Top Ad 728x90

Status keputusan permohonan kemasukan ke IPTA (Lepasan SPM) - 1 Mei 2010

by
KUALA LUMPUR 30 April — Status keputusan permohonan kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi program pengajian lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau setaraf boleh diketahui bermula pukul 12 tengahari 1 MEI 2010.

Kementerian Pengajian Tinggi dalam satu kenyataan berkata calon-calon yang mahu memeriksa status kemasukan itu boleh berbuat demikian dengan menghubungi talian Helpline di 03-88835848 atau talian Hotline 03-88835858.

Mereka juga boleh melayari laman web http://upu.mohe.gov.my, http://jpt.utm.my, dan http://jpt.uum.edu.my atau menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip UPU RESULT (nombor kad pengenalan) dan hantar ke 15888.

Calon-calon yang berjaya pula dikehendaki membuat pengesahan penerimaan tawaran oleh IPTA dalam tempoh tujuh hari bekerja iaitu pada atau sebelum 10 Mei ini.

Kementerian itu berkata pengesahan penerimaan tawaran boleh dibuat melalui laman web rasmi beberapa IPTA iaitu di http://www.um.edu.my/kemasukan, http://www.esmp.upm.edu.my/tawaran, http://jpt.utm.my, http://iiu.edu.my/kemasukan/tawaran.html, http://www.upsi.edu.my/tawaran, http://www.istudent.uitm.edu.my/intake, http://www.unimas.my/Kemasukan/Program Asasi, http://www.webapp.uthm.edu.my/tawaran, http://www.umt.edu.my/tawaran.php, http://www.usim.edu.my/kemasukan/tawaran, http://www.utem.edu.my/kemasukan, http://www.ump.edu.my/kemasukan, http://www.unimap.edu.my/tawaran, http://www.udm.edu.my/tawaran atau http://www.upnm.edu.my/kemasukan/tawaran.

Tarikh pendaftaran penuntut baru bagi program pengajian lepasan SPM/Setaraf ke IPTA adalah pada 3 atau 4 Julai 2010, manakala bagi pendaftaran bagi Program Asasi Universiti Malaya (UM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi Mara(UiTM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) pula adalah pada 23 Mei ini.

Bagi calon yang gagal menerima sebarang tawaran ke IPTA, mereka dibenarkan mengemukakan rayuan melalui Aplikasi e-Rayuan ke Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi (Bpkp Jpt) dalam tempoh 10 hari bekerja selepas keputusan rasmi permohonan kemasukan ke IPTA diumumkan.

Tarikh tutup permohonan e-Rayuan ialah pada 15 Mei dan keputusannya akan dimaklumkan pada minggu ketiga Julai 2010.

Dalam perkembangan lain, Kementerian Pengajian Tinggi bersetuju melaksanakan dasar tawaran terbuka dengan pelbagai institusi dan agensi penaja di mana calon yang cemerlang pada SPM 2009 bakal menerima lebih dari satu tawaran.

— BERNAMA

Kalendar Aktiviti & Peristiwa Penting Bulan April 2010

by
# 10 April 2010 - Peperiksaan Memasuki Perkhidmatan Pegawai Gred 41 SPA

# 15 April 2010 - Semakan Ujian MEDSI DPLI & ISMP Julai 2010

# 17 April 2010 - Semakan Temuduga KPLI Jun 2010

# 24 April 2010 - Ujian MEDSI / MUNSYI

# 25 April 2010 - Semakan Temuduga KPLSPM Jun 2010

Polis Hanya Boleh Tembak Untuk Pertahan Diri - KPN

by
Polis hanya boleh melepaskan tembakan bagi mempertahankan diri, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan hari ini.

Mengulas kematian Aminulrasyid Amzah, 15, yang dilaporkan ditembak polis di Shah Alam Isnin lepas, Musa berkata beliau tidak hendak membuat spekulasi tetapi tembakan itu berlaku pada 2 pagi dan kereta yang dinaiki remaja itu dipandu dengan cara yang mencurigakan.

"Dalam keadaan gelap itu, siapapun tak akan dapat pastikan sama ada pemandunya adalah seorang remaja atau orang dewasa.

"Setakat itu saja yang boleh saya komen tentang isu ini kerana ia sedang disiasat. Oleh itu, jangan buat sebarang spekulasi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri acara menderma darah oleh anggota polis di Pusat Darah Negara bersempena sambutan Hari Polis di sini hari ini.

Musa berkata sesebuah kenderaan itu sama bahayanya dengan pistol, pisau atau tukul.

"Kenderaan boleh digunakan sebagai senjata...senjata bukan bermakna pistol, pisau atau parang saja. Kalau seseorang itu enggan berhenti dan cuba merempuh pegawai yang cuba menahannya, ia (kenderaan) boleh dianggap sebagai senjata kerana ia boleh membahayakan nyawa pegawai penguatkuasa," kata beliau.

Musa meminta orang ramai agar tidak terburu-buru membuat kesimpulan tentang kejadian itu.

Beliau mengulangi jaminannya bahawa tiada apa yang akan disembunyikan berhubung kes itu.

"Saya tak berat sebelah, jangan buat spekualsi. Seperti yang saya kata sebelum ini, kami tak akan menyembunyikan apa-apa dan kami akan berlaku adil dalam siasatan kami. Oleh itu, tunggulah hasilnya nanti.

"Biarlah apa yang nak dikatakan oleh ahli politik, tapi saya ingin tahu sama ada anda mahu kami menguatkuasakan undang-udnang atau tidak.

"Kalau tak nak, saya akan beritahu orang saya supaya tidak lagi menahan kereta yang dipandu dengan cara mencurigakan atau mengambil tindakan terhadap pelumba haram yang bermaharajalela di jalan raya," katanya.

Ditanya tentang keadaan yang membolehkan polis menggunakan senjata api, beliau berkata: "Orang saya tahu bahawa mereka hanya boleh menggunakan senjata api untuk mempertahankan diri, itu sudah menjadi peraturan dalam tugas kami".

Musa juga menasihati orang ramai supaya berhenti apabila diminta berbuat demikian oleh polis atau pegawai penguatkuasa dan jangan cuba melarikan diri kerana perbuatan demikian boleh menimbulkan rasa curiga.

Sebelum ditembak, Aminulrasyid Amzah didakwa mengundur kereta dan cuba merempuh pegawai polis untuk cuba melepaskan diri daripada sekatan jalan raya berhampiran rumahnya.

- BERNAMA

156 Sekolah Agama Berdaftar Sebagai SABK

by
KLANG: Sebanyak 156 sekolah agama telah berdaftar dengan Kementerian Pelajaran sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) pada tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kebanyakan daripada sekolah-sekolah itu adalah di Selangor, Perak dan Kelantan, katanya pada majlis perasmian Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hisamuddin di sini yang disempurnakan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata pendaftaran 23 buah sekolah agama di Selangor sebagai SABK amat dibanggakan dan diharap ia menjadi pemangkin kepada usaha kerajaan untuk menjadikan kira-kira 10 buah Sekolah Rendah Agama Integrasi yang ada di negeri itu sebagai Sekolah Agama Bantuan Kerajaan.

Beliau memohon perkenan Sultan Selangor supaya Sekolah Agama Menengah Negeri Selangor yang belum berdaftar agar didaftarkan sebagai SABK dan diletakkan sebaris dengan sekolah-sekolah lain dalam sistem pendidikan arus perdana.

"Mudah-mudahan dengan perkenan Tuanku selaku Ketua Agama Islam di negeri Selangor, ia akan mendorong lebih banyak lagi sekolah agama berdaftar dengan Kementerian Pelajaran, " katanya.

Beliau berkata program pendaftaran sekolah-sekolah agama dengan Kementerian Pelajaran bertujuan membela sekolah-sekolah agama khususnya Sekolah Agama Rakyat (SAR) yang semakin dihimpit pelbagai masalah sehingga ada yang terpaksa ditutup.

Menerusi program SABK, sekolah-sekolah ini diberi bantuan termasuk geran bagi meningkatkan lagi kualiti pendidikan yang meliputi aspek pengurusan sekolah, proses pengajaran dan pembelajaran, pengurusan sumber manusia serta prasarana dan kemudahan fizikal.

Murid-murid SABK juga menerima bantuan makanan, buku teks dan bantuan lain selain diberi peluang bersaing dengan murid-murid di sekolah aliran perdana dalam sebarang aktiviti Kementerian Pelajaran sama ada berbentuk kurikulum ataupun kokurikulum.

Sebahagian daripada pelajar-pelajar SABK telah diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah ternama di bawah kementerian seperti Sekolah Berprestasi Tinggi, Sekolah Berasrama Penuh, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama, Sekolah Menengah Teknik dan Kolej Matrikulasi.

Bantuan kewangan yang telah diberikan oleh kerajaan Persekutuan kepada SABK untuk tempoh 2006 hingga sekarang ialah RM216.2 juta.

"Walaupun SABK berdaftar dengan Kementerian Pelajaran, program ini bersifat tempatan, iaitu anak negeri diutamakan untuk belajar di sekolah yang telah berdaftar berbanding murid-murid dari negeri-negeri lain," kata Muhyiddin.

Katanya pihak berkuasa negeri seperti Jabatan Agama Islam Selangor pula masih lagi mempunyai tanggungjawab dan peranan di sekolah terutama sekali dalam memastikan keberkesanan pengajaran mata pelajaran agama yang merupakan identiti sekolah sejak sekian lama.

Pengarah JAIS Datuk Mohamed Khusrin Munawawi dalam ucapannya pada majlis itu berkata permintaan pelajar untuk memasuki sekolah aliran agama di Selangor meningkat saban tahun.

"Ketika ini JAIS hanya mampu menerima 4,000 pelajar baru setiap tahun berbanding dengan seramai 35,000 pelajar yang memohon," katanya.

Oleh itu, JAIS memohon supaya Kementerian Pelajaran membina Sekolah Menengah Agama di tapak yang telah diwartakan di Pandan Indah, Paya Jaras, Seksyen 7 Shah Alam, Bukit Jelutong dan Bandar Baru Bangi.

- BERNAMA

Cili boleh kuruskan badan

by
LOS ANGELES - Sekumpulan saintis Universiti California, Amerika Syarikat (AS) mendakwa, memakan banyak cili dapat menurunkan berat badan kerana sayuran tersebut dapat meningkatkan kadar metabolisme dan membakar lemak, lapor sebuah akhbar semalam.

Penemuan itu berdasarkan hasil kajian terhadap 34 sukarelawan lelaki dan wanita yang dihidangkan lada kurang pedas atau perisa tiruan cili.

Kajian itu mendapati pembakaran tenaga dalam badan kumpulan sukarelawan yang memakan banyak cili adalah hampir dua kali ganda lebih tinggi berbanding mereka yang diberikan makan perisa cili tiruan.

- Agensi

Mengantuk satu penyakit

by
"Saya pernah hampir terlibat dalam kemalangan ketika memandu pulang ke kampung kerana mengantuk.

"Saya juga kerap bermimpi seperti lemas dan tiba-tiba terbangun," ujar Zulfikar Ali Bhatto Mohd. Sidik menceritakan masalah mengantuk yang dihadapinya.

Pada awalnya dia menyangka fenomena itu disebabkan dia kurang vitamin dan tidal bersenam. Namun, pemeriksaan doktor mendapati Zulfikar Ali menghidap sleep apnea (nafas terhenti ketika tidur) hingga kualiti tidurnya berada pada paras 30 peratus sahaja.

Dia sering terjaga secara tiba-tiba disebabkan otaknya telah memberikan signal supaya bangun. Jika tidak, keadaan itu boleh menyebabkan maut kerana nafas berhenti untuk tempoh yang lama.

Bagi mengatasi masalah itu, doktor menasihatkan Zulfikar supaya menjalani pembedahan.

Namun, memandangkan Zulfikar mempunyai masalah tonsil, doktor menyarankannya menggunakan mesin tekanan laluan udara positif berterusan (CPAP) berharga antara RM5,000 hingga RM8,000 bagi membolehkannya mendapat tidur yang berkualiti.

Zul'Aida Zulkifli, 27, pula memberitahu dia baru sahaja mengalami gangguan tidur sejak bulan lalu kerana tekanan bekerja.

"Walaupun mengantuk, saya tidak boleh tidur. Pukul 5.30 pagi baru saya dapat melelapkan mata tetapi kemudian terpaksa bangun pada 7 pagi dan bersiap-siap ke tempat kerja.

"Keadaan itu menyebabkan saya sentiasa sakit kepala selama satu jam sebaik bangun daripada tidur. Pernah juga terdetik untuk mengambil pil tidur bagi mengatasi masalah ini tapi khuatir ia akan mendatangkan kesan sampingan pada badan saya kelak" katanya.

Sepanjang berjaga, Zul'Aida menghabiskan masa dengan membaca buku, melayari Internet dan menonton televisyen.

Tidur merupakan satu-satunya waktu privasi untuk merehatkan badan dan minda. Ia juga satu keperluan asas biologi manusia.

Seseorang yang tidak mempunyai waktu tidur yang men cukupi cenderung untuk mengantuk.

