Top Ad 728x90

KALENDAR & PERISTIWA PENTING BULAN OGOS 2009

by
KALENDAR & PERISTIWA PENTING BULAN OGOS 2009 ------

31 JULAI - 15 OGOS 2009 : Karnival Terengganu 2009 ------
1 OGOS 2009 : Perhimpunan Anak Terengganu di Stadium Nasional Bukit Jalil ------
5 - 7 OGOS 2009 : Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ------
5 - 12 OGOS 2009 : Majlis Tilawah Al-Quran Antarabangsa di PWTC, K.Lumpur ------
17 OGOS 2009 : Hari Penamaan Calon Pilihanraya Kecil Permatang Pasir ------
22 OGOS 2009 : Awal Ramadan ------
25 OGOS 2009 : Hari Pengundian Pilihanraya Kecil Permatang Pasir ------
31 OGOS 2009 : Hari Kemerdekaan Malaysia ke-52

Ulangtahun Kemerdekaan ke-52 - Berbangga jadi rakyat Malaysia

by

Rakyat berbilang bangsa dan agama terus berikrar untuk menyokong konsep 1Malaysia walaupun negara berhadapan dengan pelbagai cabaran bagi memastikan perpaduan kaum yang terjalin terus dipertahankan dengan kukuh.

Rata-rata mereka yang ditemui di ibu kota semalam, menyifatkan walaupun Hari Kemerdekaan tahun ini disambut secara sederhana namun ia tidak menghalang masyarakat untuk terus menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Kabinet yang sentiasa gigih membantu rakyatnya.

Mereka berpendapat, sambutan kemerdekaan tahun ini amat berbeza berbanding tahun sebelumnya kerana konsep 1Malaysia menjadi pemangkin kepada rakyat berbilang kaum saling memahami di antara satu sama lain.

Kakitangan kerajaan, Faizal Sudin Ali, 37, berkata Hari Kemerdekaan adalah hari penting untuk negara dan ia wajar dihormati oleh semua lapisan masyarakat di negara ini.

“Tidak kira sama ada ia disambut secara meriah atau sederhana, yang penting semangat kita mesti kuat dan tidak harus luntur. Hari Merdeka adalah hari yang penting. Saya percaya konsep 1Malaysia akan menjadi pemangkin kepada kesuburan perpaduan di negara ini,” katanya.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Utama, Sueann Seow, 14, berkata beliau amat bangga menjadi rakyat Malaysia kerana sambutan kemerdekaan setiap tahun pastinya dihadiri masyarakat berbilang kaum.

“Kita sungguh bertuah lahir di negara ini, rakyatnya bersatu tanpa mengira bangsa dan agama. Perpaduan dan keharmonian perlu terus dikekalkan. Saya sentiasa berdoa supaya Malaysia terus maju,” katanya.

Koordinator Persatuan Rumah Kebajikan Rita, L Maran, berkata beliau sedih kerana tahun ini segelintir rakyat tidak mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan bulan kemerdekaan.

“Namun begitu, ia tidak menghalang orang ramai untuk terus bersatu bagi memajukan negara ini. Kita dapat melihat konsep 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri tepat pada masanya,’ katanya.

Sementara itu, Bernama melaporkan kira-kira 95 peratus daripada 1,458 responden amat berbangga menjadi rakyat Malaysia kerana kepelbagaian pembangunan dan infrastruktur yang disediakan di negara ini.

Angka itu diperoleh menerusi hasil kajian ''Malaysia 52 tahun Merdeka'' oleh Profesor di Jabatan Komunikasi, Kuliyyah Ilmu Berteraskan Wahyu dan Sains Kemanusiaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Seri Dr Syed Arabi Idid dan fellow penyelidik Azrul Hisyam Wakichan.

Syed Arabi berkata kajian itu dilaksanakan untuk melihat sejauh mana orang ramai berbangga menjadi rakyat Malaysia, sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-52, hari ini.

Beliau berkata hasil kajian itu juga mendapati bahawa responden turut berbangga menjadi warga Malaysia kerana komitmen tinggi kerajaan untuk memajukan negara.

- BERITA HARIAN

Khasiat buah kurma

by
Sepanjang bulan ini, kurma boleh dilihat di mana-mana kerana menjadi sunnah memakan terlebih dahulu buah itu apabila berbuka puasa.

Kurma adalah sejenis tumbuhan palma atau bahasa saintifiknya, Phonex dactylifera yang berbuah dan boleh dimakan sama ada yang masak atau mentah.

Kurma yang menjadi makanan utama masyarakat di Timur Tengah memang memiliki pelbagai khasiat dari sudut kesihatan.

Tidak hairanlah, ia banyak disebut dalam al-Quran, malah menjadi makanan ruji Nabi Muhammad s.a.w.

Kurma mengandungi kandungan zat besi dan potasium yang tinggi selain pelbagai vitamin lain. Ia amat sesuai diambil pesakit anemia, masalah penghadaman seperti sembelit dan kelesuan badan.

Sebagai buah yang kaya dengan karbohidrat, kurma memberikan sumber tenaga, membantu meningkatkan tenaga dan sesuai dijadikan sebagai snek harian.

Malah Rasulullah s.a.w ada bersabda: “Sesiapa yang memakan tujuh biji tamar Ajwah, dia akan terkawal daripada kejutan syaitan dan sihir pada hari itu.” (Riwayat Imam Bukhari).

Menjadikan pemakanan kurma sebagai amalan sejak dulu lagi, Pengerusi dan pemilik Yusuf Taiyoob Sdn Bhd, Datuk Yusuf Taiyoob, berkata amalan memakan kurma memang baik untuk kesihatan.

Beliau berkata, kurma mampu membekalkan tenaga walaupun diambil dalam jumlah yang sedikit, malah mampu menahan kelaparan untuk seharian.

Bagi yang ingin menjaga kesihatan, kurma mengurangkan berat badan.

“Kurma mempunyai banyak khasiat yang membantu memperkuat daya tahan tubuh, meningkatkan stamina, menggalakkan pertumbuhan tulang pada kanak-kanak, melancarkan sistem penghadaman serta dapat melindungi badan daripada pengumpulan kolesterol.

“Ia memiliki kadar potasium dua kali ganda lebih tinggi daripada sebiji pisang dan membantu mencegah pelbagai penyakit seperti sakit kerongkong, demam, cirit-birit, sakit perut dan menjaga penglihatan.

“Justeru, kurma sesuai dijadikan makanan harian khususnya pada waktu pagi (ketika bersahur) sebelum memulakan tugas harian,” katanya.

Sementara itu, kajian Pensyarah Fakulti Sains dan Bioteknologi Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Aisyah Mohd Zain, mendapati jus kurma membantu mencegah sembelit, lemah otot, sengal badan, lesu dan barah usus besar selain merangsang selera makan serta menguatkan ingatan.

Mengikut hasil kajian ahli sains Mesir, khasiat kurma terbukti dalam membantu memanaskan badan, mencergaskan otak dan tubuh badan, mencergaskan minda serta membantu tumbesaran kanak-kanak.

Ia juga membantu melicinkan perjalanan darah, merawat buah pinggang dan mencuci hati serta membantu mengurangkan pengaliran darah ketika melahirkan anak.

>Antara khasiat kurma

# Kurma adalah buah daripada tumbuhan palma yang kaya dengan zat besi, kalsium, fosforus, sodium, potasium, vitamin A dan B serta niasin.

# Dari segi saintifik, kurma dapat membantu mengubati gangguan usus kronik dan mengatasi sembelit.

# Kurma boleh dijadikan penawar mujarab dalam perubatan tradisional untuk membantu mengatasi masalah insomnia dan mengurangkan batuk.

# Mengikut pendapat pakar perubatan, buah kurma kaya dengan unsur zat besi dan kalsium yang sesuai untuk wanita sama ada ketika hamil atau selepas bersalin.

# Bagi ibu yang mempunyai masalah kekurangan susu, ia dapat diatasi dengan memakan buah kurma, sekali gus menggalakkan pertambahan kandungan susu.

# Kurma turut berperanan dalam pertumbuhan kanak-kanak iaitu membantu pembentukan darah dan sum sum tulang.

# Antara kajian lain dijalankan membuktikan kurma antara makanan paling pantas diproses sebagai bekalan tenaga.

# Khasiat kurma dapat membantu memanaskan badan, mencergaskan otak dan tubuh badan serta mencergaskan minda kanak-kanak.

# Jus kurma dapat membantu mengurangkan tumpah darah, menguatkan organ rahim serta meredakan tekanan darah tinggi.

# Ia juga membantu melicinkan perjalanan darah, menghindari barah, merawat buah pinggang, mencuci hati dan membantu mengurangkan pengaliran darah ketika kelahiran.

# Kurma membantu merendahkan risiko serangan angin ahmar.

# Kandungan karbohidratnya yang tinggi membolehkannya membekalkan banyak tenaga.

# Kurma mengandungi zat gizi penting bagi fungsi tubuh iaitu kalium khusus untuk kebaikan jantung dan pembuluh darah.

# Galian dalam kurma berfungsi untuk membetulkan denyutan jantung, mengaktifkan pengecutan otot dan mengatur tekanan darah.

# Gula yang terkandung dalam kurma mudah diserap dalam tubuh tanpa perlu melalui proses yang panjang. Justeru, kurma dianggap sebagai buah paling ideal untuk hidangan berbuka puasa atau sahur.

>Info

# Untuk memastikan mutu kurma kekal segar dan tahan lama, ia hendaklah sentiasa disimpan di dalam peti sejuk dan bukannya di dalam suhu bilik.

# Buah kurma bertangkai adalah kurma yang paling baik dari segi kualiti dan biasanya, harganya juga mahal berbanding kurma biasa.

# Selain kurma asli, kurma kering juga mempunyai keistimewaan yang tersendiri dan cara penyimpanannya lebih mudah.

- HARIAN METRO

Perlembagaan lindungi kuasa Raja dalam hal ehwal Islam

by
Oleh Zainul Rijal Abu Bakar
Peguam Syarie, Peguam Bela dan Peguam Cara

Sebagai sebuah negara yang mengamalkan konsep Persekutuan, Malaysia mempunyai dua badan pembuat undang-undang utama, iaitu Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), kedua-dua badan ini mempunyai fungsinya tersendiri. Selain Malaysia, Australia dan Amerika Syarikat juga mengamalkan konsep Negara Persekutuan atau Federal. Namun Persekutuan Malaysia agak berbeza dengan Persekutuan negara lain dari sudut hubungan antara Persekutuan dan negeri itu sendiri.

Hubungan antara Persekutuan dan negeri dalam Malaysia dinyatakan secara khusus di dalam Bahagian VI Perlembagaan Persekutuan. Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan menyatakan Parlimen mempunyai kuasa menggubal undang-undang dalam perkara yang dinyatakan di dalam Senarai Persekutuan dan Senarai Bersama, manakala DUN pula mempunyai kuasa menggubal undang-undang dalam perkara yang dinyatakan di dalam Senarai Negeri dan Senarai Bersama.

Dalam hal yang demikian fungsi kedua-dua badan itu digariskan. Mereka seharusnya saling lengkap melengkapi antara satu sama lain. Namun penulis tidak berhasrat untuk membincangkan isu Perlembagaan ini, cukup sekadar menyatakan bahawa antara perkara yang wujud di dalam Senarai Negeri ialah hal ehwal berkaitan dengan agama Islam bagi negeri-negeri selain Wilayah Persekutuan.

Dalam erti kata lain Islam terletak di dalam bidang kuasa negeri. Hal yang demikian dapatlah difahami kerana Sultan adalah Ketua Agama bagi negerinya. Keharmonian ini ditambahkan lagi apabila setiap Sultan atau Raja yang menaiki takhta Yang di-Pertuan Agong dan timbalannya, baginda perlulah bersumpah akan mempertahankan Islam pada setiap masa.

Hal ini bukan hanya tradisi yang berlaku selepas negara mencapai kemerdekaan malah, sejak kedatangan Islam ke Nusantara, undang-undang adat juga membuat penye-suaian di dalam suasana dan persekitaran Islam secara berperingkat.

Sehingga adat Melayu dan aturan Islam begitu bertaut dalam landskap pemerintahan Raja Melayu seperti pepatah Melayu yang menyatakan 'adat bersendikan syarak, syarak bersendikan kitab Allah, syarak mengata adat memakai, cermin yang tidak kabur, pelita yang tidak padam.'

Malah sejak sebelum penjajahan lagi, Islam memainkan peranan utama di dalam masyarakat Melayu Nusantara. Tatkala penjajah datang kedudukan agama Islam, terutama di dalam undang-undang keluarga Islam tidak diusik penjajah. Undang-Undang 99 Perak umpamanya mengusir orang yang tidak berpandukan al-Quran dan Sunnah ke dalam hutan, pemimpin yang tidak mempercayai al-Quran dan Sunnah juga tidak layak menerajui kepemimpinan negeri.

Raja mempunyai kuasa yang besar dalam hal ehwal Islam. Kuasa Raja Melayu sebagai Ketua Agama Islam ketika penjajahan juga tidak disentuh.

Ibn Naqib al Misri di dalam bukunya Al umdat wa al salik menyatakan fungsi Raja ialah:

# Menjaga hal ehwal umat Islam;

# Memastikan kedaulatan agama Islam terpelihara;

# Memastikan syariat Allah ditegakkan;

# Memastikan umat Islam belajar hukum hakam agama;

# Mengembangkan syiar Islam melalui dakwah dan penaklukan;

# Mempertahankan negara Islam daripada pencerobohan kuasa kuffar;

# Memudahkan dan memberi khidmat kepada jemaah haji;

# Mengimami solat Jumaat secara sendiri atau wakil; dan

# Menjadi wali hakim.

Berbalik kepada hal ehwal Islam yang terletak di dalam bidang kuasa negeri ini, sudah tentulah perkara yang sedikit ini menjadi autonomi kepada negeri di dalam menegakkan syiar Islam selain di Wilayah Persekutuan. Ini termasuk penubuhan majlis agama negeri, mufti, mahkamah syariah dan jabatan agama. Hal ehwal Islam sebagai perkara negeri ini bukanlah hanya deklarasi. Ia mempunyai kesan perundangan dan implikasi yang besar terhadap hubungan antara Persekutuan dan negeri. Apatah lagi undang-undang Islam mempunyai jurisprudennya yang tersendiri yang kadangkala tidak difahami orang yang tidak mendalami undang-undang Islam.

