Top Ad 728x90

,

Pasport baru Malaysia tingkatkan integriti

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pelancaran e-pasport Malaysia versi piawaian Pertubuhan Penerbangan Awam Antrabangsa (ICAO) hari ini akan meningkatkan lagi integriti dokumen perjalanan itu.

Menurutnya, ini kerana ICAO adalah agensi khas ditubuhkan pada 1947 di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang ditugaskan menetapkan piawaian pasport antarabangsa yang perlu dipatuhi oleh negara anggota.

Katanya, usaha itu berlandaskan landskap baru perubahan mobiliti manusia dan keselamatan sempadan secara global.

"Usaha itu juga akan meningkatkan keseragaman dokumen perjalanan antara negara anggota ICAO dan mengekang serta mencegah gejala pemalsuan pasport Malaysia.

"Ia akan melindungi identiti rakyat, memperkasakan kawalan keselamatan di pintu masuk, lebih fokus menyaring pengembara berisiko tinggi dan memberi kemudahan kepada pengembara tulen," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan e-Pasport Malaysia versi ICAO di sini hari ini.

Malaysia adalah negara ke-75 menggunakan piawaian ICAO tersebut.

Turut hadir kedua-dua timbalannya, Datuk Abu Seman Yusop dan Jelaing Anak Mersat.

Hishammuddin berkata, pengenalan pasport versi ICAO itu memberi pelbagai faedah kepada rakyat termasuk meningkatkan keselesaan pergerakan rakyat di pintu masuk antarabangsa.

"Antaranya ketulenan atau kesahihan maklumat pemegang pasport dengan dokumen perjalanan boleh disahkan dan menikmati kemudahan pemeriksaan automatik yang disediakan negara anggota ICAO," katanya.

Menurut beliau, berikutan pengenalan pasport baru itu, caj yang sama masih dikekalkan iaitu RM300 bagi tempoh sah laku lima tahun dan RM100 bagi pasport dua tahun.

"Ia sejajar hasrat kerajaan yang sentiasa mendahulukan keperluan rakyat di bawah gagasan 1Malaysia - Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

"Selain memberi fokus kepada usaha mendapat pengiktirafan antarabangsa dan meningkatkan ciri-ciri keselamatan pasport negara, kita sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan," katanya.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90