Mengantuk bukan sahaja terjadi berikutan waktu tidur tidak mencukupi malah disebabkan gangguan tidur yang dialami oleh seseorang individu.

"Waktu tidur paling optimum ialah enam jam hingga lapan jam sehari bagi mengelakkan rasa mengantuk.

"Jika seseorang itu masih rasa mengantuk, mungkin ada sesuatu yang tidak kena," kata Pakar Perunding Kanan Neurologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Prof. Datuk Dr. Raymond Azman Ali.

Lebih segar

Secara biologinya manusia mempunyai lima peringkat tidur. Peringkat satu hingga peringkat empat dipanggil tidur tanpa gerak mata cepat (NREM) dan peringkat lima dipanggil tidur gerak mata cepat (REM). Ketika REM, mata bergerak-gerak seolah-olah mengikut imej-imej dalam mimpi kita.

Manusia memerlukan tiga hingga empat tahap untuk tidur nyenyak supaya lebih segar apabila bangun daripada tidur.

Tambahnya, ketika peringkat REM, otot-otot badan menjadi kendur. Keadaan ini menyebabkan seseorang itu berdengkur kerana lidah jatuh ke belakang dan anak tekak bergetar.

Selain otot kendur, seseorang itu akan mengalami mimpi dan gelisah kerana ketika peringkat REM, banyak perubahan fisiologi dalam tubuh berlaku.

"Pada peringkat satu, seseorang itu akan berasa mamai dan hampir tidur. Contohnya ketika khutbah solat Jumaat dan solat Tarawih, seseorang itu akan tersengguk-sengguk manakala peringkat dua pula dikategorikan sebagai tidur yang ringan.

"Tidur mula nyenyak apabila mencapai peringkat tidur tiga dan empat. Pada masa ini, elektroencefalogram (EEG) yang digunakan untuk mengesan tahap tidur mendapati gelombang otak perlahan," ujarnya.

Beliau memberitahu, waktu tidur yang sepatutnya tidak semestinya pada waktu malam kerana ia mungkin terjadi pada siang hari, bergantung kepada tubuh badan seseorang.

Katanya, kerja mengikut syif tidak bagus kerana seseorang itu perlu bekerja seminggu pada waktu malam dan minggu berikutnya pada waktu siang.

Keadaan itu menyebabkan otak menjadi tertekan. Badan menjadi penat, lesu, murung dan sebagainya sehingga mengganggu fisiologi badan.

Keperluan tidur untuk orang dewasa adalah di antara enam hingga lapan jam. Jika jumlah tersebut kurang, seseorang itu akan mengantuk dan jika jumlah tidur melebihi 12 jam ia boleh mencetuskan sakit kepala dan otak jadi malas (tidak cerdas).

PH darah lebih berasid pada waktu malam berikutan penambahan karbon dioksida dalam badan.

Kemalangan

Adakah kemalangan yang berlaku pada dinihari di lebuh raya berpunca daripada mengantuk?

"Pemandu mengantuk adalah salah satu faktornya selain keadaan lebuh raya yang lurus agak membosankan sehingga pemandu memandu sambil lewa.

"Sebaiknya jika seseorang mahu memandu jauh pada waktu dinihari, sebaiknya latih diri seminggu lebih awal supaya tubuh dapat menyesuaikan keadaan," jelasnya kopi dan mengunyah gula-gula tidak membantu seseorang mengatasi rasa mengantuk.

Penawar terbaik untuk hilang mengantuk ialah tidur selain mendapat rehat yang mencukupi. Akibat tidak cukup tidur seseorang akan cepat letih, cepat marah, mengantuk dan kurang konsisten manakala pengeluaran hormon stres dan steroid semula jadi meningkat.

Seseorang yang mengantuk pada siang hari disebabkan tidak mendapat cukup tidur pada waktu malam atas beberapa faktor iaitu atas pilihan sendiri, kemurungan, serangan epilepsi, mengalami gangguan tidur NREM dan REM, sleep apnea dan fatal famillia insomnia.

Raymond memberitahu serangan epilepsi pada waktu malam yang dipanggil sebagai nokturnal epilepsi kerap tidak dapat dikesan dan ia hanya meninggalkan tanda-tanda seperti lenguh otot, sakit kepala, darah pada bantal akibat tergigit lidah, terkencing dan keliru.

"Bagi gangguan tidur NREM yang biasanya dialami oleh orang muda, mereka cenderung berjalan dan bercakap ketika tidur yang mengganggu lena menyebabkan seseorang itu mengantuk pada siang hari.

"Orang tua yang kerap mengalami gangguan peringkat REM, kaki mereka tidak akan berhenti bergerak seolah menendang-nendang," katanya.

Sleep apnea pula berlaku apabila seseorang itu berhenti bernafas ketika tidur. Apabila bangun, mereka tersedak dan tercekik untuk bernafas.

Keadaan tersebut kerap berlaku pada lelaki dewasa berusia 40 tahun ke atas, gemuk, berleher pendek, dagu kecil, lidah besar dan tebal manakala anak tekak bengkak dan panjang.

Fatal famillia insomnia pula adalah sejenis penyakit keturunan yang berlaku akibat bahagian hipotalamus di dalam otak rosak kerana dimasuki sejenis protein (prion), menyebabkan seseorang itu tidak tidur waktu malam dan siang.

"Mereka yang mengalami masalah ini hanya rasa mengantuk sekejap-sekejap. Penyakit ini berlanjutan selama beberapa tahun sebelum membawa maut kepada semua penghidap.

Antara ubat-ubatan yang boleh menyebabkan rasa mengantuk pada siang hari ialah ubat selesema, ubat epilepsi dan sesetengah antibiotik.

"Selain itu ada juga yang mengalami penyakit senang tidur waktu siang. Penyakit ini disebabkan beberapa faktor iaitu kegagalan organ dan narkolepsi," katanya.

Kegagalan organ

Jelasnya, contoh kegagalan organ yang sering dialami seseorang pesakit ialah ginjal, hepar, jantung dan paru-paru. Waktu tidur mereka yang mengalaminya terbalik daripada sepatutnya.

Narkolepsi pula disebabkan genetik yang dominan dan amat jarang berlaku. Penghidap narkolepsi akan tertidur secara tiba-tiba di antara satu minit hingga lima minit.

"Peringkat tidur mereka tidak bermula dengan peringkat satu tetapi terus memasuki peringkat lima atau mencapai REM dengan cepat iaitu kurang daripada 10 minit jika dibandingkan tempoh normalnya beberapa jam.

"Sejenis ubat perangsang bentuk kimianya mirip enfatamin akan diberikan pada siang hari.

"Ubat ini amat dikawal pengeluarannya oleh doktor kerana khuatir berlaku penyalahgunaan. Penghidapnya juga dilarang memandu," jelasnya.

Selain itu, Raymond memberitahu penyakit bagi kebanyakan orang yang tidak boleh tidur ialah insomnia yang berpunca daripada tidak menjaga kesihatan tidurnya.

- KOSMO!

Kaji semula syarat layak pemilihan guru lelaki

by
Saya ingin mengulas keluhan saudara Amin dari Setiu, Terengganu yang disiarkan ruangan ini, mengenai kegagalan anak lelakinya ditemuduga bagi kemasukan ke Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).

Peratus secara rawak menunjukkan bahawa nisbah antara guru lelaki dan perempuan ternyata tidak seimbang dengan kaum hawa mendominasi lebih 50 peratus daripada jumlah guru di Malaysia. Perkara ini bukanlah sesuatu yang baru kerana sejak Penyata Razak 1956 dan Penyata Rahman Talib 1960, isu gender sudah dipertikaikan tetapi barangkali tidak ada langkah efisen yang mahu diambil pihak berwajib.

Saya tidak bermaksud mahu menyebelahi mana-mana pihak, tetapi saya percaya dengan kebejatan sosial dan masalah disiplin pelajar sekolah yang kian mencabar institusi pendidikan negara pada hari ini, pertimbangan dari aspek gender perlu diberikan sedikit perhatian.

Barangkali sudah tiba masanya pihak berwajib mempertimbangkan kuota bagi kemasukan guru lelaki ke IPGM atau mengikuti kursus pendidikan di IPTA. Perkara ini demi menyeimbangkan nisbah guru lelaki dan wanita pada masa akan datang.

Kudrat lelaki sememangnya diperlukan bagi mengawal tingkah laku pelajar yang semakin membimbangkan pada hari ini, lalu tidak ada jalan lain yang lebih baik selain menambah bilangan guru lelaki.

Untuk permulaan saya menggesa agar syarat kemasukan bagi guru lelaki dikaji semula secara telus dan adil.

Perkara ini penting, demi mewujudkan satu sistem pendidikan negara yang dinamik, holistik dan berkesan selaras dengan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010 yang dicanangkan Kementerian Pelajaran.

ZULFAZLAN JUMRAH,
Universiti Putra Malaysia

- FORUM BERITA HARIAN

Kecewa anak gagal temu duga IPGM

by
Saya mewakili anak saya dan ibu bapa yang lain kecewa kerana anak lelaki kami gagal mendapat temu duga ke Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) walaupun mendapat keputusan baik dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 lalu.

Kami meminta Kementerian Pelajaran mengkaji semula syarat kemasukan pelajar lelaki ke IPGM bagi membolehkan lebih ramai pelajar lelaki mendapat tempat di institut itu.

Hasrat kerajaan mahu melihat keseimbangan pelajar lelaki dan perempuan di IPGM tidak akan tercapai sekiranya pelajar lelaki yang cemerlang dalam SPM, gagal mendapat temu duga.

Syarat sebenar untuk mendapat temu duga ke IPGM tidak diketahui kerana ada antara pelajar yang mendapat keputusan 5A berjaya mendapat tempat dan ada yang tidak. Jika kursus yang dipohon punca kegagalan itu, bahagian pengambilan IPGM boleh menentukan kursus apa yang mereka layak.

Apakah ada ‘kesilapan’ dalam pemilihan temu duga ke IPGM itu sehingga mereka yang agak cemerlang dalam keputusan SPM dan berminat untuk menjadi guru tercicir dalam senarai temu duga.

Tetapi jika keputusan 5A itu belum layak mendapat tempat di IPGM, pihak kementerian perlu mengkaji syarat kemasukan lelaki ke IPGM supaya lebih ramai lelaki akan berkhidmat sebagai guru.

Berita yang menyatakan hanya 20 peratus saja pelajar lelaki berbanding pelajar perempuan yang memohon memasuki IPGM menguatkan lagi persoalan mengapa pelajar lelaki yang mendapat keputusan 5A gagal mendapat tempat temu duga ke insitut itu.

Saya merayu Kementerian Pelajaran memanggil semula pelajar yang dianggap layak untuk ditemuduga kerana mereka begitu berminat untuk menjadi guru walaupun layak untuk mendapat kursus yang lebih baik di universiti tempatan.

AMIN,
Setiu, Terengganu

- FORUM BERITA HARIAN

KUIS perkenal Mahasiswa pencipta kerjaya

by
Dalam menghadapi masa depan yang semakin mencabar di samping isu pengangguran di kalangan graduan, Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) meletakkan matlamat menjadikan mahasiswanya sebagai pencipta kerjaya.

Pelajar yang mengikuti pengajian di KUIS akan dipatenkan untuk menjadi seorang pelajar yang berkualiti, diperlukan oleh ma-syarakat dan pasaran pekerjaan dengan memiliki sifat amanah, berkemahiran dan berketerampilan supaya menjadi warganegara bertanggungjawab, profesional dan dinamik serta mampu mendepani masa depan.

Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Alumni) KUIS, Mohd Khairi Hussin, berkata KUIS menyasarkan pelajar yang mempunyai kekuatan akademik di samping memberi latihan kemahiran insaniah dan pendedahan dalam bidang keusahawanan.

“KUIS menawarkan 48 program membabitkan peringkat Asasi, Diploma, Sarjana Muda dan Sarjana dengan menyasarkan jumlah pengambilan pelajar seramai 3,500 orang sehingga September depan,” katanya.

Bagi pelajar lepasan SPM yang mempunyai sekurang-kurangnya lima kepujian boleh memohon mengikuti program Asasi.

Pelajar layak ikuti program pengajian Asasi mendapat keistimewaan dengan ditaja sepenuhnya untuk tempoh tiga semester pengajian di bawah Dana Biasiswa Rektor.
Lima program ditawarkan di bawah program Asasi iaitu Pengajian Asasi Pengurusan, Pengajian Tahun Asas Bahasa Arab, Pengajian Asas Komunikasi, Kursus Asas Pengajian Islam dan Pengajian Asas Teknologi Maklumat.

“Bagi pelajar yang layak mengikuti program Asasi, KUIS menaja pelajar dari segi yuran pengajian, penginapan dan wang saku sebanyak RM500 untuk setiap semester.

“Pelajar program Asasi adalah feeder untuk mengikuti pengajian di peringkat Sarjana Muda dan sehingga kini KUIS sudah mengambil dua pengambilan pelajar untuk program ini.

“Pelajar yang mengikuti program ini menunjukkan pencapaian yang baik untuk melayakkan mereka mengikuti program pengajian Sarjana Muda bagi tempoh tiga hingga empat tahun,” katanya.

