Top Ad 728x90

,

Qard dan muamalat Islam

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN

Secara asasnya, Islam tidak menggalakkan kita berhutang. Namun, kita tidak boleh menolak kemungkinan untuk berhutang bagi memenuhi keperluan hidup.

Justeru, seorang muslim tidak digalakkan berhutang kecuali ketika berhadapan situasi yang memerlukannya berbuat demikian.

Qard dari sudut bahasa bermaksud al-qat' (potong). Harta yang diserahkan kepada orang yang berhutang dinamakan qard sebab ia adalah potongan daripada harta orang yang memberi hutang.

Daripada segi istilah, qard menurut ulama Hanafi adalah pemberian harta mithliy oleh seseorang kepada seseorang yang lain yang perlu dibayar semula. Atau dengan ungkapan lain, ia satu kontrak yang khusus mengenai penyerahan harta mithliy kepada seseorang supaya orang itu memulangkan kembali harta yang sama sepertinya (rujuk Al-Durr Mukhtar, jil. IV, ms 179).

Barang mithliy adalah barang yang mempunyai unit yang serupa di pasaran seperti bangunan, rumah, tanah, kereta dan sebagainya.

Namun begitu, ulama mazhab Syafie mengharuskan pinjaman semua barang sama ada yang boleh ditentukan jenis kuantiti atau kualitinya termasuklah barang jenis mithliy atau qimiy.

Kalimah qard biasanya digandingkan dengan hasan bagi menunjukkan bahawa pinjaman dalam Islam hanyalah untuk membantu pihak yang meminjam, bukannya untuk mendapatkan keuntungan.

Islam melarang umatnya mendapatkan sebarang manfaat melebihi jumlah pinjaman yang diberikan kepada peminjam. Walaupun Islam tidak menggalakkan kita untuk berhutang, tetapi sekiranya ada pihak yang mahu mendapatkan bantuan pinjaman, maka kita digalakkan untuk memberikannya sekadar yang termampu.

Bahkan, Allah SWT memuliakan mereka yang sanggup berkorban untuk memberikan pinjaman kepada saudaranya kerana belas kasihan, bukannya untuk mengeksploitasi kesulitannya itu.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sesuatu yang dipinjamkan oleh seseorang Muslim kepada Muslim yang lain sebanyak dua kali seperti bersedekah sekali (riwayat Ibn Hibban)."

Daripada Anas bin Malik r.a berkata Rasulullah SAW bersabda: "Aku melihat di malam aku diisrakkan ke langit tertulis di pintu syurga, digandakan sedekah dengan sepuluh gandaan dan digandakan al-qard dengan 18 gandaan, lalu aku bertanya kepada Jibril, adakah al-qard lebih afdal dari sedekah? Jibril berkata: peminta akan meminta walaupun ketika dia memiliki (sesuatu barangan) dan peminjam tidak akan meminjam kecuali kerana keperluan. (riwayat Ibn Majah, 2/812)

Kedua-dua hadis di atas menunjukkan Allah SWT akan memberi ganjaran pahala bagi mereka yang memberi pinjaman untuk membantu dan bagi menghulurkan pertolongan kepada mereka yang memerlukan.

Sebaliknya, Allah SWT memurkai mereka yang cuba mengambil kesempatan bagi memperolehi keuntungan sama ada sedikit atau banyak melalui kontrak qard.

Berdasarkan asas tersebut, kontrak pinjaman tidak sesekali boleh dijadikan alat untuk perniagaan atau meraih keuntungan dalam Islam.

Bagi memastikan objektif kebajikan dan bantuan dalam qard tercapai, Islam meletakkan kewajipan bagi setiap pinjaman wang (contoh: RM5,000) mestilah dipulangkan pada kemudian hari dengan jumlah yang sama tanpa sebarang tambahan dan manfaat lain yang dipaksakan atau dipersetujui.

Sekiranya terdapat sebarang tambahan (contoh 3 peratus daripada jumlah RM5,000 sebagai bunga atau manfaat lain), sepakat seluruh ulama menyebut ia termasuk dalam kategori riba an-nasiah yang disepakati haramnya. (rujuk Al-Jami' fi Usul al-Riba, hlm 217).

Ia berdasarkan hadis yang bermaksud: "Setiap pinjaman yang membawa kepada manfaat bagi pemberi pinjam maka ia adalah riba". (rujuk Naylul Awtar, As-Syawkani, 5/232).

Namun, jika ia diberikan sebagai penghargaan kepada pemberi pinjaman tanpa disyaratkan, maka ia dibolehkan. Ini berdasarkan perbuatan Rasulullah SAW yang pernah berhutang unta betina dan baginda memulangkan dengan unta raba'iyyan.

Baginda bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya orang yang paling baik di kalangan kamu adalah orang yang paling baik menjelaskan hutangnya. (riwayat Muslim, Ahmad dan Ashab al-Sunan al-Arba'ah.)

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90