Top Ad 728x90

Golongan homoseksual perlu bijak tangani nafsu

Oleh Wan Marzuki Wan Ramli

Mutakhir ini pelbagai media banyak memaparkan mengenai gejala gay dan lesbian yang semakin berleluasa di beberapa tempat di negara ini. Ada yang menganggap gejala ini tidaklah serius dan masih lagi terkawal tetapi persoalannya wajarkah kita membiarkan ia merebak atau lebih tepat lagi terus bertapak di bumi Allah ini.

Seluruh umat Islam perlu memandang serius perkembangan ini kerana sebahagian besar daripada kalangan mereka yang terbabit dalam gejala yang dilaknat Allah itu adalah mereka yang beragama Islam. Hakikatnya kemodenan dan kecanggihan bukanlah alasan untuk kita mengorbankan jati diri kita sebagai umat Islam, sebaliknya kita perlu meningkatkan ketakwaan kepada Allah bagi menghadapi dunia yang serba mencabar.

Kelompok yang terbabit dengan cinta sesama jenis ini bukan saja tidak berasa diri mereka bersalah malah ada antaranya rasa bangga dengan ‘kelebihan’ yang kononnya mereka miliki. Apa yang perlu difahami, kecenderungan seseorang kepada homoseksual atau lesbian bukanlah takdir tetapi pilihan ditentukan oleh manusia itu sendiri.

Justeru, mereka yang terbabit perlu bijak mengendalikan nafsu dan bukannya menjadi hamba kepada nafsu. Mungkin ada di antara mereka akan berhujah ‘ini kebebasan dan hak kami sebagai manusia’ tetapi hakikatnya manusia tidak pernah diberi hak penuh untuk memuaskan segala keinginan hatinya oleh Allah.

Sebaliknya, hak manusia itu dibatasi dengan hukum Islam yang ditetapkan dan tidak pernah berubah. Begitulah juga mereka yang terjebak dengan homoseksual dan lesbian ini. Sebagai insan dilahirkan menjadi seorang Islam, mereka seharusnya amat mengerti apa yang mereka lakukan amat bertentangan dengan perintah dan suruhan Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan (Kami juga mengutus) Lut (kepada kaumnya). (Ingatlah) ketika dia berkata kepada kaumnya: Mengapa kamu mengerjakan perbuatan yang keji itu, yang belum pernah dikerjakan oleh seorang pun (di dunia ini) sebelum mu?”

“Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk melepaskan nafsu syahwat kamu dengan meninggalkan perempuan, bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas. Dan tidak ada jawab dari kaumnya selain daripada berkata, ‘Usirlah mereka (Lut dan pengikutnya) dari bandar mu ini; sesungguhnya mereka adalah orang yang berpura-pura menyucikan diri. Kemudian Kami selamatkan dia dan keluarganya melainkan isterinya; dia termasuk orang yang dibinasakan.’' Dan Kami menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah bagaimana akibat orang yang melakukan kesalahan.” (Surah Al-A'raaf, ayat 80 hingga 84)
Perkataan keji dalam konteks ini bererti tindakan cabul, liwat dan lesbian yang dilakukan kaum Nabi Lut. Hakikatnya, dosa besar seperti dilakukan kaum Lut akan dihukum di akhirat kerana hukumannya lebih berat daripada azab dunia dan kehinaan di akhirat adalah lebih besar daripada kehinaan di dunia.

Ulama bersetuju berdasarkan al-Quran dan hadis, wujud larangan keras terhadap perbuatan homoseksual dan lesbian kerana kedua-dua tindakan itu pemusnah institusi kekeluargaan terutama ikatan pernikahan yang suci.

Justeru, mereka yang terjebak dalam gejala ini perlu mengawal nafsu kerana manusia bukanlah haiwan yang dikawal nafsu seks semata-mata. Manusia harus bertanggungjawab untuk mengetahui bagaimana mereka dapat mengarahkan keinginannya yang diberikan Allah kepada mereka, sama ada lelaki atau wanita.

Jika ada di antara mereka menganggap apa yang dilakukan kebebasan dan hak mereka sebagai manusia, hakikatnya ia jauh menyimpang daripada sebuah kehidupan, apatah lagi Islam sememangnya menetapkan hukuman berat kepada mereka yang melakukan perbuatan terbabit.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan (terhadap) wanita yang mengerjakan perbuatan keji, hendaklah ada empat saksi di antara kamu (yang menyaksikannya). Kemudian apabila mereka memberi kesaksian, maka kurunglah mereka (wanita-wanita itu) dalam rumah sampai mereka menemui ajalnya, atau sampai Allah memberi jalan yang lain kepadanya. Dan terhadap dua orang yang melakukan perbuatan keji di antara kamu, maka berilah hukuman kepada kedua-duanya, kemudian jika kedua-duanya bertaubat dan memperbaiki diri, maka biarkanlah mereka. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.” (Surah An-Nisa, ayat 15-16)

Ulama menyatakan ayat ke-15 itu merujuk kepada golongan lesbian yang melakukan perilaku sesat dan ayat berikutnya pula adalah golongan homoseksual yang melakukan perbuatan berkenaan.

Rasulullah SAW pula bersabda: “Empat kelompok manusia yang bangun daripada tidurnya di bawah kemarahan Allah dan pergi tidur di bawah ketidaksenangan Allah. Mereka yang mendengarkan perkataan baginda bertanya, siapa mereka ya Rasulullah? Rasulullah SAW menjawab, lelaki yang menyerupai perempuan dan perempuan yang menyerupai lelaki, mereka yang melakukan hubungan seks dengan binatang dan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki.”

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90