Sementara program Sarjana Syariah (Pengurusan) adalah pengajian terbaru diperkenalkan oleh KUIS yang ditawarkan di bawah Pusat Pengajian Siswazah.

Program Sarjana Syariah (Pengurusan) adalah untuk mereka yang terbabit secara langsung dalam bidang agama tetapi ia digabungkan dengan peringkat profesional.

Di bawah Pusat Pengajian Siswazah juga menawarkan Program Sarjana Pengurusan Perniagaan (Muamalat) yang sudah membuat dua pengambilan sebelum ini.

Program pengajian ini adalah bersifat bersepadu di antara program profesional dan Ulum Naqli terutama dalam bidang pengurusan dan profesional yang lain dengan digabungkan dengan nilai keislaman khusus dalam bidang Muamalah (pengurusan, perbankan, perniagaan dan berkaitan dengannya).

Program ini disertai mereka yang bekerja dengan mengikuti pengajian untuk meningkatkan tahap profesional mereka.

Sebagai sebuah Institusi Pengajian Islam yang berkualiti dan diyakini, KUIS bukan saja menumpukan pengambilan pelajar dari dalam negara, tetapi juga pelajar dari negara seperti Thailand, China, Indonesia, Arab dan negara dari Eropah Timur seperti Kazakhstan, Uzbekistan dan sekitarnya.

Pelajar dari Selangor yang cemerlang berpeluang mendapat derma siswa daripada Majlis Agama Islam Selangor, manakala pelajar lain boleh memohon mendapatkan pembiayaan dari Mara dan Tabung Pengajian Tinggi Pelajaran Negara (PTPTN).

Bagi pelajar yang berminat mengikuti pengajian di KUIS, permohonan masih dibuka dan boleh dibuat dengan cara mengisi borang atau secara atas talian dengan mengemukakan salinan kelayakan akademik.

Maklumat lanjut, layari laman web www.kuis.edu.my

‘Hari tenang’ pilihan raya Singapura diperkenal

by
SINGAPURA: Hari bertenang yang melarang parti politik dan calon daripada berkempen sehari sebelum hari mengundi akan dilaksanakan dalam pilihan raya akan datang.

Parlimen meluluskan undang-undang yang dipinda di bawah Akta Pilihan Raya Parlimen dan Pilihan Raya Presiden itu semalam.

Turut dipinda di bawah akta berkenaan ialah kelonggaran undang-undang pengiklanan pilihan raya di Internet, selain undang-undang melaksanakan langkah kecemasan bagi menangani keadaan tidak diingini sewaktu pilihan raya.

Pemerintah juga memperhalusi undang-undang perbelanjaan pilihan raya dan mengemaskini kesalahan dan penalti.

Menteri Undang-Undang, K Shanmugam, menegaskan kerajaan mahu membentuk sistem parlimen berdemokrasi kesan jangka panjang.

– Agensi

Maxis siar Piala Dunia 2010

by
MAXIS Bhd akan menawarkan siaran secara langsung semua 64 perlawanan bola sepak Piala Dunia Fifa 2010 secara percuma kepada lebih 12 juta pelanggannya selepas memperoleh hak eksklusif sebagai penyiar mudah alih rasmi kejohanan itu.

Ketua Operasinya, Jean-Pascal Van Overbeke, berkata bermula 11 Jun hingga 11 Julai ini, semua pelanggan Maxis mempunyai pilihan menonton kejohanan itu itu menerusi aliran video secara dalam talian menggunakan komputer atau telefon bimbit.

Katanya, semua 64 perlawanan kejohanan itu akan disiarkan secara langsung menerusi telefon bimbit, termasuk berita terkini mengenainya menerusi SMS, MMS atau video pendek perlawanan, manakala bagi tontonan secara dalam talian, pelanggan hanya dapat menyaksikan 26 perlawanan saja secara siaran langsung, manakala bakinya siaran ulangan.

“Semua siaran itu ditawarkan secara percuma kepada pelanggan Maxis. Apa yang perlu mereka lakukan hanya mengakses ke platform Maxis dalam telefon bimbit mereka manakala bagi aliran video dalam talian, mereka perlu mendaftar masuk ke laman web kami.

“Siaran secara aliran video ini ditawarkan pada kualiti 400 kilobit sesaat (kb/s) namun tidak semua 12 juta pengguna boleh menonton serentak berikutan terdapatnya had data, jadi pengguna yang lebih awal akan diutamakan,” katanya pada sidang media mengumumkan kejayaan Maxis memperoleh hak penyiaran mudah alih dan kandungan kejohanan itu di Kuala Lumpur, semalam.

Sepanjang tempoh kejohanan, Maxis turut menawarkan aplikasi istimewa kepada pengguna telefon pintar iPhone, BlackBerry dan telefon pintar Android lain yang meliputi aplikasi berita terkini, keputusan perlawanan, profil negara, maklumat tempat acara dan data sejarah.

- BERITA HARIAN

Silaturahim terputus akibat dibelenggu sifat mazmumah

by
Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh
Pensyarah Kanan
Fakulti Syariah dan Undang-Undang
Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Ruang yang masih lapang, masa masih bersisa, peluang sudah terbentang dan doa sekalian umat manusia supaya sesama Muslim kembali hidup bersaudara bukan sekadar demi perpaduan dan kesejahteraan, sebaliknya untuk meneguhkan agama yang satu. Benar, Islam adalah agama yang mementingkan keamanan, redup hati dan sempurna sahsiah, tetapi ia bukan tuntutan ke atas seseorang individu saja, tetapi buat semua.

Hari ini pertelingkahan dan perbalahan menjadi adat dan norma kehidupan lantaran manusia mula mengetepikan rasa kasih dan sayang sesama insan. Mengejar impian fana, menggadai untung nyata, mempertaruhkan janji luar biasa lalu semangat persaudaraan digadai sebegitu saja adalah sikap yang tidak terjaga sedangkan Islam tidak hanya menganjurkan hubungan baik dengan Allah SWT semata-mata, tetapi juga sesama manusia dan makhluk Allah yang lain.

Allah SWT berfirman dalam Surah Ali Imran, ayat 112 yang bermaksud: “Mereka diliputi kehinaan di mana saja mereka berada, kecuali jika mereka berpegang kepada tali (agama) Allah dan tali (perjanjian) dengan manusia dan mereka kembali mendapat kemurkaan dari Allah dan mereka diliputi kerendahan. Yang demikian itu kerana mereka kufur dengan ayat-ayat Allah dan sesudah para nabi tanpa alasan yang benar, yang demikian itu disebabkan mereka derhaka dan melampaui batas”.

Islam menjamin asas persaudaraan dengan menyediakan hikmah pembinaan silaturahim bukan saja melalui hubungan kekeluargaan yang bermula dengan ikatan perkahwinan dan keturunan malah juga kasih sayang antara sesama saudara seagama kerana ia memudahkan urusan dunia menuju ke akhirnya.

Asas persaudaraan dalam Islam adalah ikatan akidah yang teguh kepada keesaan-Nya. Firman Allah SWT dalam Surah al-Hujurat, ayat 10 maksudnya:
“Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, oleh itu damaikanlah antara kedua-dua saudaramu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat”.

Justeru, ada hak yang perlu dipelihara oleh seseorang Muslim terhadap saudara seagama menunjukkan betapa Islam adalah agama yang lengkap dan sempurna. Bahkan hak yang sama dikanunkan oleh manusia untuk dijadikan peraturan dan perundangan agar tiada sesiapa yang teraniaya.
Malah Barat juga turut mendakwa bahawa hak asasi manusia adalah sesuatu yang terbina daripada norma kehidupan sejak azali yang bermula melalui hubungan sosial secara tidak terancang. Kita dapat membayangkan betapa kalutnya dunia jika hak sebagai manusia tidak terbela, apatah lagi dunia hari ini tidak bersempadan, menjadikan fitnah dan buruk sangka mudah tersebar oleh sesiapa yang mengejar untung dunia.

Sebaliknya, Islam menitipkan hikmah persaudaraan agar tiada siapa dizalimi kerana kita semua adalah makhluk dan hamba yang tiada keistimewaan di sisi Dia melainkan yang bertakwa saja. Ancaman demi ancaman ke atas umat Islam yang semakin melampaui batas kesabaran sebenarnya patut ditepis dengan menonjolkan kekuatan persaudaraan sesama kita supaya kuantiti dan kualiti yang ada menjadi nilai tambah terhadap keperkasaan agama Islam itu sendiri, bukannya dilemahkan dengan perbezaan yang tidak membawa kebaikan dan lencongan yang sengaja dicari kerana ego sendiri.

Sifat mazmumah yang membelenggu diri seperti hasad dengki, buruk sangka, balas dendam, takbur dan riak, bongkak dan tidak reda dengan qada dan qadar Allah adalah punca putusnya silaturahim sesama Muslim sehingga menghalang musyawarah ke arah penyelesaian sedangkan itulah yang dianjurkan oleh al-Quran dan as Sunnah.

Bahkan umat Islam jauh terkebelakang berbanding bangsa lain yang mengejar peluang, bukan menjatuhkan sesama sendiri sehingga akhirnya tiada siapa yang menang malah diperolok dan dihina secara terang-terangan. Baginda Rasulullah SAW pernah bersabda yang maksudnya: ‘Jauhilah kamu akan sifat dengki kerana sifat dengki akan memakan kebaikan kamu sepertimana api memakan kayu, atau memakan rumput’. – (Hadis riwayat Abu Daud)

- BERITA HARIAN

Hukuman melampau bukan cara mendidik

by
Oleh Datuk Rejal Arbee
Felo Kanan di Universiti Kebangsaan Malaysia

Apakah sebenarnya yang sedang melanda sekolah kita? Beberapa perlakuan guru sekolah terhadap murid mereka dalam tempoh beberapa hari ini menimbulkan persoalan mengenai tahap kualiti guru. Apa tidaknya jika seorang murid berusia 14 tahun yang dirogol bukan saja tidak mendapat simpati daripada pengurusan sekolahnya, malah dihukum pula dengan menurunkan kelasnya.

Tidak cukup dengan itu, statusnya sebagai seorang pengawas pun ditarik balik. Akibatnya, bukan saja gadis malang ini menghadapi trauma dirogol, malah sekolahnya sendiri menghukumnya dan memencilkannya hingga membuatnya berat untuk kembali ke sekolah. Apa jenis pengurusan sekolah yang kita ada sekarang ini?

Apakah yang boleh kita harapkan untuk anak kita sekiranya wujud pengurusan jelek seperti ini yang bukan saja tidak berperikemanusiaan, malah memberi gambaran bahawa tidak berhati perutnya mereka itu.

Dalam pada itu, ada pula berita mengenai sikap ganas dan tidak berhati perut seorang guru disiplin terhadap muridnya yang didapati bersalah kerana lambat masuk sekolah atau mengenakan pakaian yang dianggap tidak mematuhi peraturan. Satu kes ialah mengenai seorang pelajar Tingkatan Lima yang menghadapi pelbagai masalah di rumah berikutan kematian bapanya yang memberikan tekanan untuk hidup bagi keluarga malang ini.

Gadis itu mempunyai hanya dua ‘camisole’, satu berwarna putih dan satu lagi berwarna merah muda. Pada satu hari dia terpaksa memakai pakaian dalamnya itu yang berwarna kerana yang putihnya belum kering selepas dibasuh. (Murid ini mempunyai hanya dua helai pakaian itu saja). Disebabkan kesalahan ini, dia ditampar dan dipaksa menanggalkan camisolenya yang digantung dalam bilik guru itu untuk tatapan ramai.

Seorang lagi rakannya yang memakai coli berbintik dipaksa oleh guru disiplin itu menanggalkan colinya dan terpaksa berada dalam kelas tanpa coli. Tidak diberitakan pula apakah sekolah itu sekolah perempuan atau sekolah bercampur. Jika peristiwa itu berlaku di sekolah perempuan hukumannya itu tidaklah seteruk ia berlaku di sekolah campuran.
Tidakkah guru ini prihatin terhadap maruah seseorang hatta muridnya? Bagi saya orang macam ini tidak layak menjadi guru disiplin. Malah tidak layak jadi guru pun. Dia ini tidak tahu untuk bertindak sebagai seorang pendidik.

Menghukum seseorang murid tidak kiralah bagaimana teruk sekali pun kesalahannya bukanlah dengan cara memalukannya. Ini bukanlah satu usaha mendidik namanya. Lebih baik guru disiplin ini cari kerja lain saja.

Dalam pada itu, berita mengenai wujudnya golongan samseng di sekolah juga tidak putus-putus mendapat ruang dalam akhbar. Terakhir mengenai bagaimana seorang murid Tingkatan Dua yang juga seorang anak yatim dikelilingi rakan sekelasnya (perempuan) ketika kawan rakannya itu merogolnya dalam bilik darjah.

Diberitakan juga, itu bukanlah kali pertama dia dirogol. Murid malang itu kemudian dimasukkan sebatang pensel pula dalam kemaluannya. Apa sebenarnya yang sedang melanda sekolah kita ini? Kononnya mahu memantapkan sekolah kebangsaan sebagai sekolah pilihan. Apakah begini caranya untuk mendapatkan keyakinan ibu bapa terhadap sekolah kebangsaan?

