Semakan Keputusan Permohonan Kemasukan ke Tingkatan 1 & 4 di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sesi 2010

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN on Monday, February 1, 2010

Para pelajar yang telah menduduki UPSR 2009 & PMR 2009 dan ada memohon untuk memasuki ke Tingkatan 1 & 4 Sesi 2010 di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) boleh menyemak keputusan permohonan MRSM mereka secara online mulai 1 Februari 2010.

Semakan Permohonan Tingkatan 1

Semakan Permohonan Tingkatan 4

Rayuan

  • Bagi yang tidak berjaya mendapat tawaran ke MRSM, mereka boleh membuat rayuan.
  • Rayuan boleh dibuat dengan datang sendiri atau menulis kepada pihak MARA.
  • Sila rujuk Rayuan Kemasukan Ke Maktab Rendah Sains MARA untuk maklumat lanjut.
  • Keputusan rayuan tertakluk kepada kekosongan tempat yang ada setelah proses pendaftaran pelajar yang menerima tawaran dan merit pemohon.

Maklumat

  • Sebarang pertanyaan dan maklumat tambahan boleh diperolehi dengan menghubungi Bahagian Pendidikan dan Latihan (Pendidikan Menengah) di talian 03 2691 5111 sambungan 3399/3392/3765 atau faks 03 2691 1658.

http://www.mara.gov.my

United belasah Arsenal

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN


Penyerang England, Wayne Rooney merakamkan jaringan ke-100 kerjayanya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) ketika menyumbat gol kedua membantu Manchester United membenam Arsenal 3-1 di Stadium Emirates, malam tadi.

Pemain berusia 24 tahun itu yang berada dalam prestasi memuncak ketika ini sudah menyumbat 22 gol dalam semua kejohanan musim ini dan membuat ketiadaan Cristiano Ronaldo yang berpindah ke Real Madrid kurang dirasai.

United yang mengutip 53 mata - satu di belakang pendahulu, Chelsea membuka tirai jaringan menerusi Nani minit ke-33 sebelum Rooney menggandakan jaringan pada minit ke-37 sebelum Park Ji-sung mengesahkan tiga mata milik United dengan gol minit ke-52.

Gol sagu hati Arsenal disumbang oleh Thomas Vermaelen minit ke-80.

Sementara itu, Emmanuel Adebayor menandakan kepulangannya ke EPL selepas tragedi ngeri di Piala Negara-Negara Afrika dengan gol pertama ketika membantu Manchester City menewaskan Portsmouth 2-0 di Eastlands, malam tadi.

Adebayor yang terselamat dalam tragedi serang hendap ke atas bas pasukan Togo yang mengorbankan dua anggota pasukan sebelum kejohanan bermula, kelihatan ofsaid sebelum merembat masuk melepasi penjaga gol, David James pada minit ke-39.

Vincent Kompany menggandakan jaringan untuk kedudukan 2-0 sebaik tamat separuh masa ke atas pasukan tercorot yang dibelenggu masalah kewangan itu.

- Reuters

Perkhidmatan internet TM terganggu

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN

Perkhidmatan internet Telekom Malaysia Berhad (TM) semalam mengalami gangguan berikutan kerosakan sirkit pada kabel dasar laut yang menghubungkan Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) di Asian American Gateway (AAG) yang terletak di Lantau, China.

Menurut kenyataan TM hari ini, berikutan masalah itu, pelanggan akan mengalami sambungan internet yang perlahan ketika melayari laman-laman web yang dihoskan di Hong Kong dan AS.

Mereka yang menggunakan perkhidmatan Protokol Internet (IP) lain seperti Rangkaian Persendirian Maya (VPN) serta aplikasi perniagaan kritikal yang dihubungkan ke Hong Kong dan AS juga mungkin mengalami gangguan perkhidmatan.

Untuk mengatasi masalah itu, beberapa laluan internet dialihkan ke sambungan alternatif bagi mengurangkan kesesakan, tambah kenyataan itu.

Menurut TM berikutan kerja membaik pulih itu, trafik ke Amerika Utara dan Hong Kong dijangka mengalami gangguan manakala trafik ke negara lain adalah seperti biasa.

Para pelanggan TM boleh menghubungi syarikat itu di talian 100 dan pilih "perkhidmatan internet" atau menghantar e-mel di help@tm.com.my untuk membuat laporan mengenai sebarang masalah perkhidmatan internet berkaitan.

- Bernama

Tom Juara My Starz LG 3

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN


Tidak disangkal, ketiga-tiga finalis MY Starz LG musim ketiga, Maisarah Ismail (Sarah), Raja Farah Afzal Raja Ikram (Tom) dan Muhamad Hafidz Muhamed Kamal (Apiz) cukup berbakat. Namun adat pertandingan menentukan hanya seorang saja yang boleh bergelar juara.

Selepas satu sesi persaingan yang sengit, akhirnya Tom, yang menjadi pilihan juri hampir setiap minggu, diumumkan juara musim ketiga My Starz LG. Naib juara jatuh kepada Afiz sementara Sarah menduduki tempat ketiga. Keputusan ditentukan oleh panel juri (50%) yang dianggotai Mas Idayu, Ajai dan Azmeer, serta undian penonton (50%).

Untuk persembahannya malam ini, Tom telah menyampaikan medley lagu "Isabella" dan "Revolusi". Sementara untuk duetnya bersama Mus (kumpulan May), dia telah membawa lagu "Senja Nan Merah". Kemenangannya malam ini dihadiahkan kepada anak tunggalnya, Megat Ariel Shakur Mohd Farhan, yang merupakan inspirasinya.

Penyanyi kecil molek yang bersuara lantang ini pernah mengharumkan nama negara pada tahun lepas di pertandingan World Championship Of Performing Arts (WCOPA) di Los Angeles bersama-sama Siti Sarah dan Bob apabila memenangi pingat emas untuk kategori vokal komtemporari.

Tom membawa pulang wang tunai RM100,000, kontrak bersama Warner Music dan sebuah TV LCD 40 inci sumbangan LG. Apiz pula menerima wang tunai sebanyak RM15,000 serta telefon bimbit LG Chocolate manakala Sarah dihadiahkan wang tunai sebanyak RM5,000 serta home theatre system sumbangan LG.

Grand finale, yang diacarakan oleh Nazruddin Rahman dan Puteri Andreanna Syigim (Anne) ini, telah berlangsung pada jam 9 malam tadi di Pusat Dagangan Dunia Putra. Ia turut menampilkan persembahan daripada Jaclyn Victor dan dua diva ternama, Dato' Siti Nurhaliza dan Kris Dayanti.

- GUA

Mesin wuduk automatik di pasaran enam bulan lagi

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN


Peristiwa kesukaran kira-kira 40 umat Islam mengambil wuduk daripada sebuah besen di atas sebuah feri akhirnya mencetuskan idea inovasi kepada seorang juruterbang.

Melihat kepada apa yang berlaku, Anthony Gomez yang kini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif AACE Technologies Sdn. Bhd., (AACE Technologies) lantas terfikir sesuatu teknologi perlu dibangunkan bagi mengatasi masalah tersebut.

Beliau yang pernah menjadi juruterbang peribadi kepada Sir Julius Chan, bekas Perdana Menteri Papua New Guinea, memberitahu, pengalaman itu dilaluinya ketika menaiki feri dalam perjalanan dari Jordan ke Mesir pada tahun 2006.

Mesin Auto Wudu Washer yang dicipta oleh Anthony sendiri itu merupakan mesin wuduk pertama di dunia oleh syarikat tempatan Malaysia dan produk itu mengambil masa kira-kira dua tahun untuk dibangunkan.

