Top Ad 728x90

,

Banci 2010 - Data bantu kerajaan merancang keperluan rakyat

Hari Banci Penduduk dan Perumahan 2010 bermula hari ini hingga 22 Ogos depan adalah antara usaha kerajaan untuk mengetahui bilangan penduduk Malaysia ketika ini dan jangkaan akan datang, sekali gus berupaya menyediakan perancangan kemudahan untuk rakyat.

Ketua Perangkawan Malaysia yang juga Pesuruhjaya Banci, Datuk Wan Ramlah Wan Abd Raof, berkata kerajaan memerlukan maklumat dan data daripada bancian itu untuk menyediakan pelbagai kemudahan masa depan rakyat seperti sekolah, hospital, kediaman dan peluang pekerjaan selaras dengan pertumbuhan penduduk Malaysia pada masa depan.

“Banci dijalankan mengikut peruntukan Seksyen 3, Akta Banci Penduduk 1960 yang menyatakan bahawa bancian boleh dijalankan di seluruh Malaysia mengenai penduduk dan maklumat difikirkan wajar bagi menentukan keadaan sosial awam atau ekonomi penduduk di negara ini.

“Kita menganggarkan kira-kira 7.4 juta unit kediaman akan dilawati pembanci di seluruh negara. Pembanci juga akan melawat institusi perubatan, asrama institusi pengajian tinggi (IPT), kem tentera, polis, penjara, pusat pemulihan dadah, kawasan penempatan Orang Asli dan penempatan pendatang tanpa izin di Sabah dengan kerjasama agensi terbabit,” katanya.

Banci adalah satu proses menghitung semua penduduk Malaysia termasuk warga asing yang tinggal di sini sekurang-kurangnya enam bulan, sama ada mereka yang datang secara sah atau haram.

Proses bancian juga membabitkan bayi yang baru lahir pada atau sebelum hari ini, mereka yang meninggal dunia pada atau selepas hari ini.

Seramai 30,000 pembanci dan penyelia ditugaskan melakukan soal selidik terhadap kira-kira 28 hingga 29 juta penduduk sepanjang tempoh bancian.
Program banci penduduk kali ini menggunakan tiga kaedah iaitu temu ramah secara bersemuka, drop-off and pick-up (DOPU) dan secara dalam talian e-Census di laman web www.statistics.gov.my.

Beliau berkata, kaedah temu ramah secara bersemuka memerlukan pembanci melawat ke setiap tempat kediaman untuk menemuramah penduduk bagi mendapatkan maklumat yang diperlukan.

“Kita menyediakan dua kaedah pengisian sendiri iaitu DOPU dan secara dalam talian e-Census bagi memudahkan orang ramai terutama pasangan suami isteri di bandar dan bandar besar yang sentiasa sibuk dengan kerja masing-masing.

“Apabila pembanci datang ke kediaman dan tidak dapat bertemu dengan ketua isi rumah, mereka akan meninggalkan Kit Banci yang mengandungi soal selidik, arahan pengisian dan pen,” katanya.

Beliau berkata, responden berkenaan boleh memilih sama ada mahu mengisi borang soal selidik berkenaan secara manual atau pun online e-Cencus di laman web jabatan terbabit.

Jika mereka memilih untuk mengisi secara manual responden hendaklah menggunakan pen disediakan dalam Kit Banci kerana mesin berkenaan hanya boleh mengimbas borang yang diisi dengan menggunakan pen bermata bulat berdakwat hitam. Ini adalah antara inovasi yang jabatan mahu perkenalkan dan tidak perlu memasukkan data secara manual seperti kebiasaan.

“Kita juga menyediakan kod akses di dalam kit berkenaan bagi membolehkan orang ramai mengisi borang soal selidik (e-Cencus) menerusi laman web. Semua borang soal selidik yang diisi menerusi secara manual perlu dikembalikan kepada pembanci dalam tempoh tiga hari dari tarikh ia diserahkan kerana kita mempunyai masa yang singkat. Jika tidak pembanci akan datang sekali lagi untuk melakukan soal selidik.

“Semua 30,000 pembanci akan diwajibkan memakai kad pengenalan yang berwarna jingga ketika bertugas, manakala penyelia pula berwarna biru. Responden boleh meminta kebenaran untuk melihat kad pengenalan yang mengandungi maklumat peribadi pembanci termasuk gambar, nombor kad pengenalan dan ditandatangani pihak berkuasa daerah masing-masing,” katanya.

Jika timbul keraguan orang ramai boleh menelefon 1-8000-88-7828 untuk pengesahan.

Ketika proses bancian, sebanyak 51 soal selidik akan ditanya kepada responden mengenai kediaman, butiran isi rumah, ciri demografi dan sosial (umur, jantina, kumpulan etnik dan agama), migrasi, taraf pendidikan dan ekonomi.

“Dalam banci kali ini, kita turut menyediakan lima soalan baru berbanding pada 2000 iaitu mengenai pendapatan kasar bulanan isi rumah; pembabitan mereka dalam bidang pertanian dan asas tani; tempat tinggal biasa mereka dalam tempoh setahun lalu; jenis pengangkutan ke tempat kerja dan umur pada perkahwinan pertama di Sabah dan Sarawak (bagi mengukur kesuburan dan kematian),” katanya.

Orang ramai yang enggan memberi kerjasama atau memberikan maklumat palsu boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Banci 1960 yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM100 atau penjara satu bulan atau kedua-duanya.

Pada masa sama, Wan Ramlah berkata, akta terbabit juga memberi jaminan bahawa semua maklumat dan data yang dikumpulkan pembanci adalah rahsia.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90