Yang utamanya ialah memastikan semua guru sekolah itu terdiri daripada mereka yang benar-benar berdedikasi dan boleh diharapkan menjadi pendidik berwibawa dan tahu bagaimana hendak menangani pelbagai kerenah murid.

Tetapi apabila ada segelintir saja guru yang sebenarnya tidak layak menjadi guru yang boleh memberikan didikan terbaik bagi murid mereka, maka nama baik sesebuah sekolah itu hatta nama baik keseluruhan sekolah kebangsaan sendiri boleh tercemar. Guru tidak prihatin ini boleh diumpamakan sebagai nila yang setitik itu.

Inilah masalahnya apabila sekolah mempunyai guru seperti itu. Mereka ini bukan saja tidak tahu bagaimana hendak mendidik, tidak tahu bagaimana hendak berikan motivasi dan dalam pada itu, tidak prihatin pula terhadap masalah yang terpaksa dihadapi murid khususnya yang mengharungi kesempitan hidup kerana menghadapi pelbagai kekurangan.

Umum mengetahui kerjaya ini bukanlah menjadi satu profesion pilihan di kalangan ramai yang menjadi guru. Ada antara mereka ini menjadi guru bukan kerana mahu menjadi pendidik, tetapi kerana tidak berjaya mendapatkan pekerjaan lain.

Begitu pun, apabila sudah diterima masuk jadi guru, dia hendaklah sedaya upaya berusaha menjadi seorang guru dan pendidik berwibawa dan penuh dedikasi. Saya akui memang ramai berusaha ke arah demikian untuk menjadi guru yang amat dedikasi dan berusaha memberikan pendidikan terbaik kepada murid mereka.

Malangnya ada pula sejumlah guru yang tidak langsung tahu bagaimana hendak menjadi pendidik jauh sekali pendidik berkaliber. Seperti guru disiplin ini yang sedikit pun tidak tahu bagaimana hendak menjaga maruah muridnya. Malah dia ini sengaja pula mahu memalukan mereka itu.

Ini juga menimbulkan persoalan bagaimana seseorang guru itu dipilih menjadi guru disiplin. Khabarnya buat masa ini pemilihan bergantung kepada guru besar atau pengetua sesebuah sekolah. Tidak tahulah pula apakah sudah ada kriteria yang harus diikuti sekolah apabila hendak melantik seseorang guru menjadi guru disiplin.

Katanya, pemilihan dibuat mengikut urutan mukanya apakah dia seorang yang berperwatakan cenge dan kelihatan garang. Jika inilah kriterianya, maka tidak hairanlah kenapa guru ini hanya tahu menghukum saja. Bukan untuk mencari sebab musabab murid membuat kesalahan dan berusaha menangani masalah dihadapi murid dan memberikan kaunseling.

Mungkin bagi guru ini dia tidak bertanggungjawab mencari punca kenapa seseorang murid bertindak demikian. Diakui majoriti guru memang berdedikasi.
Tetapi apabila wujud watak yang jelas tidak langsung prihatin terhadap kesulitan murid atau tidak mahu tahu latar belakang dan pelbagai hal yang murid terbabit terpaksa tempuhi, apakah ini tidak menampakkan bahawa ada guru yang tidak patut terus membabitkan diri dalam profesion ini?

Dalam pada itu, timbul pula persoalan mengenai Jabatan Pelajaran. Ini adalah kali ketiga dalam bulan ini saya menulis mengenai pelajaran dalam kolum ini. Malangnya tiada sedikit pun reaksi jabatan itu terhadap pelbagai persoalan yang ditimbulkan. Kita lihat pula apakah akan ada reaksi terhadap apa yang dibangkitkan kali ini.

Jika tidak ada juga apa pun reaksi mereka, jelaslah mereka ini tidak ambil kisah atau kata orang tidak ambil ‘pot’ terhadap apa yang dibangkitkan. Tulislah apa yang kamu mahu kami tidak peduli. Apa sangat ia hanyalah satu pandangan oleh seorang yang sudah bersara yang tidak mempunyai apa-apa pun pengaruh.

Kami akan tetap terus saja dengan apa yang kami lakukan selama ini. Apakah ini yang sedang berlaku di Jabatan Pelajaran dan sekolah kita?

- BERITA HARIAN

Hadkan tempoh khidmat penjawat awam - CUEPACS

by
Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengehadkan tempoh khidmat penjawat awam yang berurusan dengan orang ramai di satu-satu tempat tidak lebih dari lima tahun.

Presidennya, Omar Osman berkata, langkah itu perlu memandangkan tempoh khidmat yang terlalu lama akan mendedahkan penjawat awam itu kepada amalan rasuah sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Menurutnya, ia juga sejajar dengan matlamat CUEPACS sempena sambutan Hari Pekerja 1 Mei ini untuk mencapai sasaran sifar rasuah sebelum hujung tahun.

''Kadang-kadang ada penjawat awam di satu-satu tempat itu berkhidmat sehingga 10 tahun dan bila sudah sampai tempoh itu, dia mesti sudah dikenali oleh mereka yang berkepentingan.

''Jadi bagi kita, JPA kena ada had iaitu antara tiga hingga lima tahun sahaja bagi penjawat awam yang berurusan dengan orang ramai termasuklah bahagian penguatkuasaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perbincangan dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Abu Kassim Mohamed di sini hari ini.

Pada 2007, seramai 303 penjawat awam ditangkap atas kesalahan rasuah dan pada 2008 pula membabitkan 282 orang manakala tahun lepas, ia menurun kepada 194 orang.

Sehubungan itu, Omar memberitahu, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah JPA, Tan Sri Ismail Adam berhubung cadangan tersebut secepat mungkin.

Ini kerana, tambah beliau, pihaknya mahu JPA mengeluarkan surat pekeliling berhubung cadangan itu kepada semua jabatan dan agensi kerajaan.

''Kita tidak mahu lagi penjawat awam dituduh seolah-olah meminta rasuah tetapi kita mahu jadi pelapor utama kepada SPRM jika wujud amalan rasuah di tempat kerja masing-masing.

''Walaupun amalan rasuah di negara ini tidaklah begitu tinggi berbanding negara lain tetapi ia perlu diambil tindakan segera oleh kerajaan," katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan turun padang bertemu ahli kongres CUEPACS di setiap negeri bagi memastikan kempen memerangi rasuah di kalangan penjawat awam itu berkesan.

''Kita mahu jadikan kempen itu sebagai satu gerakan massa yang akan mendapat sambutan setiap ahli kesatuan tanpa mengira bangsa dan agama," katanya.

- UTUSAN

Berkomunikasi dengan anak remaja

by
Alam remaja merupakan suatu proses perkembangan yang dilalui oleh setiap manusia. Proses ini membawa kepada perubahan yang perkembangan fizikal, mental dan juga sosial diri seseorang.

Oleh sebab itu ibu bapa seharusnya memberikan perhatian dan bimbingan yang lebih optimum kepada anak remaja.

Remaja dan permasalahan sememangnya sukar dipisahkan. Hal ini menjadi bertambah rumit bagi sesetengah ibu bapa kerana sukar untuk memahami dan berkomunikasi dengan anak remaja mereka.

Menurut pensyarah Kanan, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Saedah A. Ghani, kebanyakan ibu bapa merasakan mereka sudah menjalankan tanggungjawab dan memberikan perhatian yang sewajarnya tetapi bagi remaja itu masih belum cukup.

''Komunikasi membawa maksud suatu proses penyampaian fikiran dan perasaan melalui bahasa, mendengar, bicara gerak tubuh dan ungkapan emosi.

''Melalui komunikasi antara ibu bapa dengan anak remaja dapat melahirkan hubungan seimbang dan harmoni serta membentuk suasana keterbukaan dan saling mendengar antara satu sama lain," ujarnya.

Jelasnya, berkomunikasi dengan sesiapa pun termasuk dengan anak sendiri memerlukan teknik dan cara yang betul.

''Hal ini penting agar nasihat dan pesanan yang akan kita sampaikan dapat diterima dengan baik oleh anak,'' tegasnya.

Oleh hal yang demikian, ada beberapa kaedah yang perlu diperhatikan oleh ibu bapa apabila berkomunikasi dengan anak remaja.

''Sebagai ibu bapa mereka perlu membina suatu hubungan yang rapat dengan anak remaja supaya apabila berkomunikasi nanti mereka dapat menerima dan memahami maksud yang ingin disampaikan," katanya.

Namun tegas Dr. Saedah, kebanyakan ibu bapa sering merasakan diri mereka lebih tahu segalanya sehingga menyebabkan hak sebagai anak dipertikaikan.

''Seharusnya, sebagai ibu bapa mereka bertindak menjadi pendengar yang setia supaya anak remaja dapat meluahkan masalah dengan selesa,'' katanya.

Malah katanya lagi, tidak salah jika ibu bapa menerima dan memahami perasaan remaja bila mereka menghadapi sesuatu situasi sama ada sedih, gembira, marah, sakit hati dan sebagainya.

Menurutnya, kemahiran berkomunikasi amat penting ketika berhadapan dengan anak remaja kerana pada peringkat umur ini mereka selalunya lebih agresif dan mempunyai pendapat sendiri.

''Sewajarnya ibu bapa perlu mengenal diri sendiri dan mampu memperbaiki kelemahan dan kekurangan yang ada pada mereka ketika berkomunikasi dengan anak remaja,'' ujar Dr. Saedah yang menjelaskan kaedah diplomasi banyak membantu mendidik anak-anak dalam berkomunikasi.

Komunikasi

Dalam pada itu, ibu bapa juga harus mengenali diri anak remaja. Jika diperhatikan dengan mendalam remaja lazimnya mempunyai konsep diri yang unik dan ini penting bagi ibu bapa untuk memahami dan memiliki pengetahuan tentang sikap, emosi dan perubahan serta gaya hidup remaja.

Masalah dalam berkomunikasi ini sebenarnya disebabkan ibu bapa kurang memahami perasaan anak.

Oleh itu, ibu bapa perlu meningkatkan kemampuannya dan mencuba memahami perasaan anak sebagai lawan dan kawan berbicara.

Perasaan memainkan peranan yang sangat penting dalam berkomunikasi, kerana jika seseorang mengalami perasaan gembira, ini akan memudahkan mereka untuk berkomunikasi atau menyampaikan pendapat atau meluahkan perasaan yang terbuku di hati.

Hal sebaliknya akan berlaku jika mereka berasa marah sedih atau kecewa.

''Pada dasarnya keperluan manusia yang paling penting adalah keinginan agar perasaannya difahami, didengari, dihargai dan dirinya dapat diterima,'' katanya.

- UTUSAN

Kerana tunang, Karen memeluk Islam

by

Lima bulan sebelum detik paling bersejarah dalam hidupnya, iaitu hari bakal dinikahkan, Karen Meek hampir-hampir pengsan kerana terkejut mendengar pengakuan tunang kesayangan, Eric.

Pasti sesiapa juga akan terkejut setengah mati apabila insan yang bakal menjadi teman hidup mengaku telah bertukar agama.

Maka sukar bagi Karen mempercayai Eric kini merupakan seorang Muslim. Dahulu bakal suaminya Kristian selepas itu bertukar menjadi seorang yang tidak mempercayai tuhan atau ateis.

"Saya bagaikan disambar kilat dan petir apabila mendengar pengakuan Eric itu. Terlalu sukar untuk saya terima kerana bagaimana dengan saya sebagai tunangnya?

"Saya juga seperti ramai rakyat Rusia yang lain termasuk juga Eric sebelum ini, lebih senang untuk tidak mempercayai sebarang agama mahupun tuhan.

"Saya fikir otak Eric telah dicuci. Tiba-tiba sahaja kini beliau berhenti minum alkohol. Malah tidak pernah meninggalkan solat lima waktu sehari apatah lagi menjamah daging babi," cerita Karen mengenai perubahan perilaku tunangnya itu.

Sementara Eric, dilahirkan sebagai menganut Kristian Baptis.

Tetapi kemudian menjadi seorang ateis. Rupa-rupanya dia sudah berbulan-bulan lamanya mempelajari Islam tanpa pengetahuan Karen.

Sehingga secara rasmi telak memeluk Islam, baharu Eric memberitahu Karen bahawa Islam adalah kepercayaannya kini.

Meskipun terkejut, pengakuan Eric itu tidak membuatkan pasangan ini memutuskan hubungan. Karen tetap meneruskan rencananya untuk bernikah dengan Eric.

Namun, Karen terpaksa mencari pelbagai sumber rujukan terutamanya buku dan rakaman-rakaman video mengenai Islam, semata-mata untuk memahami agama baru anutan calon suaminya itu.

"Tetapi sama sekali saya tidak berharap akan masuk Islam apabila cuba mencari dan mengenali mengenai Islam itu," kata Karen.

Akibat dibesarkan dan meniti usia dewasa dengan pola pemikiran bahawa pegangan agama itu adalah sesuatu yang bodoh menyebabkan Karen langsung tidak mempercayai Tuhan dan agama.