- KOSMO!

Kilang keluarkan kereta mirip Porsche

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN


BANGKOK - Seorang pemilik kilang di sini, Chris Pongpitaya menyediakan perkhidmatan menjadikan cita-cita sejumlah pemilik kereta berpendapatan rendah memperoleh kenderaan idaman mereka.

Dia yang berumur 45 tahun mendapat tempahan daripada pemilik-pemilik kereta dalam dan luar negara untuk mengubahsuai kenderaan mereka menjadi seperti Porsche, Ferarri , Aston Martin, Lamborghini dan jenama terkenal lain.

Kereta itu diubahsuai oleh syarikat milik Chris, Schones.

Dia mendapat pengalaman mengubahsuai kenderaan itu semasa bekerja selama 14 tahun di Studio Reka Bentuk Porsche, Jerman.

Ketika itu dia bekerja untuk mereka ruang dalaman pesawat.

"Mempunyai kereta-kereta seperti itu (sport) merupakan mimpi bagi kebanyakan orang tetapi tidak dapat membelinya menyebabkan mereka memandu kereta-kereta replika itu," katanya kepada agensi berita AFP.

Kereta-kereta itu diubahsuai dengan menggunakan cesi kenderaan lama dan enjin kereta Jepun.

Masa yang diperlukan untuk mengubahsuai kereta itu ialah 12 hari.

- Agensi

Dilempar bom api kerana tolak cinta

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN

JITRA: Akibat tidak menerima cinta seorang lelaki, seorang remaja perempuan bersama ibu dan dua adik lelakinya menjadi mangsa lemparan bom api dipercayai dilakukan dua lelaki di rumah mereka di Taman Mutiara Naga, Kepala Batas, di sini, pagi Jumaat lalu.

Satu daripadanya meletup dan menyebabkan beberapa barangan yang diletakkan di luar rumah mangsa hangus dan api berjaya dipadamkan beberapa jiran menyedari kejadian itu.

Difahamkan, ketika kejadian, kira-kira jam 4 pagi, seorang jiran yang pulang dari kerja ternampak kelibat dua lelaki menunggang sebuah motosikal melontar dua objek ke rumah berkenaan.

Menyedari kejadian itu, jiran berkenaan menghampiri dua lelaki itu dan menyergahnya menyebabkan suspek melarikan diri.

Mangsa, Nor Syafawani Zakaria, 18, berkata ketika kejadian, dia dan ibunya, Sayani Ismail, 40, serta dua adik berusia 10 dan 14 tahun sedang tidur.

Katanya, mereka terkejut apabila terdengar jeritan jiran memaklumkan rumah mereka terbakar.

"Saya kemudian mengejutkan ibu serta adik-adik dan melihat api sedang marak tetapi dalam keadaan panik kami tidak dapat mencari kunci rumah dan hanya mampu menjerit meminta tolong.

"Kami sekeluarga bersyukur kerana beberapa jiran berjaya memadamkan api sebelum mereka menyuruh kami bertenang dan mencari kunci rumah," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Nor Syafawani berkata, dia mengesyaki perbuatan itu mungkin angkara bekas teman lelakinya kerana sehari sebelum kejadian, suspek mengajaknya keluar tetapi dia menolak dengan alasan tidak menyukai lelaki itu.

Katanya, suspek sebelum ini pernah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) dan

mengugut akan membakar rumahnya jika dia menolak cintanya.

"Dia ada memberitahu saya supaya tidak menyesal jika berlaku apa-apa tetapi saya tidak hiraukan ugutannya kerana tidak fikir dia boleh bertindak seperti ini," katanya.

Berikutan kejadian itu keluarga berkenaan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kubang Pasu, kira-kira jam 5.26 pagi, Jumaat lalu.

Bapa mangsa, Zakaria Ahmad, 45, berkata, ketika kejadian dia bekerja syif malam di sebuah kilang tayar di Mergong dan dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh Nor Syafawani yang menghubunginya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Sawaludin Hamenudin ketika dihubungi, mengesahkan menerima laporan itu dan kes masih disiasat.

- BERITA HARIAN

Kaya ekspres

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN

Oleh Aznil Hj Nawawi

ASSALAMUALAIKUM!

Paknil ingin menarik perhatian pembaca ruangan ini untuk kita bersama-sama menganalisis logik kenyataan seseorang artis apabila menjawab soalan yang berkaitan dengan kehidupan mewah mereka.

Bukan Paknil ingin mempersoalkan kemewahan dimiliki mereka, malah Paknil turut bersyukur jika kelihatan ada rakan artis yang mampu hidup mewah.

Lumrah anak seni apabila apa saja yang berkaitan dengan diri kita turut menjadi perhatian ramai. Ini termasuk kehidupan peribadi artis. Peminat ingin tahu jenama apa yang disarung artis itu, kereta apa yang dipandu, sebesar mana rumah yang didiami dan sebagainya.

Jika dilihat cara hidup mewah seseorang artis itu menyebabkan ada antara kita menganggap pendapatan artis kita (pelakon atau penyanyi) sememangnya lumayan.

Paknil kadangkala turut bangga dengan pencapaian artis terbabit. Yalah, siapa kata seseorang itu tidak boleh mengecapi kemewahan hidup jika menjadi anak seni? Bangga juga apabila lihat harta yang dimiliki hasil titik peluh mereka. Paknil sangat kagum dengan cerita ‘Menuju Puncak’ yang dimiliki oleh Chef Wan umpamanya.

Muncul daripada celah kehidupan peneroka Felda, Chef Wan kini hidup senang dengan berbekalkan kebolehannya memasak dan berbicara.

Tiada siapa boleh mempertikaikan kejayaan hidupnya kini yang berada di mercu dan dilimpahi kemewahan yang menjadi impian ramai.

Namun dalam pada itu, tiada siapa yang bisa mempertikaikan kemewahan Chef Wan kerana masing-masing dapat melihat pencapaian kerjayanya sebagai tukang masak bertaraf dunia.

Begitu juga dengan Datuk Siti Nurhaliza yang menjadi ikon kepada sesiapa saja yang ingin menjadi anak seni di negara ini. Rata-rata tahu bagaimana Siti bermula, iaitu pernah berulang alik dengan bas dari Kuala Lipis ke Kuala Lumpur untuk menempatkan diri sebagai anak seni yang berjaya.

Setelah lebih 15 tahun mengabadikan diri dalam bidang nyanyian, semua dapat melihat kedudukan Siti kini. Tiada siapa boleh mempertikaikan kemampuan anak bekas polis ini untuk memperagakan tas tangan berjenama bernilai puluhan ribu ringgit.

Lama sebelum berkahwin dengan usahawan berjaya Datuk Khalid Mohamad Jiwa, Siti membuktikan kejayaan hidupnya. Kemewahan hidupnya kini jelas berkat usaha gigih anak jati Pahang ini sendiri.

Chef Wan dan Siti antara contoh figura negara yang membuktikan kesenangan hidup tidak datang bergolek. Jelas mereka tidak mengecapinya melalui jalan pintas.

Eh, ada jalan pintas ke untuk ‘Menuju Puncak’? Paknil tidak berani menuduh dan tidak mahu berperasaan dengki dengan kesenangan seseorang artis. Namun Paknil tidak dapat mengelak pertanyaan masyarakat yang mempersoalkan kehebatan seseorang artis yang bagi mereka tidak mempunyai rekod kejayaan seperti dua ikon yang Paknil sebutkan tadi.

