Benigno Aquino Jr. III dilantik sebagai Presiden Filipina ke-15


Kongres Filipina hari ini mengesahkan pelantikan Benigno Aquino Jr. III sebagai presiden ke-15 negara tersebut.

Aquino, 50, akan mengangkat sumpah sebagai presiden ke-15 Filipina pada 30 Jun bagi menggantikan Gloria Macapagal Arroyo yang telah menerajui negara itu selama sembilan tahun.

Menurut perlembagaan Filipina, seorang presiden hanya dibenarkan menyandang jawatan tersebut sebanyak dua penggal sahaja.

Sementara itu, Malaysia mengucapkan tahniah kepada Benigno Aquino Jr. III di atas pelantikan beliau sebagai presiden Filipina yang baru.

Dalam perutusan tahniah kepada Aquino hari ini, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, Malaysia yakin hubungan dua hala dengan Filipina akan diperkukuhkan lagi dalam semua bidang kepentingan bersama.

"Malaysia juga mahu bekerjasama rapat dengan Republik Filipina ke arah mencapai wawasan bersama bagi Asean yang stabil dan makmur," katanya dalam kenyataan. Kiraan undi rasmi kongres yang berakhir pada Selasa menyaksikan Aquino menewaskan lapan pesaingnya dengan memperoleh lebih 15 juta undi.

Ibu Aquino, Corazon adalah bekas presiden negara itu yang mengambil alih pemerintahan daripada Ferdinand Marcos dalam satu gerakan demokrasi pada tahun 1980an sementara bapanya pula, Benigno Aquino Jr. adalah ikon demokrasi Filipina yang dibunuh sebaik sahaja dia dibebaskan dari penjara.

Jika tidak kerana mati terbunuh, bapanya sudah pasti akan menyandang jawatan presiden dan bukan ibunya.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url