"Saya tidak pernah memikirkan bagaimana dunia dan alam ini diciptakan, siapa yang menciptanya dan untuk apa diciptakan. Terus terang saya tidak pernah ambil peduli semua itu," katanya.

Namun walaupun dalam keadaan terpaksa untuk mempelajari Islam itu, akhirnya Karen menyedari dan mengakui bahawa penjelasan Islam mengenai wujudnya tuhan itu adalah paling logik atau masuk akal yang pernah beliau temui.

"Kewujudan Allah dan kekuasaan-Nya yang menciptakan mengenai alam semesta ini terlalu sukar untuk saya nafikan kebenarannya lagi.

"Tidak ada alasan untuk saya membantahnya lagi," tegas beliau.

- UTUSAN

Usaha gigih makmurkan ekonomi

by
Oleh ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan
Perakaunan dan Kewangan, Kolej Perniagaan (COB),
Universiti Utara Malaysia

RINGGIT semakin mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) manakala Indeks Komposit Bursa Malaysia pula melepasi paras 1,300 mata. Dua petunjuk ekonomi ini menggambarkan usaha berterusan yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk mengukuhkan ekonomi negara sejak berlakunya kemelesetan ekonomi dunia pada 2007 semakin membuahkan hasil.

Terbaru, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan lawatan kerja ke Jepun selepas menganggap lawatan ke AS baru-baru ini paling berhasil yang pernah dilakukan beliau. Lawatan Najib ke AS telah membuka lembaran baru dalam kerjasama dengan AS terutamanya dari segi ekonomi.

Lawatan beliau ke Jepun memberi nafas baru kepada ekonomi kedua-dua negara selepas Malaysia menjadikan Jepun sebagai antara negara perdagangan utama Malaysia melalui Dasar Pandang Ke Timur.

Nafas baru yang dimaksudkan adalah melalui "penjenamaan" semula dasar ini dengan memperkenalkan usaha-usaha baru yang menepati kepentingan kedua-dua pihak.

Selama 28 tahun Dasar Pandang Ke Timur dilaksanakan, lebih 15,000 rakyat Malaysia memperoleh manfaatnya dan mereka kini menjadi pemimpin pertengahan dan pemimpin tertinggi di sektor swasta dan awam di negara kita. Maka, sesuatu yang cukup bermakna bagi negara agar dasar ini diteruskan tetapi melalui pendekatan yang lebih segar bertepatan dengan Model Ekonomi Baru (MEB) yang diumumkan pada bulan lepas.

Usaha-usaha berterusan sebegini amatlah penting bagi mempertingkatkan ekonomi dan perdagangan negara. Meskipun MEB baru sahaja diumumkan pada bulan lalu dan masih mempunyai ruang untuk diperbaiki, negara-negara perdagangan utama dunia amat berminat untuk mengetahui mengenai MEB.

Contohnya, Kesatuan Eropah (EU) menyatakan sokongan terhadap MEB dan yakin ia mampu meningkatkan kerjasama antara EU dan Kuala Lumpur. MEB dilihat sebagai satu tarikan baru pelaburan antarabangsa ke Malaysia.

Ini kerana MEB tidak lagi menggunakan laluan sama yang dikenali sebagai sindrom boiling frog (mentaliti subsidi) tetapi lebih untuk menjadikan syarikat-syarikat Malaysia lebih berdaya saing di pentas antarabangsa.

Siapa kata syarikat-syarikat Malaysia tidak boleh berdikari dan berjaya di pentas antarabangsa? Bahkan syarikat-syarikat Bumiputera yang bertaraf Industri Kecil dan Sederhana (IKS) juga mampu bersaing di peringkat antarabangsa.

Umpamanya, tiga syarikat teknologi maklumat IKS Bumiputera iaitu Rapid Matrix Sdn. Bhd,. Motiofixo dan AKRIZ Sdn. Bhd. berjaya menjual produk mereka untuk pasaran antarabangsa seterusnya menjalin pakatan strategik dengan syarikat-syarikat dari luar negara.

Usaha-usaha berterusan ini bukan setakat melibatkan lawatan dan promosi tetapi juga melihat bidang-bidang baru yang boleh dikenal pasti untuk diusahakan. Bidang kewangan Islam merupakan salah satu daripada bidang yang cukup bernilai tinggi pada masa kini dan akan datang.

Banyak negara yang bukan Islam seperti Singapura dan Hong Kong juga mengetahui tentang prospek besar kewangan Islam dengan memperkasakan sektor kewangan Islam mereka. Lanjutan itu, Malaysia juga tidak terkecuali apabila bakal menganjurkan Sidang Kemuncak Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) ketujuh pada 4 dan 5 Mei ini.

Ini menunjukkan komitmen tinggi Malaysia untuk menjadi peneraju utama kewangan Islam global terutamanya selepas kemelesetan ekonomi global angkara sistem konvensional yang banyak kelemahan dan mudah dimanipulasikan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.

Atas dasar itu jugalah, kerajaan amat bertegas dengan sebarang kes penyelewengan korporat apabila Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memfailkan 6,247 kes di mahkamah berkaitan dengan penyelewengan korporat mengikut Akta Syarikat 1965 pada tahun lepas.

Bukan itu sahaja, pada 1 April lalu, kerajaan telah menubuhkan Badan Pengawas Audit (AOB) bagi memastikan kualiti juruaudit-juruaudit syarikat senaraian awam berada pada tahap terbaik. Kualiti juruaudit syarikat senaraian awam cukup penting bagi meyakinkan pelabur-pelabur luar terhadap tadbir urus korporat syarikat-syarikat senaraian awam Malaysia.

Oleh itu, usaha-usaha berterusan ini janganlah sesekali diganggu-gugat sebagaimana yang berlaku di negara jiran kita. Bayangkan di satu pihak mengadakan demonstrasi secara berterusan memaksa kerajaan membubarkan Parlimen manakala di satu pihak lain mengadakan protes dan menyokong kerajaan.

Bilakah ia akan berakhir? Yang pasti, demonstrasi sebegini bukannya mampu membawa kebaikan kepada majoriti rakyat. Kesannya pula amat besar sama sekali. Ekonomi negara lumpuh sepenuhnya dan yang menanggung akibatnya adalah majoriti rakyat yang tidak bersalah. Ambillah iktibar apa yang berlaku di negara jiran agar setiap daripada kita bekerjasama, bersatu padu dan berusaha gigih memakmurkan Malaysia.

- UTUSAN

Pemandu teksi curi telefon kena 15 tahun

by
KUALA LUMPUR: Akibat merompak sebuah telefon bimbit yang tidak seberapa harganya dan mencederakan seorang jurujual wanita dua tahun lalu, seorang pemandu teksi sambilan dijatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Hakim Zainal Abidin Kamarudin menjatuhkan hukuman itu terhadap B Balamurali, 30, yang juga kelindan lori, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie, manakala tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Bagaimanapun, beliau membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sebat sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi selesai.

Zainal Abidin dalam penghakimannya berkata, selepas mendengar hujahan daripada peguam, beliau mengakui kes itu memiliki banyak faktor berat dan tindakan Balamurali menyusahkan banyak pihak.

– Bernama

Semakan Panggilan Temu Duga Guru Sandaran Terlatih Siswazah (GSTS) Keluaran IPTA - 2010

by
Semakan Panggilan Temu Duga Guru Sandaran Terlatih Siswazah (GSTS) Keluaran IPTA boleh dibuat di Laman Web KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA (KPM) : http://apps.emoe.gov.my/egst/tduga/

Semakan ini adalah untuk calon-calon yang telah memohon melalui Sistem Permohonan Temu Duga Guru Sandaran Terlatih Keluaran IPTA (e-gst) yang telah dibuka pada 1 Mac 2010 hingga 31 Mac 2010 yang lalu.

Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM)
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
http://www.moe.gov.my

Bahtera Nabi Nuh ditemui

by

HONG KONG - Sekumpulan penjelajah China dan Turki kelmarin mendakwa mereka mungkin telah menemui bahtera Nabi Nuh pada ketinggian 4,000 meter di sebuah lereng curam di Gunung Ararat, timur Turki.

Jurucakap pasukan berkenaan memberitahu, beberapa binaan kayu yang mereka temui di lokasi itu didapati berusia 4,800 tahun berdasarkan ujian penentuan tarikh karbon iaitu sama usianya dengan zaman banjir besar pada era Nabi Nuh.

"Penemuan ini bukan mengesahkan 100 peratus bahawa ia bahtera Nabi Nuh tetapi kami yakin ia 99.9 peratus adalah bahtera itu," kata seorang anggota pasukan penjelajah, Yeung Wing-cheung.

Menurutnya, binaan kayu itu dibahagikan kepada beberapa petak, sebahagiannya memiliki rasuk kayu yang dipercayai digunakan untuk menempatkan sejumlah haiwan dalam bahtera itu.

- KOSMO!

Pekerja am menang Toyota Hilux MSAM 2010

by

KUCHING 27 April - Tuah ayam nampak di kaki, siapa sangka tuah seorang pekerja am hanya dengan mengunjungi Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2010.

Abd. Wahab Ismail, 46, dari Kampung Tupong Tengah di sini, membawa pulang sebuah kenderaan pacuan empat roda Toyota Hilux bernilai lebih RM90,000, selepas diumumkan pemenang utama e-peraduan MSAM 2010 yang bermula seminggu lalu dan berakhir semalam.

Kakitangan Jabatan Pertanian itu langsung tidak menyangka akan memenangi hadiah utama kerana hanya sekali mengisi borang peraduan ketika mengunjungi tapak MSAM di Wisma Bapa Malaysia petang kelmarin.

Bapa lima anak berusia antara tujuh bulan hingga 15 tahun itu yang juga pelabur unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) berkata, dia tergerak hati untuk mengisi soalan-soalan yang disediakan kepada pengunjung atas dorongan anak-anaknya.

''Apa yang saya ingat, saya menjawab banyak soalan sebelum meneka 5,834 biji bola terdapat di dalam kotak misteri yang disediakan penganjur dengan slogan 'Pelaburan Untuk Menjana Masa Depan'.

''Kemenangan ini merupakan anugerah Allah dan sebagai hadiah kepada anak-anak saya," katanya.

Abd. Wahab ditemui pada Majlis Makan Malam 'Terima Kasih' MSAM 2010 yang turut dihadiri Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud; Pengerusi Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid serta Presiden dan Ketua Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Hadiah Perodua Alza pula dimenangi Tijan Laing yang berasal dari Jalan Padang Kerbau, Miri.

Dalam pada itu Abd. Wahab berkata, dia tidak menyangka panggilan telefon yang diterima daripada PNB semalam memintanya menghadiri majlis makan malam itu mempunyai makna yang tersirat.

Dia yang kini menggunakan Perodua Kancil tidak berhasrat untuk menjual kenderaan pacuan empat roda yang dimenanginya itu sebaliknya akan menyimpannya sebagai kenangan buat dirinya dan keluarga.

''Saya mengucapkan terima kasih kepada PNB kerana menganjurkan peraduan ini," katanya.

- UTUSAN

MSAM catat 187,000 pengunjung

by
KUCHING 27 April - Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2010 yang berakhir petang semalam di tapak letak kereta Wisma Bapa Malaysia di sini berjaya menarik 187,000 pengunjung melebihi sasaran awal iaitu 150,000 orang.

Pengerusi Permodalan Nasional Bhd. (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, secara purata, seramai 27,000 pengunjung telah melawat tapak pameran setiap hari dan merupakan yang kedua terbaik selepas MSAM 2004 di Kepala Batas, Pulau Pinang.

Beliau berkata, setiap program yang dianjurkan PNB di negeri ini sentiasa mendapat sambutan yang amat menggalakkan dari segi penyertaan bermula dengan penganjuran bersama Kumpulan PNB yang diadakan di Kampung Pinang Jawa, Petra Jaya dan Pesta Beteba di Tebingan Kuching.

''Begitu juga dengan aktiviti-aktiviti lain seperti Program Ikon Inspirasi, Jejak Pelabur Bijak dan pelbagai aktiviti hibur didik yang diadakan di dalam dewan pameran oleh syarikat-syarikat dan agensi-agensi yang mengambil bahagian turut mendapat sambutan yang amat menggalakkan.

''Semua kegiatan ini telah menyumbang kepada penjenamaan PNB sebagai tokoh utama dalam industri saham amanah di negara ini," katanya di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam 'Terima Kasih' MSAM 2010 yang turut dihadiri Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud serta Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Sarji memberitahu, beberapa skim unit amanah saham PNB masih boleh dilanggan.

Ujarnya, baki unit Amanah Saham 1Malaysia bagi kuota kaum Cina hanya tinggal 50 juta unit atau 1.9 peratus manakala baki kuota bumiputera, kaum India dan lain-lain kaum juga masih ada untuk dilanggan.

"Selain itu, terdapat lagi baki untuk kuota bumiputera iaitu Amanah Saham Wawasan 2020 (616 juta unit), Amanah Saham Didik (275 juta unit), manakala Amanah Saham Gemilang, Amanah Saham Nasional, Amanah Saham Nasional 2 dan Amanah Saham Nasional 3 Imbang masih dibuka untuk langganan.

"Sehubungan itu, saya berharap rakyat akan terus menyokong PNB sebagai tempat menyimpan dan melabur wang dengan selamat dan menguntungkan," katanya.

