Sumber Maklumat dan Info Jawatan Kosong




Semak status maklumat Daftar Pemilih masing-masing - SPR

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggesa semua pengundi menyemak maklumat Daftar Pemilih masing-masing sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13.

Pegawai Perhubungan Awam SPR, Sabri Said berkata, ia bertujuan memastikan pengundi didaftarkan di lokasi yang betul.

Katanya, ia juga untuk mengelakkan tohmahan kononnya SPR memindahkan pengundi ke kawasan tertentu tanpa pengetahuan mereka sendiri.

"Oleh itu, kami berharap agar pengundi dapat mengemas kini maklumat serta membuat aduan sekiranya terdapat kesilapan pada penempatan lokasi,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Sabri, pihaknya juga sedang berusaha membersihkan Daftar Pemilih daripada nama pengundi yang telah meninggal dunia.

Justeru beliau memohon kerjasama waris untuk melaporkan kematian kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan segera bagi membolehkan JPN mengeluarkan Sijil Kematian kepada mereka.

"Jika waris tidak mengesahkan kesahihan kematian tersebut kepada JPN, maka JPN tidak dapat mengemas kini pangkalan data mereka sekali gus menyebabkan pihak kami tidak dapat mengeluarkan nama-nama pemilih daripada pangkalan data tersebut.

"Jadi, kerjasama waris amat diperlukan untuk melaporkan kematian berkenaan kepada JPN dengan segera bagi membolehkan SPR mengambil tindakan susulan," jelasnya.

Sementara itu, Sabri mengingatkan pemilih berdaftar yang sudah bertukar tempat bermastautin untuk membuat permohonan pertukaran alamat pusat mengundi bagi membolehkan mereka mengundi berdekatan dengan tempat kediaman masing-masing.

Permohonan pertukaran alamat pusat mengundi boleh di buat di mana-mana pejabat pos berkomputer, kaunter bergerak SPR, kaunter Ibu Pejabat SPR, Putrajaya atau pun di pejabat pilihan raya negeri.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Ibu Pejabat SPR di talian 03-88856500 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri. Laman web SPR: http://www.spr.gov.my

- UTUSAN
Tag : Berita, Politik, Umum
0 Comments for "Semak status maklumat Daftar Pemilih masing-masing - SPR"

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.

Back To Top