Top Ad 728x90

Suzuki Alto - Kompak kukuh


Jika berbicara tentang model subkompak, tiada yang lebih indah pilihannya berbanding Jepun. Meskipun tiada fakta yang boleh menyokong bahawa Jepun memulakan kereta berskala kecil, namun pada standard hari ini, hanya Jepun yang memiliki segmen kereta paling unik di dunia iaitu Kei Car (disebut Keijidosha dalam bahasa Jepun).

Idea itu bermula selepas perang dunia kedua yang menyaksikan kehancuran Jepun. Apabila rakyat tidak mampu memiliki kereta, industri yang memuncak ketika itu ialah motosikal. Namun bagi memastikan ekonomi dan perdagangan bergerak rancak, kereta kecil Kei Car dicipta.

Ia tidak semestinya sebuah kereta penumpang, Kei-Car turut terdiri daripada van komersial, model pacuan empat roda, trak pikap dan lori kecil. Kesemuanya mengikut peraturan saiz enjin dan dimensi yang telah ditetapkan.

Sehingga pindaan terakhir pada tahun 1998, saiz Kei Car kekal pada kepanjangan maksimum 3.4 meter, lebar 1.48 meter dan berketinggian dua meter.

Menambahkan kemeriahan pasaran kereka Kei Car, Suzuki Automobil Malaysia baru-baru ini melancarkan Suzuki Alto. Berbeza dengan versi Alto dari Jepun, Alto yang dipasarkan di Malaysia diimport sepenuhnya dari kilang Suzuki Maruti di Haryana, India.

Memandangkan Suzuki sangat berpengaruh di India, Suzuki Automobile Jepun memilih negara Shah Rukh Khan itu sebagai hab untuk memasarkan Alto ke seluruh dunia, dari Eropah hinggalah ke Malaysia.

Walaupun Suzuki Malaysia mendakwa ia menyasarkan kelompok pembeli yang berbeza, namun realiti fizikal jelas memperlihatkan bahawa model itu bersaing dengan Hyundai i10, Perodua Viva dan Naza Suria (Kia Picanto). Model itu sebenarnya mempunyai prospek yang besar jika segmentasinya betul.

Alto dijual pada harga bermula RM44,888 untuk versi manual (GA), RM49,999 transmisi auto GLX dan RM54,888 untuk model GXS. Walaupun lebih mahal berbanding jenama saingannya, kekuatan jenama Suzuki itu sendiri mungkin boleh menjadi dorongan.

Alto didatangkan dengan enjin serba baru tiga silinder K10B. Enjin satu liter itu mampu menghasilkan kuasa sehingga 67hp @ 6,000rpm dan tork maksimum 90Nm @ 3,400rpm.

Antara ciri menarik kereta itu adalah penggunaan suspensi depan topang MacPherson dan tiga link rigid axle untuk roda belakangnya. Sementara aspek COD (Coinfience of Drag) hanyalah 0.30 sahaja.

Perlu diingatkan, dalam kelasnya, hanya Alto yang dipasangkan dengan stereng kuasa elektrik (EPS) dan dua beg udara pada setiap variannya.

Tahap keselamatan kereta kecil itu juga disumbang oleh Suzuki TECT (Total Effective Control Technology). TECT merupakan struktur keselamatan unik Suzuki yang menghasilkan kabin kukuh dan struktur kerangka depan boleh remuk yang bagus.

Ia didatangkan bersama sistem ABS dan EBD. Namun sayangnya, sistem itu hanya untuk model bertransmisi automatik.

Jadi adakah ia berbaloi untuk dimiliki? Saya tidak dapat memberikan pandangan secara terus kerana belum berpeluang memandu uji model itu. Namun jika rekod semasa dijadikan sandaran, anda boleh berpegang kepada fakta bahawa Suzuki merupakan juara Kei-Car di Jepun.

Kereta seperti Wagon R (Solio/Karimun-kereta bersaiz Kenari) masih kekal sebagai Kei Car paling laris.

Suzuki juga amat berjaya di India, bukan kerana membina model seperti Vios, tetapi membuat kereta kecil.

- KOSMO!

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90