Top Ad 728x90

,

Persoalan Agama: Pelaksanaan haji, umrah boleh digabung

Bersama Ustaz Zahazan Mohamed

Soalan:

SAYA ingin tahu apakah perbezaan haji dan umrah dari segi ibadat?

Jawapan:

DALAM surah al-Baqarah ayat 196, Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah...”

Kalangan ulama sepakat dan sudah diketahui umum bahawa haji adalah ibadat yang diwajibkan ke atas setiap orang Islam yang berkemampuan.
Umrah sebaliknya dapat dilakukan pada bila-bila saja sepanjang tahun dan berbeza dengan haji yang hanya dilaksanakan pada bulan haji, iaitu Zulhijjah. Kemudian secara khusus, sebahagian amalan haji seperti wukuf di Arafah pula harus dilaksanakan pada 9 Zulhijah.

Sebenarnya ada persamaan di antara haji dan umrah seperti tawaf, sa’i, mencukur serta ditambah lagi secara khusus, umrah boleh dilaksanakan bila-bila saja sepanjang tahun yang menjadikan adanya penggabungan kedua ibadat ini pada musim haji. Berdasarkan pelbagai hadis, ulama memperkenalkan tiga cara pelaksanaan haji iaitu pertama, haji ifrad - mengerjakan haji dulu kemudian umrah. Kedua, haji tamattuk, iaitu mengerjakan umrah kemudian haji dan ketiga qiran iaitu mengerjakan haji dan umrah sekali gus dalam satu niat.

Bagi mereka yang memilih cara kedua dan ketiga, maka dia diwajibkan membayar dam dengan menyembelih seekor kambing. Penggabungan dua ibadat ini berlaku bagi mereka yang berkunjung ke Makkah pada musim pelaksanaan ibadat haji. Kalangan ulama berbeza pendapat mengenai manakah antara tiga cara itu yang paling terbaik. Wujud perbezaan pendapat mengenai cara Rasulullah SAW mengerjakan haji.

Imam Malik menguatkan riwayat daripada isteri Nabi, Aisyah yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW melaksanakan haji dengan cara ifrad. Aisyah mengatakan: “Kami keluar bersama Rasulullah SAW (pada haji wada’) dan Baginda bersabda: Sesiapa antara kamu semua hendak melaksanakan haji dan umrah, maka silakan. Sesiapa hendak melaksanakan haji saja, silakan. Sesiapa yang hendak melaksanakan umrah saja, silakan juga.”

Aisyah menyatakan, “Rasulullah SAW mengerjakan haji (saja) dan ada beberapa orang bersama Baginda. Ada yang melaksanakan haji dan umrah, ada yang melaksanakan umrah saja. Saya termasuk yang melaksanakan umrah (saja).” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Imam Ahmad pula berkata: “Saya tidak ragu menyatakan haji Rasulullah adalah haji qiran.” Akan tetapi imam ini menyatakan haji yang terbaik adalah haji tamattuk berdasarkan riwayat yang menyatakan bahawa Nabi SAW bersabda: “Seandainya yang sudah lalu dapat aku lakukan pada masa datang, nescaya aku menjadikan (hajiku) umrah dulu (dan baru aku melaksanakan haji).”

Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 196 yang bermaksud: “Maka sesiapa yang melakukan tamattuk dengan umrah dan kemudian haji, maka wajiblah ia menyembelih korban (kambing) yang mudah ia peroleh...” Ayat ini membenarkan pelaksanaan umrah dulu kemudian haji yang disebut dalam al-Quran secara tegas.

Jawapan ini bagi mereka yang berkunjung dalam musim haji. Akan tetapi, jika ia berkunjung luar musim haji, iaitu waktu pelaksanaan ibadat haji, sudah tentu yang dapat dilakukan ialah ibadat umrah. Wallahu’alam.

- BERITA MINGGU

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90