Top Ad 728x90

Banyak dewan bedah di Terengganu bocor

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu kecewa dengan keadaan dan mutu pembinaan hampir semua dewan bedah hospital di negeri ini yang tidak dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Said, berkata hampir semua dewan bedah di negeri ini bocor dan kerajaan negeri kerugian besar kerana terpaksa membeli semula peralatan yang rosak dan berkarat, walaupun belum digunakan.

"Kita lihat pembinaan dewan bedah di Hospital Kemaman yang ketiadaan wad unit rawatan rapi (ICU), dan air terpaksa digantung di cermin untuk rawatan pesakit.

“Ini sangat tidak berpatutan kerana selain merugikan kos, ia juga membabitkan nyawa manusia. Pakar bedah pun kecewa kerana tidak boleh buat kerja.

"(Begitu juga) dewan bedah Hospital Setiu sekarang yang masih tidak dapat beroperasi kerana kebocoran yang teruk dan serangan hama kerana menggunakan barang tidak betul.

“Saya sangat kecewa dengan apa yang terjadi sedangkan kami (kerajaan negeri) sentiasa mahu rakyat menerima rawatan terbaik di hospital," katanya selepas majlis Penyerahan Peralatan Tomografi Berkomputer Multislice (MSCT) kepada Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, hampir semua dewan bedah hospital di negeri ini gagal berfungsi dan lambat disiapkan kerana bocor dan serangan hama, termasuk Hospital Besut yang terbengkalai hampir sembilan tahun, Hospital Kemaman (empat) manakala dewan bedah Hospital Setiu sudah terbengkalai tujuh tahun.

"Teruk....rakyat marah kerajaan. Masalahnya rakyat menuding jari kepada kerajaan negeri apabila semua hospital dibina gagal beroperasi, sedangkan ia dikendalikan oleh Kerajaan Pusat yang melantik sendiri kontraktor dan jurutera mereka," katanya.

Ahmad berkata, beliau selalu menekankan supaya kontraktor yang terbabit dengan pembinaan hospital supaya bekerjasama dengan pihak hospital dalam menyempurnakan pelan pembinaan.

"Ini tidak, saya lihat kadang-kadang pelan dibuat tidak komprehensif dan memeningkan, sepatutnya ambulans sampai dalam lima minit tetapi terpaksa mengambil masa 15 minit kerana kontraktor tidak tahu kemahuan pihak hospital. Saya tegaskan di sini jangan main-main dalam soal ini kerana ia membabitkan nyawa manusia," katanya.

Ahmad berkata, kerajaan negeri berharap Jabatan Kerja Raya (JKR) memantau kerja pembinaan dengan rapi supaya masalah yang melanda pelbagai projek di negeri ini tidak berulang lagi pada masa depan.

Katanya, kerajaan negeri tidak berhak untuk menamatkan khidmat kontraktor bermasalah, kerana ia bidang kuasa JKR untuk mengambil tindakan.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90