Top Ad 728x90

,

Perbankan Islam dibenar laksana denda lewat

Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia memutuskan bahawa bank yang menyalurkan pembiayaan di bawah perbankan Islam boleh mengenakan ta’widh atau bayaran ganti rugi terhadap peminjam yang lewat membayar balik pembiayaan yang diberikan.

Bank Negara dalam kenyataannya semalam berkata, ta’widh atau ganti rugi itu boleh dikenakan bagi kelewatan pembayaran balik pembiayaan yang dibuat berasaskan kontrak jual beli, pembiayaan sewa beli serta qard atau hutang.

Katanya, keputusan itu dibuat dalam mesyuaratnya yang ke-95 pada 28 Januari lalu.

“Ta’widh itu bagaimanapun hanya boleh dikenakan selepas tamat tempoh melunaskan hutang yang dipersetujui kedua-dua pihak,” katanya.

Bank Negara berkata, jumlah bayaran ta’widh yang diterima itu boleh diambilkira oleh bank sebagai pendapatan bagi menggantikan kerugian sebenar yang ditanggung.

Mengikut kenyataan bank pusat itu lagi, sejajar dengan keperluan menjaga kepentingan umum serta memastikan keadilan terhadap pembiaya dan pelanggan, majlis itu turut memutuskan bank yang menyalurkan pembiayaan di bawah perbankan Islam kini dikehendaki memberikan ibra’ atau rebat kepada pelanggan yang melunaskan hutangnya lebih awal.
Bagi mengelak ketidakpastian berhubung hak pelanggan untuk menerima ibra’ daripada institusi perbankan, pemberiannya perlu dimasukkan sebagai salah satu klausa dalam dokumentasi undang-undang pembiayaan berkenaan, katanya.

“Penentuan formula ibra’ ini akan diselaraskan Bank Negara,” tegas kenyataan itu.

Sementara itu, bagi mengelak berlaku kes pelanggan tidak melunaskan hutang bagi kontrak yang dibuat secara Islam, Bank Negara berkata, majlis itu turut membenarkan pengenaan caj pembayaran lewat oleh bank merangkumi konsep gharamah (denda atau penalti) serta ta’widh.

Katanya, gharamah bagaimanapun tidak boleh diambil kira sebagai pendapatan bank terbabit dan perlu disalurkan kepada badan kebajikan.

“Bagi melindungi kepentingan pelanggan, pengenaan caj pembayaran lewat itu harus mengambil kira keupayaan kewangan pelanggan. Kadar maksimum bagi gharamah dan ta’widh yang boleh dikenakan pula akan ditentukan Bank Negara,” katanya.

Bank Negara berkata, tarikh melaksanakan resolusi berkaitan ibra’ dan mekanisme caj pembayaran lewat itu bakal ditentukan dalam garis panduan yang akan dikeluarkan kelak.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90