Ada antara artis kita yang masih ‘hijau’ jika diukur jangka usia pembabitan mereka dalam seni tetapi begitu hebat memperagakan kehidupan yang sama tarafnya dengan Siti. Mereka melaram dengan kereta mewah berharga ratusan ribu ringgit dan tinggal di rumah bernilai jutaan ringgit.

Itu belum lagi jenama pakaian yang menyaluti tubuh mereka yang kadangkala melebihi gaji seorang pengurus bank! Memang bukan hak sesiapa pun untuk mempersoalkan kemampuan mereka, tetapi peminat boleh jadi bingung dengan jawapan yang mereka peroleh apabila persoalan itu dilaporkan dalam media.

Ada antara mereka yang masih terlalu baru tetapi mengakui kemewahan itu adalah hasil kerja mereka. Si pelakon umpamanya, dilaporkan mampu berkereta mewah hasil pendapatan kerja lakonannya.

Rata-rata yang tahu ‘betapa tingginya’ bayaran yang dibayar kepada pelakon mungkin terbahak ketawa dengan alasan itu.

Sedangkan seorang pelakon yang sudah lama terbabit dalam bidang lakonan drama dan filem pun belum tentu dapat mengumpul harta yang mahal itu dalam setahun dua.

Lebih nyata lagi, pastinya bayaran mereka jauh lebih tinggi daripada pelakon yang setahun jagung itu tetapi masih mustahil baginya memperoleh kemewahan sedemikian.

Maka mulalah timbul spekulasi bukan-bukan mengenai punca kekayaan artis itu kerana jika dibanding dengan jumlah tawaran lakonan yang diperoleh dalam setahun, angka ini memang mengelirukan. Lebih membingungkan bila umum mengetahui pelakon terbabit bukan berasal daripada keluarga orang berada.

Sana-sini juga masyarakat kita dipaparkan dengan ‘life-style’ artis kita yang kadangkala di luar jangkauan pendapatan mereka. Sukar untuk mengelak bersangka buruk kerana paparan cara hidup mereka tidak seimbang dengan pencapaian kerjaya.

Bayangkan artis yang jarang sekali kita dapat tonton lakonannya yang baru dan artis yang sudah lama tidak muncul dengan album atau lagu baru, alih-alih dilaporkan dalam akhbar mempunyai cinta terhadap sukan berkuda.

Kanak-kanak kecil pun tahu bagaimana mahalnya untuk seseorang itu membabitkan diri dalam sukan golongan elit itu. Alih-alih si artis muncul dengan foto berpakaian ekuestrian di atas seekor kuda berlatarkan kelab ekuestrian elit untuk bukan calang-calang orang.

Lebih mengejutkan pula bila si artis turut bercerita kemampuannya memiliki seekor kuda peribadi! Ha, Paknil bukan bernada iri, tetapi mulut Paknil melopong terpegun kagum.

Sekali lagi, bukan hak sesiapa untuk mempertikaikan kemampuan artis terbabit tetapi jawapan standard ‘hasil daripada kerja seni’ sukar diterima akal.

Baru-baru ini Paknil disergah oleh seorang Datin yang bertanya bagaimana seorang penyanyi lelaki ini mampu memandu kereta mewah berjenama Porsche? Untuk tidak bersangka buruk, Paknil berikan jawapan lumrah artis kepadanya: ‘Hasil daripada kerja seninya’.

Menggeleng dan tersenyum sinis Datin itu, seolah-olah tidak mahu diperbodohkan dengan jawapan secetek itu. Katanya, mana mungkin penyanyi lelaki itu yang sudah tiga tahun tidak melahirkan album baru, sebaliknya hanya mengharapkan duit persembahan nyanyian yang tidak seberapa dan bukan daripada keluarga yang berada, mampu hidup mewah sebegitu.

Rasanya daripada wajah sinis Datin itu, Paknil boleh terjemahkan apa yang ada di dalam kotak fikirannya ketika itu, tetapi siapa pula Paknil untuk menjawab bagi pihak artis itu kerana Paknil tiada jawapannya.

“Hai Aznil… artis lelaki sekarang ni pun kena bela ke?” tiba-tiba terpacul daripada mulut Mak Datin itu. Tergamam juga Paknil. Rasa sakit hati pun ada juga. Kenapa kita tidak boleh bersangka baik saja kepada persoalan yang ada di dalam kepala kita? Terkini ketika jualan album begitu lembap sekarang di negara kita dan ketika masyarakat kita sering dihidangkan dengan konsert percuma, tiada siapa boleh menerima bulat-bulat alasan itu.

Paknil tidak mahu membuat apa-apa andaian kepada kemewahan artis seperti yang dapat kita baca dan tonton, tetapi Paknil harap artis kita biarlah bijak memberi alasan lebih munasabah.

Geram dan sakit hati bila timbul kata-kata sinis yang seolah-olah mempertikaikan kemampuan golongan artis untuk hidup mewah.

Apabila muncul cerita Rozita Che Wan ditawarkan jet peribadi untuk membawanya melancong ke luar negara dan Fizo Omar ditawarkan ribuan ringgit untuk mendampingi Datin hartawan, bertambah terang lagilah spekulasi orang ramai. Bagaikan sudah terang lagi bersuluh.

Paknil bukan orang terbaik untuk memberi jawapan kepada pertanyaan orang ramai itu. Jadi Paknil harap anda semua dapat hormati diri ini dan elak bertanya Paknil soalan yang boleh menimbulkan fitnah ini.

Paknil juga bukan orang yang terbaik untuk menasihati artis yang ‘kaya ekspres’ ini tetapi jika anda (artis terbabit) membaca artikel ini, kini anda tahu yang kami memang benar-benar tidak selesa dengan soalan yang sepatutnya anda jawab.

Wassalam.

- METRO

Keberanian Umar dikagumi

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN

Siapakah sahabat Nabi Muhammad yang sanggup membunuh sesiapa sahaja yang berani mengatakan bahawa baginda Rasulullah telah wafat?

Akibat tidak dapat menerima hakikat, orang yang paling dikasihi akhirnya pergi menemui Allah, Saidina Umar Al Khattab menghunuskan pedang dan mengamuk sekeliling kota Mekah.

Sehinggalah beliau berjaya dipujuk dan ditenangkan oleh Saidina Abu Bakar As Siddiq supaya menerima hakikat kewafatan Rasulullah itu tiada bezanya seperti manusia-manusia yang lain.

Kata Abu Bakar: "Sesiapa yang mengikuti Muhammad ketahuilah bahawa baginda telah wafat, tetapi sesiapa yang menyembah Allah SWT ketahuilah bahawa Allah itu hidup dan tidak akan mati!"

Barulah Umar akur dan tunduk kepada ketentuan Allah yang berat itu, tidaklah lagi beliau mengamuk malah mengajak umat Islam yang lain juga menerima hakikat pedih itu dengan iman dan tabah.

Begitulah Umar, masih tersisa sifat peribadinya yang tegas, tetap pendirian dan sanggup melakukan apa sahaja bagi mempertahankan pendiriannya itu.

Sungguhpun begitu beliau sering dijadikan bahan perumpamaan. Ini apabila Umar diumpamakan seperti sebongkah batu yang sangat keras dan tidak mungkin sesiapa dapat memecahkannya. Tetapi jika sudah ditakdirkan Allah beliau akhirnya tunduk memeluk Islam, terbukti batu yang keras pun boleh dileburkan.

Namun pengislaman Umar yang mempunyai kisah tersendiri itu bukan sahaja berfaktorkan hidayah tetapi mungkin juga berkat doa dari Rasulullah.

