Selasa, Januari 12, 2010

Melahirkan graduan dalam pelbagai bidang

Rancangan Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Datuk Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar yang mahu mengubah pendekatan universiti itu dengan melahirkan lebih ramai majikan daripada hanya pekerja adalah tepat pada masanya kerana kerajaan berhasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi.

Untuk merealisasikan hasrat kerajaan ini, setiap rakyat mesti meningkatkan produktiviti bagi meraih pendapatan yang lebih tinggi. Objektif utama mestilah dengan meningkatkan modal insan rakyat dengan memberi latihan. Objektif lain adalah dengan menceburi bidang teknologi tinggi dan bioteknologi. Teknologi tanpa sokongan pekerja yang mahir dan keusahawanan tidak akan menjanjikan kejayaan.

Langkah UiTM untuk melahirkan graduan yang memiliki lebih daripada satu ijazah sangat dialu-alukan. Di samping melahirkan lebih ramai usahawan, ia menjadikan graduan UiTM lebih ke hadapan daripada graduan lulusan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) yang lain. Graduan UiTM yang juga mahir dalam beberapa bahasa akan menjadi pilihan majikan pada masa akan datang. Negara memerlukan usahawan dan pekerja yang boleh bersaing di peringkat global.

Sebagai contoh, seorang graduan yang berkelulusan ijazah veterinar dan ijazah pemasaran akan menjadi seorang usahawan yang berjaya jika beliau menceburi penternakan lembu secara besar-besaran. Inilah model ekonomi negara seperti yang diamalkan di negara maju, Itali yang mana banyak perusahaan keluarga menjadi maju menerusi penglibatan penternak lembu yang berjaya mengusahakan ladang ternakan dan memasarkan hasil ternakan sendiri. Negara tersebut juga banyak melahirkan pengusaha-pengusaha membuat mesin bagi kilang-kilang dan mereka berjaya meneroka pasaran global.

Begitu juga seorang graduan yang berkelulusan ijazah kejuruteraan mekanikal dan memiliki ijazah perniagaan akan lebih cenderung mengusahakan perniagaan sendiri seperti membuka bengkel memperbaiki kenderaan atau bengkel membaikpulih mesin bagi kilang-kilang. Menceburkan diri dalam bidang ini akan memberi pendapatan yang lebih, di samping memberi pekerjaan kepada rakyat amnya.

Penuntut bidang lain seperti teknologi maklumat, undang-undang, seni reka, sains kimia, perladangan dan lain-lain juga harus digalak mendapatkan satu lagi ijazah bagi menjadikan mereka lebih mudah memperoleh pekerjaan, dan selepas mendapat pengalaman mereka boleh menjadi usahawan.

Jika UiTM berjaya menghasilkan 10 peratus daripada graduannya mendapat 'double degree' pada setiap tahun, ia sudah cukup bagus bagi orang Melayu khususnya dan negara amnya. Matlamat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berpendapatan tinggi pada tahun 2010 akan lebih cerah jika mengambil pendekatan ini.

Justeru itu, model ekonomi baru yang akan dibentangkan oleh kerajaan tidak lama lagi harus memberi tumpuan kepada aspek pembangunan modal insan. Saya cadangkan UiTM diberikan peruntukan yang lebih kerana Naib Canselornya sudah ada perancangan ke arah itu.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts