Jumaat, Julai 02, 2010

Tun Omar main peranan tuntut merdeka

Hanya tinggal 22 hari sahaja lagi sebelum Tun Omar Ong Yoke Lin menyambut tahun kelahirannya yang ke-93, namun ajal lebih dulu menjemput beliau awal pagi semalam kerana sakit tua. Perginya Omar bermakna tiada lagi bekas menteri yang pernah berada dalam barisan Kabinet pertama negara yang terbentuk pada 1955.

Anak jati Kuala Lumpur itu mengikut jejak langkah sembilan menteri Kabinet pertama lainnya yang lebih dulu meninggalkan kita. Mereka antaranya Tun H.S. Lee; Tun Dr. Ismail Abdul Rahman; Tun Leong Yew Koh dan Tun Sardon Jubir.

Sejarah mungkin lebih banyak mencatatkan bahawa Tun Tan Cheng Lock merupakan tokoh berbangsa Cina yang banyak merintis usaha ke arah kemerdekaan negara tetapi peranan yang sama sebenarnya turut digalas oleh Omar.

Malah, Omar sebenarnya memikul tanggungjawab yang besar dalam perjuangan membebaskan negara daripada penjajah kerana beliau merupakan salah seorang daripada empat anggota yang menyertai delegasi parti Perikatan ke London pada April 1957.

Delegasi yang diketuai oleh Perdana Menteri pertama negara, Tunku Abdul Rahman itu bertujuan memuktamadkan draf Perlembagaan Tanah Melayu yang membawa kepada kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957.

Sebelumnya, Omar yang merupakan pengasas kepada parti MCA pada 1949 adalah tokoh yang bertanggungjawab membentuk kerjasama politik antara bangsa Melayu dan Cina yang ketika itu semakin terpisah.

Segala-galanya bermula pada 1952 yang mana Omar ketika itu merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan MCA Selangor. Pada waktu yang sama, Datuk Yahya Razak iaitu rakan sekelas beliau ketika menuntut di Institut Victoria merupakan Ketua UMNO Kuala Lumpur.

Hubungan rapat antara mereka membawa kepada idea pembentukan parti Perikatan UMNO-MCA untuk bertanding pada pilihan raya perbandaran Kuala Lumpur pada 1952 ketika negara masih di bawah pemerintahan British.

Pilihan raya itu turut disertai oleh Parti Kemerdekaan Malaya (IMP) yang dipimpin oleh Datuk Onn Jaafar. Bagaimanapun, kerjasama UMNO-MCA yang mendapat sokongan Tunku Abdul Rahman memenangi sembilan daripada 12 kerusi yang dipertandingkan.

Pada tahun yang sama, MIC yang ketika itu dipimpin oleh Tun V. T. Sambanthan turut menyertai pakatan tersebut menjadikannya parti gabungan di peringkat kebangsaan

Formula kerjasama antara parti itu kemudiannya menjadi pelopor kepada penubuhan Barisan Nasional (BN) yang berlangsung sehingga ke hari ini.

Sumbangan besar Omar dalam konteks kemerdekaan negara tidak terhenti hanya setakat itu. Omar juga pernah mengetuai sebuah delegasi ke mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Perpaduan di Kuching, Sarawak yang bertujuan membincangkan cadangan pembentukan Persekutuan Malaysia pada 1961.

Usaha itu membawa beliau sekali lagi ke kota London pada 1963 sebagai salah seorang wakil pemimpin negara yang menurunkan tanda tangan dalam Perjanjian London 1963.

Peristiwa bersejarah itu menyaksikan terbentuknya Persekutuan Malaysia yang merangkumi Sabah dan Sarawak serta Singapura pada 16 September 1963. Bagaimanapun Singapura keluar dari Persekutuan Malaysia pada 1965.

Omar menjadi individu terakhir dalam barisan Kabinet negara sebelum dan selepas merdeka. Sumbangan Omar sepanjang 50 tahun pembabitannya dalam dunia politik tidak mampu dicatatkan sepenuhnya di dalam sebuah buku.

Beliau juga adalah antara 10 orang menteri Kabinet pertama negara yang dilantik selepas kemenangan besar parti Perikatan pada pilihan raya umum 1955. Beliau diberi tanggungjawab sebagai Menteri Telekom dan Pos Tanah Melayu sebelum dilantik memegang portfolio Pengangkutan setahun kemudian dan sebagai Menteri Buruh dan Kebajikan Sosial sebaik negara mencapai kemerdekaan.

Dua tahun kemudiannya, selepas pilihan raya umum 1959, Omar berkhidmat sebagai Menteri Kesihatan dan Kebajikan Sosial (1959-1962) sebelum dilantik sebagai menteri tanpa portfolio pada 1962 hingga 1973.

Selain itu, Omar juga dilantik sebagai Duta Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Amerika Syarikat (AS) pada 1962. Pada 1966 pula beliau dilantik sebagai Pesuruhjaya Tinggi Malaysia yang pertama ke Kanada sebelum menjadi duta Malaysia ke Brazil setahun kemudiannya.

Seperti kebanyakan tokoh politik yang lainnya, Omar yang memeluk Islam pada 1961 bergiat aktif dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selepas persaraannya. Beliau memilih untuk memberi tumpuan kepada kerja-kerja kebajikan yang digerakkan bersama isterinya, Toh Puan Dr. Aisyah Ong.

Antaranya menerusi Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia yang dipengerusikannya, Persatuan St. John Ambulans, selain bertindak sebagai Presiden Yayasan Jantung Malaysia.

Beliau juga pernah memegang jawatan sebagai Naib Presiden Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) iaitu pertubuhan yang memberi tumpuan kepada saudara-saudara baru Islam.

Jenazah Omar disemadikan di Makam Pahlawan, bersebelahan Masjid Negara selepas Asar semalam.

- UTUSAN

0 Comments:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Recent Posts