- UTUSAN

Jangan hukum gadis hamil luar nikah

by
KUANTAN 27 April - Masyarakat terutama ibu bapa tidak seharusnya menghukum atau mengabaikan anak perempuan yang hamil luar nikah sebaliknya perlu bersama-sama bertanggungjawab menangani masalah tersebut.

Presiden Persatuan Gerontologi Malaysia, Dr. Mohd. Ghazali Abdul Ghaib berkata, walaupun masyarakat menganggap perbuatan itu sebagai memalukan, tetapi atas dasar kemanusiaan, mereka seharusnya dibantu bagi mengelak terjadinya masalah pembuangan bayi.

''Ibu bapa perlu memainkan peranan dengan memberi pertolongan dan perhatian kepada anak gadis mereka dan bukannya menghalau mereka dan tidak mengaku sebagai anak.

''Walaupun kita anggap sebagai dosa yang tidak boleh dimaafkan tetapi kita tidak seharusnya melakukan satu dosa lagi dengan mengabaikan anak dan bayi dalam kandungan sehingga mati.

''Tugas kita sebagai ibu bapa adalah untuk menyelamatkan nyawa anak cucu kita dan sepatutnya soal dosa dan pahala itu biarlah Allah yang tentukan," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Seminar Kebangsaan Ke-3 di Hotel Vistana di sini hari ini.

Hadir sama pada seminar yang bertajuk Kasih Sayang Antara Generasi Membanteras Penganiayaan Sesama Insan ialah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Halijah Yahaya.

Menurut Mohd. Ghazali, punca utama masalah pembuangan bayi ialah apabila wanita yang hamil luar nikah berasa takut dan malu kerana tidak mendapat sokongan keluarga dan khuatir dihukum masyarakat.

''Seharusnya kita menilai semula pegangan prinsip dan agama dengan lebih halus dan berperikemanusiaan.

''Walaupun ia merupakan satu konflik dan dilema terhadap nilai peribadi tetapi kita seharusnya bersifat kasih sayang terhadap anak sendiri," jelasnya.

Tambahnya, pihak keluarga harus bertanggungjawab dan menghantar bayi yang dilahirkan itu ke JKM sekiranya tidak boleh untuk menerimanya.

''JKM sedia menerima bayi yang lahir tanpa nikah ini dan akan memelihara dengan sewajarnya.

''Jangan biarkan anak-anak gadis ini terumbang-ambing sehingga sanggup membunuh dan membuang zuriat sendiri tanpa belas kasihan," ujarnya.

- UTUSAN

Anak saya bukan seorang penjenayah - Norsiah

by
SHAH ALAM 27 April - Ahli keluarga Allahyarham Aminulrasyid Amzah (gambar), 15, yang mati ditembak polis dalam satu kejadian di Seksyen 11 di sini awal pagi semalam, mahu pasukan itu melakukan siasatan secara telus dan adil serta tidak melindungi sesiapa bersalah.

Ibu mangsa, Norsiah Mohamad, 60, yang masih lagi sedih dengan kejadian menimpa anaknya itu, juga menegaskan bahawa anaknya bukan penjenayah seperti dilaporkan oleh media.

Sebagai seorang ibu, dia lebih arif tentang sikap dan tingkah laku Allahyarham yang bersopan santun serta menghormati orang lebih tua.

"Malah kami bukan daripada keluarga penjenayah. Saya akan berbincang dengan ahli keluarga lain bagi melantik peguam untuk tindakan selanjutnya agar anak saya mendapat pembelaan sewajarnya.

"Saya juga mahu pihak polis menjalankan siasatan telus dan tidak melindungi anggota-anggota polis peronda yang terlibat dalam insiden tersebut," katanya pada sidang akhbar di rumahnya di sini hari ini.

Pelajar Sekolah Menengah Seksyen 9 itu, terbunuh apabila terkena tembakan polis setelah mangsa dan rakannya yang menaiki kereta Proton Iswara cuba ditahan polis kira-kira pukul 2 pagi semalam.

Norsiah berkata, dia mendapat tahu anaknya keluar rumah secara senyap menggunakan kereta kakaknya untuk menonton perlawanan bola sepak di Seksyen 7 di sini.

Namun katanya, rakan kepada anaknya yang berada di dalam kereta itu memberitahu, dalam perjalanan pulang mereka sempat membantu rakan yang kerosakan motosikal di Seksyen 2.

Katanya lagi, malangnya selepas itu, kereta mereka terlanggar pula sebuah kereta Mercedez-Benz.

"Mereka panik kerana tiada lesen memandu lalu terus memecut laju menyebabkan beberapa buah motosikal mengejar kereta anak saya hingga bergesel dengan salah sebuah motosikal tersebut.

"Tiba-tiba mereka bertembung dengan sebuah kereta polis... Disebabkan takut mereka terus memecut laju dan enggan berhenti apabila diarahkan berbuat demikian," katanya.

Tambahnya, polis yang mengejar kereta itu telah melepaskan tembakan dan mengenai salah satu tayar manakala satu das lagi menembusi cermin dan belakang kepala anaknya.

Katanya, keadaan itu menyebabkan anaknya melepaskan stereng kereta dan rebah ke pangkuan rakannya di sebelah, lalu menyebabkan kereta itu terus bergerak sebelum terbabas di dalam longkang.

"Oleh itu, saya meragui dengan kenyataan polis bahawa tembakan dilepaskan kerana kereta itu mengundur dan cuba merempuh anggota polis berkenaan," ujar beliau.

Seorang ahli kariah surau Seksyen 11 yang hanya ingin dikenali sebagai Abdullah berkata, kejadian tersebut memang mengejutkan penduduk kerana arwah kerap mengunjungi surau tersebut

"Dia kawan anak saya dan bukan budak rempit. Apabila polis mengesyaki arwah penjenayah, kami mengenali arwah sangat terluka dengan kenyataan itu kerana dia budak yang sangat baik, bukan seperti didakwa," ujarnya pula.

Guru Aminulrasyid yang enggan dikenali berkata, anak muridnya itu seorang pelajar ceria, mesra dan menghormati guru-guru serta aktif dalam kegiatan kokurikulum selain mewakili daerah Petaling Jaya dalam pertandingan bola sepak.

- UTUSAN

Gaya hidup sihat atasi tekanan

by

Mengamalkan gaya hidup sihat boleh mengelak tekanan perasaan yang keterlaluan. Individu yang bijak mengatur kehidupan pasti boleh berdepan dengan apa sahaja bentuk cabaran yang bakal melanda.

Individu yang tidak pandai mengawal perasaan mereka mudah menerima tekanan perasaan.

Faktor-faktor lain termasuk individu yang tidak pandai mengatur hidup, terlalu mengambil banyak cabaran, terlalu memikirkan kesempurnaan, terlampau bercita-cita tinggi, ingin sentiasa menang, enggan mengalah atau pun memang ada kecenderungan untuk mendapat sakit mental.

Menurut Perunding Pakar Psikiatri Pusat Perubatan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Profesor Madya Dr. Marhani Midin, tekanan perasaan boleh diselesaikan dengan beberapa kaedah, namun ia terpulang bagaimana individu itu melihat ke dalam diri mereka.

Katanya, terlebih dahulu, individu itu perlu memastikan apakah yang menjadi punca kepada tekanan yang sedang dihadapinya.

''Kemudian, setelah tahu puncanya, terdapat dua kaedah teknik yang boleh digunakan untuk mengatasi permasalahan itu iaitu kaedah penyelesaian masalah serta teknik fokus kawalan kepada emosi.

''Tekanan boleh diselesaikan secara keseluruhan menerusi kehidupan yang sihat, bersenam, keseimbangan antara cabaran dan kegembiraan dan tidak terlalu mengambil banyak sangat cabaran,' katanya.

Jelasnya, teknik mengawal emosi merupakan kepekaan individu itu kepada perasaan atau atas apa yang individu itu rasakan.

''Bagi kita yang normal, bila sudah mengetahui apa yang tidak kena kepada perasaan, kita perlu atasinya dengan apa cara dalam usaha untuk menyelesaikan masalah.

''Itu juga bergantung kepada bentuk tekanan itu sama ada punca masalah itu boleh diselesaikan atau tidak. Jika rasa ia boleh diselesai, cari jalan penyelesaiannya.

''Individu itu perlu cari jalan untuk menguruskan dirinya seperti bersembahyang, berdoa, berhibur ataupun berbincang dengan rakan atau berkongsi masalah,'' katanya.

Menurut Marhani, individu yang menghadapi tekanan perasaan boleh berjumpa dengan teman-teman, keluarga mahu pun mereka yang profesional untuk membantu dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi.

- UTUSAN

Imam sebagai penguat kuasa agama

by
Oleh ARSHAD HUSSIN

RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa di kalangan kamu melihat perkara mungkar maka hendaklah dia mengubah dengan tangannya, sekiranya tidak mampu maka dengan lidahnya, sekiranya tidak mampu lagi maka dengan hatinya dan dengan yang demikian itu (dengan hati itu) adalah selemah-lemah iman. (riwayat Muslim)

Hadis di atas membuktikan bahawa setiap kita mempunyai tanggungjawab mencegah kemungkaran yang berlaku. Lebih-lebih lagi, jika ia berlaku di hadapan kita dan kita mempunyai kuasa mencegahnya.

Bagaimanapun, dalam dunia yang semakin canggih, penguat kuasa agama juga perlu melengkapkan diri dengan tatacara perundangan syariah.

Ini supaya usaha membanteras jenayah syariah itu benar-benar berkesan dan pelaku jenayah terlibat disabitkan kesalahan.

Menyedari hal ini, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) mengadakan Kursus Pengukuhan Penguatkuasaan Kesalahan Jenayah Syariah Untuk Pegawai-Pegawai Masjid di Keningau, Sabah, baru-baru ini.

Kursus dua hari anjuran JHEAINS itu disertai imam daerah dan imam kariah seluruh daerah Keningau.

Ia dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Ketua Menteri yang juga bertanggungjawab terhadap Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, Datuk Nasir Sakaran.

Ia dianjurkan bagi memberi kefahaman kepada para imam daerah dan imam kariah yang dilantik oleh JHEAINS menguatkuasa undang-undang kesalahan jenayah syariah negeri Sabah.

Kursus ini juga bersesuaian dengan peruntukan seksyen 20, Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2004 yang memperuntukkan kuasa Pegawai Masjid dalam membuat tangkapan kesalahan Jenayah Syariah.

Antara objektif kursus adalah mengukuhkan cara penguatkuasaan undang-undang kesalahan Jenayah Syariah di kalangan para imam sebagai Pegawai Masjid, memberi langkah pencegahan mengikut Enakmen serta membudayakan ilmu di kalangan peserta.

Dalam ucapan perasmiannya, Nasir berkata, penganjuran kursus ini amat relevan dengan senario masa kini.

Ia berikutan aduan serta rungutan yang semakin meningkat mengenai salah laku umat Islam di Sabah.

Katanya, meskipun ada di antara aduan atau rungutan itu kurang berasas namun, setiap aduan harus ditanggapi sebagai momentum bagi memperkasakan lagi jentera penguatkuasaan.

Ia bertujuan menangani segala bentuk kesalahan jenayah syariah di Sabah.

Sehubungan itu, beliau berharap semua imam di negeri ini diberi kursus sedemikian bagi mendedahkan mereka kepada cara serta mekanisme yang betul dan berhikmah dalam mencegah dan menguatkuasakan kesalahan jenayah syariah.

"Ia perlu disusuli dengan bengkel-bengkel pemantapan bagi meningkatkan pengetahuan dan kredibiliti para imam selaku penguatkuasa agama yang cekap, dedikasi serta bijaksana," jelas beliau.

Menurut Nasir, yang menyedihkan masyarakat Islam sendiri mencari ruang mempertikaikan tindakan pihak berkuasa agama kerana bagi mereka isu kesopanan begitu subjektif dan berpakaian seksi, berpegangan tangan serta berpeluk-pelukan adalah hak peribadi.

"Justeru, usaha mencegah atau mengubah kemungkaran bukan terletak di bahu pihak penguatkuasa syariah sahaja malah wajib dipikul umat Islam untuk bersama-sama menggunakan pendekatan mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran," tegasnya.

- UTUSAN

TLDM struktur semula organisasi

by
LUMUT: Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang menjangkau usia 76 tahun penubuhannya pada 27 April akan menggantikan struktur organisasi diguna pakai sejak 1996 kepada struktur baru bagi memenuhi peranan semasa dan masa depan pasukan itu dalam menjaga kedaulatan perairan negara.

Ketumbukan laut itu juga memutuskan untuk memanjangkan tempoh latihan rekrutnya daripada empat kepada lima bulan bagi memperkasa latihan anggota baru, manakala kuota penyertaan wanita ditingkat daripada empat kepada lapan peratus dengan peluang sama rata diberikan kepada mereka untuk menjawat jawatan di kapal-kapal, mulai tahun ini.

Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar, berkata penggunaan struktur organisasi baru sebahagian daripada pelan tindakan mentransformasikan TLDM yang akan dibuat sepanjang Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan seterusnya RMK-11.