Menurut Al Mubarakfuri dalam buku sirah Nabawiyyah SAW, Rasulullah sering meminta dan berdoa kepada Allah: "Ya Allah, muliakanlah Islam dengan salah seorang lelaki yang paling Engkau suka, sama ada Umar bin al Khattab atau Abu Jahal bin Hisham".

Ini mungkin kerana di zaman jahiliah kejahatan Umar dan Abu Jahal begitu melampau terhadap Islam yang seolah-olah tidak mampu lagi dihadapi oleh baginda. Itu menyebabkan baginda sering berdoa. Ternyata Allah lebih 'menyayangi' Umar dan diberikannya hidayah dan cahaya Islam.

Sehingga tidak dinafikan tanpa sumbangan dari Umar, perjalanan dakwah baginda Rasulullah mungkin adalah lebih sukar daripada apa yang kita dapat bayangkan!

Umar lebih dikenali sebagai Umar Al Faruk. Iaitu seseorang yang tahu memilih dan membezakan antara yang hak dan batil, antara benar dan palsu.

Gelaran ini diberi oleh Rasulullah semasa beliau membawa sekumpulan umat Islam bersembahyang di hadapan Kaabah secara terbuka untuk pertama kalinya dalam sejarah Islam. Beliau sendiri yang menjaga para jemaah itu daripada gangguan orang-orang Quraisy.

Nabi Muhammad SAW juga memanggil Umar dengan panggilan 'Abu Hafs' kerana kegagahannya itu.

Daripada seorang yang sangat petualang kepada Islam di zaman jahiliahnya, tetapi di zaman Islam beliau seorang pejuang Islam yang paling gigih, kental dan sejati.

Tiada siapa dapat menafikan hakikat itu. Sehingga dapat menakluk wilayah-wilayah bagi meluaskan jajahan dan empayar Islam dari Timur ke Barat dan sehinggalah pada tahun 637 beliau berjaya mengembalikan semula Baitul Maqdis kepada Islam.

Dikisahkan selepas pengepungan Baitul Maqdis yang agak lama, tentera Islam berjaya menakluk kota tersebut yang diketuai oleh panglima Islam Abu Ubaidah ibn al-Jarrah.

Namun Paderi Besar Baitul Maqdis iaitu Sophronius enggan menyerah diri kecuali kepada Saidina Umar sendiri.

Lalu Umar mengembara dari Madinah dan apabila bertemu, Paderi itu menyerahkan sendiri kunci kota itu kepada Saidina Umar.

Beliau kemudiannya mengajak Saidina Umar bersembahyang di dalam gereja besar Kristian iaitu gereja Church of the Holy Sepulchre. Saidina Umar menolak. Sebaliknya beliau solat tidak jauh dari gereja tersebut kerana tidak ingin mencemarkan status gereja tersebut sebagai pusat keagamaan Kristian.

Di samping tidak mahu ada pihak yang salah faham bahawa jika Umar melakukan solat di gereja itu bermakna khalifah Islam itu hendak menawan gereja untuk dijadikan masjid.

Sehinggalah 50 tahun kemudian, sebuah masjid yang digelar Masjid Umar dibina di tempat Saidina Umar solat.

Begitulah antara moral atau akhlak Umar yang unggul dan sukar ditemui pada mana-mana pemimpin dunia yang lain.

Justeru mengapa tidak kita kembali mengenali Umar kerana segala sifat-sifat yang ada pada beliau itu wajar sekali disegarkan kembali dalam ingatan. Setelah kembali segar, mengapa tidak beliau kita contohi?

Sifat-Sifat Peribadi

Seorang yang bersifat berani dan tidak gentar dalam menegakkan agama Islam juga seorang yang tegas dan adil.

Ditakuti oleh orang ramai kerana keberaniannya taat pada ajaran Allah SWT. Seorang yang berpandangan jauh, berfikiran terbuka dan sedia untuk menerima pendapat orang lain. Seorang pemerintah yang bertanggungjawab, adil dan amanah.

Pernah menyamar sebagai rakyat biasa walaupun ketika itu beliau memegang jawatan khalifah untuk melihat sendiri keadaan rakyatnya.

Malah beliau sendiri yang mengangkat guni-guni gandum dan minyak untuk diberi kepada golongan yang memerlukan.

- Berfikiran terbuka

Menerima pendapat sahabatnya Abu Bakar As-Siddiq mengenai pembebasan tawanan perang Badar, iaitu mereka dikehendaki membayar wang tebusan atau mengajar anak-anak penduduk Madinah hingga pandai dan orang tua dibebaskan tanpa syarat.

Menerima pendapat seorang perempuan yang mencadangkan supaya setiap orang boleh meletakkan mas kahwin mengikut kemahuan sendiri, asalkan tidak membebankan kaum lelaki. Beliau bersedia ditegur dan menerima pendapat orang lain walaupun daripada rakyat biasa.

- Berani

Sebelum memeluk Islam dengan begitu kuat menentang Rasulullah SAW sehingga menyebabkan beliau sangat ditakuti dan digeruni oleh orang yang memeluk agama Islam. Namun apabila 'berani kerana benar' beliau tidak gentar mengisytiharkan dirinya memeluk Islam secara terbuka di khalayak ramai.

Satu-satunya Muslim yang berani menunaikan ibadat secara terang-terangan di hadapan orang ramai.

Beliau jugalah yang mencadangkan Rasulullah SAW supaya ajaran Islam disebarkan secara terbuka. Sebagai jaminan beliau mencabar orang kafir Quraisy supaya menghalang Rasulullah SAW daripada berpindah ke Madinah.

Oleh kerana ketegasan dan keberaniannya itulah, maka beliau diberi gelaran al-Faruq.

- Adil

Seorang pemerintah yang adil dan bertanggungjawab terhadap keselamatan, keamanan dan kemakmuran rakyatnya. Beliau tidak memilih bulu dan mengetepikan soal status diri dan sesiapa yang didapati bersalah, tetap akan dihukum.

Beliau juga pernah menjatuhkan hukuman ke atas anak pesuruhjaya Mesir, iaitu Umar al-Ash, yang telah memukul seorang Qibti yang kalah dalam perlumbaan kuda.

Jasa-jasa dan sumbangan besar Umar terhadap Islam begitu dijanjikan kepadanya akan syurga. Bagi Umar segala kebaikan yang beliau lakukan selepas memeluk Islam seolah-olah masih tidak membayar segala dosa dan kesalahan beliau yang lampau itu.

Abu Hurairah berkata: Rasulullah SAW pernah ditanya: Siapakah orang yang paling mulia? Jawab baginda: Orang yang paling bertakwa. Kata mereka: Bukan tentang ini yang kami tanyakan. Jawab Nabi: Kalau begitu, tentang siapakah orang Arab yang paling mulia yang kamu ingin tanyakan kepadaku? Sesungguhnya orang paling mulia di kalangan kamu pada masa jahiliah, dia jugalah yang paling mulia di antara kamu di dalam Islam sekiranya dia tafaqquh fiddin. (riwayat Bukhari)

Tepat sekali jika yang dimaksudkan oleh baginda itu antaranya Umar al Khattab. Lebih-lebih lagi setelah beliau memeluk Islam, beliau tetap disegani dan ditakuti hatta oleh syaitan.

Apakah rahsianya Saidina Umar Al Khattab boleh mencapai tahap tersebut? Jawapannya tidak lain ialah kerana beliau benar-benar tafaqquh fiddin (faham agama).

Mukmin yang tafaqquh fiddin memang lebih ditakuti oleh syaitan dibandingkan dengan orang yang banyak beribadat tetapi jahil tentang selok belok agama.

