Top Ad 728x90

'Dekan' Ajai cari pelapis Keynote


Seiring dengan perjalanan karier yang telah mencecah usia selama 20 tahun, komposer terkenal tanah air, Mohd. Faizal Maas atau lebih dikenali sebagai Ajai mengorak langkah baru untuk bergelar seorang dekan.

Pengalaman beliau sebagai pemuzik, penyanyi, penerbit, komposer dan usahawan dihimpunkan menjadi satu untuk mendidik dan berkongsi pengetahuan dengan pelapis komposer muda yang bakal dicungkil bakat mereka menerusi sebuah program realiti terbaru berjudul Keynote.

Menurut Ajai selaku pencetus idea program berkenaan, Keynote mempunyai misi mencari bakat-bakat muda dalam bidang penciptaan lagu yang berkaliber untuk menjadi seorang penerbit album.

"Proses seperti inilah yang bakal dilalui oleh 12 peserta sekiranya terpilih menjadi finalis selama tiga bulan di akademi Keynote nanti.

"Tidak semua komposer mampu bergelar penerbit. Tapi, inilah yang menjadi matlamat utama penerbitan Keynote," jelas Ajai pada sidang akhbar memperkenalkan program tersebut di Hard Rock Cafe, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bapa yang baru sahaja menyambut kelahiran cahaya matanya yang kedua turut memberitahu, pelapis muda yang dijejakinya ini berpeluang berkolaborasi dengan artis tanah air.

"Ini merupakan platform kepada mereka untuk menonjolkan bakat terpendam dan apa yang mereka pelajari di pusat pengajian tinggi mahu pun di tempat lain.

"Lagu-lagu yang dicipta setiap minggu itu akan diberi kepada artis untuk dijadikan single atau dimuatkan dalam album," katanya.

Walaupun menawarkan hadiah wang tunai berjumlah RM10,000 sahaja, pulangan yang bakal diperoleh oleh sang juara dalam jangka masa panjang tidak mampu dinilai.

Para peserta akan menerima tugasan pada setiap minggu dengan genre muzik yang berbeza seperti pop, rock, world music, jazz dan pelbagai lagi.

Selain itu, Ajai bersama rakan kongsi Erwin Azizi telah menubuhkan E&A Production sebagai platform kepada semua peserta yang bakal bersaing di arena Keynote dalam merealisasikan minat serta cita-cita mereka bergelar komposer setelah keluar daripada rancangan itu kelak.

Sesi uji bakat Keynote terbuka kepada semua yang berumur di antara 18 hingga 35 tahun dan tidak terpengaruh dengan sebarang kesalahan jenayah.

Keynote akan mula bersiaran di saluran Astro Ria, setiap Selasa bermula 15 Jun ini pukul 10 malam yang menggandingkan Yasmin Hani danFarish Aziz selaku pengacara.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90