Dalam erti kata lain Kerajaan Persekutuan tidak boleh mencampuri urusan agama Islam kerana ia adalah urusan negeri yang diketuai Ketua Agama melainkan mendapat perkenan Raja-Raja Melayu. Tidaklah keterlaluan jika dikatakan negeri mempunyai kuasa penuh di dalam hal ehwal Islam. Begitu juga sebaliknya kerajaan negeri tidak boleh mencampuri urusan Persekutuan seperti imigresen, pertahanan dan ketenteraman awam.

Oleh yang demikian kedua-dua badan perundangan, eksekutif di peringkat Persekutuan dan negeri perlulah menghormati kedudukan ini dan tidak melewati sempadan yang diperuntukkan itu. Mencampuri urusan badan yang lain hanya akan menggugat konsep federalisme ini. Kesannya kedua-dua badan perundangan ini akan hilang identitinya dan bertindak di luar batasan yang diberikan. Ketidakharmonian ini akan menyebabkan perjalanan urusan negara menjadi tergendala.

Ibadat puasa Ramadan unik

by
Oleh DR. MOHD. FAHMI ABDUL KHIR
Pensyarah Kolej Komuniti Gerik, Perak

PUASA terdapat di dalam hampir kebanyakan agama. Di era ketamadunan Greek juga sudah ada amalan-amalan puasa tertentu yang dipraktikkan. Hippocrates, bapa perubatan, juga mengesyorkan puasa kepada ramai pesakitnya. Syariat para Nabi terdahulu juga tidak terkecuali daripada ibadat puasa. Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman difardukan ke atas kamu puasa seperti mana difardukan ke atas umat-umat terdahulu, mudah-mudahan kamu dari kalangan orang-orang yang bertakwa. (Surah al-Baqarah:183)

Al-Qurtubi menyatakan Allah SWT telah mensyariatkan puasa Ramadan kepada kaum Nabi Musa a.s dan kaum Nabi Isa a.s tetapi mereka telah mengubahnya dan menambah jumlah harinya kepada 50 hari.

Puasa Nasrani ialah meninggalkan makanan bersumberkan binatang seperti daging, susu, lemak dan lain-lain. Sesetengah Katolik berpuasa dengan tidak makan tetapi dibenarkan meminum air.

Orang Yahudi diwajibkan berpuasa selama dua puluh lima jam pada youm kabur. Terdapat agama yang hanya membenarkan memakan nasi ketika berpuasa. Ada juga agama yang membenarkan memakan sekali sahaja dalam sehari ketika berpuasa.

Terdapat kepercayaan yang menyuruh pengikutnya berpuasa pada waktu malam sahaja. Sesetengah agama hanya mewajibkan puasa kepada golongan ahli agama (sami). Amalan orang Parsi purba berpuasa dua hari berturut-berturut tanpa berbuka - pada bulan purnama. Terdapat pelbagai bentuk puasa lain yang diamalkan mengikut kepercayaan dan pegangan agama yang dianuti.

Dalam kepelbagaian bentuk puasa yang diamalkan, Islam datang mensyariatkan puasa yang ditakrifkan sebagai menahan diri daripada makan, minum dan persetubuhan bermula dari terbit fajar (subuh) sehinggalah terbenam matahari (Maghrib).

Islam juga menganjurkan tuntutan-tuntutan yang lain ketika berpuasa seperti menjaga akhlak dan menyempurnakan perkara-perkara sunat yang telah ditunjukkan oleh Nabi SAW.

Apabila menyusuri aturan Islam dalam berpuasa, ternyata ia suatu syariat yang unik, menjangkau akal pemikiran manusia.

Ia bukanlah rekaan manusia bahkan ia datang daripada Allah SWT. Justeru, ia adalah sebahagian daripada nilai kemukjizatan syariat di dalam al-Quran.

Salah al-Khalidi menyatakan puasa yang disyariatkan oleh Islam bersifat fitrah dan sederhana. Ia bertitik tolak dari dasar syariat Islam yang bersifat wasati (sederhana).

Jika ditinjau ibadat puasa dalam agama-agama lain, ternyata puasa dalam Islam mempunyai keunikannya yang tersendiri di mana ia tidaklah memudaratkan mereka yang mengamalkannya dan dalam masa yang sama ia tidaklah terlampau ringan.

Dari sudut perubatan, tempoh puasa Ramadan iaitu selama 14 hingga 16 jam sehari ternyata tidak memudaratkan kesihatan manusia yang normal.

Justeru, Islam menggalakkan mereka yang berpuasa menyegerakan berbuka puasa. Ini bagi memastikan tubuh badan kita menerima sumber makanan untuk diserap selepas tempoh yang dinyatakan di atas.

Dalam masa yang sama, tempoh tersebut mencukupi untuk melemahkan hawa nafsu manusia yang melampau, mencukupi untuk kita selami kesusahan dan kepayahan yang dihadapi oleh orang lain.

Pertahankan keistimewaan perpaduan rakyat berbilang kaum

by
Hari ini semua rakyat Malaysia menyambut Hari Kemerdekaan negara kita yang ke-52. Tetapi suasana sambutan di seluruh negara tidak seperti biasa kerana ulang tahun kemerdekaan jatuh pada bulan puasa Ramadan. Sambutan di peringkat Pusat, dibuat sederhana di Dataran Parlimen.

Usia 52 tahun amat besar maknanya. Pelbagai peristiwa dan pengalaman pahit manis telah kita sama-sama harungi.

Apabila menonton iklan hari kemerdekaan di televisyen, ia membawa kenangan manis dan menyentuh jiwa semua lapisan masyarakat kita yang berbilang kaum.

Dalam suasana hubungan kaum yang kini diasak dengan tindakan provokasi dan tuduhan melampau demi kepentingan kaum masing-masing, elok kita sama-sama renung dan fikirkan apa akan kita lakukan selepas ini. Adakah semua kaum di negara ini mahu bercakaran dan musnahkan perpaduan yang telah dijalin sejak lebih 52 tahun itu?

Ada kebenaran dalam perutusan Hari Kemerdekaan Perdana Menteri bahawa membaik pulih jambatan sedia ada di samping meruntuhkan tembok-tembok pemisah yang wujud di antara rakyat pelbagai kaum adalah cabaran terbesar negara.

Jika kita buka minda dan fikirkan, kekeruhan hubungan antara kaum sebelum Mac 2008 tidaklah seburuk seperti sekarang. Semua kaum berbaik sangka dan tidak timbul tuduh-menuduh dan mencabar Perlembagaan negara. Hakikatnya perpaduan kaum yang diasaskan oleh pejuang-pejuang terdahulu kini diasak dan cuba digoncang pihak tertentu kerana mahu rebut kuasa.

Perpaduan kaum adalah tunjang kekuatan dan kemakmuran Malaysia. Jika tunjang ini ditetak-tetak selalu, akhirnya ia akan musnah.

Begitu juga dengan perpaduan kaum, jika tidak dipelihara, kesan kemusnahannya sukar untuk dipulihkan seperti dahulu.

Sebab itu berulang-ulang kali pemimpin negara mengingatkan kita supaya pertahankan perpaduan kaum. Datuk Seri Najib Tun Razak juga mengingat tentang sejarah dunia yang sarat dengan catatan bahawa kejayaan yang tidak diurus dengan baik akan berakhir dengan kegagalan.

Pada hakikatnya, kejayaan dan kemakmuran negara ini sepanjang 52 tahun merdeka adalah hasil sumbangan serta dokongan semua kaum, semua lapisan masyarakat.

Kita jangan lupa tentang keunikan yang kita miliki ini. Negara yang lebih dahulu merdeka daripada kita pun tidak mencapai kejayaan seperti yang kita nikmati sekarang. Sebab itu kita perlu berhati-hati dan berwaspada terhadap anasir-anasir yang sengaja dan berusaha untuk memecah-belahkan perpaduan masyarakat majmuk negara ini.

Kerana mereka tahu, formula perpaduan kaum inilah menjadi rahsia kekuatan dan kejayaan Malaysia. Mahu tidak mahu, hakikatnya baik Orang Asli, Melayu, Bumiputera Sabah dan Sarawak serta orang Cina, India dan kaum-kaum lain - inilah tanah air kita.

Adalah tanggungjawab kita semua untuk menentukan kemakmuran dan kestabilan Malaysia. Di bawah kepimpinan Perdana Menteri yang baru lima bulan memimpin negara ini, elok kita beri sokongan dan dokongan kepada Najib dalam pelaksanaan konsep 1Malaysia Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Tindakan tegas jika sentuh isu sensitif

by
Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengarahkan polis mengambil tindakan tegas ke atas pihak yang melakukan tindakan menyentuh sensitiviti sesuatu kaum dan agama.

Menterinya, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata tindakan diambil tanpa mengira agama dan kaum bagi memelihara keselamatan rakyat serta keamanan negara.

"Keutamaan saya ialah keselamatan rakyat dan negara yang berbilang kaum. Saya sudah mengarahkan polis mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa yang menjejaskan prinsip berkenaan tanpa mengira kaum dan agama," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Beliau mengulas tindakan 50 penunjuk perasaan berkumpul di pintu masuk Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah kelmarin, sebagai membantah pemindahan kuil Hindu di Seksyen 23 Shah Alam, Selangor.

Mereka berada di pintu masuk 15 minit sebelum diarah bersurai oleh polis.

Kumpulan itu yang mendakwa penduduk Seksyen 23 membantah pemindahan kuil yang kini terletak di Seksyen 19 ke kawasan perumahan mereka.

Hishammuddin berkata, bantahan dengan membawa atau menggunakan sebarang lambang berkaitan agama adalah perbuatan yang tidak wajar.

Beliau juga menegaskan tanah yang diberi kerajaan Selangor untuk memindahkan kuil Hindu ke lokasi baru sebagai tidak sesuai kerana kediaman itu dihuni majoriti Melayu.

- BERITA HARIAN

Malaysia 52 tahun merdeka

by

Dalam usaha mendapatkan kemerdekaan daripada penjajah, semua negara di dunia mempunyai pelbagai kisah dan pengalaman tersendiri dalam memperjuangkan kemerdekaan. Ada yang berjuang sehingga mengorbankan banyak nyawa, ada yang terpaksa bersekongkol dengan militan dan gerakan bawah tanah. Pada masa yang sama ada juga yang percaya pada perjuangan tanpa keganasan.

Dalam konteks kemerdekaan negara ini, ia dicapai melalui cara yang berhemah iaitu melalui rundingan tanpa perlu menumpahkan darah. Inilah perkara paling unik yang membezakan Malaysia dan negara-negara lain dalam perjuangan kemerdekaan. Tarikh keramat 31 Ogos 1957 terus terpahat dalam sejarah sebagai hari negara ini bebas dari cengkaman penjajah yang senantiasa menjadi petualang demi untuk kepentingan mereka.

Namun begitu ini tidak bermakna kita memperoleh kemerdekaan dengan mudah. Sejak negara ini dijajah pada 24 Ogos 1511 dengan runtuhnya Kesultanan Melayu Melaka kepada Portugis, telah berlaku banyak peperangan dan pertempuran terhadap penjajah bagi menyatakan kebencian penduduk negara ini terhadap penjajah.

Kemudian dengan bermulanya campur tangan British di Tanah Melayu pada 1874, ini mula menimbulkan kebencian terhadap penjajah, yang akhirnya mendorong orang Melayu untuk bangkit menentang British.

Nama-nama seperti Datuk Bahaman, Datuk Maharajalela, Haji Abdul Rahman Limbung dan Mat Salleh di Sabah, hanya menyebut beberapa nama merupakan antara tokoh pejuang awal yang sanggup mengorbankan diri demi memperjuangkan kebebasan dengan menghalau penjajah. Walaupun penentangan yang dilakukan ini tidak memperoleh apa-apa kemenangan tetapi semangat perjuangan inilah yang telah memercikkan api nasionalisme untuk memperoleh kemerdekaan.

Nasionalisme

Gerakan nasionalisme untuk memperoleh kemerdekaan mula timbul berikutan semangat penduduknya yang inginkan sebuah negara bangsa yang merdeka, bebas dari penjajah dan mentadbir negara sendiri dengan corak kepimpinan sendiri.

Langkah paling berkesan dalam menyemarakkan semangat nasionalisme di kalangan masyarakat ialah melalui akhbar yang mana ia telah berjaya meniupkan semangat anti penjajah. Terdapat beberapa golongan yang cerdik pandai yang berjuang dengan menggunakan mata pena untuk menanamkan semangat perjuangan. Antara mereka ialah golongan berpendidikan agama yang mendapat pendidikan di Al Azhar, Mesir. Golongan kedua adalah golongan berpendidikan sekular Inggeris dan golongan ketiga ialah golongan sekular berpendidikan Melayu.

Mereka menggunakan teknik penulisan untuk menentang penjajah dan dalam masa yang sama menanamkan semangat nasionalisme.

Namun penjajahan Jepun pada 1942-1945 adalah punca sebenar yang telah membuka mata masyarakat bahawa penjajahan boleh dihapuskan. Keupayaan Jepun menundukkan penjajah British sekali gus membuktikan bahawa penduduk negara ini boleh membebaskan diri dan berdikari.

Selepas pendudukan Jepun, orang Melayu telah sedar bahawa pihak British tidaklah sekuat yang di sangka, ditambah pula oleh semangat untuk merdeka yang bertiup kencang di Indonesia yang sedikit sebanyak mempengaruhi penduduk di sini.

