Rabu, Julai 07, 2010

Hari pertama Diana jadi pembanci

KUALA TERENGGANU 6 Julai - Diana Ali, 26, memulakan tugas sebagai pegawai banci hari ini, singgah dari rumah ke rumah di sekitar Gong Tok Nasek di sini untuk mengumpul data mengenai penghuni dan corak kehidupan mereka.

Dia memohon menjalankan tugas bagi menjayakan program Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 setelah ternampak iklan yang disebarkan melalui media dan bersyukur kerana diterima daripada sekian banyak pemohon.

"Bagi Diana, bertemu dengan orang ramai di rumah mereka adalah perkara biasa. Kerja sambilan sebagai Pembantu Pembangunan Masyarakat di Jabatan Kebajikan Masyarakat Setiu memerlukan saya menyiasat kes-kes pemohon yang memerlukan bantuan," ujar gadis itu.

Pada hari pertama, anak sulung daripada empat beradik berasal dari Bukit Besar di sini yang bermotosikal, singgah di hampir 20 rumah di kawasan liputan awal selepas dia dan rakan-rakan setugas diberi taklimat oleh penyelia pada sebelah paginya.

"Ada beberapa rumah yang Diana singgah cuma terdapat anak-anak kecil di rumah kerana ibu bapa keluar bekerja. Jadi Diana tinggalkan surat temu janji untuk datang semula.

"Kalau mereka hanya ada kelapangan pada waktu malam saya akan datang pada sebelah malam," ujarnya ketika ditemui.

Dia gembira kerana keluarga-keluarga yang ditemui memberi kerjasama sepenuhnya bagi menjawab berpuluh-puluh soalan yang dikemukakan termasuk tahap pendidikan, pendapatan, pekerjaan, pemilikan rumah dan status perkahwinan.

"Umumnya mereka mengetahui mengenai perjalanan program banci yang telah lama dihebahkan melalui media massa," ujarnya.

Diana antara 26,000 yang dilantik sebagai pegawai banci di seluruh negara dan daripada 900 orang di Terengganu bagi menjalankan tugas yang akan berakhir pada 22 Ogos depan.

Banci yang dijalankan setiap 10 tahun sekali itu mengumpulkan pelbagai data mengenai rakyat bagi menggerakkan pelbagai perancangan memenuhi wawasan negara.

- UTUSAN
           

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts