Top Ad 728x90

,

Tabung Haji dekati mahasiswa menerusi Kelab TaHa@U

Lembaga Tabung Haji (TH) ditubuhkan bukan saja untuk menguruskan pemergian jemaah haji ke Tanah Suci, malah berfungsi sebagai badan alternatif bagi umat Islam menyimpan wang sambil melabur secara halal dan mengikut lunas Islam.

Berasaskan matlamat penubuhan itu, aktiviti TH berkembang daripada pengurusan haji terbilang kepada pelbagai aktiviti memperkasa ekonomi ummah dan pelaburan.

Menerusi lima anak syarikatnya, TH memainkan peranan sebagai antara sebuah institusi kewangan unggul negara dalam membangunkan ekonomi negara, khususnya bagi sektor pelancongan, perladangan, hartanah, teknologi dan perkhidmatan global.

Asas kukuh dalam menggembleng dan memperkaya modal pendeposit itu kini bertambah berkat inisiatif TH menanam minat menabung dalam kalangan golongan muda menerusi penubuhan Kelab Tabung Haji (TaHa) sejak dua tahun lalu yang menyasarkan penyertaan pelajar berumur antara tujuh hingga 17 tahun.

Kesinambungan kejayaan TaHa menarik lebih 400,000 ahli dengan jumlah simpanan lebih RM250 juta itu, TH kini berusaha menembusi tembok institusi pengajian tinggi (IPT) menerusi penubuhan Kelab TaHa@U yang menyasarkan mahasiswa pula.

Ketika merasmikan Pelancaran Kelab TaHa@U di Kuala Terengganu, Mei lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata TH menyasarkan 50,000 pelajar IPT di seluruh negara akan menjadi ahli Kelab TaHa@U dengan jangkaan kutipan simpanan sebanyak RM2.5 juta bagi tahun pertama penubuhannya.

Kewujudan kelab TaHa@U, katanya, akan membantu TH mencapai sasaran Pelan 50 TH iaitu menjadikan 50 peratus penduduk Islam di seluruh negara sebagai pendeposit menjelang 2012.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Kamarudin Mat Ali, berharap mahasiswa memanfaatkan sepenuhnya keahlian dalam kelab itu dengan menyertai aktiviti kemasyarakatan seperti menjadi sukarelawan bagi operasi haji tanah air pada musim haji serta program motivasi berkonsepkan mentor-mentee.

Menerusi penyertaan dalam aktiviti berteras kebajikan dan keagamaan seumpama itu, katanya, mahasiswa akan terdedah kepada senario pekerjaan sebenar dan memberi mereka peluang meningkatkan kemahiran insaniah dan kepemimpinan.

Penyertaan pelajar dalam aktiviti sedemikian, kata Kamarudin dapat menangkis tanggapan pihak tertentu yang mendakwa TH hanya berperanan sebagai agensi mengurus dan menyimpan dana pendeposit yang akan menunaikan fardu haji.

Katanya, TH memiliki portfolio pelaburan pelbagai sektor antaranya hartanah, perladangan, perhotelan, makanan dan teknologi maklumat yang menyumbang kepada proses pembangunan ekonomi.

“Dengan memahami peranan TH, diharapkan pelajar menjadi ejen pencetus menyedarkan masyarakat mengenai peranan dan sumbangan agensi ini kepada kemajuan negara,” katanya.

Beliau berkata, ahli TaHa@U juga boleh menjemput petugas TH menganjurkan seminar berkaitan kerjaya sebagai persiapan sebelum memasuki alam pekerjaan.

Katanya, memiliki kepakaran pelbagai bidang pengkhususan antaranya, perbankan berasaskan syariah, kejuruteraan, hospitaliti dan pelaburan untuk dikongsi menerusi sesi ceramah di IPT.

Kamarudin berkata, keutamaan menjalani Skim Latihan Graduan akan diberi kepada ahli Kelab TaHa@U bagi membolehkan mereka mendapat pendedahan serta pengalaman kerjaya daripada pegawai berpengalaman. Sejajar penubuhan kelab itu, pelajar akan menikmati pelbagai kemudahan termasuk potongan harga di beberapa rangkaian di premis perniagaan rakan niaganya di seluruh negara.

Sejumlah 2,000 pelajar IPT menjadi ahli Kelab TaHa@U setakat ini dan dalam usaha menarik sebanyak mungkin keahlian dalam kelab itu, TH menganjurkan siri Karnival Kelab TaHa@U bermula di Universiti Teknologi Mara, Shah Alam pada 7 dan 8 0gos ini.

Karnival Zon Utara akan berlangsung di Universiti Utara Malaysia pada 18 hingga 19 September ini, diikuti Zon Timur di Universiti Malaysia Terengganu pada 16 Oktober sementara Zon Selatan di Universiti Teknologi Malaysia pada 13 hingga 14 November.

Kamarudin berkata, pihaknya menjangkakan keahlian Kelab TaHa@U meningkat menerusi penganjuran karnival di seluruh negara yang antara lain menyediakan kaunter penerangan dan pendaftaran.

“Pelbagai aktiviti sampingan turut diadakan termasuk kuiz uji minda, permainan karom, dart, pertandingan futsal, pameran, jualan serta peluang merakam gambar dan mendapatkan lukisan karikatur di kaunter Berita Harian.

“Selain itu, kita menggalakkan IPT menubuhkan sendiri kelab atau sekretariat TaHa@U di kampus masing-masing bagi memudahkan pelaksanaan program secara teratur dan sistematik.

“Penubuhan kelab atau sekretariat di setiap IPT, lebih mudah bagi TH berkomunikasi dan menyalurkan maklumat kepada mahasiswa di setiap universiti,” katanya.

Pencarian Duta TaHa@U juga bermula di Karnival TaHa@U, UiTM Shah Alam yang antara lain berperanan sebagai ikon kepada belia dan pelajar sekolah yang menganggotai Kelab TaHa serta mempromosi perkhidmatan dan produk TH di kalangan pelajar IPT.

Kamarudin berkata, antara kriteria calon Duta TaHa@U ialah mempunyai perwatakan dan personaliti menarik, berpengetahuan luas dalam bidang agama, cemerlang akademik dengan purata nilai gred kumulatif minimum 3.5, aktif dalam kegiatan persatuan dan kelab, lancar berkomunikasi dalam bahasa Melayu dan Inggeris, kreatif, berdedikasi serta mampu berdikari dan menyesuaikan diri dalam masyarakat.

“Calon juga mesti menyertai pertandingan sudut pidato yang dianjurkan dalam siri Karnival TaHa@U dan finalis perlu mendapat pengesahan dan sokongan dari pihak fakulti atau universiti untuk memastikan calon adalah pelajar cemerlang dan tidak mempunyai rekod disiplin.

“Tiga finalis akan dipilih dari setiap zon berasingan di mana karnival TaHa@U diadakan, bermakna 15 calon akan dikenal pasti untuk ditemuduga panel TH, dan hanya lima mahasiswa akan dilantik sebagai Duta TaHa@U,” katanya.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90