Namun begitu Tanah Melayu sekali lagi dijajah oleh British, dan malangnya penjajah melihat kemerdekaan bukanlah perkara utama bagi mereka malah mengumumkan cadangan penubuhan Malayan Union .

Sir Harold MacMichael telah dihantar ke Tanah Melayu untuk mendapatkan tandatangan daripada Raja-raja Melayu. Beliau telah bertindak memaksa Sultan-sultan Melayu untuk menerima cadangan-cadangan pihak British. Malah Sultan yang enggan menandatangani perjanjian tersebut diugut akan digantikan dengan sultan yang lain atas tuduhan bekerjasama dengan Jepun

Malayan Union juga mencadangkan undang-undang baru yang memberikan kewarganegaraan kepada semua orang yang dilahirkan di Tanah Melayu dan Singapura, serta pendatang yang tinggal sekurang-kurang 10 tahun sebelum 15 Februari 1942. Semua warganegara Malayan Union yang baru itu akan mempunyai hak-hak yang sama, termasuk penerimaan masuk untuk perkhidmatan awam yang juga dikenali sebagai 'jus soli'.

Tergugat dengan keadaan ini orang Melayu yang selama ini dilihat lemah oleh penjajah telah bangkit membantah. Komuniti Cina dan India juga tidak ghairah dan telah mengkritik sesetengah peruntukan yang terdapat di dalam kertas putih Malayan Union. Pesara-pesara British dalam Perkhidmatan Awam seperti Frank Swettenham, George Maxwell, R. O. W. Winstedt, Cecil Clementi dan Laurence Guillemardt turut membantah rancangan Malayan Union.

Dari sudut pandangan orang Melayu, penentangan ini telah disampaikan dengan lebih berkesan selepas penubuhan UMNO atau Pekembar yang muncul untuk menyuarakan bantahan Melayu terhadap Malayan Union.

Pada 1 Mac 1946, sebuah Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu (Pan-Malayan Malay Congress) diadakan di di Kelab Sultan Suleiman, Kuala Lumpur yang disertai kira-kira 200 orang wakil Melayu daripada 41 buah persatuan.

Pada 1 Mei 1946, Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu Ke-2 diadakan di Johor Bahru. Dalam kongres itu, pembentukan UMNO diisytiharkan dan Dato Onn Jaafar, Menteri Besar Johor, dilantik sebagai presiden pertama. Kongres itu turut mendesak Malayan Union dimansuhkan. Pihak British sangat terkejut dengan perubahan sikap masyarakat Melayu.

Negeri-negeri Melayu yang selama ini terpisah dan tidak bersatu telah bangun bersama-sama,

Perubahan

Malah Sultan di negeri-negeri Melayu turut bersama berganding bahu menentang Malayan Union dan semua ini berjaya dicapai melalui usaha tersusun yang dilakukan UMNO.

Meskipun penentangan orang Melayu begitu hebat, kerajaan British enggan menarik balik pelaksanaan Malayan Union. Sebaliknya, Malayan Union telah diisytiharkan pada 1 April 1946 dengan Edward Gent dilantik Gabenor pertama. Bagaimanapun, penentangan terhadap Malayan Union begitu kuat sehingga rancangan itu tidak dapat dikuatkuasa sepenuhnya. Malah pada majlis pelantikan Edward Gent, majlis tersebut telah dipulau oleh Sultan-sultan Melayu. Akhirnya, Malayan Union dibatalkan pada 1 Februari 1948 dan ia telah digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu dan bermulalah episod untuk mendapatkan kemerdekaan.

Percubaan pertama untuk mendapatkan kemerdekaan berlaku pada 1954, di mana Tunku Abdul Rahman mengetuai sekumpulan perwakilan ke London untuk memperoleh kemerdekaan Malaya. Bagaimanapun, percubaan tersebut gagal.

Pada tahun yang berikut, Pilihan Raya Persekutuan yang pertama diadakan. Parti Perikatan yang ketika itu merupakan gabungan UMNO dengan MCA memenangi 51 daripada 52 kerusi yang ditandingi. Tunku dilantik sebagai Ketua Menteri Malaya yang pertama dan MIC yang mewakili kaum India menyertai parti tersebut pada tahun 1955.

Pada tahun 1955, Tunku sekali lagi pergi ke London untuk berunding tentang kemerdekaan Malaya. Pada kali ini, beliau berjaya dan tarikh 31 Ogos 1957 diputuskan sebagai tarikh kemerdekaan. Laungan "merdeka" yang bergema di Stadium Merdeka turut sama dilaung dan dikongsi bersama di seluruh negara.

Sejak itu, tanah air ini telah berjaya melakar pelbagai kejayaan dan kemakmuran yang membanggakan selama 52 tahun untuk dikongsi bersama setiap warganya tanpa mengira kaum, agama dan kedudukan.

- UTUSAN

Parti pemerintah Jepun tumbang

by
Parti Demokratik Jepun (DPJ) mencatat sejarah apabila mencatat kemenangan besar dalam pilihan raya umum semalam, menyingkirkan parti Demokratik Jepun (LDP) yang sudah memerintah selama hampir 54 tahun.

DPJ dijangka memenangi lebih 300 kerusi daripada 480 kerusi dewan rendah Parlimen yang dipertandingkan, menurut tinjauan undi oleh semua stesen televisyen utama negara itu.

Kekalahan LDP itu membuka laluan bagi Ketua DPJ, Yukio Hatoyama untuk menggantikan Taro Aso sebagai Perdana Menteri dan membentuk Kabinet baru dalam beberapa minggu lagi.

Kekalahan yang dijangka itu mencerminkan kehampaan pengundi terhadap keadaan ekonomi terburuk sejak Perang Dunia Kedua dan kehilangan keyakinan terhadap LDP untuk menangani masalah berkenaan.

DPJ yang mencanangkan dasar populis, menjanjikan bantuan untuk petani dan keluarga yang mempunyai anak, selain menjanjikan gaji minimum yang lebih tinggi.

Parti itu juga berjanji akan mengamalkan dasar yang lebih bebas dari Amerika Syarikat dan memupuk hubungan yang lebih rapat dengan negara Asia.

Syarikat penyiaran kebangsaan, NHK mengunjurkan DPJ bakal memenangi 300 kerusi, manakala LDP kira-kira 100 kerusi. Keputusan rasmi dijangka diumumkan hari ini.

TV Asahi pula berkata DPJ akan memenangi 315 kerusi.

Setiausaha agung LDP, Hiroyuki Hosoda berkata beliau dan dua lagi pegawai kanan parti akan mengemukakan surat peletakan jawatan kepada Aso yang memegang jawatan presiden parti itu. Aso pula berkata beliau akan melepaskan jawatan sebagai presiden LDP.

Menjelang penutupan pengundian jam 8 malam waktu tempatan semalam, pegawai pilihan raya berkata jumlah keluar mengundi adalah tinggi, mencerminkan minat awam yang mendalam dalam menentukan keputusan pilihan raya itu.

DPJ hanya memerlukan majoriti 241 kerusi dalam dewan rendah untuk menubuhkan kerajaan, tetapi Hatoyama berkata beliau akan menubuhkan kerajaan campuran dengan parti kecil.

Kebanyakan pengundi berkata walaupun DPJ belum pernah diuji sebagai parti pemerintah, negara itu perlu perubahan.

"Kami tidak tahu sama ada DPJ boleh membawa perubahan tetapi kami mahu memberi peluang kepada mereka," kata Junko Shinoda, 59, seorang kakitangan kerajaan.

LDP memerintah Jepun sejak penubuhannya pada 1955, kecuali tempoh 10 bulan pada 1993-94.

- AP

Kosmo! kini lima tahun

by
Sejak ditubuhkan lima tahun lalu, akhbar bersaiz kompak Kosmo! telah mengalami pelbagai transformasi sehingga berjaya mendapat tempat di hati rakyat negara ini.

Sejarah mula dilakar apabila Kosmo! dilancarkan pada petang Isnin 30 Ogos 2004 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi di kilang percetakan Kumpulan Utusan di Bangi. Terbitan pertama Kosmo! menemui pembaca pada Hari Kemerdekaan 31 Ogos 2004.

Kosmo! yang mengandungi 64 muka surat kemudian diedarkan secara percuma kepada pembaca selama lima hari berturut-turut dan mendapat reaksi positif daripada pembaca.

Dengan slogan Suara Kontemporari yang menyasarkan generasi muda yang moden dan aktif dalam kehidupan seharian, ia mula dijual pada harga RM1 senaskhah.

Pada peringkat awal, edaran Kosmo! hanya untuk kawasan Lembah Klang.

Bagi memberi kelainan, Kosmo! pada 3 Januari 2005 memperkenalkan Kosmo! Ahad untuk sajian hujung minggu dengan berita-berita lebih santai dan berinformasi.

Pada 10 September tahun yang sama, akhbar kompak Kosmo! mula mengembangkan sayapnya apabila Biro Pulau Pinang dan Kedah dilancarkan bagi memperluaskan liputan Kosmo! di utara tanah air.

Setahun selepas itu, Kosmo! memperluaskan lagi liputannya apabila membuka biro Johor, Negeri Sembilan, Terengganu, Melaka, Pahang manakala edisi utara turut memuatkan bahan-bahan dari Perlis dan Perak.

Selepas lima tahun akhbar terbitan Kumpulan Utusan itu dilancarkan, ia mula menunjukkan potensi positif dan mendapat sambutan hangat daripada pembaca.

- KOSMO!

Ucapan Khas Hari Kemerdekaan ke-52 oleh PM Malaysia

by
Alhamdulillah, pertama sekali marilah kita semua mengucapkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT justeru di atas rahmat dan limpah izin-Nya jua, esok sekali lagi kita akan menyambut Hari Kebangsaan kali ke-52 dengan tema 1Malaysia Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.

Lima puluh dua tahun yang lalu, sekumpulan patriot negara yang diterajui oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj telah berjaya mencapai kemerdekaan negara setelah hampir lima kurun berada di bawah belenggu penjajahan.

Pasca kemerdekaan kemudiannya menyaksikan tugas dan tanggungjawab untuk menentukan arah tuju tanah air yang satu ketika dahulu berada di dalam genggaman penjajah telah beralih ke tangan anak watan.

Dengan pengalaman berkerajaan sendiri begitu singkat, berlatar belakangkan pula pemberontakan komunis yang masih belum reda, wujudnya ketidakseimbangan sosioekonomi yang meluas di tambah lagi dengan sifat majmuk negara baru, maka banyak pihak kala itu yang meramalkan bahawa Malaya ibarat retak menanti belah dan tidak mungkin berjaya.

Namun begitu, kita telah membuktikan bahawa sangkaan tersebut meleset sama sekali. Di dalam tempoh lima dekad merdeka kita telah berjaya muncul sebagai negara membangun yang termaju. Kita telah menjadi negara pertama di dunia yang berjaya mengalahkan pemberontakan komunis di samping kita juga berjaya mewujudkan keadilan sosial dengan rasa kehakmilikan saksama hanya dalam tempoh masa amat singkat yakni dua generasi sahaja.

Apakah formula rahsia yang telah mendasari kejayaan ini? Sesungguhnya, tidak lain dan tidak bukan, ia adalah faktor perpaduan di antara rakyat berbilang kaum dan kepercayaan yang berteraskan kepada falsafah meraikan kemajmukan yang wujud sebagai sumber kekuatan bukannya perkara titik bengik yang menyebabkan perpecahan.

Sayangnya, masa yang berguling telah menyaksikan jambatan dibina oleh bapa-bapa kita dahulu dengan segala susah payah telah mula digoyahkan oleh golongan tertentu yang cuba menangguk di air keruh.

Mereka telah mengeksploitasikan garis-garis gelinciran yang wujud dalam masyarakat berbilang kaum sama ada ia bersifat politik, agama mahupun sosial demi untuk memuaskan agenda sempit mereka.

Di persimpangan ini, cabaran terbesar rakyat Malaysia ialah untuk membaik pulih jambatan yang sedia ada di samping meruntuhkan tembok-tembok pemisah antara sesama kita. Pokoknya, kita perlu terus mengurus kejayaan, membina di atas apa yang ada dengan membajai dan menyuburkan kerukunan terpupuk selama ini.

Beringatlah, apa yang ada tidak semestinya akan bertambah baik malah akan musnah jika kita tidak berwaspada. Buktinya, lipatan sejarah dunia sarat dengan catatan bahawa kejayaan yang tidak diurus dengan baik akan berakhir dengan kegagalan.

Benarlah kata orang, yang pipih tidak datang melayang, yang bulat tidak datang bergolek. Sehubungan itu, saya ingin berpesan kepada semua terutamanya generasi muda bahawa nikmat yang kita sedang kecapi hari ini tidak terhasil begitu sahaja tanpa perancangan yang rapi, pelaksanaan yang cekap dan pengorbanan yang tinggi.

Kejayaan ini hasil perjuangan, keringat, air mata dan darah para wira serta para wirawati negara sama ada yang didendang atau pun tidak. Ia dibangunkan oleh pendahulu-pendahulu kita yang lampau.

Ia dipertahankan oleh anggota pasukan keselamatan yang sanggup berkorban apa sahaja hatta nyawa. Ia disuburkan oleh para murabbi dan pendidik yang gigih berjuang di kelas-kelas dan bilik kuliah.

Ia dimakmurkan oleh wira swasta, wira korporat, para penjaja, waima peniaga kecil yang gigih dengan semangat keusahawanan mereka mencipta kemakmuran. Tuntasnya, ia dilincirkan pula oleh para penjawat awam yang gigih berkhidmat.

Nyatanya, kejayaan dan kemakmuran Malaysia sepanjang ini tumbuh dan berkembang hasil sumbangan serta dokongan semua kaum, semua penganut kepercayaan, semua lapisan masyarakat, di desa mahupun di kota, yang berada ataupun tidak, tua atau muda.

