Top Ad 728x90

,

Mercedes-Benz C250 dengan teknologi baru


Ketepikan stigma bahawa Mercedes-Benz C-Class adalah untuk orang tua atau baru jadi kaya. Hapuskan label basi tersebut. Itu mungkin suatu waktu dulu. Ini kerana model terbaru dalam keluarga C-Class iaitu C250 CGI tampil dengan kombinasi reka bentuk lebih sporty, berjiwa muda dan paling penting, teknologi enjin yang bertenaga serta lebih jimat petrol.

C250 mengekalkan jeriji depan tiga bintang besar yang memperlihatkan pengaruh elemen sport dan kini seluruh badannya diulit dengan garisan krom yang menampakkan ciri eksklusifnya. Rim tayarnya direka dengan motif lima tiang, yang keluar sama sekali daripada kepompong ‘kebosanan’.

Namun seperti yang dinyatakan tadi, C250 ini didatangkan dengan teknologi baru iaitu CGI BlueEFFICIENCY dengan teknologi Suntikan Minyak Dicaj (CGI). Sistem suntikan serba baru dalam industri automotif global daripada Mercedes-Benz menghasilkan penggunaan bahan api hanya pada kadar 7.2 hingga 7.9 liter bagi setiap 100 kilometer.

Enjin petrol 4-silindernya yang juga baru dibangunkan iaitu M271 DEH bersama suntikan terus dan turbocaj menjadikan model ini lebih efisien dan seronok untuk dipandu. Pedal penukar gear pada kemudi roda menambahkan nikmat memecut terutama di laluan berselekoh.

Enjin ini memenuhi piawaian pengeluaran asal EU5 dan di sebalik prestasi kuasa kilasan (torque) dan kuasa yang tinggi, ia tidak ‘minum’ banyak petrol.

Menurut Mercedes-Benz, penjimatan itu dicapai menerusi sistem suntikan berteknologi tinggi dan pertambahan dalam nisbah pemampat bagi kadar kecekapan lebih tinggi; caj turbo bagi peningkatan dalam output digabungkan dengan kapasiti enjin dikecilkan; aci sesondol ekzos dan injap pengambilan yang boleh diubah-ubah bagi memastikan kelancaran kuasa kilasan ke atas keseluruhan julat kelajuan enjin dengan penjimatan bahan api dan pengeluaran asap rendah.

Apakah BlueEFFICIENCY? Secara ringkasnya ia mengurangkan penggunaan bahan api sehingga 12 peratus. Bagi semua model BlueEFFICIENCY, jurutera Mercedes telah mengkaji dan mencungkil segala potensi daripada semua bidang pembangunan bagi mengurangkan berat, meningkatkan aerodinamik dan pengelakkan kenderaan daripada berpusing. Pengurusan tenaga dalam kereta juga diatur semula.

Pakar-pakar di Sindelfingen telah melakukan penambahbaikan yang teliti kepada pembinaan konsep badan ringan C-Class dan berjaya mengurangkan antara 19 dan 31 kilogram bergantung kepada model.

Pada tahap 0.26 Cd, C-Class adalah antara kereta salun paling aerodinamik dalam segmen pasarannya. Ia dihasilkan menerusi perincian pintar seperti lampu belakang yang direka mempunyai aliran angin. Ia bagi mengurangkan tekanan angin pada kedua-dua sisi badan kereta, iaitu meleraikan angin pada lampu belakang tanpa mengakibatkan gelora angin di belakang kereta.

Lampu ini menggantikan spoiler pada but. Jadi, tidak perlulah anda menambah apa-apa spoiler pada kenderaan ini.

Jurutera Mercedes juga telah berjaya menambah baik reka bentuk Cd (Cd figure) C-Class menerusi penutupan sepenuhnya bahagian bawah badan kereta yang memastikan aliran udara di bawah itu tidak berlaku gelora angin. Selain itu, bahagian bonet dan lampu depan dipateri sama seperti bamper dan lampu depan. Ini meningkatkan aliran udara daripada depan.

Cermin kenderaan ini dibangunkan dalam makmal terowong angin dan direka sejajar dengan bentuk kereta.

Faktor-faktor di atas berjaya menurunkan Cd figure bagi model BlueEFFICIENCY sebanyak tujuh peratus menjadi 0.26, yang kelihatannya halus tetapi sebenarnya satu sumbangan besar kepada penjimatan bahan api.

Daripada segi prestasi C 250 CGI BlueEFFICIENCY ini menjana 150 kW/204 kuasa kuda dan 310 Newton meter pada kuasa kilasan. Kereta ini hanya memerlukan 7.4 saat untuk mencapai 100 km/j.

Mercedes-Benz telah membangunkan Pakej Pengendalian Dinamik yang menawarkan pemandu dua pilihan sistem gantungan iaitu Sport dan Comfort yang ditukar menggunakan kawalan elektronik.

Sebanyak tujuh pengesan yang mengawasi keadaan pemanduan semasa dan menyampaikan maklumat itu menerusi unit kawalan elektronik, yang kemudiannya ‘mengira’ perwatakan penyerap hentakan yang optimum. Bergantung kepada keadaan jalan atau pengendalian, sistem ini menyesuaikan kuasa penyerap bagi setiap satu roda, yang memberikan keselesaan pemanduan.

Menggunakan pakej dinamik ini, pemandu boleh menetapkan gaya pemanduan yang dimahukan sama ada Comfort atau Sport yang terdapat pada papan pemuka. Pada tahap Sport, kuasa hidraulik pada penyerap hentakan ditingkatkan bagi mencapai kestabilan pemanduan yang lebih lagi semasa memecut dan mengurangkan ‘under steer’ pada kelajuan sehingga 120 km/j, misalnya.

Dengan pakej ini, badan kereta ini berada pada kedudukan 15 milimeter lebih rendah berbanding Mercedes-Benz C 200 K, memaparkan spring lebih rendah dan besi penstabil lebih tebal.

C250 ini juga menggunakan teknologi kemudi roda yang sensitif pada kelajuan. Bagi memenuhi cara pemanduan di Malaysia, nisbah kemudi telah dikurangkan daripada 14.5 kepada 13.5.

Mercedes-Benz C250 CGI BlueEFFICIENCY dengan ciri-ciri Avantgarde yang dipasang tempatan ini ditawarkan pada harga RM287,888.

- UTUSAN

1 Comment:

  1. Salam. Saya ingin bertanya, apakah perbezaan jelas diantara C250 CGI AVANTGARDE model tahun 2010 berbanding 2011? Adakah pada 'Fog Lamp' nya sahaja?

    BalasPadam

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90