Top Ad 728x90

,

Hukuman sebat menusuk jiwa


KAJANG: Tiga wanita kumpulan pertama yang menjalani hukuman sebat mengikut undang-undang syariah di negara ini atas kesalahan melakukan persetubuhan luar nikah, reda disebat dan mengakui hukuman itu memberi mereka kesedaran yang cukup mendalam.

Mereka yang hanya mahu dikenali sebagai Ayu, Aishah dan Nur, juga mengakui hukuman itu tidak menyakitkan seperti yang disangka sebelum ini.

Ayu, 20-an, yang juga ibu kepada bayi berusia kira-kira setahun, berkata hukuman sebatan itu tidak mencederakan atau menyakitkan, sebaliknya bertujuan memberi keinsafan dan mengurangkan tekanan jiwa.

"Hukuman itu memberi kesedaran mendalam dalam jiwa saya. Allah memberi peluang untuk saya bertaubat dan kembali ke jalan-Nya," katanya kepada pemberita di Penjara Wanita Kajang di sini, semalam.

Ayu dibebaskan Ahad lalu selepas menjalani hukuman penjara dua bulan dan empat sebatan. Dia juga didenda RM1,000 mengikut Seksyen 23 (2) Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997 selepas menyerah diri di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Katanya, dia tidak mengemukakan rayuan kerana reda dengan apa juga hukuman yang diputuskan mahkamah.

"Saya wajar menerima hukuman itu, jika tidak saya tak akan sedar sampai bila-bila," katanya.

Pelaksanaan hukuman itu dijalankan di Penjara Wanita Kajang pada 9 Februari lalu dengan disaksikan 13 orang termasuk Pengarah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan serta pegawai dari Bahagian Syariah Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Dalam Negeri.

Semalam, wakil media juga menyaksikan demonstrasi hukuman sebat ke atas pesalah syariah wanita. Mengikut undang-undang syariah, hukuman itu hanya dijalankan ke atas pesalah yang disahkan sihat oleh pegawai perubatan hospital kerajaan.

Selain itu, hukuman dilaksanakan dalam keadaan pesalah menutup aurat oleh pegawai sebat wanita. Rotan yang digunakan pula berukuran maksimum 1.22 meter panjang dan ketebalan 1.25 sentimeter bergantung keputusan mahkamah.

Menceritakan detik disebat pada 9 Februari lalu, Ayu berkata, selepas menerima sebatan pertama, dia memperbanyakkan istighfar.

"Apa yang terlintas dalam fikiran saya ketika itu hanya mengharapkan keampunan daripada Allah," katanya yang akan melangsungkan perkahwinan sebaik saja pasangannya dibebaskan, akhir bulan depan.

Ayu berkata, walaupun gerun mendengar hukuman yang bakal diterimanya, dia mempersiapkan diri dengan mengikuti kelas agama di penjara dan banyak mengerjakan solat taubat meminta keampunan daripada Allah.

Aishah, 18, pula berkata dia terkejut dan terduduk ketika Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman enam bulan penjara, enam sebatan dan denda RM3,000 pada Disember lalu. Pasangannya yang dikahwininya pada Oktober lalu, turut dikenakan hukuman yang sama.

"Walaupun berdebar, saya reda dan patut terima hukuman itu kerana hukuman di akhirat lebih hebat tetapi sekurang-kurangnya saya insaf.

"Saya tidak buat rayuan kerana tidak mahu menyusahkan lagi ibu bapa saya yang mengharapkan saya menjadi manusia berguna," katanya yang kematian bayi pramatang berusia tujuh bulan pada November lalu.

Katanya, keluarganya hanya mengetahui dia mengandung ketika kandungannya berusia enam bulan dan memaksanya berkahwin dengan pasangannya.

"Walaupun tertekan dengan kesilapan lalu, saya tidak tergamak untuk membunuh bayi dalam kandungan kerana tidak mahu menanggung satu lagi dosa besar tetapi malangnya bayi meninggal dunia selepas dilahirkan tidak cukup bulan," katanya.

Sementara itu, Nur, 20-an, berkata hukuman enam sebatan yang dilaluinya dapat mengurangkan tekanan jiwa yang ditanggung selepas melahirkan anak luar nikah hampir tiga tahun lalu.

Menganggap diri sebagai insan terpilih kerana diberi peluang menjalani hukuman berkenaan, Nur berkata, dia tidak merasai kesakitan ketika disebat kerana reda dengan hukuman itu.

Katanya, dia tidak dapat berkahwin dengan pasangannya yang juga menerima hukuman sama di Penjara Kajang walaupun selepas melahirkan anak perempuan kerana berdepan dengan masalah wali apabila bapanya meninggalkan keluarga termasuk ibunya yang sakit sejak enam tahun lalu.

Tanpa menyalahkan keadaan keluarganya, dia menganggap kejadian yang berlaku berpunca daripada kesilapan diri sendiri.

"Selepas menjalani hukuman ini, saya berserah kepada Allah semoga diampunkan segala dosa kami," katanya.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90