Top Ad 728x90

Standard keselamatan kad kredit dipertingkat

Pengguna kad kredit akan menikmati tahap keselamatan lebih tinggi tidak lama lagi apabila semua pihak berkaitan penggunaannya di negara ini diwajibkan mematuhi keperluan standard keselamatan baru Majlis Keselamatan Standard jenama pembayaran dunia (PCI DSS).

Di bawah standard baru yang perlu dipatuhi selewat-lewatnya 30 September ini, semua bank, syarikat insurans, hotel, pedagang, hospital dan gedung membeli-belah di seluruh dunia perlu memastikan data maklumat semua pemegang kad kredit yang berurusan dengan mereka sentiasa disimpan, diproses dan dihantar secara selamat.

Ahli majlis PCI terdiri daripada syarikat pembayaran utama dunia seperti Visa Inc, MasterCard Worldwide, JCB International dan Discover Financial Services.

Pengurus AP Cyber Security Assessment Services, sebuah syarikat perunding bagi keselamatan transaksi kad kredit, Dr Jean-guy Rioux, berkata pematuhan kepada standard baru itu bertujuan mengurangkan kes penipuan kad kredit yang semakin meningkat di seluruh dunia.

“Standard baru ini bukan saja akan melindungi pemegang kad kredit tetapi juga pedagang daripada jenayah penipuan kad kredit,” katanya pada sidang media sempena persidangan PCI DSS di Kuala Lumpur, semalam.

Rioux berkata, pematuhan kepada standard keselamatan baru itu diwajibkan berikutan peningkatan kebimbangan di kalangan ahli majlis PCI mengenai tahap keselamatan perlindungan data maklumat kad kredit.

“Standard baru itu yang sudah diguna pakai di Amerika Syarikat lebih awal ternyata berjaya mengurangkan kes penipuan kad kredit sehingga 40 peratus di negara itu,” katanya.
Mengikut laporan Pusat Aduan Jenayah Internet FBI, pada 2008, jumlah kerugian akibat penipuan kad kredit menerusi pembayaran secara ‘online’ di AS berjumlah AS$265 juta (RM848 juta), meningkat 33.1 peratus daripada tahun sebelumnya.

Sementara itu, Rioux berkata, di Asia Tenggara saja, kira-kira 45 juta kes penipuan kad kredit dilaporkan berlaku di rantau ini tahun lalu membabitkan kad kredit penduduk tempatan dan pelancong asing yang datang ke sini.

“Pelancong ke Indonesia dan Thailand sering menjadi sasaran penjenayah kad kredit ini yang turut terdiri daripada pekedai di kawasan pelancongan utama,” katanya.

Jelasnya lagi, kes penipuan kad kredit di mana-mana bahagian di dunia sentiasa dalam aliran meningkat berikutan pertambahan pengguna kad berkenaan.

“Keadaan itu sedang berlaku di rantau ini sejajar dengan perkembangan pesat ekonomi Asia Tenggara yang menyebabkan semakin ramai penduduknya menggunakan kad kredit.

“Semakin banyak kad kredit dalam edaran maka semakin banyak kes penipuan akan berlaku,” katanya.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90