Top Ad 728x90

,

Solat hajat bantu pelajar hadapi peperiksaan

ALLAH tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum, jika mereka sendiri tidak berusaha mengubahnya dan pada masa sama, umat Islam tidak boleh menafikan kekuasaan Allah memberi apabila hamba-Nya memohon.

Oleh itu, usaha penganjuran majlis munajat atau solat hajat sempena peperiksaan oleh pihak tertentu adalah digalakkan kerana boleh memberi kesan besar bukan saja kepada pelajar malah, masyarakat Islam keseluruhan.

Pengarah Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Mohd Meeftah Anuar, berkata program yang kini menjadi sebahagian agenda wajib tahunan itu perlu dilihat secara menyeluruh.

Katanya, tidak dinafikan masih ada yang skeptikal dengan penganjuran solat hajat sempena peperiksaan apabila mengaitkannya dengan sikap pelajar yang kurang atau tidak berusaha dalam pelajaran.

“Persepsi itu betul kerana bagi yang tidak belajar masakan boleh mengharapkan kejayaan tetapi program munajat atau solat hajat bukan hanya berdoa kerana banyak yang dipohon termasuk diberi kesedaran kepada pelajar.

“Jadi, pelajar yang sebelum ini malas, apabila datang mengikuti program itu dan mendengar ceramah motivasi akan insaf, masih ada kira-kira dua bulan lagi untuk berusaha. Perhimpunan pada malam itu juga tanda penyatuan umat Islam, kekuatan serta kesungguhan mereka,” katanya.

Beliau yang memberi ceramah motivasi pada majlis Ijtima’ Munajat Kecemerlangan Pelajar PMR, SPM dan STPM Sekolah di Wilayah 2020, turut menekankan kelebihan berdoa yang dilakukan secara beramai-ramai dari sudut hukum fiqh.

Katanya, selain pahala yang besar apabila berdoa secara berjemaah, peluang dimakbulkan juga lebih cerah kerana tidak boleh dipastikan doa siapa yang diterima dan Allah memberi kecemerlangan.

Program anjuran Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Masjid Negara bertujuan menyemai semangat perhambaan kepada Allah untuk menuntut keperluan duniawi dan ukhrawi selepas berusaha berikhtiar.

Program disertai kira-kira 2,300 pelajar dari 97 sekolah menengah sekitar Wilayah Persekutuan dimulakan dengan solat Maghrib, diikuti bacaan Yasin dan tahlil, ceramah motivasi, solat Isyak, diakhiri solat hajat. Hadir sama Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan, Mohd Adenan Deraman.

Mohd Meeftah berkata, selain pelajar, guru serta penganjur, ibu bapa juga perlu berkorban dengan memberi sokongan terhadap program seumpama itu memandangkan doa ibu bapa kepada Allah tidak ada sebarang hijab menghalang.

Justeru, bagi ibu bapa yang tidak berkesempatan menyertai majlis solat hajat memohon kejayaan, kesedaran serta kemudahan untuk pelajar menduduki peperiksaan, masih ada masa melakukannya sementara menanti waktu peperiksaan.

“Perlu ada pengorbanan ibu bapa kerana anak tidak pandai sangat tetapi ada kalanya Allah bagi anugerah sebab pengorbanan ibu bapa rajin bangun malam berdoa. Doa ibu bapa sampai langsung kepada Allah. Nabi pun kata, reda Allah letak pada reda ibu bapa,” katanya.

Katanya, pelajar dan ibu bapa diminta meneruskan memohon kepada Allah selepas berusaha termasuk menunaikan solat hajat setiap malam sepanjang peperiksaan memohon kesihatan, diberi kemudahan menjawab seterusnya dianugerahkan kejayaan.

Mohd Meeftah menyarankan program menerapkan kerjasama semua pihak untuk berusaha mencapai kecemerlangan akademik dan akhlak pelajar dianjurkan di peringkat negeri atau jika berkemampuan di peringkat negara.

Beliau mencadangkan program ijtimak munajat kecemerlangan pelajar yang bakal menduduki peperiksaan diadakan serentak di setiap negeri sebagai tanda penyatuan umat Islam untuk mencapai kecemerlangan di dunia dan akhirat.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90