Kendati itulah, saya ingin tegaskan bahawa setiap seorang daripada kita mempunyai peluang yang terbentang di bawah langit Malaysia. Yang membataskan pencapaian masing-masing hanyalah kemahuan untuk berjaya, kesanggupan untuk bekerja keras dan keberanian untuk mengambil risiko.

Di atas segala, sepanjang lebih lima dekad Malaysia telah melalui pelbagai detik dan panca peristiwa. Segalanya, dilalui penuh dengan suka duka, pahit manis dan jatuh bangun bersama dalam kemajmukan.

Bertitik tolak dari kepahitan mengharungi ganasnya Bintang Tiga, keperluan monumental mengisi erti kemerdekaan bitara yang dicapai tanpa pertumpahan darah, kepincangan sosioekonomi, keretakan hubungan kaum tanggal 13 Mei 69, kemelesetan ekonomi 80-an dan krisis kewangan Asia hujung 90-an.

Semuanya telah kita tempuhi dan semuanya telah kita redai dengan jaya. Ternyata walau apa pun, harus diinsafi bahawa kita tidak mampu bernostalgia dengan kejayaan lalu tanpa berusaha mencipta kejayaan-kejayaan baru.

Lantaran itu, untuk menentukan hari esok lebih baik dari hari ini kerajaan telah pun memperkenalkan dasar-dasar yang lebih ampuh dan mampu menjulang kita menjadi sebuah negara yang maju.

Sebermula pentadbiran saya telah diutarakan konsep 1Malaysia yang berpaksi kepada Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara sebagai teras hala tuju matlamat kerajaan. Kita tidak berhenti setakat penyataan hasrat sebaliknya kita telah mengadakan prakarsa yang konkrit.

Bermula dengan usaha merevolusi sistem penyampaian sektor awam, mengangkat agenda kesejahteraan rakyat sebagai keutamaan perdana membawa kepada usaha merangsang ekonomi negara agar kemakmuran akan terus merahmati rakyat dan negara.

Akhir kalam, ayuhlah kita suburkan semangat patriotisme yang membara dengan mendedikasikan usaha tanpa berbelah bahagi atas nama 1Malaysia.

Marilah kita realisasikan masa depan yang lebih sejahtera dan makmur untuk semua rakyat Malaysia - Marilah kita pastikan panji keramat Jalur Gemilang berkibar megah di persada antarabangsa. Sama-samalah berdoa agar perjalanan mulia ini terus diberkati dan diberi petunjuk-Nya jua.

Seimbangkan makanan berprotien

by
Syurga makanan'. Itulah ungkapan yang sesuai digambarkan apabila tiba bulan Ramadan. Bukan sahaja bagi umat Islam, bahkan kaum lain di negara ini terutama dengan adanya bazar Ramadan.

Lebih-lebih lagi kehadiran Ramadan kali ini dimeriahkan dengan sambutan Hari Kemerdekaan ke-52, pasti ramai yang ingin menggandakan juadah untuk merayakannya. Selagi tidak penuh makanan di pinggan, seperti tidak lengkap menu berbuka puasa. Golongan wanita pula tidak perlu penat memasak. Semuanya seperti sudah tersedia dengan pelbagai juadah yang ada di bazar Ramadan. Lauk-pauk, kuih-muih, pencuci mulut dan minuman boleh dibeli untuk hidangan keluarga. Ada yang bertanya, " cukup tak makanan kita hari ni?". Ada pula yang berkata, "tidak seronok pula tanpa manisan serta minuman sejuk."

Selain keletihan, yang mana lebih kerap berlaku kepada anda? Adakah berat badan berkurang atau makin bertambah menjelang Aidilfitri? Perkara ini biasa berlaku disebabkan tabiat pemakanan sepanjang Ramadan. Ramai yang membeli makanan tidak menilai keperluan makanan tetapi lebih kepada selera.

Hakikatnya, ketibaan Ramadan bukan saja memberi peluang kepada kita mempertingkatkan amalan kerohanian malah amat berfaedah untuk kesihatan. Ini disebabkan puasa merupakan masa yang sesuai untuk mempertingkatkan tahap kesihatan tubuh kita.

Puasa juga memberi peluang kepada sistem pencernaan berehat di samping memastikan kelancaran sistem tubuh terutamanya buah pinggang dan hati.

Bahkan, amalan berbuka puasa yang digalakkan bermula dengan memakan kurma dan meminum segelas air kosong sepertimana yang disunnahkan oleh baginda Rasulullah saw.

Namun, trend masyarakat pada hari ini gemar berbuka secara berlebihan. Adakah amalan pemakanan tersebut memberi kebaikan atau memudaratkan kesihatan? Justeru, pengambilan makanan sepanjang bulan Ramadan seharusnya seimbang dan tidak jauh bezanya dengan bulan-bulan lain. Untuk kekal sihat, kuantiti makanan juga sepatutnya normal bukan dua kali ganda berbanding bulan-bulan lain.

Apa yang penting pengambilan makanan perlulah berasaskan makanan yang terdapat di dalam piramid makanan seperti nasi, roti, bijirin, sayur-sayuran dan buah-buahan, produk tenusu, ikan, daging, kacang, serta sedikit penggunaan minyak, gula dan garam. Pengambilan diet yang seimbang seharusnya membantu anda mengekalkan berat badan yang normal dan bukan menjadikan berat badan anda bertambah atau berkurangan terutamanya di bulan Ramadan yang penuh berkat ini. Bagaimanapun, jika anda yang berlebihan berat badan atau obes, pengambilan makanan mengikut diet yang seimbang tentu saja dapat membantu anda menurunkan berat badan.

Tempoh berpuasa yang panjang sebenarnya banyak membantu kita dalam merangka diet. Misalnya, pengambilan makanan yang lambat dicerna lebih diutamakan. Antaranya makanan mengandungi serat.

Menurut Penolong Pengarah, Bahagian Pendidikan Kesihatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Norlaily Md Nasir, mereka yang berpuasa perlu menyeimbangkan makanan berprotein sepanjang Ramadan terutamanya protein dari sumber haiwan. Protein merupakan himpunan beberapa asid amino yang diikat oleh ikatan peptida. Ia merupakan komponen major bagi tisu badan dan ia penting untuk pertumbuhan dan pembaikan tisu.

"Terdapat dua kelas protein, yang pertamanya ialah protein lengkap iaitu makanan yang mengandungi kesemua asid amino yang diperlukan oleh tubuh (banyak daripada sumber haiwan berbanding sumber tumbuhan). Kedua, protein tidak lengkap iaitu kebanyakannya daripada sumber tumbuhan," jelasnya. Seperti yang diketahui umum, protein haiwan boleh diperoleh daripada daging, ayam, ikan dan juga telur. Manakala protein tumbuhan daripada bijiran, kacang dan produk soya.

Senario

Pada bulan Ramadan, kebanyakan masyarakat kita menganggap ia sebagai pesta makan. Terdapat pelbagai jenis juadah dijual dengan pelbagai perisa yang istimewa serta jarang dijual pada bulan-bulan yang lain. Begitu juga juadah yang berasaskan protein seperti ikan, daging dan ayam.

"Makanan seperti ini dijual dengan pelbagai jenis masakan sama ada dibakar, dipanggang, digoreng dan ada juga dijadikan lauk-pauk seperti gulai, kari, kurma dan sebagainya," jelasnya. Tahukah kita pengambilan makanan seperti ini yang berlebihan akan mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan?

Kebanyakan kita tidak mengetahuinya mengenai hal ini. Mereka mengambil tanpa mengira kuantiti, asalkan dapat memenuhi selera mereka. "Sebagai contoh, seseorang berbuka dengan nasi ayam, ayam percik, ikan bakar yang bersaiz besar, secara sedar atau tidak berlaku pengambilan protein yang berlebihan. Saranan hanya menyarankan dalam dua hingga tiga hidangan sahaja," ujarnya.

Namun, Norlaily mengakui ramai yang tidak menyedarinya keperluan pemakanan mereka. Menurutnya, pengambilan protein yang berlebihan menyebabkan berlakunya kegagalan buah pinggang. Hal ini berlaku apabila seseorang mengambil protein dalam kuantiti yang berlebihan, ia akan meningkatkan beban kepada buah pinggang untuk melakukan proses penyingkiran. Jadi, ia akan menyebabkan kegagalan buah pinggang berlaku disebabkan beban ini.

Selain itu, seseorang yang mengambil protein yang berlebihan juga boleh menjadi obes. "Ini kerana protein yang berlebihan dalam badan yang tidak digunakan akan menjadi lemak dan tersimpan dalam tubuh. Hal ini ditambah pula dengan kehadiran lemak dan minyak jika seseorang berterusan mengambil makanan yang digoreng. Ini meningkatkan risiko obesiti. Jadi, pada bulan Ramadan, masyarakat perlu belajar supaya mengamalkan cara hidup yang sederhana terutamanya dalam pengambilan makanan. Bulan yang mulia ini merupakan platform untuk memulakan diet yang sihat," ujarnya.

Norlaily menasihatkan agar orang ramai mengimbangi pengambilan protein sepanjang Ramadan terutamanya semasa sahur dan berbuka.

Bagi mereka yang berpuasa, seimbangkan protein daripada sumber haiwan.

"Contohnya, sekiranya semasa sahur kita makan ikan, waktu berbuka bolehlah kita mengambil ayam atau daging di mana kita mempelbagaikan makanan dengan mengikut saranan pengambilannya. Tidak lebih daripada apa yang disarankan. Seimbangkan juga dengan makanan lain seperti nasi, mi, buah-buahan dan sayur-sayuran dalam melengkapkan lagi diet yang sihat sepanjang ramadan," jelasnya.

Diet yang sihat ini bukan sahaja membekalkan vitamin dan mineral malah ia juga dapat melambatkan proses lapar dalam menjalani ibadah puasa. Sesuai bagi mereka yang terlibat dengan perarakan sambutan kemerdekaan, pemakanan yang sihat ini membantu mereka memperoleh tenaga yang cukup.

Protein daripada sumber tumbuhan juga boleh diambil dalam melengkapkan dan mengimbangi pengambilan protein. Gabungan protein-protein tumbuhan dapat menghasilkan protein lengkap yang diperlukan tubuh sepanjang Ramadan. Nasihat Norlaily, orang ramai juga digalakkan mengambil air kosong yang secukupnya. Orang ramai juga disarankan mengurangkan makanan yang manis. Ini kerana ia akan meningkatkan aras gula di dalam badan. Bagi mengimbangi penggunaan tenaga badan, ambil makanan yang berserat tinggi seperti oat dan bijirin. Paling penting, dalam pengambilan makanan ketika berpuasa, umat Islam perlu bersederhana dan seimbangkan juadah berbuka dan sahur.

- UTUSAN

A(H1N1): Ragut mangsa ke-72, 280 disahkan positif

by
Influenza A(H1N1) yang merebak di negara ini meragut nyawa seorang lagi mangsa, menjadikan jumlah keseluruhan korban akibat wabak berkenaan meningkat kepada 72 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa mangsa terbaru merupakan seorang lelaki berumur 49 tahun dan bermasalah kesihatan hepar (hati).

Mangsa yang dimasukkan ke Hospital Melaka pada 13 Ogos dengan simptom demam dan batuk selesema selama dua hari serta muntah meninggal dunia pada 19 Ogos disebabkan oleh H1N1 dengan Sindrom Pernafasan Teruk Sistem Respiratori Strok (ARDS).

Beliau berkata, sehingga pukul 9 pagi ini, sejumlah 280 daripada baki seramai 1,515 pesakit yang sedang menerima rawatan kerana mempunyai gejala influenzalikeillness (ILI), disahkan positif H1N1.

Katanya, daripada jumlah itu, 44 kes berada di ICU di mana lima kes merupakan kemasukan baru, sementara tujuh kes keluar dari ICU.

"Daripada 44 kes yang sedang dirawat di ICU, 36 (82 peratus) mempunyai faktor risiko," katanya.

Ini termasuk tiga kes yang mengidap penyakit kronik, obesiti (4), kanak-kanak/bayi (7), post natal/hamil (2), penyakit jantung (3), kegagalan ginal (4), asthma (3) dan imuniti rendah (2), katanya. Dalam pada itu, Dr. Mohd Ismail berkata, 202 pesakit baru dengan gejala ILI telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan, manakala 285 kes telah keluar.

"Ini menjadikan baki seramai 1,515 pesakit ILI sedang dirawat di 97 hospital termasuk lima hospital swasta di seluruh negara," katanya.

Mengikut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penularan pandemik H1N1 masih lagi aktif di mana jumlah kes sehingga 30 Ogos ada 246,221 dengan 2,958 kematian yang melibatkan 182 buah negara.

- BERNAMA

Kem Kamunting bukan Guantanamo

by

Oleh HAMZAH ABDUL HAMID

Selepas telefon bimbit dan kamera diminta ditinggalkan di loker di ruang lobi, tanda tanya mula tersenarai dalam kepala tentang tempat ini.

Berjalan melewati ruang kepungan yang berpagar setinggi empat hingga lima meter serta berkawat duri, pergerakan sentiasa diawasi anggota pasukan petugas penjara.

Sering dirujuk sebagai Penjara Kamunting, Tempat Tahanan Perlindungan Taiping (Kemta) menempatkan tahanan yang telah melakukan kesalahan-kesalahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 (Sek. 8(1)).

Pusat tahanan yang mula beroperasi pada tahun 1973 ini turut menempatkan banduan yang ditahan di bawah Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Mencegah Jenayah), dan banduan prabebas iaitu baki tempoh tahanan kurang daripada setahun.

“Di sini, tahanan dibenarkan berjumpa keluarga setiap minggu di bilik perjumpaan keluarga. Setiap sesi yang dipisahkan ruang ini berlangsung selama 30 minit.

“Kami juga memberi kelonggaran dalam kes kecemasan seperti kematian,” ujar Pengarah Komisioner (Pengurusan) Kemta, Ramli Osman.

