Top Ad 728x90

Pusat jalur lebar


Di sebalik kehebatan perang komunikasi antara syarikat-syarikat pengendali di negara ini, lebih separuh daripada rakyat Malaysia sebenarnya tidak berpeluang untuk menikmati perkhidmatan itu.

Buktinya, kadar penembusan jalur lebar di seluruh negara ketika ini hanya sekitar 33 peratus sahaja.

Ia masih jauh daripada sasaran kerajaan iaitu sekurang-kurang 50 peratus penembusan jalur lebar di kalangan rakyat menjelang akhir tahun ini.

Dari sudut infrastruktur, kita sebenarnya sudah mempunyai pelbagai teknologi yang canggih untuk menyebarluas perkhidmatan ini kepada seluruh rakyat termasuk di kawasan pedalaman.

Namun, apa yang menjadi halangan barangkali ialah kemampuan penduduk kerana perkhidmatan relatifnya masih mahal untuk dicapai.

Maka, di sinilah pentingnya peranan syarikat pengendali telekomunikasi bersama-sama kerajaan untuk turun padang dari sudut sumbangan korporat.

DiGi misalnya, adalah antara yang aktif memainkan peranan ini menerusi program yang dikenali sebagai Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK).

Ia merupakan projek lima tahun yang dibiayai oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) melalui dana Program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS).

Program ini antara lain memberi fokus kepada pemberian perkhidmatan capaian Internet secara kolektif kepada kawasan yang kurang mendapat liputan.

Ia bertujuan merapatkan jurang digital antara masyarakat di luar bandar seterusnya mencapai pembangunan yang sama rata dan seimbang.

PJK dibuka kepada orang ramai dengan yuran keahlian sebanyak RM5 untuk sepanjang hidup. Di bawah program ini, DiGi telah diberikan 13 kawasan untuk dibangunkan PJK termasuk di Kampung Teriang Besar, Mersing Johor.

Majlis pelancaran pusat PJK di kawasan itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan yang juga Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr. Abd. Latiff Ahmad, baru-baru ini.

Sama seperti PJK lainnya, PJK Kampung Teriang Besar, Mersing menempatkan kemudahan capaian jalur lebar rangkaian 3G Turbo DiGi. Turut dimuatkan ialah kelengkapan komputer meja sebanyak 20 buah, projektor, mesin pengimbas dan pencetak.

Setiap PJK juga akan dikendalikan oleh penyelia dan pembantu daripada kalangan penduduk tempatan yang diberi latihan oleh DiGi.

Bagi Timbalan Ketua Pegawai Teknologi DiGi, Abdul Karim Fakir Ali, beliau melihat PJK sebagai pendekatan terbaik dalam melahirkan masyarakat berasaskan ilmu pengetahuan di kalangan ahli masyarakat itu sendiri.

Dalam masa yang sama katanya, PJK turut membuka peluang kepada penduduk di kawasan pedalaman memperkukuhkan sosioekonomi menerusi peluang yang ditawarkan oleh jalur lebar.

Selain PJK, DiGi turut memperkenalkan satu rumusan dengan kos rendah bagi mempermudahkan capaian Internet di rumah.

Didatangkan dalam bentuk kekotak 'set top' berserta papan kekunci tanpa wayar yang dihubungkan ke televisyen rumah, peranti elektrik itu boleh ditempatkan di semua kediaman untuk mengakses Internet.

"Peranti mampu milik ini merupakan penyelesaian kepada masalah utama penembusan jalur lebar di kalangan penduduk pedalaman iaitu kos yang mahal. Ia dijangka akan dikomersialkan akhir bulan ini,'' katanya.

Beliau menambah, DiGi juga mengadakan projek percubaan selama dua bulan bersama kira-kira 30 buah keluarga di Kampung Teriang Besar bagi melihat sejauh mana 'set top' itu berfungsi.

Setiap keluarga akan dibekalkan dengan peranti itu lengkap dengan sambungan ke perkhidmatan jalur lebar DiGi.

"Projek percubaan ini adalah sebahagian daripada pendekatan DiGi untuk memastikan bahawa tawaran baru ini mampu memenuhi keperluan setiap ahli dalam komuniti di samping sesuai dengan gaya hidup mereka,'' tambahnya.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90