Top Ad 728x90

Penangan Gunung Berapi Eyjafjallaokul

Oleh HAFIZAHRIL HAMID

Dengan penduduk hanya seramai 318,000 orang serta keluasan 103,001 kilometer persegi, Iceland merupakan negara pulau ke-18 terbesar di dunia dan kedua terbesar di Eropah selepas Britain.

Fakta menarik tentang Iceland adalah negara itu menjadi yang pertama mempunyai Perdana Menteri homoseks iaitu Johanna Siguroardottir. Beliau yang juga seorang lesbian kini menjalin hubungan dengan Jonina Leosdottir yang juga seorang penulis terkenal di sana.

Dari segi ekonominya Iceland walaupun hanya sebuah negara kecil tetapi merupakan antara negara termaju dan paling produktif di dunia. Kejayaan tersebut disumbangkan oleh kepelbagaian ekonominya sejak Iceland menyertai Kawasan Ekonomi Eropah pada 1994. Namun akibat krisis ekonomi pada 2008 negara itu turut berhadapan dengan krisis perbankan yang teruk mengakibatkan kebanyakan bank terpaksa diisytiharkan muflis.

Itu serba sedikit yang boleh diterangkan mengenai Iceland yang lebih banyak menyepikan diri berbanding negara-negara Eropah lain. Kini Iceland menjadi tumpuan malah tidak kurang juga yang menyumpah berikutan apa yang berlaku di negara itu sekarang.

Segala-galanya berlaku adalah hukum alam yang tidak boleh dielakkan. Letusan gunung berapi di bawah glasier kelima terbesar di Iceland, Eyjafjallajokull merupakan satu kejadian yang unik tetapi akhirnya menyusahkan jutaan manusia. Ini kerana ramai yang terpaksa membatalkan perjalanan mahupun terkandas di lapangan terbang akibat insiden di luar jangka itu.

Segalanya bermula pada 21 Mac lepas kira-kira pukul 11.30 malam apabila berlaku letusan pertama di gunung berapi yang ditutupi litupan ais. Akibatnya lebih 600 penduduk terpaksa meninggalkan rumah mereka. Gunung berapi Eyjafjallajokull meletus setelah tidak aktif selama hampir 200 tahun. Ia adalah yang pertama di Iceland sejak 2004 dan yang pertama berdekatan glasier Eyjafjallajokull sejak 1823.

Letusan kecil itu tidak berbahaya. Namun dibimbangi ia akan mencetuskan satu lagi letusan dari gunung berapi berhampiran iaitu Katla yang boleh memberi kesan terhadap penduduk setempat dan global. Keadaan panas yang melampau berikutan letusan itu juga dikhuatiri boleh menyebabkan glasier cair dan mengakibatkan banjir besar.

Namun akibat dari kejadian yang sangat jarang berlaku itu bencana yang sepatutnya menimbulkan kegusaran kepada manusia telah diambil kesempatan oleh para pelancong apabila mereka berpusu-pusu ke kawasan letusan gunung berapi meskipun lahar melimpah menuruni dua lurah selang beberapa hari kemudian.

Bagaimanapun kesan dan akibat dari kejadian itu sangat tidak dijangka. Kesan yang lebih teruk berlaku apabila letusan pada 15 April lalu yang 15 kali ganda lebih kuat, telah menjejaskan sistem pengangkutan udara di seluruh Eropah. Kepulan abu yang menjejaskan beribu-ribu penerbangan di benua Eropah dikatakan terhasil akibat tindak balas magma yang membeku dengan pantas apabila terkena ais yang meliputi puncak gunung.

Larangan penerbangan dikuatkuasakan kerana debu yang mengandungi partikel batu halus serta kaca boleh melumpuhkan enjin dan menjejaskan kerangka pesawat.

Dari Wellington hingga ke Tokyo, penumpang yang mahu ke Eropah terpaksa menunggu dalam keadaan tidak pasti bila penerbangan hendak disambung semula. Pada masa yang sama gunung berapi Eyjafjallajokull masih berterusan memuntahkan laharnya, sekali gus mencetuskan masalah trafik udara terbesar sejak serangan pengganas 11 September 2001.