Dalam lawatan ke kem itu, Ramli membawa kami melihat bangunan pentadbiran dan kemudahan lain seperti balai pengawal, klinik, perpustakaan serta lapangan kerja tani. Seterusnya, kami dibawa menyusuri laluan ke kawasan tahanan ISA.

Jurnal berpeluang meninjau kemudahan di dalam salah satu kem tahanan yang kosong. Dalam bangunan dengan keluasan kira-kira 120 meter persegi itu, maksimum sebanyak 10 buah katil boleh ditempatkan.

Lain daripada jangkaan sebuah sel tahanan sempit dan penghuninya tidur beralas lantai batu, kem ini seumpama sebuah dormitori. Tiada yang ketara jika bercakap tentang kekurangan di dalamnya selain daripada hakikat fizikal bangunan yang kelihatan sedikit usang.

Kami diberitahu, tahanan bebas bergerak dan bergaul sesama sendiri di dalam ruang berlantai simen polos dan berkipas itu.

Turut bersambung dengan ruang tersebut adalah bilik air yang mempunyai empat tandas berpintu (duduk dan cangkung), mandian pancuran serta kolah mandian kongsi.

Penulis sendiri telah cuba berbaring di atas salah sebuah katil yang tingginya kurang setengah meter dari lantai. Seseorang tahanan hanya perlu mencari keselesaan di atas tilam setebal tiga sentimeter itu, tidak ubah seperti mereka yang biasa tidur beralaskan cadar ‘toto’. Bantal dan selimut turut disediakan.

Lampu dipadam

Dengan peraturan lampu yang hanya akan dipadam selepas 12 tengah malam, rasanya tidak banyak yang boleh dikeluhkan oleh 12 orang tahanan ISA yang kini menguni kem tersebut.

“Kami menjalankan program berdasarkan modul Pelan Pembangunan Insan dalam usaha memupuk disiplin dan akhlak tahanan. Ia satu bentuk pemulihan yang dapat disertai tahanan tanpa membezakan tempoh hukuman dan jenis kesalahan mereka,” ujar Ramli.

Beliau juga menerangkan secara terperinci tentang pemberian hidangan seimbang lima kali sehari kepada tahanan serta rutin harian seperti solat berjemaah, tazkirah, kelas ketatanegaraan, kaunseling beriadah dan latihan dalam kumpulan.

“Tahanan juga diberikan hak-hak tertentu seperti hak membuat rayuan, mendapatkan peguam, bertemu keluarga, menulis surat, membuat aduan dan mendapatkan rawatan kesihatan,” terang Ramli.

Timbalan Komisioner Penjara, Datuk Hassan Sakimon memberitahu, dari semasa ke semasa, pihak penjara menerima kunjungan pertubuhan bukan kerajaan, kumpulan hak asasi dan juga Majlis Peguam untuk bertemu para tahanan bagi mengetahui tentang kebajikan dan layanan yang mereka terima.

Bagi menjawab dakwaan penggunaan kekerasan dan deraan ke atas tahanan, Hassan menegaskan bahawa tiada sesi soal siasat yang menggunakan kaedah sebegitu di pusat tersebut kerana ia di luar bidang kuasa mereka. Para pegawai penjara juga menjalankan tugas mengikut etika yang ketat.

“Pusat tahanan ini hanya menumpukan usaha pemulihan. Ini bukan Guantanamo yang dilaporkan menyeksa tahanan. Kami bukan saja menawarkan kebebasan bergerak di dalam kawasan ini, malah layanan kami jauh lebih berperikemanusiaan,” jelas Hassan.

Hanya prasangka

Nyata, satu-satunya ‘kekejaman’ adalah prasangka mereka yang tidak berpeluang meninjau isi pusat tahanan ini. Sentimen yang diapi-apikan itu juga datang daripada golongan yang pernah menjadi penghuni kem ini, namun memburuk-burukkannya atas niat mencetus kekecohan dan memanipulasi tanggapan ramai.

“Selain mengakui kekurangan fizikal pada bangunan yang semakin usang, cabaran utama yang kami hadapi adalah mengenai sebarang tindakan pihak yang mencabar penahanan mereka. Bukan mudah sebenarnya hendak memuaskan orang tahanan di sini,” rumus beliau.

Menurut Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya (UM), Prof. Datuk Dr. Zainal Kling, sesetengah masyarakat tidak menyedari betapa pentingnya pelaksanaan ISA di negara ini.

“Memang ada peruntukan dalam Perlembagaan mengenai undang-undang yang menghalang sebarang bentuk gerakan atau tindakan yang menjejaskan keselamatan negara, walaupun kerajaan menjamin kebebasan setiap rakyatnya,” jelas beliau.

Peringatan tentang akta tersebut juga perlu difahami golongan yang melanggar beberapa perkara sensitif seperti mencabar kedaulatan raja, menimbulkan permusuhan antara rakyat berbilang kaum, mempertikaikan soal agama serta menjatuhkan kerajaan tanpa mengikut undang-undang.

Zainal mengalu-alukan usaha mengkaji semula pelaksanaan ISA agar ia relevan dengan keadaan yang sentiasa berubah.

Kalau dahulu ia lebih digunakan untuk menghalang kegiatan komunis dan keganasan, mungkin ia perlu diperinci bagi menilai lebih banyak sudut ancaman yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam.

“ISA bukan ciptaan kita. Ia digunakan untuk menjaga keamanan sejak zaman kolonial lagi. Maka kita boleh memindanya agar lebih sesuai dengan situasi dan permasalahan semasa,” jelas beliau.

Tambah beliau, baik di negara Amerika Latin, Afrika dan beberapa negara Asia, akta yang sama juga telah digunakan sejak zaman-berzaman bagi menjamin keamanan negara mereka.

Malah, kerajaan Thailand juga sudah menggerakkan kembali undang-undang ISA bagi mengawal kemelut sosiopolitik di negara itu.

“Jika kita fikirkan, ISA juga boleh diguna pakai untuk menghadapi ancaman kes influenza A (H1N1) jika situasi semakin memburuk hingga membawa kepada status darurat.

“Akta ini sebenarnya boleh digunakan bagi menyekat pergerakan mereka yang membawa virus ini daripada menyebarkan jangkitan yang seterusnya membahayakan masyarakat keseluruhannya,” terang Zainal.

Jadi gemuk kerana banyak hutang

by

Mereka yang banyak hutang mempunyai risiko lebih tinggi untuk mengalami obesiti, demikian menurut hasil kajian dari Jerman baru-baru ini.

Kajian sekumpulan pensyarah Universiti Mainz, Jerman yang diketuai Eva Muenster itu mendapati, golongan yang banyak hutang mempunyai potensi dua kali ganda untuk gemuk berbanding mereka yang dapat menguruskan kewangan dengan berhemah.

Penemuan yang dilaporkan oleh agensi berita Reuters semalam itu menarik perhatian kepada fenomena di negara-negara Kesatuan Eropah serta Amerika Syarikat yang kini mempunyai semakin ramai rakyat yang banyak berhutang dan mendedahkan mereka kepada risiko obesiti.

Menurut kajian itu, walaupun status sosioekonomi jelas mempunyai kaitan dengan kesihatan, ia tidak pula mengaitkan seseorang dengan tabiat berhutang.

Untuk menyiasat bagaimana hutang memberi kesan kepada kesihatan, para penyelidik telah membandingkan data yang diperoleh daripada 949 orang yang menerima kaunseling akibat kes hutang kronik dengan satu kumpulan 8,318 orang lain yang dikategorikan tidak banyak hutang.

- KOSMO!

Sejarah Kekejaman Bintang Tiga

by
Ditangkap dan disembelih hidup-hidup, darah menyembur keluar dari leher yang hampir putus, tubuh terangkat ke atas dan menggelepar menahan seksa sakratulmaut. Bunyi geruh menarik nafas akhir amat gerun dan memilukan. Tidak cukup dengan itu, walaupun batang tubuh sudah tidak bergerak dan basah bermandi darah, dagingnya ditakik pula sebelum dibakar dan dihumban ke dalam lubang sedalam paras paha.

Perbuatan kejam dan di luar peri kemanusiaan itu adalah gambaran kekejaman komunis yang bermaharajalela ketika era darurat dari 1948 sehingga 1960.

Bagi Presiden Persatuan Bekas Polis Malaysia, Shafie Bakri menyifatkannya sebagai tindakan membalas dendam Parti Komunis Malaya (PKM) yang juga dikenali Bintang Tiga terhadap individu yang disyaki menjadi tali barut tentera Jepun. Tentera Jepun menguasai negara ini untuk tempoh tiga tahun lapan bulan.

“Jepun menyerah kalah selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom pada 6 Ogos 1945. Sebaik mendapat khabar, komunis keluar daripada tempat persembunyian di hutan dan menunjukkan kekuatan dengan membunuh sesiapa saja yang dipercayai bersekongkol dengan Jepun,” katanya.

Gambaran kekejaman Bintang Tiga dijelaskan beliau pada ceramah program Bicara Tokoh Darurat sempena pameran Darurat-Rentetan Sejarah 1948-1960 anjuran Muzium Negara yang berlangsung dari 30 Jun hingga 30 Ogos lalu.


Shafie berkata, keadaan huru-hara di Malaya ketika itu menyebabkan hubungan antara kaum tegang biarpun keanggotaan PKM bukan di kalangan kaum Cina saja.

“Hubungan antara kaum ibarat paku berselirat. Mereka terlalu berhati-hati baik dalam pergaulan mahupun percakapan kerana takutkan musuh dalam selimut.

“Si penjual sayur yang berjaja setiap pagi menjadi pembelot pada malam hari apabila membawa PKM mengepung kediaman penduduk yang lancang mengkritik komunis,” katanya. Disebabkan tidak mahu ditimpa kesusahan, masyarakat ketika itu rela bergelap dan berkurung di rumah biarpun Maghrib belum menjelang.

Shafie berkata, ancaman PKM tidak dihadapi orang Melayu saja, bahkan ada kaum Cina terutama suku Tionghua selalu menerima ugutan, diganggu malah harta mereka dirampas menyebabkan mereka memilih mendiami kawasan pinggir hutan.

Perang Vietnam memburukkan keadaan kerana memberi ilham untuk menghasilkan jerangkap samar atau bobby trap kepada pengganas komunis. Pemberontakan komunis ketika ini di seluruh dunia melalui fasa kedua dengan melakukan serangan lebih agresif dan membunuh.

“Permatang (laluan) tentera dan polis dipasang jerangkap samar menyebabkan ramai anggota keselamatan terkorban, kudung kaki dan tangan. Pemilik ladang dan lombong dikelar, tanaman getah ditetak, manakala kereta api yang membawa hasil komoditi itu diserang, diterbalikkan dan dibakar. Hakikatnya, ini cara komunis melumpuhkan ekonomi negara,” katanya.

Namun, kata Shafie, kekejaman komunis meragut kesabaran rakyat, terutama orang Melayu apabila balai polis diserang, dibakar dan menagih korban bukan saja di kalangan anggota bertugas, bahkan anak isteri dibunuh tanpa belas kasihan.

Balai Polis Bukit Kepong, Kuala Krai, Simpang Pertang dan Pekeliling musnah dihujani peluru dan bom tangan membangkitkan kemarahan masyarakat,” katanya ketika mengenang semula keganasan dicetuskan anak buah Chin Peng itu.

Sehubungan itu, katanya, Chin Peng tidak patut diberi peluang kembali ke negara ini biarpun perancang utama dan tulang belakang PKM itu sudah lanjut usianya.

“Bagaimana kita boleh memaaf dan melupakan kekejaman Chin Peng ketika itu. Dia bukan saja pencetus huru-hara bahkan menyebabkan ramai pejuang negara kehilangan anggota. Betapa menyedihkan keadaan tanah air ketika itu hingga tanah berbau hanyir darah, sungai jernih bertukar merah, mayat bergelimpangan dan mereput sendiri. Jelas kelihatan hutang darah dibayar darah, jika masih ada usaha membawa pulang pengkhianat itu, kami anggota keselamatan tidak akan berdiam diri,” katanya penuh semangat.

Bekas Panglima Medan Tentera Darat, Lt Jen Datuk Seri Zaini Mohd Saidi walaupun ketika darurat masih kecil dan berusia dua tahun, namun beliau mengerti kesengsaraan dan ketakutan yang ditanggung orang sekelilingnya.

“Saya membesar dalam kekalutan, hilang kebebasan bahkan lebih teruk, melabelkan suku kaum tertentu sebagai komunis. Keadaan ketika itu sangat menekan perasaan sehinggakan untuk pulang ke kampung saya di Lenggeng, Negeri Sembilan dari Kuala Lumpur harus melalui tidak kurang 10 sekatan jalan raya, perintah berkurung dikenakan selepas jam 6 petang, manakala permit diperlukan bagi beras dan gula mempunyai berat lebih sekati,” katanya.

Namun, paling dikesali beliau ialah kesan pemberontakan komunis yang mencipta sentimen benci di antara kaum, khususnya Melayu dan cina.

“Angka korban darurat dianggarkan mencecah 2,542 orang membabitkan semua kaum terutama Melayu dan Cina. Pantang silap sikit ketika itu, akan tercetus perkelahian kaum yang berakhir dengan kematian,” katanya.

PKM di bawah pimpinan Chin Peng membiak ke angka 10,000 anggota pada akhir 60an berbanding 400 anggota asal. Matlamat awal untuk memerangi kuasa Jepun sebaliknya melahirkan gerombolan gerila yang berniat jahat menimbulkan huru-hara.

“Generasi kini patut mengenang semula pahit getir perjuangan dan kesediaan anggota keselamatan berkorban nyawa demi negara. Azab dua tiga bulan berkampung di hutan tidak terungkap dengan kata-kata, namun itu sudah menjadi tugas kami untuk melindungi keselamatan rakyat,” katanya.

Fahami sejarah kemerdekaan

KEMERDEKAAN dikecapi hari ini bukan diperoleh secara mudah tetapi dibina dengan keringat, darah dan air mata.

