CONTOH SOALAN EXAM / PEPERIKSAAN PTD 2014

Kepada calon yang akan menduduki peperiksaan PTD pada 1 November 2014
Dapatkan Pakej Rujukan Soalan PTD SPA segera! --> http://jvsecurepay.com/access/116rg/28?camp_id=2264



Malayan Union: Teladan buat generasi kini, akan datang

on Friday, April 23, 2010

Oleh Yatimah Rumin
Pegawai Arkib di Arkib Negara

Pelbagai masalah yang tercetus dalam masyarakat kita hari ini, antaranya kerana gagal menyelusuri, menghayati dan memahami sejarah. Ada yang mempertikaikan institusi Raja dan membangkit hak orang Melayu. Mengambil iktibar daripada peristiwa lalu, jelas kepada kita bahawa kekuatan sesuatu bangsa dan negara terletak kepada kekukuhan jati diri setiap warganya, kewibawaan pemimpin dan kedaulatan Raja-Raja.

Malah, pengorbanan pemimpin terdahulu dalam memerdeka dan membangunkan negara ini wajar dihargai dan dijadikan teladan oleh semua. Raja-Raja Melayu pula berperanan sebagai penaung dan tonggak perpaduan bagi semua rakyat tidak mengira kaum, bangsa dan agama yang dianuti.

Dalam sekian lama mempertahankan hak dan kedaulatan orang Melayu, Raja-Raja Melayu tidak sekali-kali mengetepikan hak kaum lain. Sebagai rakyat, kita perlu meletakkan kesetiaan yang tidak berbelah-bahagi terhadap Raja kita. Oleh itu, marilah kita hayati pengajaran daripada peristiwa Malayan Union.
Selepas tamat perang dunia kedua, British mentadbir semula Tanah Melayu melalui Pentadbiran Tentera. Dalam pada itu, Kerajaan British bersedia dengan satu sistem pentadbiran sivil yang mengejutkan seluruh rakyat Tanah Melayu, iaitu Malayan Union.

Pentadbiran Malayan Union (1 April 1946 hingga 1948), secara umumnya sudah menukar taraf kedudukan Tanah Melayu sebagai sebuah negeri naungan kepada negeri jajahan British. Kuasa pentadbiran Tanah Melayu terletak sepenuhnya kepada Gabenor British. Ini menyebabkan Raja-Raja Melayu bukan saja kehilangan kuasa melindungi rakyat negerinya, malah turut kehilangan kuasa memerintah negeri masing-masing. Sebaliknya bidang kuasa baginda hanya dihadkan kepada hal berkaitan adat resam dan agama Islam saja.

Malayan Union juga memperuntukkan undang-undang baru yang memberi kewarganegaraan kepada semua orang yang lahir di Tanah Melayu dan Singapura tanpa mengira bangsa, termasuk juga pendatang yang sudah tinggal melebihi 10 tahun. Warganegara Malayan Union juga akan memperoleh hak yang sama, termasuk penerimaan masuk ke dalam perkhidmatan awam.
Kuasa Raja-Raja Melayu dan persoalan kerakyatan di bawah Malayan Union ini membangkitkan kemarahan seluruh orang Melayu. Perasaan tidak puas hati ini mula tersebar luas. Suara kritikan diluahkan dalam akhbar Utusan Melayu, Majlis dan juga Warta Negara. Golongan cendekiawan dan pemikir menyuarakan keresahan serta melontarkan idea bagi membangkitkan semangat agar orang Melayu bersatu dalam menggalas masalah dihadapi secara lebih telus dan bersepadu.

Situasi ini akhirnya mencetuskan satu gelombang bersepadu antara suara rakyat dan pemerintah dalam menentang dasar Malayan Union. Kemunculan Malayan Union menyuntik kesedaran orang Melayu bahawa perjuangan besar untuk mendapatkan kembali maruah dan kedaulatan negara tidak mungkin tercapai dengan suara minoriti.