Ini berdasarkan hadis Nabi SAW: Ertinya: Seorang Faqih (orang yang tafaqquh fiddin) adalah lebih digeruni oleh syaitan daripada seribu orang 'abid (orang yang banyak beribadat). (riwayat Tarmidzi, Ibnu Majaah dan al-Baihaqi)

Nama penuh sahabat besar Nabi ini ialah Umar bin Al-Khattab b. Naufal b. Abdul Uzza b. Rabah b. Abdullah b. Qarth b. Razah b. Adiy b. Kaab.

Dilahirkan pada tahun 583M daripada Bani Adi iaitu salah satu puak dalam kabilah Quraisy yang dipandang mulia, megah dan berkedudukan tinggi.

Beliau juga terkenal sebagai pemidato dan juga ahli gusti. Umar memeluk Islam pada tahun keenam selepas kerasulan nabi.

- UTUSAN

Kuala Lumpur rakam sejarah pembangunan negara

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN

Oleh Norsuriaty Awang Hassim
Pegawai Arkib
Seksyen Penyelidikan Khas Negara, Arkib Negara Malaysia

Dari sebuah pekan kecil perlombongan bijih timah, Kuala Lumpur, ibu negara Malaysia terus menempa nama dan dikenali di seluruh dunia. Perubahan demi perubahan mewarnai wajah Kuala Lumpur yang pesat membangun sebagai pusat pentadbiran dan perdagangan negara. Kemajuan yang dikecapi Kuala Lumpur, meletakkan Malaysia gah di peta dunia dengan pelbagai kejayaan dicipta.

Jika dulunya, persekitaran Kuala Lumpur dipenuhi rumah atap nipah, kini ia lebih diserikan dengan bangunan pencakar langit serta perkembangan pesat penempatan penduduk. Dunia terus mengenali Kuala Lumpur melalui mercu tanda hebat seperti Menara Berkembar Petronas setinggi 88 tingkat yang pernah mencatat sejarah sebagai bangunan tertinggi di dunia dan Menara Kuala Lumpur, menara komunikasi kebanggaan negara yang dilengkapi dengan teknologi terkini.

Keunggulan Kuala Lumpur sebagai pusat perdagangan sudah mula berkembang sejak usaha perlombongan bijih pada 1857. Rentetan itu, Kuala Lumpur membangun secara perlahan-lahan sehingga mencapai taraf yang ada sekarang ini dengan terbentuknya Wilayah Persekutuan. Kepesatan ekonomi Kuala Lumpur yang menjadi lubuk rezeki mengundang minat bukan hanya pelabur asing malah rakyat di negara ini.

Jelas terbukti, penghijrahan penduduk yang menghuni bandar raya ini terus meningkat tahun demi tahun. Kedudukan ekonomi yang kukuh turut memberi impak besar kepada pembangunan di Kuala Lumpur. Menyentuh aspek infrastruktur jalanan, pasti mata terpukau melihat perkembangan lebuh raya baru di sekitar ibu kota yang semestinya dilaksanakan demi kesejahteraan penghuninya.

Tidak dapat disangkal lagi, kepadatan penduduk Kuala Lumpur mencorakkan pola penempatan yang lebih tersusun terutama bagi kawasan setinggan yang digantikan dengan perumahan kos rendah lebih selesa seperti di Pantai Dalam.

Kepesatan ekonomi juga memberi kesan kepada aspek pengangkutan di Kuala Lumpur. Daripada zaman lanca dan beca hinggalah kepada sistem aliran ringan (LRT), kereta api ekspres (KLIA Ekpres) dan Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (Smart), pelbagai kemudahan terus disediakan untuk kesenangan rakyat.

Perkembangan positif ini memacu negara untuk menjadi satu kuasa ekonomi yang disegani di rantau ini. Peredaran masa turut menyerlahkan Kuala Lumpur sebagai pusat pentadbiran.

Bermulanya Kuala Lumpur sebagai pusat pentadbiran apabila Sir Andrew Clarke, Gabenor Negeri-Negeri Selat melantik J.G. Davidson sebagai Residen British di Selangor pada Disember 1873.

Beliau memindahkan ibu kota Selangor dari Klang ke Kuala Lumpur pada 1880 apabila Frederick Weld menjadi Gabenor Negeri-Negeri Selat yang baru. Bertitik tolak daripada situ, Kuala Lumpur berkembang pesat dan dipilih sebagai ibu negeri Persekutuan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu pada 1896 diikuti pemerintahan Malayan Union dan sehinggalah negara mencapai kemerdekaan pada 1957, Kuala Lumpur kekal sebagai ibu negara hingga ke hari ini.

Pada 1890, Kuala Lumpur mula diurus di bawah seliaan Lembaga Kebersihan yang bertanggungjawab antaranya menjaga kebersihan jalan raya, pemasangan lampu, mentadbir pasar dan sebagainya. Kini, ia boleh berdiri sebaris dengan kota besar dunia yang lain di bawah pentadbiran dan pengurusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

Sebut saja Kuala Lumpur dan pentadbiran, pastinya ingatan kita membayangkan Bangunan Sultan Abdul Samad yang terletak di lokasi strategik di tengah pusat bandar Kuala Lumpur berhampiran Dataran Merdeka, Kelab Diraja Selangor dan Masjid Jamek. Bangunan warisan ini pernah menjadi Pusat Pentadbiran Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.

Ia juga pada satu ketika menempatkan Pejabat Pos Besar, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor dan Mahkamah Agung Malaysia. Kini, Bangunan Sultan Abdul Samad dijadikan pejabat Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan ia menjadi pusat kebudayaan negara. Bangunan bersejarah ini akan terus menjadi simbol kebanggaan rakyat sebagai mercu tanda negara sejak sebelum merdeka.

Di sebalik unggulnya Kuala Lumpur dek pembangunan dan pentadbiran, begitu juga dengan sejarah peradaban negara. Kuala Lumpur merakamkan pelbagai peristiwa suka duka dalam lipatan sejarah negara. Laungan ‘Merdeka’ pasti terus terpahat dalam ingatan setiap rakyat Malaysia tatkala negara meraikan saat manis kemerdekaan dan bebas daripada belenggu penjajah.

Peristiwa 13 Mei 1969 pula mencatat memori hitam apabila perpaduan rakyat tergugat dan keselamatan negara turut terancam. Peristiwa ini wajar diambil iktibar oleh semua rakyat Malaysia.

Arus kemodenan tidak dapat menafikan Kuala Lumpur untuk menjadi destinasi warisan dan budaya. Ia memartabatkan seni dan budaya rakyat Malaysia yang berbilang kaum melalui pelbagai usaha bagi menarik minat pelancong dan penggemar seni tanah air. Selain itu, Kuala Lumpur sebagai destinasi ilmu turut mengetengahkan khazanah warisan dan kepemimpinan tokoh negara di Muzium dan Memorial sekitar Kuala Lumpur.

Kuala Lumpur, banyak yang diketahui, semakin banyak pula yang perlu diterokai. Bagi generasi sebelum merdeka, pasti mereka kaya dengan coretan yang boleh dikongsi bersama anak dan cucu akan kehebatan Kuala Lumpur. Generasi pasca merdeka pula perlu terus menghayati keunggulan Kuala Lumpur agar semangat cintakan watan sentiasa membara. Ada pelbagai sumber bahan sejarah berkaitan Kuala Lumpur yang boleh dibuat penyelidikan di Arkib Negara Malaysia.

Hari ini, 1 Februari 2010 genaplah 36 tahun Kuala Lumpur menjadi Wilayah Persekutuan. Perancangan strategik Kuala Lumpur terus menjadi fokus di bawah Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 yang bermatlamat untuk menjadikan Kuala Lumpur sebagai sebuah bandar raya bertaraf dunia selaras dengan Wawasan 2020.