Penghayatan kemerdekaan tidak terhad dengan mengibarkan bendera, menganjurkan perarakan warna-warni, konsert dan menyanyikan lagu ‘Negaraku’ semata-mata tetapi sewajarnya rakyat dilatih mengenang semula perjuangan generasi terdahulu membebaskan negara daripada penjajahan, selain memahami proses bagaimana akhirnya kemerdekaan menjadi milik negara.

Kependudukan Jepun yang bertunjangkan slogan ‘Asia untuk Asia’ berjaya merubah senario politik Tanah Melayu apabila British tidak lagi dianggap kuasa imperialisme kebal. Bertujuan mengembalikan maruah peribadi, namun diuar-uarkan atas nama membebaskan Tanah Melayu daripada cengkaman Jepun, British menjalinkan kerjasama dengan Parti Komunis Malaya (PKM) pada 8 Disember 1940.

Namun, British silap perhitungan apabila PKM yang sepatutnya menyebelahi mereka, sebaliknya bermaharajalela mengisi kekosongan ditinggalkan Jepun yang kalut dengan kemelut pengeboman Hiroshima dan Nagasaki pada Ogos 1946.

Pengaruh fahaman komunis semakin meluas menjelang 1948. Malah, untuk merealisasikan wawasan penubuhan Republik Komunis Malaya, PKM menukarkan namanya kepada Malayan People Anti-British Army (MPABA) sekali gus menjadi platform melancarkan serangan lebih agresif untuk melumpuhkan British.

Tiga peringkat strategi dirangka komunis untuk mengambil alih Tanah Melayu bermula dengan menghasut kesatuan sekerja mengadakan mogok. Usaha ini gagal apabila British meluluskan Trespass Law (undang-undang pencerobohan) yang menyekat kesatuan memasuki ladang bagi tujuan berceramah dan menstruktur organisasi pekerja. Ordinan persatuan yang mewakili pekerja juga dipinda dan dikemaskini pada 12 Jun 1948 iaitu mewajibkan semua kesatuan sekerja mendaftar dengan pihak berkuasa.

Strategi kedua PKM ialah menguasai bandar kecil, seterusnya mendirikan markas PKM yang diisytiharkan British sebagai kawasan putih. Bagi memastikan dasar dan rancangan mereka berjalan lancar, Gerakan Rakyat (Min Yuen) berciri serampang dua mata ditubuhkan.

Gerakan Rakyat ini bertanggungjawab membekalkan makanan kepada ahli PKM yang melarikan diri ke dalam hutan selepas pengharaman parti itu, selain mengumpul maklumat berkaitan strategi kerajaan menghapuskan mereka.

Pemberontakan bersenjata terkandung dalam strategi terakhir. Melaluinya, anggota dilatih menguasai taktik perang gerila, selain menubuhkan unit kecil berfungsi menakutkan penduduk Tanah Melayu membabitkan pertumpahan darah warga British dan sekutunya.

Kekejaman demi kekejaman yang dilakukan memaksa British mengambil pendekatan drastik mengisytiharkan darurat di seluruh Tanah Melayu pada 18 Jun 1948.

Meskipun darurat menyusahkan rakyat kerana mengekang pergerakan, mengorbankan banyak nyawa serta menyebabkan kerosakan harta benda, dari perspektif lain, insiden darurat sebenarnya mempercepatkan lagi proses memerdekakan Tanah Melayu apabila British bersetuju ia ditadbir anak tempatan.

Info

Kes keganasan komunis

# Serang hendap di Kelian Intan - 10 September 1947

Peristiwa berlaku pada jam 7.30 pagi membabitkan serangan pengganas ke atas sebuah lori dan dua bas yang membawa anggota polis. Tiga anggota polis dan enam orang awam terkorban, manakala dua mata-mata polis serta 12 orang awam cedera parah.

Segerombolan pengganas komunis dikatakan melepaskan tembakan bertubi-tubi selama 10 minit, merampas harta penumpang dan mengacukan senapang kepada mereka.

# Pembunuhan di Sungai Siput, Perak - 16 Jun 1948

Tragedi ini mengorbankan tiga pengurus ladang berbangsa Eropah iaitu T.G Christian, A.E Walker dan J.M Allison. Pembunuhan ini menggemparkan penduduk tempatan, seterusnya penyebab kepada pengisytiharan Undang-undang Darurat di Perak.

Ia adalah pengumuman darurat pertama sebelum ia diperluaskan di seluruh Tanah Melayu pada 18 Jun 1948. Pembunuhan ini disifatkan sebagai kemuncak keganasan komunis yang mula berleluasa sejak tamat Perang Dunia Kedua di negara ini.

# Serangan ke atas kampung Jeram Choh, Johor - 18 Jun 1948

Ia dilakukan kira-kira 20 pengganas komunis lengkap bersenjata. Kemuncak kejadian ialah serangan ke atas balai polis yang menyebabkan kerajaan mengalih langkah mengumumkan perintah darurat berkuat-kuasa serta-merta.

# Tragedi lombong Batu Arang, Selangor - 12 Julai 1948

Lombong ini ditawan komunis sebagai strategi melumpuhkan ekonomi negara. Ia bukan saja mengakibatkan operasi kilang terhenti, malah seluruh kilang dimusnahkan manakala lima pekerja berbangsa Cina terkorban.

# Sabotaj ke atas kuari Sungai Gepai, Tapah, Perak - 19 Januari 1950

Serangan membabitkan kira-kira 20 pengganas itu memusnahkan beberapa kenderaan dan peralatan kuari.

# Serang hendap di Seberang Perai - 22 Januari 1950

Serangan ini mengorbankan lapan anggota polis termasuk seorang sarjan Inggeris manakala enam anggota polis Melayu cedera parah.

# Serangan di Kampung Simpang Tiga, Setiawan, Perak - 4 Februari 1950

Kira-kira 80 pengganas komunis menyerang dan membakar kampung yang mengakibatkan 1,000 penduduk kehilangan tempat tinggal dan harta benda.

# Peristiwa Bukit Kepong - 23 Februari 1950

150 pengganas komunis yang diketuai Mat Indra menyerang balai polis pada jam 4.30 pagi. Tragedi memilukan ini mengorbankan 23 mangsa membabitkan 13 anggota polis, enam pengawal kampung, tiga wanita dan seorang kanak-kanak.

# Serang hendap di Sungai Semur, Kelantan - 25 Mac 1950

Pertempuran antara kira-kira 250 pengganas komunis dengan platun Kompeni D Batalion Ketiga Rejimen Askar Melayu Diraja berjumlah 25 orang. Serangan berlaku pada jam 10.30 pagi ketika platun berkenaan menyusuri sungai. Sejumlah 17 orang anggota tentera terbunuh dengan lapan cedera.

# Pembunuhan Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Henry Gurney di Batu 56 1/2, Jalan Kuala Kubu Bharu, Bukit Fraser - 6 Oktober 1951

Sir Henry, Pesuruhjaya Tinggi British pada 1948 hingga 1951 diberi tanggungjawab membanteras ancaman komunis di Tanah Melayu. Dia dan isteri ditembak mati ketika dalam perjalanan ke Bukit Fraser dari Kuala Lumpur untuk bercuti.

# Serang hendap kereta api, Tampin, Negeri Sembilan - 14 November 1951

Serangan ini mengorbankan empat orang awam, termasuk pemandu kereta api, K Vettivelu. Kejadian berlaku pada waktu malam ketika kereta api berkenaan berada kira-kira sebatu dari Tebong berhampiran Tampin.

Sabotaj dilakukan dengan mengalihkan landasan mengakibatkan kereta api tersasar, manakala sebahagian gerabak terbabas serta tergelincir kira-kira 10 meter ke bawah landasan. Kereta api itu ditembak bertubi-tubi sekali gus mencederakan 20 penumpang. Antara mangsa terselamat, termasuk Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad dan isteri serta dua putera baginda.

# Pokok getah seluruh Tanah Melayu ditetak (1948 - 1951)

Ia adalah tindak balas pengganas komunis terhadap pemilik ladang yang enggan bekerjasama dengan mereka. Perbuatan menetak pokok juga bertujuan melumpuhkan ekonomi yang ketika itu banyak bergantung kepada hasil pengeluaran getah.

- BERITA MINGGU

Persoalan Agama: Mencukur bulu ari-ari sunat, rambut boleh diinai

by
Bersama Ustaz Zahazan Mohamed

Hukum mencukur bulu bergantung kepada keadaan. Dalam Islam, membersihkan bulu ari-ari adalah suatu perkara sunat yang amat dituntut.

Demikian juga mencabut bulu ketiak. Dalam sebuah hadis sahih riwayat Malik dalam al-Muwatta, al-Nasaei, Ibn Hibban, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Lima perkara yang termasuk dalam fitrah iaitu berkhatan, mencukur bulu ari-ari, mencabut bulu ketiak, menipiskan misai dan memotong kuku.

Perbuatan mencukur bulu pada anggota lain makruh atau haram sekiranya dilakukan dengan niat menyerupai jantina yang lain. Ini termasuk usaha lelaki yang mencukur bulu roma dengan tujuan menyerupai perempuan.

Perkara ini jelas dinyatakan dalam hadis sahih riwayat Ahmad, al-Baihaqi dan lain-lain bahawa Nabi melaknat perempuan yang menyerupai lelaki dan lelaki yang menyerupai perempuan.

Bagaimanapun, sekiranya seseorang itu menghadapi masalah seperti kesakitan atau alahan pada kulit, harus baginya mencukur bulu roma itu.

Mewarna rambut pula diharuskan malah Nabi pernah mengarahkan sahabat yang mempunyai banyak uban agar mewarnakan rambut agar hilang warna putih itu. Sebagai contohnya menerusi sebuah hadis yang diriwayatkan Muslim dalam sahihnya, Nabi menegur Abi Quhafah pada hari pembukaan Kota Makkah dengan kata baginda : "Ubahlah warna rambutmu ini, tetapi jauhilah warna hitam."

Berdasarkan arahan Nabi ini, kalangan ulama hadis contohnya al-Syaukani dalam Naiulul Awtar, menetapkan galakan memakai inai pada rambut dan janggut dengan warna kemerahan dan kekuningan. Tetapi bersandarkan hadis ini juga, jelas Nabi mengharamkan mewarnakan rambut dengan warna hitam.

- BERITA HARIAN

Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2009 diawalkan

by
Perlawanan akhir persaingan paling berprestij negara, Piala Malaysia mungkin diawalkan dari jadual asalnya, 21 November ke 7 November bagi memudahkan persediaan skuad Bawah 23 negara menghadapi Sukan SEA Laos, Disember ini.

Cadangan itu disuarakan ketua jurulatih, K. Rajagobal kepada Jawatankuasa Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya anak buahnya beroleh sekurang-kurangnya 20 hari sebagai tempoh sesi latihan dan perlawanan persahabatan ke temasya dwitahunan itu.

Pengerusi jawatankuasa yang juga Timbalan Presiden FAM, Datuk Redzuan Sheikh Ahmad berkata, cadangan itu bakal dipanjangkan kepada Jawatankuasa Pertandingan Tempatan atau Majlis FAM yang lebih arif untuk memutuskannya demi kepentingan pasukan belia negara.

"Rajagobal meminta persediaan dibuat 20 hari dan jika Piala Malaysia berakhir 21 November, ia tidak mencukupi untuk mengumpulkan pemain kerana Sukan SEA Ke-25 bermula 8 Disember," katanya baru-baru ini.

Aksi Liga Malaysia musim 2009 yang kini berehat seketika dengan labuhnya tirai Liga Super dan Liga Perdana awal bulan ini, bakal disambung semula dengan pemburuan trofi Piala Malaysia yang diperkenalkan pada 1967 itu mulai 26 September ini.

Skuad Bawah 23 yang kini turut dianggap sebagai skuad kebangsaan berlepas ke Arab Saudi, untuk menentang negara Teluk itu dalam dua perlawanan persahabatan di Riyadh, semalam dan Selasa sebagai persediaan awal ke Laos.

"Mereka juga akan menentang Jordan di Amman pada 5 September selain melawan Lesotho di tanah air pada 14 Oktober ini. Laos turut mengundang skuad kita bermain tiga penjuru dengan Thailand dari 2 hingga 6 Oktober ini untuk menguji persediaan Sukan SEA," kata Redzuan.

Bagaimanapun jelasnya, FAM mungkin hanya mahu menghantar skuad Bawah 20 negara yang juga juara Liga Perdana musim 2009, Harimau Muda, di bawah bimbingan Ong Kim Swee ke Laos.

Setakat ini, anak buah Rajagobal sudah menewaskan Zimbabwe 4-0 dan 1-0; dikalahkan Manchester United 3-2 dan 2-0, mengikat Kenya dan China tanpa jaringan.

- UTUSAN

Cerpen - Muqabalah

by
Oleh RAMLI ABDUL HALIM

Kunjungan sehari sebelum perayaan hari kemerdekaan ke atas seorang pemimpin umur lama yang cukup marah bila dikatakan tua bagi tujuan persemukaan terhadap suatu isu yang mengelirukan pendukung dan penyokong parti agak tegang tetapi masih dalam rangka dan kerangka perdebatan secara sihat.

Ada peluh yang memercik di dahi pendebat dalam perdebatan lima lawan satu yang diadakan dalam bilik berhawa dingin yang mensalji dan pemimpin umur lama terpaksa pakai baju tiga lapis untuk menahan sejuk.

Pemimpin umur lama itu tersengih sinis kerana manggak dan riak.

Hidungnya kembang kempis.

Macam mana dia tak rasa manggak dan riak, gara-gara mahu mendapatkan persetujuannya, lima kepala, empat daripadanya kepala anak muda yang lahir selepas merdeka, terpaksa digunakan bagi memberi hujah dan mematahkan hujahnya.

