Top Ad 728x90

,

Malaysia didominasi generasi muda

Malaysia akan terus kekal didominasi generasi muda kerana jumlah golongan tua hanya mewakili kira-kira 10 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, negara ini tidak akan menjadi seperti Jepun dan negara-negara di Eropah yang mempunyai kira-kira 10 hingga 20 peratus golongan tua iaitu generasi berumur 65 tahun ke atas.

"Setakat ini, perangkaan menunjukkan golongan tua hanya berada pada sekitar 6.7 peratus dan kita akan kekal sebagai masyarakat muda," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Jabatan Perangkaan Malaysia di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Wan Ramlah Wan Abdul Raof yang juga Pesuruhjaya Banci.

Nor Mohamed berkata, profil tentang usia rakyat negara ini sedang dikemaskinikan hasil Banci Penduduk 2010 yang dilaksanakan baru-baru ini bagi memastikan pembangunan negara dapat memenuhi kehendak masyarakat muda.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga sedang mengkaji trend-trend lain yang dikesan hasil dapatan daripada proses bancian tersebut.

"Kita sedang membuat semakan terhadap data keseluruhan banci selain melengkapkan blok bancian yang tidak dapat dipenuhi semasa proses itu diadakan pada Jun hingga Ogos lalu.

"Laporan dan analisis bancian tersebut akan dikeluarkan menjelang November ini sebagaimana yang disasarkan sebelum ini," katanya.

Menurutnya, perangkaan yang diperoleh itu membolehkan Unit Perancang Ekonomi (EPU) merangka keperluan masyarakat muda seperti pembinaan sekolah, prasekolah dan sebagainya.

"Laporan banci itu cukup penting kerana ia adalah banci terakhir sebelum negara menuju tahun 2020 bagi menjadi sebuah negara maju," katanya.

Katanya, kerajaan juga perlu membuat perancangan bagi mengisi keperluan perbandaran kerana didapati masyarakat bumiputera dan Melayu kini sudah melebihi 55 peratus mendiami kawasan bandar terutama di Semenanjung.

"Ini berbeza dengan dahulu apabila lebih 60 peratus orang Melayu berada di kawasan luar bandar," katanya.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90