Mengimbau kembali detik Kuala Lumpur dianugerahkan taraf ‘Bandar Raya’ oleh Yang di-Pertuan Agong pada 1 Februari 1972 dan kemudian diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan pada 1 Februari 1974, Yang di-Pertuan Agong dalam titah ucapan baginda sempena majlis menandatangani Perjanjian Kuala Lumpur di Istana Negara, mendoakan semoga Kuala Lumpur akan terus maju dan makmur serta menjadi lambang perpaduan rakyat seluruh negara dan mencerminkan kemajuan bangsa dan negara Malaysia setanding ibu kota negara yang maju di dunia ini.

Sebegitu tinggi harapan payung negara, sepatutnya setinggi itu jugalah harapan setiap rakyat Malaysia untuk terus memastikan Kuala Lumpur yang bermula asalnya di kawasan pertemuan kuala Sungai Gombak dan Sungai Klang bergerak maju dan pantas dalam mencapai wawasan negara dan menghadapi cabaran global.

Sesungguhnya, kelahiran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menjadi satu titik kejayaan yang amat besar maknanya dalam perkembangan dan kemajuan negara sejak penubuhan Malaysia.

Justeru, ia memainkan peranan penting dalam mencorakkan kejayaan negara ini pada masa hadapan. Biarlah setinggi manapun kejayaan yang ingin dicapai, semoga ia diiringi dengan keseimbangan sosial bagi merealisasikan hasrat gagasan 1Malaysia dan membentuk masyarakat maju menjelang 2020.

- BERITA HARIAN

Zahrain, pernyataan bangsa dan kampus

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN

Isu Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Hashim yang melabelkan Ketua Menteri Pulau Pinang sebagai diktator, chauvinis dan berotak komunis; pemansuhan pernyataan bangsa di bawah Pelan Transformasi Kerajaan dan pilihan raya kampus antara topik-topik menarik hujung minggu ini.

Zulkifli Noordin (zul4kulim.blogspot. com) menulis, beliau terkejut dengan kenyataan yang dibuat Zahrain ke atas Lim Guan Eng yang dianggap lebih kasar berbanding kenyataan-kenyataan yang dibuat oleh beliau sendiri.

"Kalau saya yang buat kenyataan macam ini mesti dah melenting habis firaun-firaun kecil. Jadi, saya nak tengok apa pula tindakan mereka terhadap Zahrain.

"Apakah mereka akan mengadakan Jawatankuasa Disiplin terhadap beliau, apakah mereka akan minta beliau disepak daripada PKR. Kita tengok apa tindakan yang akan diambil," tulis beliau.

Al-Azharri Siddiq dalam Jentayuabaka (www.jentayuabaka.com) menulis, Guan Eng yang berjanji menggunakan sistem tender yang telus dalam pemberian projek tetapi sebaliknya menggunakan kuasanya sebagai Pengerusi Lembaga Pemilihan Tender.

"Ada sesiapa di Pulau Pinang boleh senaraikan sejak Mac 2008 berapa tender diberikan kepada orang Melayu, Cina dan India dan kaum-kaum lain secara adil, sama rata dan saksama.

"Ada sesiapa boleh berikan statistik apa projek dan berapa nilai projek yang diberikan kepada orang Melayu, Cina dan India dan kaum-kaum lain?" tulis beliau.

Tulisnya, semua itu perlu didedahkan bagi membuktikan sejauh mana kerakusan dan diktator Guan Eng sehingga menimbulkan kemarahan Zahrain.

Sementara itu, A. Kadir Jasin (www.akadirjasin.com) menulis, beliau akan tetap mempertahankan identiti Melayu dalam Kad Pengenalan dan dokumen-dokumen rasmi lain sekali gus bagi mengesahkan beliau sebagai seorang Muslim dan Bumiputera.

"Oleh sebab itu saya tidak setuju sama sekali dengan cadangan kerajaan supaya pernyataan bangsa dalam borang kerajaan dihapuskan kecuali untuk tujuan bancian dan perangkaan.

"Sesungguhnya saya cukup sedih dan gusar apabila satu demi satu, sedikit demi sedikit apa sahaja yang mengaitkan orang Melayu dengan bangsa, negara dan hak asasinya semakin hari semakin dihakis," tulis beliau.

Tulisnya, membuang pengenalan bangsa dalam borang dan dokumen rasmi merupakan satu lagi contoh ke arah penghapusan identiti Melayu sebagai bangsa majoriti di Malaysia.

Azrinizam Ibrahim dalam Angin Perubahan (anginperubahan.blogspot.com) pula menulis, kebanyakan pelajar universiti kini semakin menolak pimpinan Pro Mahasiswa sehinggakan kumpulan Pro Aspirasi secara majoriti menguasai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Akibatnya, pelajar kumpulan pro-pembangkang itu mula bertindak melampau kerana tidak berpuas hati dengan kekalahan mereka di beberapa universiti.

Tulis beliau, tahun lalu apabila mereka menang dan menguasai MPP, tiada sebarang impak positif ke arah pembangunan akademik dan menjaga kebajikan pelajar secara terfokus diadakan oleh Pro Mahasiswa.

"Aktiviti mereka hanyalah berdemonstrasi, berkonflik dengan Hal Ehwal Pelajar dan menjemput beberapa tokoh pembangkang masuk ke dalam universiti.

"Apakah mereka ini yang meracuni fikiran pelajar sehingga menjadi melampau sebegitu rupa? Adakah sesiapa yang membantu gerakan mereka?" tulis beliau.

Beliau menulis, universiti adalah tempat untuk belajar dan hormatilah hak majoriti pelajar lain yang telah bersuara melalui undi.

- UTUSAN

10 Cara Menggunakan Facebook Untuk Meningkatkan traffic Di Laman Web / Blog / Bisnes Anda

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN

Terdapat lebih daripada 115 juta orang log masuk ke laman Facebook setiap bulan. Ia merupakan jaringan sosial yang terbesar dan satu tempat yang menarik di dalam web untuk membina jenama anda dan membawa traffic ke laman anda. Anda boleh mendapatkan pendedahan segera kepada perniagaan anda menggunakan teknik-teknik yang dibincangkan di dalam artikel ini.

1. Membina satu jaringan Facebook. Sebelum anda mula untuk mengaplikasi mana-mana teknik yang dibincangkan di sini, anda perlu membina satu jaringan rakan-rakan Facebook. Untuk melakukannya, sertai beberapa kumpulan yang berkaitan dengan perniagaan anda dan beberapa kumpulan yang anda sangat minati.

Tanya orang yang berada di dalam kumpulan-kumpulan untuk menambah anda sebagai rakan mereka. Facebook juga mempunyai satu alatan hebat yang mencadangkan orang yang mungkin anda ingin kenali. Hantar permintaan kepada orang-orang tersebut untuk
menambah anda sebagai rakan mereka. Hantar mesej pendek menjelaskan kenapa anda mahu untuk menjadi rakan mereka. Jika anda menghantar 20 permintaan setiap hari, anda boleh mendapat jaringan lebih daripada 1,00 kenalan di dalam masa dua bulan.

2. Kemaskini status anda setiap hari. Log masuk setiap hari dan kemaskini status anda. Jangan gunakan mesej-mesej status seperti “Saya sedang tidur sekarang”, “Baru balik daripada kerja”. Mesej-mesej status seperti ini tidak menarik. Gunakan petikan kata-kata orang yang terkenal berkaitan perkara spesifik, contohnya kasih sayang, dedikasi, etika kerja, keamanan, peperangan, dan lain-lain. Anda juga boleh menggunakan jenaka. Matlamat anda adalah untuk menarik perhatian orang kepada mesej
anda supaya mereka akan melihat profil anda untuk mengetahui
lebih lagi tentang anda.

