Top Ad 728x90

,

NKEA bukan bina ekonomi secara arahan

KUALA LUMPUR 28 Sept. - Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) bukannya usaha membina ekonomi secara arahan (command economy) sebaliknya gabungan kerjasama antara awam dan swasta, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, usahasama itu bertujuan membina ekosistem yang memacu skala ekonomi sambil membina nilai tambah industri yang berasaskan pengetahuan.

Najib mengakui sesetengah pihak mungkin terkejut dengan pengkhususan yang diberikan oleh NKEA.

"Saya ingin menegaskan bahawa apa yang dilakukan sama sekali bukan untuk membina ekonomi secara arahan tetapi sebaliknya merupakan kerjasama antara sektor awam dan swasta," kata beliau.

Perdana Menteri berkata demikian dalam ucaptamanya pada Forum Pelaburan Asia 2010 anjuran International Herald Tribune (IHT) di sini hari ini.

Teks beliau dibacakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Najib, kerjasama awam dan swasta itu bertujuan membolehkan Malaysia mencapai transformasi sebenar melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Katanya, ETP sebenarnya mewakili perubahan daripada pendekatan terdahulu dan usaha yang dilakukan untuk meningkatkan pertautan dasar, mengelak pelaburan berskala kecil, membangun saranan nilai yang jelas, kepimpinan tertumpu dan membenarkan pemantauan kualiti lebih tinggi.

Beliau percaya dengan melakukan kesemua yang dirancang dengan betul, kerajaan mampu menjana pertumbuhan ekonomi dan menyediakan persekitaran pelaburan yang lebih baik dalam dan luar negara.

Najib menambah, Malaysia sudah meraih hasil yang baik daripada langkah berkenaan apabila syarikat utama seperti Coca-Cola, Exxon dan Industrial and Commercial Bank of China telah mengumumkan pelaburan baru di negara ini.

Beliau berkata, NKEA menyediakan peluang yang besar untuk meningkatkan daya saing global Malaysia sejajar dengan negara berpendapatan tinggi.

Menurutnya, dalam banyak cara, langkah menarik pelaburan berkualiti adalah lebih penting daripada menarik kuantiti yang lebih besar.

"Sebab itu, Model Baru Ekonomi (MBE) memberi fokus yang unik pada perkhidmatan, teknologi dan inovasi bernilai tinggi, dengan jangkaan bahawa ini akan mewujudkan peluang ekonomi jangka panjang yang lebih meluas," ujarnya.

Perdana Menteri menambah, pelaburan langsung asing (FDI) akan turut menjadi elemen penting bagi kejayaan negara ini, terutama sekali berasaskan peningkatan daya saing ekonomi global.

"Melalui inisiatif baru itu, peranan pelaburan swasta meningkat apabila kerajaan meningkatkan peranannya sebagai pemudah pertumbuhan yang didahului sektor swasta," katanya.

Perdana Menteri menambah, kerajaan perlu mengambil kira langkah mudah seperti mengurangkan birokrasi dan tempoh masa yang lama bagi memperbadankan perniagaan baru, membina komuniti antarabangsa dan menyediakan jaringan keselamatan bagi golongan miskin.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90