Baginya kalau dia tidak hebat, kalau dia bukan intan terpilih pada abad ini, takkanlah sampai lima orang datang untuk memberi hujah dan membalas hujahnya, empat daripadanya adalah berkelulusan Ph.D dalam bidang sains politik dengan empat daripadanya membiarkan kepala botak tanda bijak masing-masing terdedah.

Kerana itu dia akan mengeksploitasi dan memanipulasi kehebatannya supaya dalam apa-apa maksud dan tujuan sebagai rangka dan kerangka jangka pendek dan juga jangka panjang parti yang didukung dan disokongnya, dia akan pastikan dia tidak akan dikesampingkan.

Sama ada soal kerajaan perpaduan mahu pun apa juga isu, dia akan pastikan buah fikiran dan pandangannya diambil kira, termasuk dalam soal yang berkaitan dengan perayaan hari kemerdekaan negara.

Malah dalam apa keadaan sekali pun dia akan pastikan dia akan dirujuk.

"Tujuan muzakarah…."

"Kalau muzakarah ana tak setuju" pintasnya sebelum ketua pengunjung sempat membuat penjelasan tujuan dia dan rombongan membuat kunjungan hormat.

Ketua pengunjung tergamam.

"Enta faham ke tidak apa itu muzakarah?" soalnya.

Ketua pengunjung menggelabah.

Diraba serban di kepalanya yang ekornya mencecah punggung. Lilitan serban itu melindungi bubus hampir-hampir botaknya. Kemudian ketua pengunjung merawa dan memintal-mintal janggutnya yang mencecah dada dan ada sedikit bau jebat. Dia merasakan pemimpin umur lama cuba memperlekeh dan mengaibkannya bila ditanya sama ada dia faham atau tidak apa itu muzakarah, soalan yang sepatutnya hanya diaju kepada budak sekolah.

Walaupun dia memiliki ijazah sarjana muda kelas dua bawah dalam bidang Usuludin, namun dia adalah lepasan sebuah universiti terkemuka di Timur Tengah, malah dia seuniversiti dengan pemimpin umur lama.

"Sebelum nak buat sesuatu, kena faham, kena reti dengan apa yang nak dibuat" bebel pemimpin umur lama. Muka dan nada suaranya serius.

Mulut ketua pengunjung terkunci oleh rasa terkedu hati dan terkoyak rabak perasaan oleh sindir sinis pemimpin umur lama.

Empat lagi anggota pengunjung saling berpandangan dan saling bercebih-tonye sesama sendiri. Ada pantulan cahaya lampu pada kepala botak masing-masing.

"Kita ni orang politik, pemimpin parti politik. Lawan kita juga orang politik dan pemimpin parti politik. Main politik ni kena cerdik" khutbah pemimpin umur lama.

"Jangan pula apa yang kita buat umpama kita memberi senapang kepada lawan untuk nantinya kepala kita yang bersepai kena tembak oleh senapang kita sendiri yang kita hulur pada lawan" syarah pemimpin umur lama.

Ketua pengunjung terkebil-kebil.

"Kalau kita menghunus keris, kena pastikan kita yang pegang ulu dan matanya kena terhunus ke arah lawan, bukannya kita hulurkan keris untuk lawan pegang ulunya dan matanya pula dihunus kepada kita. Kalau macam tu jadinya bermakna kita tidak cerdik bermain politik"

"Yang cerdik bermain politiknya macam mana?" soal seorang anggota pengunjung yang paling muda. Dia memberanikan diri membuka mulut apabila mendapati mulut ketua pengunjung yang cukup rapuh dan celupar ketika di pentas ceramah dan pada rapat-rapat umum terus terkunci berdepan dengan khutbah, hujah dan syarahan pemimpin umur lama yang serba selamba.

"Semolek-moleknya biar lawan yang hulur senapangnya kepada kita, biar lawan yang hulur keris dan kita pegang ulunya dengan mata dihunus ke arah lawan" balas pemimpin lama.

"Bukan mudah"

"Memang bukan mudah. Politik bukan satu permainan yang mudah. Bukan semua orang boleh bermain politik, apatah lagi untuk memimpin sesebuah parti politik yang mana pemimpinnya kena sentiasa lebih cerdik dari pimpinan parti lawan, malah dengan sesama pimpinan dalam parti sendiri"

Giliran anggota paling muda pula terkunci mulutnya dan terkebil-kebil oleh penangan hujah pemimpin umur lama.

"Kalau tak cerdik jangan dok ogeh nak jadi pemimpin. Lebih molek kalau pilih saja jadi penyokong"

"Jadinya?" ketua pengunjung membuka mulut setelah agak lama mulutnya terkunci. Dari mulut ada sedikit bau lembu punya taik kerana berkuan disebabkan agak lama tak buka mulut.

"Jangan muzakarah. Kalau tidak parti kita akan punah"

"Kenapa pula parti kita akan punah?"

"Muzakarah memerlukan kekuatan hujah dan penggulungan hujah serta keputusan atau rumusan"

"Ana setuju"

"Apa hujah yang kita ada untuk nantinya dari segi moralnya kemenangan akan berpihak kepada kita?"

"Itu yang ana berlima datang ni, nak dapatkan hujah-hujah enta untuk digunakan dalam muzakarah nanti"

"Apa tujuan enta mau bermuzakarah dengan pihak lawan?"

"Untuk perpaduan ummah, demi masa depan agama, bangsa dan negara. Setelah usia kemerdekaan mencecah lima puluh dua tahun, kita kena lebih profesional dan rasional dalam berpolitik, dalam bercanggah pendapat, ketidakseragaman pandangan dan juga pendekatan dalam berparti politik dan berpolitik".

"Maknanya dalam muzakarah itu nanti wakil parti kita yang dipilih untuk bermuzakarah mesti kena ada pelan, rangka dan kerangka perpaduan ummah"

"Ha ah"

"Apakah enta yakin antara kita sesama kita, antara kita dengan parti-parti pakatan kita sudah benar-benar berpadu?"

"Enta rasa?"

"Ana rasa kita tidak benar-benar bersepadu lagi. Muzakarah yang dicadangkan boleh mengundang pecah belah dalam pakatan kita jika kita kekal dalam keadaan sekarang"

Ketua pengunjung terkunci mulut lagi. Entah apa bau yang akan terhambur keluar bila dibuka mulutnya nanti, sukar untuk dipastikan. Dia adalah antara orang yang tidak akan berselera kalau makan nasi tanpa ulang petai, jering, kerdas atau paling komen pun kena berulamkan bawang putih dan bawang merah.

"Kalau sesama kita dan antara parti dengan parti sepakatan kita tidak benar-benar sepadu, macam mana boleh kita muzakarahkan tentang perpaduan ummah dengan parti lawan kita"

Ketua pengunjung tidak menyahut.

"Kerana itu ana tidak bersetuju muzakarah diadakan"

"Dulu enta juga yang beriya-iya mahu bermuzakarah dengan lawan kita" ketua pengunjung kembali bersuara.

"Itu dulu, ketika lawan tidak bersedia untuk bermuzakarah. Bila ana mau bermuzakarah sedangkan lawan tak mau, kemenangan moral akan berpihak kepada kita. Kerana itu ana kata nak bermain politik kena cerdik"

"Ana dan rakan-rakan rintis jalan ke arah diadakan muzakarah berpandukan kepada al-Quran dan hadis kerana itulah yang enta mahukan"

"Ketika ini muzakarah tidak sesuai, tidak banyak keuntungan politik yang parti kita dapat"

"Enta utamakan keuntungan politik dari kepentingan ummah?"

"Politik periuk nasi kita"

"Apakah kerana periuk nasi, kita kena kesampingkan kepentingan ummah?"

Pemimpin umur lama tidak menyahut.

"Lagi pun bukankah bila kita bertelagah sesama kita, sesama sefahaman agama, kita diminta menyelesaikannya melalui musyawarah?"

Pemimpin umur lama tetap tidak menyahut.

"Kalau kita membatalkan muzakarah, reputasi dan hemah parti kita akan tercalar. Dulu enta sebagai tokoh yang dianggap serba betul yang mahu bermuzakarah dengan parti lawan. Sekarang bila parti lawan sanggup bermuzakarah, enta tentang pula"

"Ana boleh bersetuju tetapi dengan syarat…"

"Apa pula syaratnya"

"Namanya ditukar"

"Maksud enta?"

"Jangan namakan muzakarah"

"Habis nak namakan apa?"

"Muqabalah"

"Muqabalah?"

"Ha ah. Muqabalah atau bersemuka yang tidak perlu ditamatkan dengan kesimpulan, rumusan dan resolusi. Muqabalah lebih bersifat santai"

Ketua pengunjung terkelu.

"Bagi ana muzakarah pun boleh muqabalah pun boleh. Yang tak bolehnya 'muka balah' kerana yang mahu diusahakan adalah penyatuan ummah, membendung sikap berpuak-puak, pecah belah, cebih-tonye, tunjuk siku balik dan tonggeng punggung sesama sendiri, sesama sebangsa, sesama seagama dan sesama sewarga negara" ngomel anggota pengunjung paling muda.

Sebenarnya dia cuak dengan sikap pemimpin umur lama yang mahu dianggap dia serba betul dan serba unggul belaka sehinggakan nama muzakarah yang telah dipersetujukan mahu ditukar dengan muqabalah walhal jisimnya sama seperti minyak petrol dipanggil minyak bensin sahaja.

Baginya pemimpin umur lama lebih utamakan populariti dan ketokohannya yang bersifat kepentingan peribadi melebihi kepentingan ummah yang sedang berkucah dan berkuca-wokyoh.

Demi kepentingan politik kepartian dan demi mempertahankan ketokohannya yang dilihat serba hebat, pemimpin umur lama boleh tidak bersetuju dengan cadangan muzakarah sedangkan ia adalah antara tatacara dan pendekatan yang amat digalakkan dalam Islam bila timbul sesuatu pertelingkahan.

"Ana anggap antara kami sebagai pengunjung dengan enta yang dikunjungi kini sedang bermuqabalah. Oleh itu bila ana beri pandangan, jangan pula enta marah"

"Pandangan apanya?" soal pemimpin umur lama dengan suara agak tinggi.

Dalam suaranya ada nada marah kerana jarang pendapat dan fatwanya disanggah.

"Bagi ana ketidakbersetujuan enta dengan muzakarah yang diatur oleh parti, lebih bersifat ingkar terhadap keputusan parti"

Ketua pengunjung cuba memberi isyarat supaya anggota pengunjung paling muda tidak cuba mengundang marah seranah pemimpin umur lama yang dianggap keramat dan bermukut masin oleh pendukung dan penyokong parti.

"Enta kena ingat parti kita bukan hak peribadi. Enta tak patut menentang apa yang telah diputuskan oleh parti dengan persetujuan majlis syura dan dewan ulamak dengan penentangan itu pula dihebah di media cetak dan elektronik" tokok pengunjung paling muda tanpa menghiraukan isyarat ketua pengunjung.

"Suara seorang tokoh tidak patut menjadi veto bagi menolak suara ramai" tingkah seorang lagi pengunjung, menyokong pandangan pengunjung paling muda.

"Betul" sokong seorang lagi anggota pengunjung.

"Zaman dah berubah. Cara kita berpolitik dan cara kita berfikir juga kena berubah" ngomel anggota pengunjung paling muda.

"Sama ada namanya muzakarah atau muqabalah, apa yang telah diputuskan oleh parti kena diteruskan. Kita kena bersihkan parti dari wabak veto seorang tokoh yang dianggap hebat dan merasakannya hebat menyebabkan keperluan parti mengikut keperluan dan peredaran zaman terencat. Tokoh yang kita anggap hebat dan dia merasakan dirinya hebat pun kerana kita sebagai pendukung dan penyokong parti yang melabelkannya hebat" tokok anggota pengunjung paling muda.

"Walhal dari segi sumbangan buah fikiran dan penyediaan rangka dan kerangka bagi kepentingan parti untuk jangka panjang khususnya, apatah lagi yang berkaitan dengan kepentingan agama, bangsa dan negara, belum tentu dia lebih hebat dari suara majoriti dalam parti" tokok pengunjung paling muda lagi.

Ketua pengunjung tunduk menguku.

Pemimpin umur lama menggelabah tetapi tidak boleh marah kerana pemimpin muda yang memberi hujah telah menegaskan bahawa dia bersama anggota pengunjung sedang bermuqabalah dengannya sebagai tokoh yang dikunjungi

Dia sebagai pemimpin umur lama sedang terkepung dalam muqabalah yang dicadangkannya sendiri bagi menggantikan muzakarah. Jauh di sudut hatinya dia mula memperakukan kesakanan ilmu anak-anak yang lahir dan menerima pendidikan selepas merdeka berbanding dengannya!

Mempertikaikan kewartawanan portal berita

by
Oleh Aznan Bakar

Boleh dikatakan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini penyebaran maklumat terutama berita yang berkaitan hal ehwal semasa telah melalui fasa baru. Dengan perkembangan dunia internet atau online yang begitu pantas, orang ramai tidak lagi perlu bergantung kepada media tradisional sebagai maklumat mereka.

Jika dahulu surat khabar, radio dan televisyen merupakan sumber berita utama kini segala-galanya berada di hujung jari pengguna. Dengan internet boleh diakses melalui telefon bimbit maklumat bergerak dan beredar dengan begitu pantas. Malah itu turut menggalakkan pertumbuhan portal-portal berita sama ada yang dikendalikan secara profesional, separa atau langsung tidak bersandarkan kepada etika dan profesionalisme.

Ditambah pula dengan sikap terbuka kerajaan yang langsung tidak menghalang atau menapis media Internet ini, maka kemunculan mereka boleh diibaratkan seperti cendawan selepas hujan.

Di sebalik pelbagai dakwaan kerajaan mengawal aliran maklumat, kemunculan media baru ini membuktikan pengendali media secara online mempunyai kebebasan tersendiri berbanding media konvensional.