3. Ucapkan selamat hari lahir setiap hari. Facebook juga memaparkan hari lahir rakan-rakan di dalam rangkaian anda yang bakal tiba. Setiap hari hantar ucapan hari lahir kepada mereka yang menyambutnya. Baca profil mereka untuk mengetahui dengan
lebih lanjut tentang mereka dan tulis mesej peribadi yang menarik di paparan muka laman mereka. Jangan gunakan mesej-mesej hari lahir yang dicetak sama untuk semua orang.

Apabila anda menulis di paparan muka Facebook rakan anda, semua orang di dalam rangkaian akan mendapat berita kemaskini anda. Anda perlu menulis sesuatu yang menarik perhatian. Anda mungkin mereka 10 hingga 20 mesej-mesej hari lahir yang mencuri perhatian dan kemudian ubahnya sedikit untuk setiap rakan.

4. Bina satu halaman perniagaan. Selain halaman peribadi anda, anda juga patut mereka satu halaman perniagaan. Mencipta satu halaman perniagaan adalah serupa dengan membuat halaman peribadi di Facebook. Reka satu logo yang cantik dan gunakan ia untuk gambar halaman perniagaan anda.

Seterusnya, jadi salah seorang peminat halaman perniagaan anda. Anda boleh menggunakan halaman perniagaan untuk melancarkan kempen pengiklanan yang disasarkan di Facebook. Promosi halaman perniagaan Facebook anda menggunakan blog, komen blog, serta lain-lain dan tanya orang untuk menjadi peminat perniagaan anda.
Gunakan sedikit bahan-bahan promosi, seperti t-shirt percuma, buku elektronik percuma dan sebagainya sebagai insentif untuk menjadi seorang peminat.

5. Label gambar-gambar promosi menggunakan nama-nama rakan anda. Muat naik semua gambar-gambar promosi ke halaman perniagaan anda. Sesetengah orang melabel gambar-gambar ini dengan nama-nama rakan mereka yang berpengaruh di dalam rangkaian. Gambar promosi anda akan keluar di bahagian news feeds rakan anda tersebut. Sekali anda membuat satu jaringan rakan, buat satu senarai rakan dengan jumlah rakan yang tinggi, dengan jumlah lebih daripada 1000. Sediakan rangkaian mini anda untuk melabel nama masing-masing di gambar-gambar promosi.

6. Tukar status perhubungan anda dengan kerap jika boleh. Satu daripada aktiviti yang jarang berlaku di Facebook adalah menukar status perhubungan. Kerana orang tidak menukar perhubungan mereka dengan kerap, Facebook meletakkan perkara yang penting untuk menukar perhubungan dan menghantar berita kepada semua orang di dalam rangkaian anda pada bila-bila masa terdapatnya perubahan di status perhubungan anda.

Orang ramai telah meneliti ketidakpastian ini untuk menarik perhatian ke profil mereka. Mereka menukar perhubungan mereka hampir setiap minggu dan cuba untuk menarik pengunjung-pengunjung ke profil mereka. Ianya terpulang kepada mereka untuk menggunakan teknik ini kerana ia mungkin tidak menggambarkan status perhubungan anda yang sebenar.Jika anda gunakan teknik ini, jangan lupa untuk siarkan sedikit bahan-bahan promosi di bahagian promosi peribadi anda.

7. Hadiri Pelbagai Acara. Facebook merupakan tentang perjumpaan rakan-rakan di suatu tempat untuk acara tertentu,sebenarnya untuk alumni kolej. Facebook memberi keutamaan yang tinggi untuk acara-acara di bahagian news feed. Misi anda ialah untuk RSVP semua acara di dalam rangkaian anda walaupun anda tertinggal beberapa daripadanya.

Apabila rakan-rakan anda melihat anda merupakan pengunjung acara yang kerap, mereka akan menganggap anda sebagai sumber acara. Helah ini adalah untuk memaparkan nama anda di semua tempat yang anda boleh. Oleh kerana rakan-rakan anda melihat nama anda
beberapa kali, sesetengahnya akan berasa ingin tahu untuk melihat profil anda.

8. Import pos blog anda. Jika anda mempunyai blog, import RSS feed blog anda ke Facebook. Facebook akan menyiarkan artikel di dalam feed sebagai nota Facebook secara automatik. Galakkan rakan-rakan anda untuk memberi komen terhadap artikel anda di Facebook. Anda juga boleh melabel rakan-rakan di dalam artikel tetapi jangan lakukan secara berlebihan.

9. Poskan komen-komen di kumpulan-kumpulan yang terkenal. Lawati kumpulan yang terkenal di Facebook yang anda telah sertai secara berkala dan poskan komen-komen. Juga seperti komen blog atau pos untuk forum, komen kumpulan yang terkenal Facebook juga akan menarik perhatian kepada nama anda serta profil. Tambahkan sesuatu yang berharga atau poskan satu sambungan yang menambah nilai kepada topik di bawah perbincangan.

10. Mulakan acara anda sendiri. Acara-acara adalah terkenal di dalam Facebook dan jika anda boleh mempromosikannya dengan betul, ia akan memberi kesan dan ribuan orang akan mendaftar untuknya. Hantar jemputan kepada rakan-rakan rangkaian anda yang mempunyai ribuan rakan lain di dalam rangkaian mereka dan juga kepada rakan-rakan wanita yang menarik perhatian di dalam rangkaian anda yang mungkin tidak ramai kenalan.


http://sufibiz.com

Apakah kesudahan nasib Melayu Pulau Pinang?

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN

Dulu, kira-kira 40 tahun lalu, waktu Perikatan, kemudiannya Barisan Nasional (BN) memerintah Pulau Pinang yang diterajui Gerakan, UMNO, MCA, MIC bukannya tidak ada gerai Melayu yang diroboh. Memang ada gerai yang diroboh atas sebab-sebab tertentu. Paling popular sudah tentu tidak ada lesen atau untuk memberi laluan kepada projek lain. Dulu, bukannya tidak ada peniaga yang berniaga ikut suka sehingga mengganggu lalu lintas.

Memang ada sehingga sekarang tetapi tidak ada tindakan yang drastik diambil dan mereka terus berniaga seperti biasa. Semuanya itu berlaku di Pulau Pinang ketika kerajaan BN diketuai oleh Ketua Menteri, Dr. Lim Chong Eu dan kemudiannya Dr. Koh Tsu Koon. Kini, kerajaan negeri pakatan pembangkang DAP, PKR, Pas yang baru berusia setahun jagung dan diketuai oleh Lim Guan Eng lebih berani bertindak. Tetapi kenapa riuh rendah jadinya? Mungkin kerana ramai yang terkejut disebabkan tindakan drastik kerajaan pakatan pembangkang ini. Mulanya mereka mungkin mengharapkan pakatan dapat memberi nafas baru kepada peniaga atau penjaja kecil. Mereka tentu lega dengan slogan keadilan, kebebasan, ketelusan, kebajikan dan entah apa lagi slogan yang 'manis-manis' dan enak didengar yang dibawa oleh pakatan pembangkang semasa kempen pilihan raya. Malangnya, ibarat mendengar guruh di langit, air tempayan dicurahkan atau panas tidak sampai ke petang. Kebahagiaan yang diharap tidak muncul. Gerai milik orang Melayu yang dulunya 'hidup bebas' di bawah naungan BN kini tinggal sejarah atau bakal menjadi catatan sejarah. Dua puluh tahun beroperasi tanpa masalah tetapi kini muncul masalah. Kalau tidak ada lesen, kenapa tidak diberi lesen? Sementara menurut dakwaan Persatuan Anak Jati Melayu Pulau Pinang (Pajim), gerai milik bukan bumiputera yang banyak beroperasi tanpa mengikut garis panduan ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) terlepas daripada sebarang tindakan. Berjalanlah di sepanjang Jalan Weld Quay, Lebuh Chulia, Lebuh Kimberley, Jalan Macalister, Jalan Burma dan Sungai Dua. Lihatlah panorama indah ini yang boleh dijadikan juga produk pelancongan. Kalaulah semua ini - gerai-gerai Melayu dirobohkan - benar, maka sungguh malang nasib Melayu Pulau Pinang.

