Rejimen 509 Askar Wataniah perlu 1,700 sukarelawan

Rejimen 509 Askar Wataniah sedang berusaha untuk menambah bilangan anggota sukarela terutamanya daripada kalangan kaum Cina dan India dalam pasukan itu.

Pegawai Latihan dan Pengambilan negeri Lt Kol L Vasuthevan berkata kini terdapat 1,700 kekosongan bagi sukarelawan dalam rejimen itu untuk diisi yang kini mempunyai 1,300 anggota.

Penyertaan kaum Cina dan India masih rendah iaitu daripada jumlah 1,300 berkenaan, hanya 93 terdiri daripada kaum Cina manakala kaum India hanya 44 orang dan selebihnya Melayu, katanya kepada pemberita di Georgetown hari ini.

Beliau berkata rejimen itu juga menggalakkan penyertaan daripada peserta program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang telah tamat latihan yang akan membolehkan mereka memperoleh pendedahan dalam asas ketenteraan yang lebih menyeluruh.

Vasuthevan berkata sukarelawan perlu mengikuti tiga latihan iaitu latihan asas selama 240 jam yang dilakukan setiap Sabtu dan Ahad, latihan lanjutan selama 14 hari serta mengikuti kem tahunan selama 15 hari.

Katanya anggota sukarela askar Wataniah terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang berumur dari 18 tahun hingga 41 tahun dan maklumat lanjut boleh diperoleh di pejabat Rejimen 509 Askar Wataniah, Lebuhraya Peel, Georgetown atau hubungi talian 04-2297001.

- Bernama