda bahawa dengan tindakan anda menentang ISA, anda bermaksud menentang kuasa Yang Di Pertuan Agong kerana Baginda lebih berkuasa daripada Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein Onn, Menteri Dalam Negeri. Ingat, polis yang menangkap, Menteri yang mengeluarkan Perintah Tahanan manakala Baginda Yang di-Pertuan Agong yang berkuasa membebaskan tahanan Kemunting lebih awal dari masanya.

Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali dilaporkan telah menyeru kepada kumpulan Penentang ISA agar jangan berdemonstrasi pada 1 Ogos nanti. Jika demonstrasi diteruskan, maka Ibrahim yang telah dua kali ditahan ISA akan turut turun ke jalan raya menyokong ISA. Kata dua daripada Presiden Perkasa ini perlu di beri perhatian. Jika GMI membatalkan hasrat mereka, kumpulan Tok Him juga akan membatalkan hasrat berdemonstrasi pada hari yang sama.

Sememangnya boleh di hujah dari kaca mata hak asasi manusia, sejuta rakyat untuk berhimpun. Namun hak sejuta rakyat tersebut tidak akan melebihi hak asasi seorang anak kecil untuk bermain-main di taman KLCC selepas seminggu ibu dan bapanya sibuk bekerja.

- UTUSAN

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90