Apakah ini sudah suratan takdir mengenai nasib kaum minoriti di Pulau Mutiara itu? Mungkinkah Melayu Pulau Pinang lebih terbela di bawah gandingan mantap dan mesra DAP, PKR, Pas?

Media arus perdana sudah tentu akan dipersalahkan kerana membangkitkan isu orang Melayu ini dan akhirnya akan dilabel sebagai rasis. Sudah lumrah, apa yang mereka lakukan salah di sisi orang lain tetapi akan dianggap betul jika mereka sendiri yang melakukannya. Tindak tanduk memijak atau melangkah kepala orang yang mereka lakukan secara spontan tidak dianggap satu tindakan provokasi yang boleh mencetuskan kemarahan. Tetapi apabila orang lain mengambil tindakan yang sama dalam keadaan marah, mereka pula tidak sabar dan membuat laporan polis. Itulah lumrah politik pihak sebelah sana yang sering melaungkan slogan yang enak didengar.

Khabarnya selain kedai makan atas pokok Do Re Mi di Tanjung Bunga, Three N Ikan Bakar di Bukit Dumbar dan gerai buah di Permatang Pauh milik orang Melayu, ramai lagi yang akan menerima nasib sama selepas ini.

Sejauh mana kebenarannya tidak pasti. Gerai-gerai ini bukannya wujud semalam atau kelmarin tetapi telah lama. Malahan sejak kerajaan BN memerintah. Apakah kerajaan BN yang silap? Atau adakah kerajaan BN lebih peka dan prihatin terhadap golongan peniaga seperti ini? Justeru, apakah tujuan sebenar di sebalik tindakan kerajaan DAP yang mengarahkan gerai-gerai ini dirobohkan?

Gerai atas pokok memang unik. Dalam filem Do Re Mi ada kisah orang duduk atas pokok. Dalam cerita 'Dewan Undangan Negeri Perak' ada kisah bersidang bawah pokok sehingga pokok tersebut dijadikan satu tempat bersejarah. Dalam filem Laksamana Do Re Mi pula, raja bersemayam di bawah pokok. Begitulah cerita pokok. Maka kenapa restoran unik atas pokok ini mahu dihapuskan?

Memang mudah untuk menumbangkan pokok. Seperti filem Do Re Mi, ugut nak gergaji pokok, maka Do Re Mi yang menjadi penghuni rumah pokok itu cabut lari.

Agaknya siapa yang lebih bertimbang rasa jika dibandingkan dengan kerajaan BN Perak yang tidak memusnahkan tempat yang menjadi pujaan pakatan pembangkang dengan kerajaan DAP Pulau Pinang yang mahu 'mengusir' pengusaha restoran atas pokok.

Siapakah yang lebih prihatin masalah rakyat terutama yang berpendapatan rendah apabila sejak 20 tahun lalu berniaga tetapi tidak diganggu gugat oleh kerajaan sebaliknya yang baru pegang kuasa sudah tunjuk belang.

Jika ini berterusan - peniaga Melayu menjadi mangsa - maka ke ceruk mana lagi Melayu Pulau Pinang hendak pergi. Berapa kerat orang Melayu yang mampu berniaga di tengah-tengah Georgetown sama ada di Chowrasta, Komtar, Perangin Mall dan sekitarnya?

Malang sungguh nasib Melayu Pulau Pinang. Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran, macam orang Tanjong selalu buat seloka... Balik Pulau, Bayan Lepas, Sana Terpelau, Sini Terlepas.

Terbelakah Melayu Pulau Pinang?

Terserahlah kepada rakan kongsi DAP iaitu PKR dan juga Pas. Jika PKR dan Pas mahu melihat semua kaum diberi layanan sama rata, maka Melayu Pulau Pinang tidak akan ke mana. Mereka akan terus ketinggalan dalam segala segi. Melayu umpama melukut di tepi gantang.

Justeru Melayu Pulau Pinang perlu insaf dan sedar bahawa tidak ada sesiapa yang dapat membela nasib mereka kecuali diri mereka sendiri. Melayu perlu menghentikan sandiwara politik. Jika ada di antara Melayu yang ada kuasa lupa akan bangsanya, maka lambat laun, mereka juga akan terus hanyut. Janganlah kerana ketamakan kuasa, mereka akhirnya akan 'dijual' kemudian dilelong seperti yang berlaku ke atas Abdul Wahab dan Abdul Wahib dalam filem Tiga Abdul.

Selain masalah gerai Melayu ini, menarik juga untuk disentuh ialah isu melibatkan bekas Pengerusi PKR Pulau Pinang, Zahrain Mohd Hashim. Apakah isu Zahrain 'menyerang' Guan Eng dengan kata-kata diktator, cauvinis dan berfikiran komunis' sebagai satu lagi sandiwara sekadar ribut dalam cawan menjelang hari bicara penasihat PKR? Sama ada sandiwara atau disebabkan masalah peribadi, sekurang-kurangnya rakan pembangkang DAP sendiri tidak puas hati dengan Guan Eng. Biar apa pun alasannya, Zahrain sudah berani mendedahkan sikap Guan Eng. Dan seperti yang dijangka, kepimpinan PKR akan menolak segala dakwaan Ahli Parlimen Bayan Baru itu. Atas semangat kerjasama politik, yang hitam tidak boleh dihitamkan lagi tetapi perlu diputihkan. Dalam politik, biarlah kritik orang di luar parti bukannya mengkritik parti sendiri. Jika tidak buruk padahnya seperti dialami Khalid Samad, Hasan Ali dan begitu juga Zulkifli Noordin, Zaid Ibrahim dan Zahrain. Semuanya ini menarik untuk dinantikan kesudahannya. Adakah ia sekadar sandiwara politik atau masalah dalaman yang sukar dibendung.

- UTUSAN

English Premier League (EPL) Result - 31/01/2010

Posted by MOHD. ADHA MOHD. ZAIN

ENGLISH PREMIER LEAGUE (EPL) RESULT 31/01/2010 :

Manchester City 2 - 0 Portsmouth

Arsenal 1 - 3 Manchester United




 

KATEGORI

Artis (282) Astronomi (79) Berita (1881) Bolasepak (113) DPLI (39) Dunia (850) Ekonomi (782) Gempar (203) Hiburan (483) Islam (2210) Isu Semasa (114) Jawatan Kosong (1473) Keluarga (263) Kerjaya (1781) Kesihatan (960) Kewangan (349) Komentar (154) KPLI (91) KPLSPM (27) Mistik (49) Motivasi (616) Pendidikan (1094) Pentadbiran (218) Personaliti (210) Politik (1691) Sastera (77) Sejarah (205) Soal Jawab (85) Teknologi (757) Temuramah (19) Umum (941) Undang-Undang (220)

BLOG TERKINI