"Penggantian Struktur Organisasi TLDM 1996 dengan Struktur Organisasi TLDM 2010 bakal dibuat dengan mengambil kira perkembangan pasukan dalam 14 tahun yang lalu dan peranan masa depannya," katanya berucap menyampaikan perutusannya pada Istiadat Perbarisan dan Perarakan Panji-Panji Sempena Hari TLDM Ke-76 bertemakan 'Warga Didahulukan, Kesiagaan Diutamakan' di Pangkalan TLDM Lumut di sini, semalam.

Beliau turut menyampaikan beberapa pingat dan anugerah kepada pegawai dan anggota TLDM, selain melancarkan penerbitan dua buku dihasilkan warga pasukan itu. Hadir sama, Panglima Armada, Laksamana Madya Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Sebelum ini, TLDM melancarkan Strategi Pertahanan Maritim dan Pelan Pembangunan TLDM sebagai sebahagian usaha mentransformasikan pasukan itu, manakala dalam tempoh jangka sederhana TLDM melancarkan Pelan Strategik TLDM atau 'The Navy Plan 2010-2013' dengan menggariskan enam Bidang Keberhasilan Utama (KRA) termasuk menentukan kesiagaan aset dan membangunkan modal insan.

Abdul Aziz berkata, pelanjutan tempoh latihan rekrut TLDM pula untuk meningkatkan kualiti latihan, selain sejajar usaha menambah baik dasar sumber manusia TLDM atau modal insan yang menekankan struktur kerjaya kemahiran pelbagai (multi skill) bermula tahun ini.
"Konsep latihan modular bagi pegawai dan anggota PSSTLDM (Pasukan Simpanan Sukarela TLDM) juga diperkenalkan bagi meningkatkan kecekapan mereka," katanya.

Abdul Aziz juga berkata, TLDM berharap kerajaan dapat melaksanakan pembelian tiga kapal bantuan pelbagai guna (MRSS), tambahan enam kapal peronda (PV) generasi kedua serta perolehan empat lagi kapal latihan dalam RMK-10 sebagai keperluan menggantikan 70 peratus aset usang.

Menjelas lanjut pada sidang medianya, beliau berkata perolehan PV mestilah dari jenis kapal tempur persisir bagi menyesuaikan fungsi TLDM sebagai pasukan pertahanan dan bukannya rondaan. Bagaimanapun, kesemua status perolehan itu hanya akan diketahui Jun atau Julai ini menjelang pembentangan bajet.

Beliau juga mengakui TLDM melaksanakan langkah penjimatan secara berkesan dalam aspek operasinya seperti penggunaan bahan api, air dan elektrik, malah meraikan ulang tahun penubuhan pasukan itu secara sederhana.

- BERITA HARIAN

Malaysia capai negara tua 2035

by
Malaysia bakal mencapai status negara tua menjelang 2035 apabila pecahan peratusan warga emas berusia 60 tahun ke atas meningkat kepada 15 peratus, hasil peningkatan jangka hayat penduduk negara ini.

Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Datuk Meme Zainal Rashid, berkata unjuran Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai status itu dibuat berikutan peratusan bilangan warga emas di negara ini semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, jangka hayat penduduk negara ini pada 2005 ialah 71.4 bagi lelaki dan 76.2 bagi wanita berbanding 63.5 bagi lelaki dan 67.1 bagi wanita pada 1980.

“Malah, banci penduduk pada 2000 mencatatkan bilangan warga emas 1.45 juta atau 6.2 peratus daripada jumlah penduduk ketika itu dan bilangan golongan berkenaan semakin meningkat kepada lebih dua juta atau 7.1 peratus daripada 28.31 juta jumlah penduduk pada tahun lalu,” katanya, ketika merasmikan seminar ‘Kasih Sayang Antara Generasi Membanteras Penganiayaan Sesama Insan’ di sini, semalam.

Teks ucapan dibacakan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JKM, Halijah Yahya.
“Kerajaan sememangnya mengambil serius kadar penuaan yang semakin meningkat dan cabaran menangani keperluan ini sedang diberi perhatian.

“Ini termasuk kita mengkaji semula Dasar Warga Tua Negara yang digubal pada 1995 dan Pelan Tindakan Warga Tua Negara 1998 untuk mewujudkan dasar dan pelan lebih mantap,” katanya.

Mengulas perkara sama, Halijah berkata, perkembangan itu disebabkan ramai anak muda negara ini tidak berkahwin menyebabkan kadar kelahiran lebih rendah berbanding kematian.

“Fenomena ini sangat membimbangkan dan kami menyarankan supaya satu kajian dibuat untuk mencari penyelesaian terhadap masalah terbabit,” katanya.

- BERITA HARIAN

KTM perkenal koc khas untuk wanita

by
Keretapi Tanah Melayu (KTM) Komuter memperkenalkan koc khas untuk wanita mulai hari ini bertujuan memberi lebih keselesaan dan menjamin keselamatan penumpang daripada risiko gangguan seksual dan bersesak dengan penumpang lelaki.

Gerabak berkenaan yang beroperasi sepanjang hari bagi laluan Sentul-Pelabuhan Klang berada di bahagian tengah komuter menggunakan tema ‘Wanita Saja Sepanjang Masa, Ladies Only At All Times’ dan dibezakan dengan pelekat khas berwarna merah jambu.

Keretapi Tanah Melayu (KTM) Komuter memperkenalkan koc khas untuk wanita mulai hari ini bertujuan memberi lebih keselesaan dan menjamin keselamatan penumpang daripada risiko gangguan seksual dan bersesak dengan penumpang lelaki.

Gerabak berkenaan yang beroperasi sepanjang hari bagi laluan Sentul-Pelabuhan Klang berada di bahagian tengah komuter menggunakan tema ‘Wanita Saja Sepanjang Masa, Ladies Only At All Times’ dan dibezakan dengan pelekat khas berwarna merah jambu.
“Pelanggan akan dapat mengenali gerabak ini melalui pelekat khas dipamerkan di tingkap, pintu dan koc. Manakala di stesen, penumpang boleh mengenal pasti lokasi pemberhentian gerabak wanita melalui kain rentang dipamerkan di platform dan tiang yang diwarnakan merah jambu,” menurut kenyataan dikeluarkan KTM Bhd, semalam.

Menurut kenyataan itu, pengguna wanita yang mewakili 60 peratus pengguna KTM Komuter tidak diwajibkan menggunakan gerabak khas itu dan boleh memilih menggunakan gerabak biasa.

- BERITA HARIAN

Teluk Danga simbol warisan rakyat Malaysia

by
Oleh Teo Kok Seong
Profesor Sosiolinguistik Bahasa Melayu
Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA)
Universiti Kebangsaan Malaysia.

Penggunaan nama Teluk Danga dan bukan lagi 'Danga Bay' sejak kebelakangan ini, memperlihatkan bahawa masih ada pihak yang menyedari betapa pentingnya warisan Melayu itu kepada bangsa dan negara Malaysia. Syabas dan tahniah kepada pihak berkenaan.

Penggunaan bahasa asing dalam memberi nama misalnya, dilihat oleh sesetengah pihak di negara ini sebagai usaha ‘neutralisasi’.

Sebagai contoh, nama ‘Alza’ daripada bahasa Sepanyol pada kereta nasional kita, serta lain-lain daripada bahasa Inggeris, antaranya dipercayai dapat menjadikan bangsa dan negara Malaysia lebih kosmopolitan pada mata dunia, dan berjaya pula menjadikan kita warga dunia yang bebas daripada nasionalisme dan sentimen kenegaraan yang sempit.

Sebenarnya tidak, melainkan ia mengikat kita dengan satu budaya asing yang tidak pun boleh menjadikan kita hebat. Malah sebaliknya ia boleh menjadikan kita bangsa yang daif, yang sanggup meninggalkan warisan diperturunkan secara utuh oleh nenek moyang kita.

Penggunaan walaupun sepatah kata asing, lebih-lebih lagi yang tidak menjadi kata serapan dalam bahasa Melayu, langsung tidak dapat mengaitkannya dengan budaya Melayu dan kebudayaan kebangsaan.

Bahasa dan budaya berkait rapat antara satu sama lain. Sehubungan ini, bahasa Melayu dan tradisi Melayu serta rakyat Malaysia berkait rapat pada tiga aspek. Pertama, bahasa Melayu adalah bahasa ibunda orang Melayu dan bahasa negara (selaku bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi) bagi rakyat Malaysia.
Apabila kita menggunakannya, maka berlakulah rujukan secara tepat lagi sebati dengan pemikiran, pola dan cara hidup orang Melayu dan rakyat Malaysia. Sehubungan ini, kata ‘bay’ sudah tentu tidak dapat memberi rujukan tepat lagi sebati, jika dibandingkan dengan kata ‘teluk’ kepada ‘bahagian laut yang menganjur masuk ke darat’, seperti yang kita fahami.

Kedua, bahasa Melayu adalah simbol kepada tradisi orang Melayu dan rakyat Malaysia. Simbol ini akan tetap dikaitkan dengan orang Melayu dan rakyat Malaysia dalam sebarang keadaan, sama ada yang positif mahupun yang negatif.

Justeru, simbol ini tidak dapat sama sekali dipisahkan daripada orang Melayu dan rakyat Malaysia, walau bagaimana sekali pun kita cuba, lebih-lebih lagi secara negatif, iaitu dengan meninggalkan bahasa Melayu dan menggantikannya dengan bahasa asing. Sehubungan ini, penggunaan bahasa Inggeris dalam konteks ‘Danga Bay’ dan lain-lain seperti ‘Agrobank’ dan ‘Mara Liner’, walau bagaimana mulia hasrat kita, tidak dapat menjadi simbol kepada tradisi orang Melayu dan rakyat Malaysia.

Ketiga, bahasa Melayu adalah komponen penting kepada tradisi orang Melayu dan rakyat Malaysia. Sehubungan itu, agak pelik kalau tradisi orang Melayu dan rakyat Malaysia, dinyatakan dan direalisasikan melalui bahasa asing, misalnya dengan penggunaan bahasa Inggeris, dalam bentuk ‘Star Hill’ kini untuk menggantikan tempat yang dahulunya dikenali sebagai ‘Bukit Bintang’.

Nama dalam bahasa Inggeris menggantikan yang dalam bahasa Melayu itu, sudah tentu bukan komponen penting dalam tradisi kita. Penggantian ini sesungguhnya adalah petanda bahawa kita dijajah semula oleh pihak asing.

Bahasa Inggeris tidak dapat dinafikan adalah bahasa penting pada zaman ini. Ia adalah alat utama untuk menimba ilmu. Dalam konteks ini, bahasa Inggeris adalah akses kepada pendidikan dan teknologi. Nilainya kepada kita adalah pada aspek ini saja dan tidak lebih daripada itu.

Dalam konteks kaitan antara bahasa dengan budaya, bahasa Inggeris tidak dapat dinafikan adalah alat pengekalan selain penyebaran budaya Inggeris/Barat. Kita harus berwaspada mengenai hakikat ini agar tidak terperangkap dengan usaha sesetengah pihak, sama ada secara langsung sifatnya atau sebaliknya, untuk kita mengiktiraf dan sete rusnya menerima nilai-nilai budaya Inggeris/Barat itu.

Bahasa Inggeris tidak boleh sekali-kali menggantikan bahasa Melayu iaitu bahasa negara kita. Ini adalah kerana khazanah budaya Melayu adalah teras kepada kebudayaan kebangsaan, tersimpan dalam bahasa Melayu.

Sehubungan ini, bahasa Melayu bukan saja menjadi inti pati kepada tradisi dan warisan Melayu, malah juga pengalaman dan akal budi orang Melayu selaku penutur natifnya. Segala pengetahuan dan pengalaman itu terkandung dalam bahasa Melayu.

Orang Melayu dan rakyat Malaysia bergantung kepada bahasa Melayu dalam kapasitinya sebagai bahasa negara, untuk menyampaikan semua itu kepada generasi mendatang. Dalam hal ini, nama dalam bahasa Melayu, iaitu ‘Teluk Danga’ dan jutaan yang lain, adalah rujukan tepat, simbol dan komponen penting kepada budaya Melayu dan kebudayaan kebangsaan, khususnya dalam usaha kita mendidik generasi muda.

Nama dalam bahasa Inggeris, iaitu ‘Danga Bay’ tidak dapat dikaitkan dengan budaya Melayu dan kebudayaan kebangsaan daripada pelbagai segi. Antaranya termasuklah amalan dan tradisi serta alam unik orang Melayu dan rakyat Malaysia.

Ini adalah kerana bahasa Inggeris tidak pernah mempunyai hubungan akrab dengan tradisi orang Melayu dan rakyat Malaysia kerana minda sebahagian besar kita rata-ratanya tidak pernah ada kaitan dengan budaya Inggeris/Barat.

Natijah yang ingin disampaikan di sini ialah apabila kita banyak menggunakan bahasa orang lain, dan lupa akan kaitan penting antara bahasa dengan budaya, kita akan lambat laun hilang seluruh tradisi kita, yang sebetulnya mempunyai banyak kaitan dengan sejarah, aspirasi selain kemanusiaan kita yang unik.