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) memaklumkan, letusan gunung berapi tersebut telah mengakibatkan kerugian sejumlah AS$200 juta (RM700 juta) sehari kepada industri berkenaan. Malah IATA menganggarkan industri penerbangan bakal mengalami kerugian perolehan sebanyak AS$1.7 bilion (RM5.44 bilion) hanya dalam tempoh seminggu. Memburukkan lagi keadaan, dikatakan lebih 100,000 penerbangan ke Eropah terpaksa dibatalkan. Kepulan debu gunung itu turut menjejaskan pelbagai kegiatan ekonomi termasuklah industri hiburan Hollywood serta kegiatan sukan yang melibatkan pemain-pemain bertaraf bintang. Namun ada di antara mereka yang masih cekal meneruskan perjalanan seperti penyanyi terkenal Whitney Houston yang bertukar kepada feri merentasi Laut Ireland demi memastikan persembahannya di Dublin berjalan lancar.

Begitu juga kelancaran perlumbaan F1 mungkin terjejas kerana kebanyakan mekanik dan kakitangan masih terkandas di China manakala kejuaraan MotoGP Jepun hari ini terpaksa ditunda. Namun begitu semangat yang ditunjukkan oleh para pemain Liverpool yang terpaksa menempuh perjalanan sejauh 2,000 kilometer untuk sampai ke Madrid bagi berdepan kelab Atletico Madrid untuk perlawanan separuh akhir pertama Liga Europa melalui jalan darat seharusnya dipuji.

Terjejas

Menarik juga untuk disentuh akibat fenomena kepulan debu gunung berapi yang menyebabkan hampir keseluruhan industri di Eropah terjejas teruk akibat terlalu bergantung kepada sistem penerbangan. Ini kerana selain Eropah sebagai pusat kewangan bagi kebanyakan negara dunia ia juga menjadi mercu kejayaan industri pelancongan dan penerbangan. Namun kini hanya kerana kepulan abu gunung berapi yang mungkin dianggap remeh segala kesombongan dan kecanggihan teknologi yang diagungkan akhirnya tidak lagi berkesan.

Pastinya peristiwa pembatalan penerbangan yang mengganggu kelancaran pelbagai urusan manusia memberi pengajaran yang bermakna kepada kita. Jika selama ini Eropah sering berbangga dengan sistem pengangkutan mereka serba canggih akhirnya keegoan mereka tercalar hanya kerana debu asap gunung berapi.

Namun untuk menyalahkan sistem pengangkutan sebagai faktor utama penumpang terkandas adalah tidak adil kerana apa yang berlaku adalah kesan dari impak alam yang tidak diduga. Kita pastinya tidak boleh membayangkan kehidupan tanpa kapal terbang kerana ia adalah satu keperluan. Apatah lagi dalam kehidupan moden, industri penerbangan memudahkan manusia berhubung, berkunjung mahupun menjalankan urusan perniagaan walaupun membabitkan jarak yang jauh.

Itu antara cabaran yang perlu dihadapi industri penerbangan apatah lagi membabitkan urusan bernilai ratusan dolar hanya dalam sehari. Hakikatnya industri penerbangan lumpuh seperti apa yang berlaku sekarang akan turut menjejaskan hampir kesemua industri lain.

Walaupun kemelut ini semakin surut memandangkan kebanyakan lapangan terbang di Eropah mula dibuka semula secara beransur-ansur bermula Rabu lepas, kesesakan teruk disebabkan awan diselimuti abu gunung berapi dari Iceland masih belum berakhir. Pihak berkuasa udara menjangka tempoh berminggu-minggu ataupun berbulan diperlukan sebelum semua penumpang yang terkandas di serata dunia boleh dibawa pulang ke tanah air masing-masing

Namun apa yang lebih membimbangkan kini adalah kemungkinan letusan gunung berapi akan terus berulang dalam tempoh terdekat. Profesor geofizik yang juga penasihat perlindungan awam Iceland, Magnus Tumi Gudmundsson memberi amaran bahawa berdasarkan sejarah, gunung berapi paling berbahaya di Iceland Katla, meletus dalam tempoh setahun selepas letusan di Eyjafjallajokull pada 1821.

“Dan berdasarkan apa yang berlaku pada 1821 letusan itu telah berlaku secara berterusan selama tiga tahun yang menjejaskan kehidupan manusia serta mengakibatkan kematian haiwan ternakan selain kejadian banjir teruk,” kata Gudmundsson.

Maka apa yang perlu dibimbangi sekarang adalah sama ada akan ada letusan seterusnya dan sejauh mana kesannya berbanding dahulu. Jika benar akan berlaku letusan yang lebih teruk maka apakah langkah yang perlu diambil Eropah untuk menghadapi ancaman tersebut.

Yang pasti walaupun pelbagai teknologi canggih telah dibangunkan untuk membantu manusia mengesan sebarang kejadian alam yang tidak diingini namun manusia akhirnya tewas kepada kuasa alam yang lebih mengetahui segalanya.

- MINGGUAN MALAYSIA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90