Itu belum diambil kira kemunculan blog-blog berita yang sebahagian besarnya tidak diketahui siapa pengendalinya. Mereka ini bebas menulis dan menyiarkan apa sahaja tanpa perlu mengambil kira sensiviti atau sentimen masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini.

Malah portal-portal berita atau juga dikenali sebagai media online ini ada yang tidak kisah soal sensitiviti ini asalkan matlamat mereka tercapai.

Sesetengah portal berita ini diwujudkan semata-mata untuk memenuhi keperluan peribadi atau dengan tujuan untuk mendedah dan merosakkan peribadi individu, organisasi, parti politik mahupun kerajaan.

memperjuangkan

Walaupun mereka mendakwa memperjuangkan kebebasan bersuara dan kebebasan media tetapi sebenarnya ia sekadar indah khabar dari rupa.

Bagi golongan ini definisi bebas itu ditafsir mengikut acuan mereka sendiri. Hanya apa yang mereka suarakan dan siarkan disifatkan sebagai bebas dan apa yang diketengahkan oleh penerbitan lain terutama media arus perdana dianggap tidak bebas.

Persoalan yang timbul di sini ialah adakah sesuatu media itu dianggap bebas apabila ia memihak kepada pembangkang atau menyiarkan berita-berita buruk mengenai kerajaan?

Adakah bebas yang dimaksudkan media kena mengikut telunjuk tertentu termasuk menyokong demonstrasi jalanan hingga mencetuskan huru hara dan porak peranda? Sudah tentu setiap media yang diterbitkan sama ada cetak, elektronik atau online mempunyai pendirian masing-masing.

Pendirian ini pula tidak semestinya sama. Masing-masing bebas untuk menyokong ideologi atau kelompok tertentu. Sebab itu jika dilihat mana-mana media antarabangsa mereka kelihatan bebas kerana tidak terikat dengan peraturan dan undang-undang.

Tetapi hakikatnya mereka memihak. Media-media ini memihak kepada kumpulan yang ada kepentingan dengan mereka sama ada sebagai pemegang saham atau atas kepentingan politik.

Berita-berita yang disiarkan juga hanya berat kepada pihak yang disokong sahaja. Tetapi atas dasar kebebasan media dan kebebasan bersuara ini setiap organisasi media tentunya bebas untuk menyatakan pendirian masing-masing.

Jika terdapat media yang memilih untuk menyokong parti pemerintah maka ia adalah hak pemilik organisasi terbabit untuk berbuat demikian.

Sebagai pemilik dan atas dasar kebebasan bersuara maka dia tentu bebas untuk memilih siapa yang mahu disokong.

Begitu juga dengan media lain terutama media online yang ikatan undang-undangnya agak longgar berbanding media cetak.

Oleh itu perbuatan beberapa portal berita yang tanpa segan silu mengambil artikel daripada media arus perdana termasuk Utusan Malaysia dan disiarkan semua di laman web mereka dengan tujuan memperlekehkan pandangan yang dikemukakan atas dasar kebebasan bersuara tentu tidak wajar.

Lebih-lebih lagi apabila pengendali portal itu bersikap tidak profesional (atau lebih sesuai dipanggil pengecut) apabila menyiarkan komen-komen yang menghentam sahaja.

Jika ada pembaca yang memberikan komen secara adil dan tidak memihak maka ia tidak disiarkan.

kebebasan

Kalaulah benar mereka ini mendokong kebebasan media dan kebebasan bersuara kenapa tidak disiarkan semua komen yang diberikan? Kenapa bersifat memilih? Adakah dalam memperjuangkan kebebasan boleh pilih memilih?

Pengendali portal berita seperti ini juga sebenarnya sudah kehabisan modal untuk menarik pengunjung ke laman berita mereka.

Sebab itu salah satu caranya ialah mencetuskan kontroversi dengan menceduk artikel media lain dan disiarkan semula dalam portal mereka. Malah portal ini juga satu ketika dahulu cukup berkuasa hingga bebas membocorkan segala keputusan sulit diputuskan oleh Kabinet. Atas dasar kebebasan mereka sanggup mengenepikan segala etika dan nilai tanpa menghiraukan kesan yang timbul akibat perbuatan itu.

Slogan kebebasan media dan kebebasan bersuara digunakan sekadar untuk mencapai cita-cita peribadi pemiliknya - menghina, memburuk dan menjatuhkan orang lain.

Mereka ini sebenarnya hidup dalam dunia yang penuh kepura-puraan dan hanya berani pukul curi.

Dalam organisasi media yang diuruskan atas dasar profesional ia selalu menghormati apa juga pendirian media lain.

Adalah menjadi hak dan pilihan masing-masing untuk memihak kepada mana-mana individu, kumpulan atau parti politik.

Tentunya tidak kena atau tidak elok jika dengan sengaja memetik artikel yang ditulis oleh rakan wartawan lain semata-mata supaya ia dihentam dan dihina secara berat sebelah.

Pada hal pengarang yang bertanggungjawab menceduk artikel tersebut tentunya kenal akan penulisnya. Kalaulah dengan menyiarkan komen pembaca merupakan satu cara untuk menarik pengunjung, laman web tersebut kenalah bersikap profesional.

Siarkan semua komen sama ada yang menghentam, menyokong mahu pun komen yang tidak memihak. Baru adil dan barulah betul-betul memperjuangkan kebebasan bersuara.

Realitinya inilah nilai kewartawanan baru yang diperkenalkan oleh segelintir portal-portal berita di negara ini.

Budaya kewartawanan yang ketandusan idea hingga terpaksa menceduk artikel dari media untuk disiarkan dalam portal berita mereka.

Selalunya apabila kita mengambil barang orang, kita akan mengucapkan terima kasih. Bukannya mengutuk, menghina dan mencerca sesuka hati.

Wanita berkuasa di dunia

by

Pada 20 Ogos lepas majalah kewangan terkemuka, Forbes mengeluarkan senarai 100 wanita paling berkuasa di dunia. Menariknya walaupun wanita yang terpilih ini dikatakan sangat berkuasa dan berpengaruh dari 100 mereka yang tersenarai hanya 18 dari mereka terlibat dalam politik. Dari senarai tersebut juga dua wanita yang terpilih merupakan dari golongan bangsawan iaitu Ratu Elizabeth II yang menduduki tempat ke-42 dan Ratu Rania dari Jordan yang berada di kedudukan ke-76. Wanita Pertama Amerika Syarikat (AS), Michelle Obama turut tersenarai buat pertama kali pada tahun ini.

Walaupun Michelle merupakan orang yang paling dekat dengan Presiden AS, Barack Obama, namun beliau hanya mampu berada di tangga ke-40.

Selebihnya wanita-wanita berkuasa ini menduduki hierarki tertinggi dalam dunia korporat. Keupayaan para wanita ini sememangnya membanggakan walaupun dari segi kedudukan dan pengaruh politik mereka mungkin dilihat agak ketinggalan jika dibandingkan dengan kaum Adam. Namun kejayaan mereka mentadbir dan mengurus syarikat-syarikat terkemuka dunia telah membuktikan bahawa tangan yang mengayun buaian turut mampu menggoncang dunia.

Kesemua wanita ini bertanggung jawab mengawal wang tunai berjumlah AS$26 trilion (RM93 trilion ) di seluruh dunia. Namun begitu kegawatan ekonomi yang melanda dunia turut sama menjejaskan kedudukan wanita yang tersenarai tahun lepas sehingga ada di antara mereka yang disingkirkan dari jawatan yang dipegang. Antara mereka ialah bekas presiden syarikat bermasalah Alcatel Lucent, Patricia Russo dan bekas Presiden Morgan Stanley, Zoe Cruz.

Menduduki tangga pertama, Canselor Jerman, Angela Merkel kekal wanita paling berkuasa di dunia bagi tahun keempat berturut-turut selepas majalah tersebut menonjolkan peranannya sebagai pemimpin negara ekonomi keempat termaju di dunia. Beliau yang akan berhadapan dengan pilihan raya pada September ini dijangka akan terus mempertahan jawatan itu berikutan keupayaannya memimpin Jerman mengharungi kemelut ekonomi dunia.

Setiausaha Negara AS Hillary Clinton hanya menduduki tempat yang ke-36, satu kedudukan yang dilihat agak terkebelakang berbanding jawatan dan pengalaman beliau. Clinton jatuh dari tangga 28 pada tahun lepas semasa beliau hampir memenangi pencalonan Presiden AS bagi Parti Demokratik ke tangga 36 pada tahun ini, meskipun mengetuai Jabatan Negara AS yang paling berpengaruh. Malah ada yang mempertikaikan pemilihan senarai 100 wanita berkuasa ini kerana Hillary sewajarnya menduduki tempat yang lebih baik.

Antara wanita yang terlibat dalam politik dan menempatkan diri dalam senarai ini ialah Presiden Argentina, Cristina Fernandez yang menduduki tempat ke-11, Presiden Parti Kongres Kebangsaan India, Sonia Gandhi tempat ke-13, Menteri Ekonomi, Kewangan dan Pekerjaan Perancis, Christine Legarde tempat ke-17 dan Presiden Chile yang menduduki tempat ke-22, Michelle Bachelet.

pemimpin wanita

Nama-nama lain ialah seperti Presiden Filipina Gloria Macapagal Arroyo yang menduduki tempat ke-44, Yulia Tymoshenko yang juga Perdana Menteri Ukraine, tempat ke-47, Presiden Liberia, Ellen Johnson-Sirleaf tempat k- 67, Mary McAleese yang juga Presiden Ireland, Perdana Menteri Iceland, Johanna Sigurdardottir tempat ke-75 dan Perdana Menteri Bangladesh Hasina Wajed yang menduduki tempat ke-79. Satu-satunya pemimpin wanita dari dunia Arab yang tersenarai dan menduduki tempat ke-95 ialah Menteri Ekonomi UAE, Sheikha Lubna Al Qasimi.

Bagi wanita yang menduduki tempat tertinggi dalam senarai wanita berkuasa dari dunia korporat, tempat kedua dalam senarai ini diungguli oleh Sheila Bair yang juga pengerusi Federal Deposit Insurance Corp. Syarikat ini yang bertanggungjawab menginsurankan bank-bank di AS yang kini masih belum selamat dari kemelut kegawatan ekonomi.

Wanita seterusnya adalah seorang yang menarik untuk diperkatakan. Beliau merupakan wanita berusia 53 tahun dan dilahirkan di daerah Chennai dalam Tamil Nadu, India. Beliau turut mendapat pendidikan Madras Christian College di Calcutta sebelum melanjutkan pelajaran di

Yale School of Management. Beliau yang dimaksudkan ialah Indra Krishnamurthy Nooyi atau lebih dikenali sebagai Indra Nooyi yang kini memegang jawatan sebagai

Ketua Pegawai Eksekutif di PepsiCo, sebuah syarikat terkemuka dunia dalam bidang makanan dan minuman.

Beliau yang memegang jawatan itu sejak dari 2006 dibayar gaji sebanyak AS$6,230,366 (RM 22.3 juta) setahun. Nooyi sememangnya telah tersenarai antara wanita berkuasa dunia sejak memegang jawatan tertinggi di PepsiCo sejak 2006.

Cynthia Carroll, Ketua Eksekutif syarikat Anglo American yang juga antara syarikat perlombongan terbesar di dunia menduduki tempat keempat dalam senarai tersebut tahun ini.

Syarikat tersebut yang mempunyai pegangan besar dalam pelbagai syarikat perlombongan sama ada emas, berlian mahu pun besi dan kuprum seperti DeBeers, MMX Minas-Rio dan AngloGold Ashanti.

Pengalaman selama 17 tahun dalam bidang perlombongan dan industri minyak dan gas telah menjadikan beliau antara pemimpin yang dihormati dalam industri tersebut.

Tempat kelima senarai tersebut pula diduduki oleh Ho Ching yang juga ketua eksekutif di syarikat pelaburan Temasek Holdings yang dimiliki oleh kerajaan Singapura. Beliau yang juga isteri kepada Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong.

Beliau pernah mengumumkan untuk berundur dari syarikat yang memiliki aset melebihi AS$100 bilion pada 6 Februari 2009 dan digantikan dengan Charles "Chip" W. Goodyear. Namun pada 21 Julai beliau kekal dengan jawatan tersebut setelah Goodyear berhadapan masalah dengan ahli lembaga pengarah syarikat tersebut.

Dalam memperkatakan tentang kedudukan wanita, sesungguhnya dunia harus mengakui bahawa kedudukan wanita kini semakin baik berbanding zaman sebelumnya. Di Malaysia. bersesuaian dengan peredaran zaman kedudukan wanita juga semakin baik dalam pelbagai bidang sama ada politik mahupun ekonomi dengan menjawat pelbagai jawatan yang satu ketika dimonopoli oleh lelaki.

Namun begitu kita tidak seharusnya terlalu terikut-ikut dan terpengaruh dengan kehendak Barat yang seboleh-bolehnya mahu kita mengikut rentak mereka dalam semua perkara dari politik mahupun cara kita berpakaian. Kita telah dididik supaya berbangga dengan cara dan acuan kita yang tersendiri. Inilah perkara yang membezakan kita dengan nilai-nilai Asia dan ketimuran yang jauh berbeza dengan mereka di Barat. Janganlah hanya kerana perkara remeh seperti ugutan media Barat dalam isu rotan baru-bari ini kita perlu berasa takut dan terikut-ikut dengan kehendak mereka. Walau apa pun, kedudukan dan peranan wanita di negara ini masih banyak yang perlu dipertingkatkan dan adalah diharapkan supaya satu hari nanti nama wanita Malaysia mampu menjadi pegawai tertinggi syarikat ternama dunia seperti yang dilalui oleh CEO PepsiCo, Indra Noir. Pastinya dengan kedudukan sebegini hebat ia mampu membuka mata seluruh dunia terhadap keupayaan wanita negara ini sekali gus melayakkan mereka menduduki senarai antara wanita berkuasa dunia.

- UTUSAN

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90