Dengan kata lain, kita akan hilang konsep diri sebagai orang Melayu dan rakyat Malaysia. Ini adalah kerana bahasa Melayu adalah sistem simbol utama bagi orang Melayu dan rakyat Malaysia.

- BERITA HARIAN

SK Wakaf perkenal rambut 'ala rekrut'

by

Sekolah Kebangsaan Wakaf Bharu dekat Tumpat, Kelantan melaksanakan program mendisiplinkan pelajar dengan mewajibkan semua murid lelaki berambut pendek dengan gaya potongan ala rekrut.

Guru Besar sekolah itu, Husain Bustari Awang Lah berkata, program itu bertujuan memberi identiti sekolah menerusi gaya potongan rambut pendek yang kelihatan lebih kemas.

Ia juga bagi membolehkan murid kelihatan bergaya dan menjimatkan perbelanjaan ibu bapa untuk menggunting rambut anak setiap bulan.

"Inilah kali pertama sekolah kami mengadakan program disiplin ini yang bertemakan "guru cakna murid ceria"," katanya selepas perhimpunan mingguan di sekolah itu hari ini.

Sebagai gimik kepada pelancaran itu, Husain Bustari bersama guru disiplin sekolah itu, Abdullah Yusoff, dan Penolong Kanan I sekolah itu, Abdul Hamid Ismail, memotong rambut sebahagian pelajar terbabit.

Keputusan untuk menggunting rambut pelajar dengan potongan ala rekrut itu dipersetujui oleh ibu bapa semasa mesyuarat agung Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, 13 Mac lepas, kata Husain.

Program mendisiplinkan pelajar berambut pendek itu melibatkan 450 murid lelaki, daripada sejumlah lebih 900 murid sekolah itu.

"Langkah itu juga boleh mengelakkan murid-murid terikut-ikut dengan trend rambut yang pelbagai bentuk atau diwarnakan, selain meletakkan murid sekolah ini beridentiti tersendiri," katanya.

- BERNAMA

Jawatan Kosong Penyelia dan Pembanci di Jabatan Perangkaan Malaysia - 2010

by
Permohonan adalah dipelawa kepada calon yang memenuhi syarat-syarat yang dinyatakan di bawah bagi mengisi jawatan berikut :

1. PENYELIA
Tempoh : 14 Jun hingga 10 Sept. 2010
Gaji Harian : RM 52.37 sehari
Syarat:
a) Kerakyatan : Warganegara Malaysia.

b) Kelulusan Akademik dan Pengalaman :
Lulus Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) atau kelayakan yang setaraf dengannya.

ATAU
Pegawai yang sedang berkhidmat bagi kumpulan sokongan daripada Gred 27 hingga 39.

ATAU
Pegawai yang sedang berkhidmat sekurang-kurang 8 tahun di dalam kumpulan sokongan daripada gred 17 hingga 26.

c) Umur Minimum :
18 tahun pada tarikh temuduga.

d) Bahasa :
Berkebolehan bertutur dan memahami bahasa yang paling luas digunakan di kawasan penyeliaannya.

e) Berkebiasaan dengan Kawasan :
Seberapa boleh calon hendaklah terdiri daripada mereka yang biasa dengan kawasan tempatan.

f) Pengangkutan :
Keutamaan hendaklah diberi kepada calon yang mempunyai kemudahan pengangkutan sendiri terutamanya bagi mereka yang ditugaskan di kawasan luar bandar.

g) Kematangan :
Matang dan berkebolehan melatih dan menyelia Pembanci di bawah jagaannya.

2. PEMBANCI
Tempoh : 28 Jun hingga 22 Ogos 2010
Gaji Harian : RM 35.73 sehari

Syarat:
a) Kerakyatan : Warganegara Malaysia.

b) Kelulusan Akademik dan Pengalaman :
Lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau kelayakan yang setaraf dengannya.

ATAU
Pegawai yang sedang berkhidmat bagi kumpulan sokongan daripada Gred 17 hingga 26.

c) Umur Minimum :
18 tahun pada tarikh temuduga.

d) Bahasa :
Berkebolehan bertutur dan memahami bahasa yang paling luas digunakan di kawasan bancian.

e) Berkebiasaan dengan Kawasan :
Seberapa boleh calon hendaklah dipilih daripada mereka yang biasa dengan kawasan tempatan.

f) Pengangkutan :
Keutamaan hendaklah diberi kepada calon yang mempunyai kemudahan pengangkutan sendiri terutama bagi mereka yang ditugaskan di kawasan luar bandar.



BORANG PERMOHONAN
http://www.ziddu.com/download/9624025/ngPermohonanPenyeliaPembanciJabatanPerangkaan2010.doc.html
atau
http://www.statistics.gov.my/portal/images/stories/files/announcement/BI/borang_permohonan_penyelia_dan_pembanci2010.doc

Borang Permohonan yang telah lengkap hendaklah dihantar bersama-sama
a. Gambar berukuran pasport (lekatkan pada penjuru kanan Borang Permohonan)
b. 1 salinan kad pengenalan yang disahkan
c. Salinan Diploma dan sijil-sijil persekolahan yang berkaitan yang disahkan

Borang yang telah lengkap diisi hendaklah dikemukakan kepada Jabatan Perangkaan Negeri masing-masing seperti di bawah:

Department of Statistics, Malaysia
Johor,
14th Floor, Menara Tabung Haji,
Jalan Air Molek,
80000 Johor Bharu,
Johor.
Tel : 07 - 2253 700
Fax : 07 - 2249 972
E-mail: jpjohor@stats.gov.my

Department of Statistics, Malaysia
Perlis,
4th Floor, Bangunan KWSP,
Jalan Bukit Lagi,
01000 Kangar,
Perlis.
Tel : 04 - 9771 221
Fax : 04 - 9771 223
E-mail: jpperlis@stats.gov.my

Department of Statistics, Malaysia
Kedah,
1st Floor, Zon C, Wisma Persekutuan
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan
Bandar Muadzam Shah
06550 Anak Bukit
Kedah Darul Aman
Tel : 04 - 7001 240
Fax : 04 - 7338 412
E-mail: kedah@stats.gov.my

Department of Statistics, Malaysia
Pulau Pinang,
6th Floor, Bangunan Persekutuan,
10400 Jalan Anson,
Pulau Pinang.
Tel : 04 - 2266 244
Fax : 04 - 2299 499
E-mail: jpppinang@stats.gov.my

Department of Statistics, Malaysia
Kelantan,
8th Floor, Bangunan Persekutuan,
Jalan Bayam,
15514 Kota Bharu, Kelantan.
Tel : 09 - 7481 752
Fax : 09 - 7482 142
E-mail: jpkelantan@stats.gov.my

Department of Statistics, Malaysia
Sabah,
Level 1-3, Block C,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah,
Jalan UMS,
Beg Berkunci 2046,
88999 Kota Kinabalu, Sabah.
Tel : 088 - 484 602
Fax : 088 - 484 659
E-mail: jpsabah@stats.gov.my

Department of Statistics, Malaysia
Melaka,
Aras 5 & 6, Menara TM Melaka,
No.2, Jalan Wisma Negeri,
MITC, Ayer Keroh, 75450, Melaka.
Tel : 06 - 2522 725
Fax : 06 - 2522 711
E-mail: jpmelaka@stats.gov.my

Department of Statistics, Malaysia
Sarawak,
7th & 8th Floor,
Bgn. Tun Datuk Patinggi
Tuanku Hj. Bujang, Jln. Simpang 3,
93514 Kuching, Sarawak.
Tel : 082-240 287
Fax : 082-242 609
E-mail: jpsarawak@stats.gov.my

Department of Statistics, Malaysia
Negeri Sembilan,
12th Floor, Wisma Persekutuan,
Jalan Dato' Abdul Kadir,
70000 Seremban, Negeri Sembilan.
Tel : 06 - 7655 000
Fax : 06 - 7655 002
E-mail: jpnsembilan@stats.gov.my

Department of Statistics, Malaysia
Selangor,
9th Floor, Bangunan Darul Ehsan,
Jalan Indah, Seksyen 14,
40000 Shah Alam, Selangor.
Tel : 03 - 5515 0200
Fax : 03 - 5515 0205
E-mail: jpselangor@stats.gov.my

Department of Statistics, Malaysia
Pahang,
7th Floor, Bangunan Persekutuan,
Jalan Gambut,
25000 Kuantan, Pahang.
Tel : 09 - 5163 931/7
Fax : 09 - 5144 636
E-mail: jppahang@stats.gov.my

Department of Statistics, Malaysia
Terengganu,
9th Floor, Wisma Persekutuan,
Jalan Sultan Ismail,
20200 Kuala Terengganu, Terengganu.
Tel : 09 - 6223 062
Fax : 09 - 6229 659
E-mail: jpterengganu@stats.gov.my

Department of Statistics, Malaysia
Perak,
3rd Floor, Block A,
Bangunan Persekutuan Ipoh,
Jalan Dato' Seri Ahmad Said (Greentown),
30450 Ipoh, Perak.
Tel :05 - 2554 963
Fax : 05 - 2551 073
E-mail: jpperak@stats.gov.my

Department of Statistics, Malaysia
Federal Territories,
19th Floor, Wisma KWSG,
Jalan Kg. Attap,
50604 Kuala Lumpur.
Tel : 03 - 2267 2400
Fax : 03 - 2274 5075
E-mail : jpwpkl@stats.gov.my

Hanya calon-calon yang layak sahaja akan dipanggil untuk temuduga. Permohonan yang tidak menerima sebarang jawapan selepas tiga bulan temuduga diadakan hendaklah menganggap permohonan mereka tidak berjaya.

http://www.statistics.gov.my

TARIKH TUTUP :
15 MEI 2010 (PENYELIA)
20 MEI 2010 (PEMBANCI)

Jawatan Kosong di Jabatan Perangkaan Malaysia, Pulau Pinang

by
Terbuka kepada semua Warganegara Malaysia.

JAWATAN:
- Penyelia E27 (225 kekosongan)
- Pembanci E17 (999 kekosongan)
- Pembantu Tadbir Kewangan W17 (6 kekosongan)
- Pemandu Kenderaan R3 (1 kekosongan)

CARA MEMOHON:
Permohonan hendaklah dibuat secara online di:
http://www.jobsmalaysia.gov.my/

TARIKH TUTUP : 30 APRIL 2010

Jawatan Kosong di Lembaga Pelabuhan Bintulu (BPA) - April 2010

by
Terbuka kepada semua Warganegara Malaysia.

JAWATAN:
- PEGAWAI LAUT A41
- PEGAWAI SAINS C41
- PEGAWAI TEKNOLOGI MAKLUMAT
- JURUTERA J41
- PENGUASA BOMBA KB41
- PEGAWAI KESELAMATAN KP41
- PEGAWAI TADBIR N41
- PENOLONG PEGAWAI LAUT A29
- PENOLONG PENGUASA BOMBA KB29
- PENOLONG PEGAWAI SAINS C27
- PENOLONG PEGAWAI KESELAMATAN KP27
- PENOLONG PEGAWAI TADBIR N27
- PENOLONG AKAUNTAN W27
- JURUTEKNIK KOMPUTER FT17
- JURUTEKNIK J17

IKLAN JAWATAN KOSONG
http://www.bpa.gov.my/iklan2010.pdf

BORANG PERMOHONAN
http://www.bpa.gov.my/borang2010.pdf

TARIKH TUTUP : 7 MEI 2010

Pembeli penyembur lada perlu berdaftar - Polis

by
Peniaga penyembur lada perlu mencatatkan butiran peribadi pembeli untuk dijadikan rujukan polis, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.

Beliau berkata polis akan memantau serta memeriksa premis yang menjual penyembur lada itu agar ia tidak disalahgunakan untuk tujuan jenayah.

"Tiada undang-undang yang dapat mengawal penjualan barangan tersebut secara terbuka jadi kita akan meminta peniaga untuk mengambil butiran peribadi pembeli bagi tujuan rujukan polis," katanya pada sidang media selepas merasmikan minggu kesedaran pencegahan jenayah oleh Syarikat ExxonMobil di Kuala Lumpur.

"Memang bagus dijual untuk mempertahankan diri mangsa daripada penjenayah terutama wanita tetapi kalau tiada kawalan sesiapa sahaja boleh membelinya termasuk penjenayah," katanya.

Sementara itu, Musa berkata indeks jenayah seluruh negara telah mencatatkan penurunan sebanyak 15 peratus pada suku pertama tahun ini iaitu sebanyak 52,366 kes berbanding tahun lalu 61,562 kes.

"Jenayah jalanan pula menurun sebanyak 28 peratus iaitu sebanyak 7,330 kes tahun ini berbanding 9,984 kes pada suku pertama tahun lalu.

"Penurunan indeks ini melibatkan kawasan-kawasan panas di empat buah negeri iaitu Pulau Pinang, Kuala Lumpur, Selangor dan Johor," katanya.

Ini menunjukkan Polis Diraja Malaysia telah melepasi sasaran Petunjuk Prestasi Utama dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara iaitu penurunan indeks jenayah jalanan sebanyak 20 peratus menjelang hujung tahun ini.

- Bernama

Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90