Menyedari hakikat ini, satu kongres yang menghimpunkan 41 persatuan Melayu seluruh negara diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Selangor pada 1 hingga 4 Mac 1946. Kongres ini didukung dan digerakkan Pengerusi Persekutuan Melayu Selangor, Zainal Abidin Ahmad (Zaaba); Yang Dipertua Pergerakan Melayu Semenanjung, Datuk Onn Jaafar dan Yang Dipertua Ikatan Melayu Perak, Datuk Panglima Bukit Gantang bersama-sama pemimpin pertubuhan Melayu lain di seluruh Persekutuan Tanah Melayu.

Kongres Melayu yang pertama ini dirasmikan Sultan Selangor, Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah Alhaj. Dalam ucapan perasmiannya, baginda Sultan amat menyokong penuh penubuhan sebuah Persatuan Umat Melayu yang kuat di Tanah Melayu bagi menjamin kepentingan dan hak orang Melayu serta negara terus terpelihara.

Kongres yang berlangsung selama empat hari itu membuat tiga ketetapan utama – penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (Pekembar), membantah penubuhan Malayan Union dan mengadakan Derma Pelajaran Kebangsaan Melayu.

Dengan ketetapan itu, akhirnya Umno secara rasmi diisytiharkan penubuhannya pada 11 Mei 1946 di Istana Besar Johor. Cogan kata ‘Hidup Melayu’ mendasari perjuangan Umno pada ketika itu dipimpin Onn Jaafar.

Apabila Tunku Abdul Rahman mengambil alih pucuk pimpinan Umno, cogan kata ‘Hidup Melayu’ ditukar kepada ‘Merdeka’. Berlandaskan cogan kata ini, perjuangan Umno diperhebatkan sehingga negara berjaya beroleh kemerdekaan.

Kejayaan itu adalah hasil permuafakatan dan sokongan padu seluruh rakyat kepada pemimpin dan Raja-Raja Melayu. Rakyat mulai sedar, kita tidak boleh selamanya berada di bawah telunjuk penjajah. Fenomena ini adalah satu kejutan besar kepada pihak British yang sentiasa beranggapan bahawa orang Melayu adalah bangsa yang lemah dan pasif dalam mengendalikan keperluan serta kepentingan masyarakat mereka sendiri.

Rentetan peristiwa sejarah negara ini amat penting difahami dan dihayati semua rakyat negara ini, tanpa mengira lapisan masyarakat dan batas kaum. Malayan Union, walaupun singkat usianya, meninggalkan impak amat hebat dan ia menjadi satu pengajaran yang amat berharga buat kita semua sebagai generasi pewaris.

Satu perkara menarik perlu diketahui umum, kegagalan pelaksanaan Malayan Union di Tanah Melayu tidak langsung bergantung kepada kekuatan bala tentera atau jumlah senjata yang digunakan. Tidak juga melalui sebarang pertempuran atau keganasan. Sebaliknya, penentangan diajukan adalah melalui gabungan kuat suara rakyat serta pemimpin yang dipayungi Raja-Raja Melayu. Penyatuan suara ini juga amat unik sehingga dapat merungkai segala percaturan dan rancangan rapi yang disusun pihak British.

Jalinan erat kerjasama antara rakyat, pemimpin dan Raja ibarat selirat akar di umbi. Teguh akar dan umbi, maka teguhlah pokoknya. Cetusan semangat dan inspirasi daripada Malayan Union perlu diambil dan disemat sentiasa dalam jiwa setiap rakyat ketika mengharungi apa juga kemelut dan keadaan. Ketelusan, kebijaksanaan dan kewibawaan pemimpin pula akan membawa rakyat dan negara ke arah kemajuan yang seimbang, kemakmuran dan kesejahteraan.

Hakikat perlu kita fahami ialah institusi Raja yang diwarisi secara tradisi sejak dulu lagi sesungguhnya amat penting buat kita semua dan wajar untuk ia dipertahankan bersama. Jika hilang tradisi ini, maka hilanglah tonggak warisan negara. Dan hilangnya juga tidak akan berganti lagi.

- BERITA HARIAN
Ranking: 5

{ 0 comments... read them below or add one }

Post a Comment

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
© MY ADHA - Soalan Exam Pegawai Tadbir Diplomatik PTD | Hakcipta Terpelihara 2008 - 2014
D.I.Y Themes ByBelajar SEO